Ahad, 2 Disember 2012

ERTI MERDEKA BAGI MEREKA

PENGERTIAN merdeka sering berbeza pada pemahaman setiap individu. Perbezaan makna keramat itu berlaku atas faktor pengalaman hidup dan persekitaran yang dialami seseorang individu, masyarakat mahupun negara. Novel setebal 275 halaman dengan 21 bab ini mengangkat kisah kehidupan dengan latar budaya yang diamalkan 20 keluarga kaum Penan di Hutan Baram, Sarawak. Masyarakat kecil yang diketuai Agan Jeluan ini masih mengamalkan kehidupan secara nomad.

Karya ini mewakili suara hati yang pelbagai masyarakat kaum Penan melalui watak seperti Agan Jeluan, Gerawat, Seliman dan Busak Elon. Ekspedisi dari Semenanjung yang dianggotai Rosli, Dr. Chua, Dr. Talib, Sankar dan Suib ditugaskan ke perkampungan sementara kaum Penan di Ulu Bagoh bagi meneliti sebab-sebab masyarakat kecil itu menolak pemodenan yang ditawarkan pemerintah. Dalam masa yang sama, agenda utama ekspedisi itu juga adalah untuk memujuk kaum minoriti tersebut agar menerima pemodenan dan meninggalkan cara hidup berpindah-randah itu.

Kaum Penan dalam naskhah ini menolak pemodenan lantaran keupayaan unsur moden itu memusnahkan nilai-nilai murni tradisional yang diamalkan mereka sejak zaman-berzaman. Hal ini diutarakan Agan Jeluan dengan meluahkan kerisauannya terhadap sikap segelintir kaum Penan yang menerima untuk tinggal di rumah panjang. Pengaruh Barat yang mendominasi kehidupan mereka telah menghakis nilai tradisi mereka. Sikap saling membantu dan prihatin dalam kehidupan masyarakat semakin terpinggir. Meskipun mempunyai sistem perumahan yang teratur, kehidupan mereka umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Masalah pekerjaan juga menjadi faktor utama kerana kaum Penan yang hanya arif berburu di hutan tidak betah untuk melakukan aktiviti bercucuk tanam walaupun telah diberikan tanah oleh pihak berkuasa. 

Mereka yang digambarkan di dalam novel ini tidaklah menolak pembangunan dan pemodenan secara mutlak. Hal ini dapat dilihat daripada penerimaan mereka terhadap rawatan perbuatan yang disediakan Dr. Chua juga insiden Sayak yang terpaksa diterbangkan ke hospital di Kuching setelah diserang penyakit batuk kering. Namun demikian, penduduk ini menerusi Agan Jeluan tetap menganggap bahawa belantara itu sebagai rumah yang menjanjikan kedamaian dan ketenangan. Dua aspek itu menjadi erti merdeka bagi mereka. Tambahan pula, pengalaman pahit diperdaya oleh NGO seperti Bruno Manser menjadikan kaum ini fobia untuk menerima pertolongan orang luar yang pada hakikatnya cuba menceroboh kedamaian dan kerukunan hidup orang Penan demi kepentingan pihak tertentu.


Watak utama dalam novel ini dipegang oleh Saya (Rosli) yang menjadi narator kepada perjalanan cerita. Sepanjang sebulan mengetuai ekspedisi di perkampungan sementara kaum Penan, perasaan Saya diuji apabila bertemu dengan Busak Elon, menantu kepada Agan Jeluan dan isteri kepada Gerawat. Pertemuan Busak dan Saya menjadi subplot kepada perjalanan cerita ini. Klimaks novel ini dapat dilihat apabila tiga orang pekerja Syarikat Balak Tony Yap ditangkap Seliman. Bagi menyelesaikan perselisihan faham, Tony Yap memberi wang RM 20 ribu kepada Agan Jeluan bagi menebus tiga pekerja yang melakukan pembalakan di kawasan perkuburan nenek moyang kaum Penan.

Agihan wang tersebut kepada 20 buah keluarga telah menyebabkan berlakunya transformasi pemikiran penduduk terhadap kemajuan hidup. Hal ini dapat dilihat apabila Seliman yang pada awalnya turut menentang pemodenan akhirnya pergi ke Kuala Lumpur dengan wang agihan Agan Jeluan. Pemergian tersebut bertujuan memajukan diri dan berusaha untuk bekerja bagi mengeluarkan diri daripada belenggu kemiskinan. Hal yang sama berlaku kepada Busak yang akhirnya mengikut Saya pulang ke Kuala Lumpur sekali gus meninggalkan Gerawat demi mencari kehidupan yang lebih bermakna dan meraikan makna merdeka bagi Busak; terlepas daripada penjajahan fizikal dan mental. 

Walau bagaimanapun, penceritaan yang agak mendatar dengan klimaks yang tidak mengujakan memberi sedikit kelemahan pada karya di samping perwatakan Saya sebagai watak utama yang selalu goyah dipengaruhi emosi. Malah, terdapat juga logik mengenai fakta kehidupan nomad masyarakat Penan dan kehidupan masyarakat Penan yang masih boleh dipertikaikan, begitu juga dengan kemunculan Busak dalam dunia mimpi dan magis Saya. Novel yang mencitrakan budaya hidup kaum Penan ini berguna sebagai perkenalan awal dengan kehidupan kaum minoriti di Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan