Sabtu, 8 Disember 2012

MENCARI JALAN BENAR : ANTARA DUA JALAN

MASA tidak pernah menunggu manusia. Satu ungkapan yang klise tetapi ada benarnya. Dalam sedar, sudah hampir empat kembara saya dalam dunia ilmu. Dalam tempoh ini, pastinya banyak perkara dan pengalaman baharu yang saya lalui. Ada pengalaman yang berulang. Ada pengalaman yang menuntut akal fikir untuk dianalisis dan dipertimbangkan untuk perjalanan hidup yang seterusnya. Ada satu pengalaman menarik yang sangat kuat dalam fikir dan emosi saya setelah sebulan tempoh pengalaman yang saya maksudkan ini berlaku.

Saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi pada awal September tahun ini. Kuliah pertama saya bermula pada Khamis, 20 September 2012 pada jam lima petang. Dua minggu sebelum sesi kuliah pertama itu, ada beberapa kali  (tiga kali) saya ke kampus atas urusan pendaftaran. Ketiga-tiga kali itu merupakan pengalaman awal saya menempuh perjalanan (fizikal) yang jauh iaitu dari Selayang ke Serdang dan dari Serdang ke Selayang. Empat puluh minit diperlukan untuk saya pergi dan balik dari kedua-dua tempat, perkara yang amat membimbangkan arwah emak apabila saya maklumkan kepada emak akan keputusan saya untuk menyambung pengajian. Walau bagaimanapun, saya membazirkan masa yang banyak kerana sering melalui jalan yang salah, ketika itu.

Untuk ketiga-tiga kali itu, saya benar-benar berpandukan papan tanda jalan semata-mata. Hal ini disebabkan saya tidak pernah ke kawasan berdekatan kampus sebelum ini. Saya mencabar diri saya. “Saya tidak akan sesat di daerah sendiri (Kuala Lumpur/Selangor/pinggir bandar)”. Saya amat yakin dengan papan tanda jalan (penunjuk jalan?) Saya yakin amat, berpandukan papan tanda jalan (penunjuk jalan?), saya tetap akan sampai ke destinasi.Betapa angkuhnya saya dengan mitos ini.

Ya, memang setiap kali saya mengambil jalan yang salah – saya tetap akan sampai ke destinasi saya iaitu sama ada kampus atau rumah. Akan tetapi, saya mengambil masa dan tenaga yang lebih daripada sepatutnya. Dari Serdang, saya mengikut papan tanda jalan Pusat Bandaraya hingga saya keluar di Jalan Sultan Ismail, KLCC, Bukit Bintang dan segala kawasan yang amat jarang dan ada juga yang tidak pernah saya lalui. Pengalaman yang menarik dan agak memalukan apabila saya yang menunggang skuter salah lorong disebabkan papan tanda jalan langsung masuk ke dalam terowong SMART (Pintar?). Betapa panjangnya terowong itu dan khuatirnya saya apabila saya sedar bahawa saya salah kerana melalui terowong itu. Saya resah dan gelisah. Berkira-kira hujung terowong itu yang terasa begitu jauh untuk saya sampai kepadanya. Satu kelegaan dan hamdallah saya lafazkan apabila saya keluar dari terowong itu (Jalan Sultan Ismail). Banyak lagi laluan yang amat asing dan menjauhkan saya daripada destinasi semata-mata kerana berpandukan papan tanda jalan yang tidak menentu dan berfokus.

Namun demikian, pengalaman paling manis tetapi menyedihkan saya ketika pengalaman itu dilalui adalah pada sesi pertama kuliah saya iaitu Khamis, 20 September. Saya yang tidak suka lewat telah bergerak tiga jam lebih awal daripada masa kuliah. Saya cuba mengguna jalan yang lain tetapi menunjuk nama UPM, Serdang arah laluan Jalan Bellamy. Akan tetapi, disebabkan saya tidak pernah melalui jalan itu tetapi mengikutinya disebabkan ingin mencuba arah papan tanda itu, saya tersasar hingga ke Putrajaya, melalui Sierra dan pelbagai jalan untuk ke kampus. Perjalanan itu memakan masa hampir dua jam hingga menyebabkan saya keletihan dan perlu menambah minyak di kawasan berdekatan Serdang (belum sampai Serdang). Saya kerisauan ditambah lagi cuaca yang panas. Tubuh benar-benar lelah. Saya hampir menangis kerana khuatir akan terus kesesatan. Beberapa penunggang motorsikal ketika sama-sama menunggu lampu merah bertukar hijau di beberapa lampu isyarat menjadi sumber saya untuk mengetahui jalan sebenar. Tidak saya lupa seorang wanita berpakaian jururawat yang memandu Proton Wira ketika di lampu isyarat berdekatan Serdang. Saya yang di sebelahnya mengetuk tingkap sisinya. Dia sedia menurunkan cermin itu (Perbuatan yang bahaya jika orang yang mengetuk itu ada niat jahat. Perlu lebih berhati-hati) dan memberikan jawapan kepada persoalan saya.

Apabila tayar skuter saya akhirnya tiba di tempat parkir kampus, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Syukur kerana Allah mengajar saya bahawa menuntut ilmu itu memang banyak cabarannya namun di hujungnya ada keindahan yang sukar diungkapkan barisan kata. 
Selepas menceritakan hal itu kepada dua guru saya, mereka berkenan membantu saya. Pada hari Sabtu, Cikgu Norhana dan Cikgu Julia telah berkenan menunjukkan saya jalan yang benar. Jalan yang tidak membuatkan saya sesat dan meraba-raba mencari jalan sebenar ke destinasi. Sejak hari itu, saya yang fitrahnya mudah mengingat jalan - tidak lagi tersesat arah. Perjalanan saya mencari sentiasa mudah dan lancar, paling baik – saya tidak pernah terlewat dan membazirkan wang (minyak) dan tenaga.


Begitulah analogi kepada manusia yang terdedah dengan variasi ilmu dan pengalaman yang dilalui. Sebelum dipertemukan dengan ilmu dan pengalaman yang terbaik untuk membawa diri ke arah kebaikan dua dunia, tentunya manusia akan mencari-cari dan berhadapan dengan aneka konflik, arah mana perlu dilalui? Tanda mana yang perlu diikuti? Jalan yang ini betul, atau yang itu paling benar? Pengalaman ini menjadi sesuatu yang amat bermakna dan menarik untuk saya fikirkan.

Saya selalu melalui jalan yang jauh dan memenatkan untuk sampai ke destinasi (jalan yang membazirkan tenaga dan masa). Akan tetapi, apabila sekali dipandu melalui jalan yang betul, saya dapat menerimanya dengan baik dan selesa. Pemanduan dan bimbingan yang tepat itu amat dituntut agar tidak terus bergelumang dengan kesalahan ‘jalan’. Walau bagaimanapun, salah jalan ini adalah satu proses dalam pembelajaran bagi saya. Apabila kita sedar ada hikmah dan manfaat daripada pelajaran itu, maka wajar hikmah dan manfaat itu dianalisis untuk mendapatkan keputusan yang rasional dan tepat. Salah jalan itu umpama fatamorgana. Kita rasa benar tetapi hakikatnya dusta (ilusi) yang membuatkan kita mempercayainya tanpa alasan yang wajar. Sekali lagi, kewajaran.

Saya teringat sajak Robert Frost yang pernah menjadi teks KOMSAS semasa saya di tingkatan dua.

Two roads diverged in a yellow wood
and sorry I could not travel both
And be one traveller, long I stood

and looked down one as far as I could
to where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
and having perhaps the better claim
because it was grassy and wanted wear;
though as for that, the passing there
had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
in leaves no feet had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I --
I took the one less travelled by,
and that has made all the difference

Tiada ulasan:

Catat Ulasan