Rabu, 5 Disember 2012

IDEOLOGI KAUM MUDA DALAM PERSURATAN MELAYU

SYED JAMALUDIN AL-AFGANI telah memberi sumbangan yang besar dalam reformasi ideologi masyarakat sekitar tahun 1869. Reformasi ideologi yang dicetuskan beliau bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat Islam di Timur Tengah. Sebaliknya, pemikiran tersebut telah tersebar luas termasuklah ke kawasan Nusantara. Pembaharuan yang dibawa oleh beliau iaitu memahami ajaran Al-Quran bukan menerusi kaedah taklid semberono yang menjadi tradisi kaum tua menarik minat penuntut-penuntut Al-Azhar. Setelah kematiannya, perjuangan Jalaluddin telah diteruskan oleh muridnya yang bernama Syeikh Muhammad Abduh.

Gagasan pembaharuan terhadap cara berfikir berdasarkan acuan Islam sebenar yang dipelopori Jalaluddin ketika itu telah dibawa ke Tanah Melayu menerusi Syed Syeikh Al-Hadi. Penulis Hikayat Faridah Hanum (1925/1926) ini telah meluaskan pemikiran yang menyeru masyarakat khususnya umat Islam berfikir dan melakukan ijtihad terhadap aneka isu berkaitan agama Islam telah disambut baik oleh penulis-penulis sezaman dengannya seperti Ahmad Kotot, Shamsuddin Salleh, Abdullah Sidek, Ishak Haji Muhammad dan Abdul Kadir Adabi.

Syed Syeikh Al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum telah memperlihatkan kelantangan beliau bersuara menerusi karya sastera berkenaan emansipasi wanita menerusi watak Faridah Hanum. Dalam hal ini, Syeikh Al-Hadi menekankan keutamaan menuntut pelajaran bukan hak mutlak kaum lelaki. Sebaliknya, hak dan kepentingan menuntut ilmu turut menjadi hak kaum wanita. Ilmu dibahaskan sebagai wadah yang akan membawa kemajuan dan keharmonian hidup. Dalam konteks Faridah Hanum, watak wanita berpendidikan itu enggan menerima kahwin paksa dan sanggup berkorban duit untuk membina sekolah bagi kaum wanita. Selain itu, emansipasi wanita – penulis kelahiran negeri Melaka itu turut menyeru masyarakat yang masih kekal dengan pemikiran tradisional agar menerima pemodenan berlandaskan al-Quran.  Paling utama, amalan bertaklid secara sembarangan yang berpaksikan tradisi semata-mata amat ditentang oleh beliau yang membawa gagasan pembaharuan Jalaluddin Al-Afghani.
           
Syed Syeikh Al-Hadi ialah tokoh yang memperkenalkan ideologi baharu dan reformasi kaum muda. Ideologi pembaharuan terhadap cara masyarakat memandang dan mengamalkan Islam secara lebih sistematik dan logik berteraskan al-Quran dan hadis telah menarik minat penulis-penulis sezaman dengannya yang mempunyai kerisauan yang sama terhadap masalah yang melanda masyarakat rentetan daripada pemahaman yang sempit dan salah terhadap Islam. Pentafsiran al-Quran dan hadis yang hanya berteraskan budaya dan adat turut ditentang oleh penulis-penulis tersebut. Di samping itu, sikap ulama yang tidak bersungguh-sungguh mentafsir makna Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW turut menjadi antara perkara utama yang disentuh gerakan ideologi Kaum Muda.
           
Masyarakat sudah biasa dengan ‘kaum muda’. Namun, apakah Kaum Muda itu adalah sebuah organisasi yang tersusun dan terpimpin seperti Angkatan Sasterawan ’50?. Tesis kedoktoran Hashim Ismail yang dibukukan dengan judul Hermeneutik: Reaksi Reformasi Kaum Muda ini memberi jawapan. Berteraskan prinsip ‘semangat’ zaman dalam teori hermeneutik, Hashim telah menemui dapatan yang menarik mengenai semangat dan ideologi ‘Kaum Muda’. Kajian Hashim mendapati kaum muda bukanlah satu organisasi yang tersusun sebaliknya satu gerakan ideologi yang hadir dalam pemikiran pengarang-pengarang yang terkesan dengan pembaharuan pemikiran yang diperkenalkan Syed Syeikh Al-Hadi di Tanah Melayu (setelah Syed Syeikh Al-Hadi menerima pemikiran tersebut daripada Syed Jalaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh).
           

Buku ini terdiri daripada tujuh bab dengan dapatan yang mampu memberi pencerahan terhadap pemahaman konvensional masyarakat mengenai kaum muda yang dianggap sebagai satu gerakan terorganisasi. Setelah mengenal pasti Syed Syeikh al-Hadi sebagai pelopor pemikiran kaum muda di Tanah Melayu, Hashim Ismail memperlihatkan dapatan mengenai sembilan orang pengarang Melayu dekad 1920-1940 yang terpengaruh dan menerima dengan baik gagasan Syed Syeikh Al-Hadi. Penerimaan tersebut dijelmakan menerusi karya-karya mereka.
             
Penulis-penulis Kaum Muda menampilkan wanita sebagai watak utama yang menjadi alat untuk mereka menyampaikan pemikiran pembaharuan tersebut. Kajian ini menjadikan watak-watak seperti Faridah Hanum (Hikayat Faridah Hanum), Ramlah (Kawan Benar), Salmah (Iakah Salmah?) dan Tengku Maimunah (Melati Kota Bharu). Penulis seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ahmad Rashid Talu, Ahmad Kotot dan A. Kadir Adabi menekankan aspek pemodenan wanita merangkumi aspek pendidikan dan ekonomi kaum wanita.
           
Bagi penulis-penulis ini, tabu yang melingkungi kehidupan wanita tradisional tidak harus dibiarkan terus membelenggu diri wanita. Kaum wanita perlu diberikan hak seperti yang diaturkan dalam Islam. Kaum wanita perlu menjadi individu berpendidikan dan bijaksana, bukan lagi pemuas nafsu lelaki semata-mata. Kaum wanita juga perlu berani menegakkan kebenaran dan pandangan yang baik seperti yang dilakukan watak-watak berkenaan. Selain itu, kumpulan penulis ini juga berkarya dengan agenda menyedarkan masyarakat Melayu supaya tidak terus hidup selesa di bawah penjajahan. Pendidikan amat dipentingkan kerana ilmu itu yang akan membolehkan masyarakat hidup lebih aman dan tidak terus dipermainkan penjajah. Kaum Muda melihat kepentingan ilmu amat relevan dengan al-Quran yang amat sistematik dan memenuhi logik akal. Oleh yang demikian, tradisi mencintai ilmu di Barat harus dicontohi masyarakat Melayu-Islam untuk maju dalam kehidupan dua dunia.
           
Kaum Muda adalah satu bentuk ideologi tidak terorganisasi secara fizikal. Akan tetapi, ideologi yang dibawa oleh Syed Syeikh Al-Hadi iaitu mengenai pembaharuan dan pemodenan berlandaskan pemahaman yang benar terhadap Al-Quran adalah satu bentuk ideologi yang diterima secara baik dan diaplikasikan oleh pengarang-pengarang yang mempunyai agenda sama dengan Al Hadi. Pegangan yang utuh terhadap ideologi tersebut menjadikan pengarang-pengarang zaman itu menyuarakan pemikiran dan nasihat yang sama menerusi karya-karya mereka dengan menjadikan tema cinta sebagai alat, bukan keutamaan.

Tesis yang dibukukan ini juga memperkenalkan analisis dan hujah yang lebih mendalam mengenai karya-karya penulis dekad 1920-1940 berbanding dapatan yang ada dalam buku Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) (2004) yang diselenggara oleh Hamzah Hamdani dan Siti Aisah Murad. Analisis yang terdapat dalam buku tersebut secara harfiah menyimpulkan karya-karya dekad ini sebagai karya yang membawa tema cinta tetapi tidak mendalami tema dan asbab tema itu digunakan pada latar zaman tersebut seperti yang dilakukan oleh Hashim Ismail. Sebagai contoh, Hikayat Faridah Hanum dianggap Yahya Ismail sebagia kisah percintaan yang terkandung unsur erotik (2004:70). Adalah menarik sekiranya pembaca membuat perbandingan antara buku tulisan Hashim Ismail ini dengan buku Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan