Rabu, 12 Disember 2012

KEHIDUPAN MELAYU CAPE DI AFRIKA SELATAN


BANGSA Melayu bukan wujud dalam lingkungan geografi Nusantara semata-mata. Bangsa Melayu Cape di Afrika Selatan wujud apabila berlaku penghijrahan pada awal kurun ke-17 hingga kurun ke-18. Penghijrahan tersebut melibatkan ulama dan buangan politik. Golongan ini memberi pengaruh dan sumbangan besar terhadap perkembangan bangsa Melayu dan Islam di Afrika Selatan.
Buku setebal 257 halaman ini lengkap dengan foto berwarna dengan enam bab. Dalam usaha mendekatkan khalayak dengan sejarah bangsa Melayu, penulis dan pengkaji telah memperkenalkan sejarah awal kedatangan bangsa Melayu di Afrika Selatan menerusi Bab 1 Sejarah Awal. Syeikh Yusuf dari Makasar yang terkenal sebagai golongan bangsawan adalah antara buangan politik terawal ke Afrika Selatan ketika kurun ke-16. Ketibaan Syeikh Yusuf di Kaap (Cape) telah memberi peluang untuk beliau membina komuniti Islam pertama di Afrika Selatan. Bab ini turut membincangkan polemik Panglima Awang sebagai manusia pertama mengelilingi dunia menerusi novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid. Perjalanan Ibrahim Betawi sebagai orang Melayu pertama di bumi Afrika turut diketengahkan bagi pengetahuan pembaca.
Bab 2 Penghijrahan dan Perkembangan Islam mengetengahkan sejarah penghijrahan buangan politik ke Tanjung Harapan. Antara buangan politik tersebut ialah Syeikh Yusuf, Loring Passir, Dipa Nagara dan Raja Ahmad (Ternate). Sementara itu, golongan hamba ialah kumpulan manusia yang dibawa dari Afrika, India dan Kepulauan Melayu. Antara tahun 1653 hingga 1753, sebanyak 1000 orang banduan dianggarkan telah dibawa dari Kepulauan Melayu ke Tanjung Harapan. Golongan hamba ini terikat kepada tuannya. Kebebasan mereka berinteraksi dalam komuniti amat terhad hinggalah mencapai kebebasan menyeluruh pada awal kurun ke-19.
Perbincangan mengenai pendudukan dan pendidikan di Bo-Kaap muncul dalam  Bab 3 Malay Quarters Komuniti Melayu di Bo-Kaap. Berdasarkan kajian, panggilan Bo-Kaap merujuk kawasan luas yang lazimnya mencakupi  keseluruhan komuniti termasuklah penduduk kulit berwarna yang lain dan India Muslim. Keunikan Malay Quarters dan Bo-Kaap dikaitkan dengan kedudukan bandar raya Cape Town sendiri. Dianggarkan, sebanyak 9000 (90%) daripada jumlah keseluruhan penduduk Cape Town beragama Islam. Keistimewaan Bo-Kaap atau Malay Quarters juga terletak pada jumlah besar taburan masjid dalam jarak yang dekat. Dari aspek pendidikan, masyarakat Bo-Kaap mengalami kesulitan apabila perlu menguasai bahasa Afrikaans dengan baik.
Isu mengenai keramat dan orang Melayu di Cape Town dibincangkan dalam Bab 4 Makam Keramat. Dalam bab ini, makam keramat dikenal pasti sebagai warisan sejarah orang Melayu di Cape Town. Walau bagaimanapun, amalan makam keramat tidak lagi ketara pada hari ini. Dari segi politik, orang Melayu di Cape Town wujud sebagai kelompok minoriti tetapi ditindas sama ada melalui sistem perhambaan mahupun di bawah dasar Aparteid.
Perihal jati diri Islam yang dibincangkan dalam Bab 5 Budaya dan Jati Diri mendapati wujud konflik yang membantut perkembangannya. Di Cape Town, komuniti Islam yang baharu tidak lagi menggunakan bahasa Melayu atau Afrikaans. Golongan ini memilih bahasa Urdu sebagai bahasa asal mereka. Peristiwa perselisihan faham antara Imam Talabudien dengan jemaah di situ telah memunculkan etnik baharu dalam komuniti Islam di Cape Town iaitu India. Kemunculan etnik baharu ini menimbulkan pula isu baharu mengenai kesinoniman Islam dengan Melayu.
Bab 6 Mobiliti Sosial dan Tokoh Melayu Cemerlang memperkenalkan beberapa tokoh ulama dan pejuang dalam perkembangan sejarah bangsa Melayu di Cape Town. Selain Syeikh Yusuf Makasar, Imam Abdullah Ibnu Kadi Abdus Salaam ialah penyambung gagasan Syeikh Yusuf Makasar dalam menyebarkan Islam di Afrika. Setelah menjalani hukuman penjara di Afrika Selatan, Imam Abdullah dibenarkan tinggal di tanah besar di sekitar bandar Cape Town sebagai rakyat biasa. Peluang ini digunakan oleh Imam Abdullah sebagai landasan untuk menyebarkan dakwah Islam. Antara tokoh dan ulama lain yang dibincangkan dalam bab ini ialah Imam Haji Abdullah Haroun, Achmat Affendi dan Dr. Abdullah Abdurrahman.
Perbincangan mendalam mengenai Melayu di Cape Town membuka ruang fikir pembaca untuk mengenal lebih mendalam susur galur bangsa Melayu yang terdapat Afrika dan di seluruh dunia. Buku ini bermanfaat untuk khalayak pembaca yang berusaha mengenal jati diri bangsanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan