Khamis, 20 Disember 2012

KASIH SI IBU KUCING

FOTO ini saya ambil pada satu malam, dua minggu yang lalu di kaki lima sebuah kedai. Anak-anak kucing itu saya anggarkan dalam usia dua bulan setengah. Alhamdulillah, lima ekor anaknya sihat. Bagi seekor kucing jalanan, membesarkan lima ekor anak (seekor lagi berbulu coklat di luar bingkai gambar) bukan mudah berdasarkan pemerhatian saya selama ini. 


Saya senyum lebar melihat keluarga ini. Segera saya ambil bekas biskut lalu diberikan satu sudu kepada sang ibu. Menariknya, sang ibu itu langsung tidak mahu bangun walaupun dia begitu mahu menikmati biskut kucing perasa ikan kembung itu. Sang ibu tidak mahu menganggu keselesaan anak-anaknya yang raghib menyusu. 

Begitulah kasih seekor ibu kucing. Makhluk ciptaan Allah yang tidak diberikan akal tetapi kaya dengan naluri dan perasaan. Situasi ini mengingatkan saya pada kucing induk saya Mimi yang pernah menggonggong pulang sebungkus beg plastik berisi pisang goreng dan keropok (entah dari mana dia dapat) lalu diletakkan di depan sangkar anak-anaknya. Sambil memandang anak-anaknya dan bungkusan itu, dia mengiau. Barangkali dia memberitahu "Ibu ada bawa makanan ni, makanlah". Dua hari lepas pula, saya melihat seekor ibu kucing jalanan menggonggong ikan mentah. Dua meter dari jarak ibu kucing itu berjalan sambil ikan di mulut, ada seekor anaknya dalam usia tiga bulan mendekatinya. Pergerakan tubuh ibu kucing yang tegak menggonggong ikan menuju anaknya yang menunggu di satu sudut saya rakam dengan jelas di dalam fikiran. Subhanallah. Pengajaran yang baik daripada Allah bagi mereka yang mahu berfikir.

Foto di atas ini pula saya ambil di sebuah pasar raya di Selayang, juga pada satu malam sebulan yang lalu. Anak kucing itu sangat mantap badannya. Barangkali itu satu-satunya anak yang dapat dibesarkan dengan baik. Ketika mereka makan, datang seekor kucing jantan berwarna hitam mahu mengambil makanan anak kucing itu. Sang ibu bukan main marah lalu mengejar dan menerkam kucing jantan itu yang lari ketakutan. Kata arwah emak kepada saya, kucing betina yang ada anak memang garang, mahu melindungi anak-anaknya. Subhanallah. Setiap kali saya ke pasar raya itu untuk memberi bahan keperluan dapur, saya selalu tercari-cari dua beranak ini. Sayangnya, saya tidak pernah temui mereka lagi sejak malam itu, dua bulan yang lalu. Semoga mereka selamat dan sentiasa dalam perlindungan Allah. Amin Ya Latif.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan