Isnin, 24 Disember 2012

SENI SILAT MELAYU


SEKIRANYA kaum Cina terkenal dengan seni mempertahankan diri kung fu, bangsa Melayu sinonim dengan seni silat yang wujud sejak zaman-berzaman. Hal ini dapat dilihat menerusi kemasukan elemen-elemen silat dalam sastera Melayu klasik. Menyedari peri penting melestarikan seni silat dalam budaya Melayu, buku Seni Silat Melayu dihasilkan agar masyarakat Melayu khususnya generasi muda tidak lupa akan kewujudan seni tradisi ini.

Dengan 188 halaman, buku ini mempunyai lima bab yang membincangkan aspek-aspek penting dalam usaha mengenali seni silat Melayu. Bagi memudahkan rujukan pembaca, buku ini dilengkapi peta, gambar rajah dan fotograf berserta senarai. Buku ini dimulakan dengan Bab 1 Pendahuluan yang memperkenalkan silat sebagai ilmu peperangan yang diamalkan oleh orang Melayu sejak zaman dahulu. Selain berperanan sebagai alat mempertahankan diri, seni silat ialah medium yang berkesan bagi memupuk  semangat kebangsaan dan mengukuhkan jati diri Melayu pengamalnya. Seni silat melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan sarat nilai murni berdasarkan falsafah silat yang dipelajari. Kuda-kuda, hambat, kiat, kedu, bersagang, elak dan gelek pula ialah istilah-istilah dalam ilmu persilatan yang memperkasa bahasa Melayu. 

Sementara itu, Bab 2 Seni Silat Melayu pada Zaman Tradisi, memerihalkan ciri-ciri zaman tradisi yang berhubung aspek seni silat serta ketenteraan Melayu. Menerusi pemerhatian terhadap karya klasik seperti Tuhfat al-Nafis, kewujudan seni silat dilihat menjadi teknik dan strategi utama peperangan selain penggunaan meriam dan istinggar. Seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa Melayu ini pada awalnya berfungsi untuk menentang musuh dalam peperangan. Amalan kebatinan melengkapkan ilmu persilatan setiap pengamal. Selain usaha fizikal pesilat, amalan kerohanian ialah usaha pengamal untuk mendapatkan pertolongan alam ghaib. Amalan kebatinan ini dianggap sebagai pelengkap kepada teknik fizikal yang dipelajari. Walau bagaimanapun, kedatangan Islam ke alam Melayu telah memurnikan ilmu kebatinan dengan Islam. Proses ini melibatkan penyesuaian antara ilmu kebatinan yang sedia ada dengan kehendak Islam.

Hubungan seni silat dengan teks sastera Melayu klasik ibarat aur dengan tebing. Bab 3 Seni Silat dalam Teks Kesusasteraan Melayu Klasik memperincikan hubungan tersebut. Menurut penulis yang membesar dalam dunia persilatan, jurus silat ialah aspek yang penting dalam seni silat Melayu. Jurus silat merupakan pergerakan serang, bela dan langkah silat yang dilakukan oleh pesilat secara persendirian. Hal ini dilakukan bagi melatih kemahiran dan membentuk kecergasan fizikal dalam mempertahankan diri. Teks Melayu klasik banyak menggambarkan latihan jurus silat dilakukan dengan menggunakan senjata. Dalam Hikayat Hang Tuah, muncul beberapa adegan yang melibatkan pahlawan-pahlawan berlatih jurus silat sebagai persiapan menghadapi perlawanan. Pertarungan silat Melayu terbahagi kepada beberapa bentuk. Perlawanan silat tanpa senjata seperti dalam Sulalatus Salatin diperlihatkan melalui watak Badang atau perlawanan silat bersenjata seperti yang dilakukan Hang Tuah ketika berdepan dengan perajurit Jawa.


Dalam dunia moden, seni silat Melayu berkembang  hingga ke peringkat antarabangsa. Bab 4 Seni Silat Melayu pada Zaman Moden memperincikan perkembangan seni silat di Malaysia. Seni silat Melayu turut berkembang di alam Barat seperti Seni Gayung Fatani Malaysia yang dilatih oleh jurusilat tempatan iaitu Eduard Linhart. Seni Gayung Fatani Malaysia pula ialah aliran Seni Silat Melayu tertua di Tanah Melayu. Seni silat ini mempunyai aneka sifat Seni Silat Melayu seperti muzik tradisi, teknik bela diri yang lengkap dan ilmu kebatinan yang merangkumi tradisi kepercayaan seperti animisme, Hindu, Buddha dan Islam.

Khamis, 20 Disember 2012

KASIH SI IBU KUCING

FOTO ini saya ambil pada satu malam, dua minggu yang lalu di kaki lima sebuah kedai. Anak-anak kucing itu saya anggarkan dalam usia dua bulan setengah. Alhamdulillah, lima ekor anaknya sihat. Bagi seekor kucing jalanan, membesarkan lima ekor anak (seekor lagi berbulu coklat di luar bingkai gambar) bukan mudah berdasarkan pemerhatian saya selama ini. 


Saya senyum lebar melihat keluarga ini. Segera saya ambil bekas biskut lalu diberikan satu sudu kepada sang ibu. Menariknya, sang ibu itu langsung tidak mahu bangun walaupun dia begitu mahu menikmati biskut kucing perasa ikan kembung itu. Sang ibu tidak mahu menganggu keselesaan anak-anaknya yang raghib menyusu. 

Begitulah kasih seekor ibu kucing. Makhluk ciptaan Allah yang tidak diberikan akal tetapi kaya dengan naluri dan perasaan. Situasi ini mengingatkan saya pada kucing induk saya Mimi yang pernah menggonggong pulang sebungkus beg plastik berisi pisang goreng dan keropok (entah dari mana dia dapat) lalu diletakkan di depan sangkar anak-anaknya. Sambil memandang anak-anaknya dan bungkusan itu, dia mengiau. Barangkali dia memberitahu "Ibu ada bawa makanan ni, makanlah". Dua hari lepas pula, saya melihat seekor ibu kucing jalanan menggonggong ikan mentah. Dua meter dari jarak ibu kucing itu berjalan sambil ikan di mulut, ada seekor anaknya dalam usia tiga bulan mendekatinya. Pergerakan tubuh ibu kucing yang tegak menggonggong ikan menuju anaknya yang menunggu di satu sudut saya rakam dengan jelas di dalam fikiran. Subhanallah. Pengajaran yang baik daripada Allah bagi mereka yang mahu berfikir.

Foto di atas ini pula saya ambil di sebuah pasar raya di Selayang, juga pada satu malam sebulan yang lalu. Anak kucing itu sangat mantap badannya. Barangkali itu satu-satunya anak yang dapat dibesarkan dengan baik. Ketika mereka makan, datang seekor kucing jantan berwarna hitam mahu mengambil makanan anak kucing itu. Sang ibu bukan main marah lalu mengejar dan menerkam kucing jantan itu yang lari ketakutan. Kata arwah emak kepada saya, kucing betina yang ada anak memang garang, mahu melindungi anak-anaknya. Subhanallah. Setiap kali saya ke pasar raya itu untuk memberi bahan keperluan dapur, saya selalu tercari-cari dua beranak ini. Sayangnya, saya tidak pernah temui mereka lagi sejak malam itu, dua bulan yang lalu. Semoga mereka selamat dan sentiasa dalam perlindungan Allah. Amin Ya Latif.


Selasa, 18 Disember 2012

TAJDIDKAN KESUSASTERAAN MELAYU

TAJDIDKAN kesusasteraan Melayu ialah perkara yang ingin disampaikan penulis menerusi buku setebal 105 halaman ini. Penulis dengan hujahnya mengenal pasti kesusasteraan Melayu moden telah kehilangan paksi apabila diresapi idea-idea sekular daripada Barat. Pengalihan paksi daripada Islam kepada sekular Barat berlaku apabila masyarakat dan dunia sastera moden menerima dan merelakan pemikiran dan nilai tradisional dipengaruhi oleh Barat yang tidak bertunjangkan agama dan tauhid.

Tradisi sastera Melayu tradisional yang kuat berpegang kepada unsur kerohanian telah diruntuhkan (seperti yang diakui Braginsky) oleh penggiat-penggiat sastera Moden yang mengagumi dan lebih mengenali pelopor dan sastera Barat. Hal ini menjadikan kebanyakan karya yang dihasilkan tidak memberi pencerahan kepada pembaca untuk membuat keputusan secara objektif mengenai sesuatu yang benar (hak) dan yang tidak benar (batil). Bagi menjernihkan pemahaman pembaca, buku ini dimulakan dengan pendahuluan yang diberi judul Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Bab ini membincangkan konsep sastera Islam yang telah 'dibunuh' oleh sastera sekular setelah diterima baik oleh kebanyakan penggiat sastera.



Dalam hal ini, penulis atas rasa tanggungjawab berusaha memperlihatkan kekeliruan penggiat sastera dalam menghasilkan karya yang disebut sebagai 'sastera Islam' walhal dari aspek isinya jauh menyimpang daripada konsep tauhid yang sebenar iaitu kepercayaan kepada Allah dengan mengakui tanggungjawab manusia sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya di muka bumi. Kekeliruan oleh segelintir penulis mengenai konsep sastera Islam yang sebenar menjelmakan karya-karya yang hanya meletakkan hadis, ayat Al-Quran dan imej-imej Islam secara sambil lewa tanpa penghujahan yang mantap dan benar. Tindakan ini dianalogikan penulis sebagai manusia Melayu yang berpakaian Barat tetapi mengenakan ketayap  atau serban besar di kepala (3:1992). Tindakan ini memperlihatkan cubaan individu yang menjadikan Barat sebagai paksi penulisannya tetapi berusaha melindungi perkara tersebut dengan tempelan-tempelan bernuansa Islam yang diberikan secara superfisial.


Seterusnya, buku ini membincangkan pendekatan tauhid dalam pendidikan estetika iaitu ganti nama bagi pendidikan sastera yang digunakan kini, tetapi tidak berlunaskan konsep tauhid. Dalam bahagian ini, penulis menjelaskan pendidikan estetika sebagai pendidikan adab yang merangkumi aspek kehidupan manusia (Rohani, Jasmani, Akal) yang akan membentuk insan kamil iaitu insan yang kenal hakikat kewujudannya dan peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Bahagian ini turut menjustifikasikan keindahan sastera berdasarkan konsep keindahan dan makna yang disebut sebagai estetis-intelektual (1992:11). Konsep ini terbina berdasarkan pandangan dunia (world-view) tauhid. Berdasarkan pandangan ini, penulis memperincikan kepentingan manusia untuk mengenal batas akal dan peranan akal untuk mengenal Tuhan dan hakikat insan. Dalam hal ini juga, pendidikan estetik yang ditekankan penulis bermatlamat menjadikan pembaca dan penikmat karya lebih dekat kepada Pencipta sekali gus menjadi manusia yang baik dan bertakwa (1992:12).

Dari aspek penulisan, bab ini menerangkan makna kalam yang disebut Allah menerusi surah Al-Alaq (berdasarkan tafsiran Muhammad Asad)  sebagai pena dan alat dalam persuratan. Al Quran dikenal pasti telah memberi panduan yang lengkap tentang peranan penulis dan kaedah persuratan dalam Islam (1992:13). Antara perkara penting yang diketengahkan penulis dalam bab ini juga ialah pengertian mengenai konsep didaktik dan propaganda dari perspektif Islam. Menurut Mohd. Affandi Hassan, kesusasteraan seperti yang diperlihatkan Al-Quran (kisah Qarun, Nabi Hidzir dan Nabi Musa, Nabi Yaakub, Nabi Ibrahim) bersifat didaktik iaitu menggambarkan sesuatu yang benar, indah, harmonis, sempurna dan paling utama - menjadikan manusia lebih mengenal hakikat diri dan Pencipta. Kisah Qarun pula dijadikan contoh penggunaan style yang berbeza dengan propaganda yang sering digunakan kebanyakan penulis bagi menyampaikan amanat.

Sementara itu, peranan penulis menurut Al-Quran dijelaskan berdasarkan pandangan yang ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi. Dalam hal ini, kesusasteraan yang terikat dengan konsep tauhid dapat melahirkan penulis yang beradab, beriman dan beramal soleh (1992:13).

Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal, Hakikat dan Fungsi Sastera

Manusia ialah ciptaan Allah dengan peranan tertentu. Manusia perlu menyedari akan perjanjian di alam roh antara diri dengan Allah (primordial contract) iaitu manusia berjanji untuk menyembah Allah SWT. Dengan memahami hakikat insan dan perjanjian ini, pendidikan estetik bertujuan menjaga fitrah manusia melalui iman, ilmu dan amal agar kembali pada masa yang ditentukan dalam keadaan yang sama iaitu fitrah  (1992:15). Dalam masa yang sama, penulis menghuraikan konsep kewujudan syaitan dan peranannya untuk mempengaruhi manusia agar lupa terhadap tugas utamanya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sifat lupa manusia ini akan menjadikan manusia melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah.

Manakala, hakikat ilmu secara ringkasnya ialah pemahaman manusia bahawa ilmu yang benar ialah ilmu yang berdasarkan iman dan Allah sebagai sumber ilmu utama yang diterima oleh hati untuk dianalisis dan ditafsirkan akal (1992:20). Tiga pokok ilmu yang perlu dikuasai insan ialah wahyu, akal dan pengalaman. Akal memerlukan wahyu sebagai panduan agar tidak tersalah dalam membuat penilaian. Implikasi aplikasi ilmu yang benar akan membawa insan melakukan amal soleh (ibadah) dalam aneka bentuk. Jelas, hakikat ini menuntut setiap tindakan manusia berdasarkan ilmu yang benar.

Sementara itu, hakikat dan fungsi sastera yang menjadi antara teras teori ini melihat kesusasteraan daripada pandangan Islam sebagai sebahagian daripada amal manusia. Amal ini terhasil daripada kreativiti (bakat sebagai amanah Allah) dengan keindahan bahasa untuk menjadikan manusia lebih faham hakikat insan, ilmu dan amal. Hal ini berbalik pada persoalan keindahan dan makna yang menggandingkan ilmu yang benar dan amal. Perkara ini berbeza dengan tradisi sastera Barat yang menjadikan keseronokan dan hiburan sebagai matlamat sastera melalui konsep memesis. Sekiranya hakikat tauhid yang mendasari Islam meletakkan matlamat menyembah Allah sebagai matlamat pengkarya yang kenal tiga hakikat tersebut; konsep sastera Barat pula menjadikan nafsu (keseronokan, hiburan) sebagai matlamat. Walau bagaimanapun, sastera Islam tidak menolak secara mutlak elemen mimesis dan fungsionaliti seperti yang diterima sepenuhnya oleh sastera Barat. Namun, sastera Islam hanya menggunakan dua elemen tersebut sebagai alat untuk menyampaikan perutusan.

Selain membentangkan gagasan mengenai estetik dalam pengertian tauhid menerusi Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera, penulis turut memberikan cadangan mengenai kaedah pengajaran sastera (estetik) menerusi Kaedah Bersepadu Lima Tangga (KIBLAT). Kaedah-kaedah yang dimaksudkan ialah membaca, memahami, mentafsir, menikmati dan mengarang. Matlamat akhir KIBLAT adalah untuk menjadikan pelajar sastera mahir dalam membezakan antara yang baik dan yang buruk berasaskan kriteria yang sah, tepat dengan pandangan dunia Islam (world-view) (1992:47).

Mohd. Affandi Hassan
Selain itu, penulis turut memperkenalkan Espen sebagai satu genre sastera Islam. Espen terhasil daripada gabungan bentuk esei dan cerpen. Walau bagaimanapun, espen mementingkan isu, ilmu yang ditampilkan. Dalam masa yang sama, espen turut meniktikberatkan teknik penulisan kreatif yang mantap. Hal ini sejajar dengan matlamat espen iaitu menyatakan kebenaran yang sesuai dengan konsep Islam. Bagi espen, isi karya genre ini sewajarnya mencerminkan hakikat kejadian insan berasaskan ajaran wahyu (1992:84). Penghasilan espen berdasarkan konsepnya yang tersendiri dapat menghindarkan penulis daripada dibuai nafsu dan jiwa yang sesat yang secara tidak langsung menolak kebenaran hakikat insan seperti yang diajarkan Islam. Di samping itu, kesan utama yang ingin ditimbulkan espen ialah kesan intelektual. Meskipun mementingkan isu, espen bukanlah genre yang menjurus pada bentuk yang kompleks dan ilmiah seperti dalam sebuah esei ilmiah sebaliknya berada di tahap pertengahan. Di sinilah peranan keindahan (struktur, bahasa, teknik) penulisan kreatif yang mantap oleh pengarang berupaya menjadi alat dalam menyampaikan makan (amanat, mesej, isu) dengan cemerlang (1992:86). Espen pertama yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi genre sastera Islam ini ialah "Kesan Dari Suatu Majlis Forum" yang tersiar dalam Dewan Sastera, September 1989.

Intihanya, kegawatan dunia kesusasteraan tempatan yang semakin berkiblatkan sastera sekular wajar diberi perhatian oleh semua penggiat dan pemerhati sastera. Oleh yang demikian, seruan kembali kepada tradisi persuratan Melayu tradisional yang amat dekat dengan Islam wajar diberi perhatian dan keutamaan. Sekiranya kegawatan ini terus dibiarkan, maka tidak mustahil generasi akan datang akan terus berbangga dan mewarisi tradisi sastera sekular tanpa langsung mengenal tradisi persuratan Islam yang hakiki. Sesungguhnya, tradisi persuratan Islam telah wujud lebih awal dan lebih maju daripada Barat (seperti yang dijelaskan Prof. Syed Naquib Al Attas). Maka, pengkarya khususnya pengkarya Muslim wajar menyedari dan menyegarkan semula ingatan mengenai hakikat-hakikat ini agar setiap karya yang dihasilkan tidak bersifat sia-sia.

Rabu, 12 Disember 2012

KEHIDUPAN MELAYU CAPE DI AFRIKA SELATAN


BANGSA Melayu bukan wujud dalam lingkungan geografi Nusantara semata-mata. Bangsa Melayu Cape di Afrika Selatan wujud apabila berlaku penghijrahan pada awal kurun ke-17 hingga kurun ke-18. Penghijrahan tersebut melibatkan ulama dan buangan politik. Golongan ini memberi pengaruh dan sumbangan besar terhadap perkembangan bangsa Melayu dan Islam di Afrika Selatan.
Buku setebal 257 halaman ini lengkap dengan foto berwarna dengan enam bab. Dalam usaha mendekatkan khalayak dengan sejarah bangsa Melayu, penulis dan pengkaji telah memperkenalkan sejarah awal kedatangan bangsa Melayu di Afrika Selatan menerusi Bab 1 Sejarah Awal. Syeikh Yusuf dari Makasar yang terkenal sebagai golongan bangsawan adalah antara buangan politik terawal ke Afrika Selatan ketika kurun ke-16. Ketibaan Syeikh Yusuf di Kaap (Cape) telah memberi peluang untuk beliau membina komuniti Islam pertama di Afrika Selatan. Bab ini turut membincangkan polemik Panglima Awang sebagai manusia pertama mengelilingi dunia menerusi novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid. Perjalanan Ibrahim Betawi sebagai orang Melayu pertama di bumi Afrika turut diketengahkan bagi pengetahuan pembaca.
Bab 2 Penghijrahan dan Perkembangan Islam mengetengahkan sejarah penghijrahan buangan politik ke Tanjung Harapan. Antara buangan politik tersebut ialah Syeikh Yusuf, Loring Passir, Dipa Nagara dan Raja Ahmad (Ternate). Sementara itu, golongan hamba ialah kumpulan manusia yang dibawa dari Afrika, India dan Kepulauan Melayu. Antara tahun 1653 hingga 1753, sebanyak 1000 orang banduan dianggarkan telah dibawa dari Kepulauan Melayu ke Tanjung Harapan. Golongan hamba ini terikat kepada tuannya. Kebebasan mereka berinteraksi dalam komuniti amat terhad hinggalah mencapai kebebasan menyeluruh pada awal kurun ke-19.
Perbincangan mengenai pendudukan dan pendidikan di Bo-Kaap muncul dalam  Bab 3 Malay Quarters Komuniti Melayu di Bo-Kaap. Berdasarkan kajian, panggilan Bo-Kaap merujuk kawasan luas yang lazimnya mencakupi  keseluruhan komuniti termasuklah penduduk kulit berwarna yang lain dan India Muslim. Keunikan Malay Quarters dan Bo-Kaap dikaitkan dengan kedudukan bandar raya Cape Town sendiri. Dianggarkan, sebanyak 9000 (90%) daripada jumlah keseluruhan penduduk Cape Town beragama Islam. Keistimewaan Bo-Kaap atau Malay Quarters juga terletak pada jumlah besar taburan masjid dalam jarak yang dekat. Dari aspek pendidikan, masyarakat Bo-Kaap mengalami kesulitan apabila perlu menguasai bahasa Afrikaans dengan baik.
Isu mengenai keramat dan orang Melayu di Cape Town dibincangkan dalam Bab 4 Makam Keramat. Dalam bab ini, makam keramat dikenal pasti sebagai warisan sejarah orang Melayu di Cape Town. Walau bagaimanapun, amalan makam keramat tidak lagi ketara pada hari ini. Dari segi politik, orang Melayu di Cape Town wujud sebagai kelompok minoriti tetapi ditindas sama ada melalui sistem perhambaan mahupun di bawah dasar Aparteid.
Perihal jati diri Islam yang dibincangkan dalam Bab 5 Budaya dan Jati Diri mendapati wujud konflik yang membantut perkembangannya. Di Cape Town, komuniti Islam yang baharu tidak lagi menggunakan bahasa Melayu atau Afrikaans. Golongan ini memilih bahasa Urdu sebagai bahasa asal mereka. Peristiwa perselisihan faham antara Imam Talabudien dengan jemaah di situ telah memunculkan etnik baharu dalam komuniti Islam di Cape Town iaitu India. Kemunculan etnik baharu ini menimbulkan pula isu baharu mengenai kesinoniman Islam dengan Melayu.
Bab 6 Mobiliti Sosial dan Tokoh Melayu Cemerlang memperkenalkan beberapa tokoh ulama dan pejuang dalam perkembangan sejarah bangsa Melayu di Cape Town. Selain Syeikh Yusuf Makasar, Imam Abdullah Ibnu Kadi Abdus Salaam ialah penyambung gagasan Syeikh Yusuf Makasar dalam menyebarkan Islam di Afrika. Setelah menjalani hukuman penjara di Afrika Selatan, Imam Abdullah dibenarkan tinggal di tanah besar di sekitar bandar Cape Town sebagai rakyat biasa. Peluang ini digunakan oleh Imam Abdullah sebagai landasan untuk menyebarkan dakwah Islam. Antara tokoh dan ulama lain yang dibincangkan dalam bab ini ialah Imam Haji Abdullah Haroun, Achmat Affendi dan Dr. Abdullah Abdurrahman.
Perbincangan mendalam mengenai Melayu di Cape Town membuka ruang fikir pembaca untuk mengenal lebih mendalam susur galur bangsa Melayu yang terdapat Afrika dan di seluruh dunia. Buku ini bermanfaat untuk khalayak pembaca yang berusaha mengenal jati diri bangsanya.

Selasa, 11 Disember 2012

UNTUKMU IBU


LEWAT petang semalam, saya mendapat panggilan telefon daripada Haji Malim. Saya sendiri tidak berapa ingat akan gerangan pemanggil itu. Barangkali kerana hanya bertemu sekali sahaja pada dua bulan lepas, pada waktu malam, maka wajah dan nama Haji itu pun tidak saya ingat jelas. Kata Haji Malim, individu yang bertanggungjawab melaksanakan haji badal untuk arwah emak sudah kembali ke Malaysia. Jadi, Haji Malim ingin berikan saya cenderahati dan sijil.

Oh, baru saya ingat. Emak meninggalkan saya buat selama-lamanya pada 19 Mei 2012. Hampir tiga bulan sebelum Ramadan. Alhamdulillah, haji badal untuk emak sudah dilaksanakan. Semoga pahalanya sampai kepada emak.

Panggilan Haji Malim mengingatkan saya pada aneka harapan dan cita-cita untuk emak. Antara impian saya adalah untuk membawa emak menunaikan haji dan saya berusaha untuk itu. Saya begitu pasti bahawa impian itu akan dapat saya laksanakan. Emak selalu berkata, "Rasanya tak sempat dik". Tapi, saya akan jawab "Sempatlah. Kita pergi sama." Betapa takbur saya sebagai hamba-Nya. Saya lupa, di sebalik perancangan yang saya atur untuk hidup saya, Allah yang Maha Kuasa dan Pentadbir semesta itu juga mempunyai takdir dan perancangan untuk saya dan emak.

Keangkuhan saya itu Allah tegur apabila Dia mengambil emak dalam keadaan yang tidak diduga. Manusia bukan tidak boleh merancang tetapi rancangan itu tetap perlu berpaksikan pada sifat kehambaan terhadap Allah SWT. Ikhtiar dan doa yang berterusan agar segala perancangan mendapat berkat dan reda Allah itu perlu. Sejak itu, saya semakin berhati-hati dalam mengatur rancangan. Segala yang saya rancangkan perlu saya kembalikan kepada Allah sebagai penentunya. Dengan kesedaran ini, saya tidak lagi membentuk kepastian daripada akal fikir seorang manusia tetapi sebagai, hamba.

Terlalu banyak rancangan dan impian yang ingin saya tunaikan untuk emak sudah terkubur bersama jasad emak. Akan tetapi, pengajaran yang saya dapat ini akan saya guna untuk sepanjang usia yang Allah tentukan untuk saya. Sungguh, pemergian emak bererti hilangnya doa seorang emak yang pernah saya diami rahimnya untuk saya. Satu kehilangan yang amat saya rasai. Semoga, Allah memakbulkan doa-doa emak untuk saya selama hayat emak. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Al Fatihah.

Untukmu Ibu (Exist)
Oh ibu
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian

Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat kulayarkan
Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati

Kutatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih-kekasihMu

Oh ibu
Kau kasih sejati
Kutaburkan doa
Untukmu ibu

Ampunilah dosaku
Sejak kudilahirkan
Hingga akhir hayatmu

Saat ini
Kuteruskan hidup
Tanpa bersamamu ibu

Ahad, 9 Disember 2012

IMEJ PELACUR DALAM MEDIA

LAPORAN AKHBAR Kosmo bertarikh 7 Disember 2012 mengenai sepasang kembar tua yang memilih pelacur sebagai kerjaya 'profesional' bagi mereka raghib bermain dalam kotak fikir saya. Bukan tentang kisah mereka yang melacurkan diri sejak awal remaja itu yang menganggu fikir saya. Akan tetapi, kesan daripada laporan akhbar itu pada pembaca yang berbeza. Bagaimana agaknya?

Di sini saya turunkan laporan mengenai 'pelacur berkembar' :

AMSTERDAM - Sepasang kembar berusia 70 tahun di Belanda, Martine dan Louise Fokkens masih menjadi pelacur sejak beberapa dekad lalu. Kini, bergelar moyang, adik-beradik kembar itu memperdagangkan tubuh mereka di Wallen iaitu kawasan lampu merah terkenal di sini sejak 1960-an. 

Martine dan Louises melonjak popular pada tahun lalu apabila filem biografi mereka, Ouwehoeren mendapat pujian pada Festival Dokumentari Antarabangsa di sini.  Sepanjang lima dekad menjual tubuh, adik-beradik kembar itu berkata, mereka arif tentang selok-belok dunia pelacuran dan tiada apa yang dapat mengejutkan mereka. "Lelaki yang tidur bersama kami pula terlalu ramai sehingga tidak terkira jumlahnya," kata Louise kepada agensi berita AFP.

Pada awal Oktober lalu, pasangan kembar itu menjadi tetamu tetap program televisyen mengenai seks dan dadah. Spuiten en Slikken untuk menjawab soalan-soalan sukar tentang masalah seksual.

"Saya melihat mereka di televsiyen. Mereka hebat," kata seorang peminat yang dikenali sebagai Booji.

"Mereka dapat menjawab soalan-soalan yang sukar dijelaskan oleh lbu bapa," tambahnya.

Pasangan kembar itu tidak menyangka ramai orang yang tertarik dengan penerangan dan nasihat mereka tentang cinta. Ditanya sama ada terdapat penyesalan dalam diri mereka, Martine dan Louise memberitahu, "Tiada apa yang kami kesalkan kecuali kawasan pelacuran kini telah berubah."

"Kini tiada lagi maruah dalam bidang ini," kata Louise.

"Sekarang pelacur berpakaian hampir telanjang. Mereka menjual dan mengambil dadah. Semuanya tentang duit. Pelacur yang menghormati diri sendiri tidak akan mengambil dadah," jelas wanita warga emas itu.

"Pada masa dahulu, pelacur mengambil berat antara satu sama lain. Kini tidak lagi, kemanusiaan sudah tiada di daerah 'lampu merah',"jelasnya.

Jika diteliti, laporan akhbar ini ada menggunakan kata dan frasa seperti  "ramai orang tertarik", "mereka hebat", "pujian". Frasa-frasa dan perkataan ini memperlihatkan dunia mengiktiraf kerjaya pelacur. Kerja ini tidak lagi dipandang hina malah semakin diterima sehingga mendapat tempat diuntuk difilemkan dan diberi anugerah. Paling aneh apabila anak-anak remaja menjadikan mereka sebagai idola dan teladan dalam perihal cinta dan seksual. Barat jelas menerima kerjaya persundalan ini dengan baik. Namun demikian, tidak bagi Islam yang begitu menjaga maruah wanita dan susur keturunan manusia. Perkahwinan ialah jalan ibadah yang indah untuk melahirkan umat Muhammad yang beriman dan bertakwa.

Laporan akhbar ini mengingatkan saya dengan novel Salina dan Langit Petang yang saya baca empat tahun lalu (dengan pencerahan terkini), cerpen Rumah Kedai Jalan Seladang karya A. Samad Ismail (cerpen ini telah diadaptasi ke drama televisyen oleh Johan Jaafar) mengenai dunia pelacur di Jalan Seladang, dan drama bukan realisme karya pelopor drama absurd Barat iaitu Bertolt Brecht yang berjudul A Good Women from Setchuan tetapi diterjemahkan Solehah Ishak ke dalam Bahasa Melayu dengan judul Perempuan dari Setcuan

A Good Women from Setchuan mengisahkan watak pelacur yang membantu tiga dewa yang turun dari kayangan. Tiga dewa tersebut turun ke bumi untuk membuat tinjauan mengenai kemanusiaan yang semakin terhakis dalam kalangan manusia. Apabila turun ke bumi, tiada seorang manusia pun yang sudi memberi tiga dewa tempat untuk bermalam. Walau bagaimanapun, hanya watak pelacur itu saja yang sudi memberi tiga dewa bermalam walaupun dalam masa yang sama pelacur itu berdepan dengan aneka masalah (kekangan kewangan, pelanggan yang kasar, tuan rumah yang jahat). Disebabkan kebaikan pelacur itu, tiga dewa membuat keputusan untuk tidak memusnahkan bumi kerana pelacur telah memberi contoh yang baik (masih ada sifat baik dalam diri manusia yang jahat). 

Novel, cerpen dan drama serta laporan akhbar mengenai kisah hidup pelacur ini memberi pengakhiran yang menuntut pembaca menilai dan membuat pertimbangan kebalikan terhadap karya-karya itu iaitu pelacur walaupun, jahat tetapi baik. Kebalikan ini dituntut kepada pembaca agar membuat justifikasi tanpa panduan yang sebenarnya boleh membawa kepada hasil yang tidak adil. Adalah lebih baik jika laporan akhbar tempatan itu membuat penambahan agar pembaca khususnya golongan remaja tidak menerima laporan itu sebagai sesuatu yang baik dan boleh diterima akal sekali gus memperakui kerjaya tersebut seperti yang berlaku di Barat. Perkara ini nampak kecil, tetapi BESAR dalam pembinaan sahsiah generasi muda. Dalam kegawatan sahsiah manusia kini, yang benar itu perlu diperlihatkan benar. Percampuran kod (benar-salah-benar-salah) yang cacamarba hanya akan menyulitkan proses enkod dan dekod untuk menghasilkan keputusan yang wajar dan benar.

Sesuatu yang perlu direnungkan.

wallahua'alam.

Sabtu, 8 Disember 2012

MENCARI JALAN BENAR : ANTARA DUA JALAN

MASA tidak pernah menunggu manusia. Satu ungkapan yang klise tetapi ada benarnya. Dalam sedar, sudah hampir empat kembara saya dalam dunia ilmu. Dalam tempoh ini, pastinya banyak perkara dan pengalaman baharu yang saya lalui. Ada pengalaman yang berulang. Ada pengalaman yang menuntut akal fikir untuk dianalisis dan dipertimbangkan untuk perjalanan hidup yang seterusnya. Ada satu pengalaman menarik yang sangat kuat dalam fikir dan emosi saya setelah sebulan tempoh pengalaman yang saya maksudkan ini berlaku.

Saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi pada awal September tahun ini. Kuliah pertama saya bermula pada Khamis, 20 September 2012 pada jam lima petang. Dua minggu sebelum sesi kuliah pertama itu, ada beberapa kali  (tiga kali) saya ke kampus atas urusan pendaftaran. Ketiga-tiga kali itu merupakan pengalaman awal saya menempuh perjalanan (fizikal) yang jauh iaitu dari Selayang ke Serdang dan dari Serdang ke Selayang. Empat puluh minit diperlukan untuk saya pergi dan balik dari kedua-dua tempat, perkara yang amat membimbangkan arwah emak apabila saya maklumkan kepada emak akan keputusan saya untuk menyambung pengajian. Walau bagaimanapun, saya membazirkan masa yang banyak kerana sering melalui jalan yang salah, ketika itu.

Untuk ketiga-tiga kali itu, saya benar-benar berpandukan papan tanda jalan semata-mata. Hal ini disebabkan saya tidak pernah ke kawasan berdekatan kampus sebelum ini. Saya mencabar diri saya. “Saya tidak akan sesat di daerah sendiri (Kuala Lumpur/Selangor/pinggir bandar)”. Saya amat yakin dengan papan tanda jalan (penunjuk jalan?) Saya yakin amat, berpandukan papan tanda jalan (penunjuk jalan?), saya tetap akan sampai ke destinasi.Betapa angkuhnya saya dengan mitos ini.

Ya, memang setiap kali saya mengambil jalan yang salah – saya tetap akan sampai ke destinasi saya iaitu sama ada kampus atau rumah. Akan tetapi, saya mengambil masa dan tenaga yang lebih daripada sepatutnya. Dari Serdang, saya mengikut papan tanda jalan Pusat Bandaraya hingga saya keluar di Jalan Sultan Ismail, KLCC, Bukit Bintang dan segala kawasan yang amat jarang dan ada juga yang tidak pernah saya lalui. Pengalaman yang menarik dan agak memalukan apabila saya yang menunggang skuter salah lorong disebabkan papan tanda jalan langsung masuk ke dalam terowong SMART (Pintar?). Betapa panjangnya terowong itu dan khuatirnya saya apabila saya sedar bahawa saya salah kerana melalui terowong itu. Saya resah dan gelisah. Berkira-kira hujung terowong itu yang terasa begitu jauh untuk saya sampai kepadanya. Satu kelegaan dan hamdallah saya lafazkan apabila saya keluar dari terowong itu (Jalan Sultan Ismail). Banyak lagi laluan yang amat asing dan menjauhkan saya daripada destinasi semata-mata kerana berpandukan papan tanda jalan yang tidak menentu dan berfokus.

Namun demikian, pengalaman paling manis tetapi menyedihkan saya ketika pengalaman itu dilalui adalah pada sesi pertama kuliah saya iaitu Khamis, 20 September. Saya yang tidak suka lewat telah bergerak tiga jam lebih awal daripada masa kuliah. Saya cuba mengguna jalan yang lain tetapi menunjuk nama UPM, Serdang arah laluan Jalan Bellamy. Akan tetapi, disebabkan saya tidak pernah melalui jalan itu tetapi mengikutinya disebabkan ingin mencuba arah papan tanda itu, saya tersasar hingga ke Putrajaya, melalui Sierra dan pelbagai jalan untuk ke kampus. Perjalanan itu memakan masa hampir dua jam hingga menyebabkan saya keletihan dan perlu menambah minyak di kawasan berdekatan Serdang (belum sampai Serdang). Saya kerisauan ditambah lagi cuaca yang panas. Tubuh benar-benar lelah. Saya hampir menangis kerana khuatir akan terus kesesatan. Beberapa penunggang motorsikal ketika sama-sama menunggu lampu merah bertukar hijau di beberapa lampu isyarat menjadi sumber saya untuk mengetahui jalan sebenar. Tidak saya lupa seorang wanita berpakaian jururawat yang memandu Proton Wira ketika di lampu isyarat berdekatan Serdang. Saya yang di sebelahnya mengetuk tingkap sisinya. Dia sedia menurunkan cermin itu (Perbuatan yang bahaya jika orang yang mengetuk itu ada niat jahat. Perlu lebih berhati-hati) dan memberikan jawapan kepada persoalan saya.

Apabila tayar skuter saya akhirnya tiba di tempat parkir kampus, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Syukur kerana Allah mengajar saya bahawa menuntut ilmu itu memang banyak cabarannya namun di hujungnya ada keindahan yang sukar diungkapkan barisan kata. 
Selepas menceritakan hal itu kepada dua guru saya, mereka berkenan membantu saya. Pada hari Sabtu, Cikgu Norhana dan Cikgu Julia telah berkenan menunjukkan saya jalan yang benar. Jalan yang tidak membuatkan saya sesat dan meraba-raba mencari jalan sebenar ke destinasi. Sejak hari itu, saya yang fitrahnya mudah mengingat jalan - tidak lagi tersesat arah. Perjalanan saya mencari sentiasa mudah dan lancar, paling baik – saya tidak pernah terlewat dan membazirkan wang (minyak) dan tenaga.


Begitulah analogi kepada manusia yang terdedah dengan variasi ilmu dan pengalaman yang dilalui. Sebelum dipertemukan dengan ilmu dan pengalaman yang terbaik untuk membawa diri ke arah kebaikan dua dunia, tentunya manusia akan mencari-cari dan berhadapan dengan aneka konflik, arah mana perlu dilalui? Tanda mana yang perlu diikuti? Jalan yang ini betul, atau yang itu paling benar? Pengalaman ini menjadi sesuatu yang amat bermakna dan menarik untuk saya fikirkan.

Saya selalu melalui jalan yang jauh dan memenatkan untuk sampai ke destinasi (jalan yang membazirkan tenaga dan masa). Akan tetapi, apabila sekali dipandu melalui jalan yang betul, saya dapat menerimanya dengan baik dan selesa. Pemanduan dan bimbingan yang tepat itu amat dituntut agar tidak terus bergelumang dengan kesalahan ‘jalan’. Walau bagaimanapun, salah jalan ini adalah satu proses dalam pembelajaran bagi saya. Apabila kita sedar ada hikmah dan manfaat daripada pelajaran itu, maka wajar hikmah dan manfaat itu dianalisis untuk mendapatkan keputusan yang rasional dan tepat. Salah jalan itu umpama fatamorgana. Kita rasa benar tetapi hakikatnya dusta (ilusi) yang membuatkan kita mempercayainya tanpa alasan yang wajar. Sekali lagi, kewajaran.

Saya teringat sajak Robert Frost yang pernah menjadi teks KOMSAS semasa saya di tingkatan dua.

Two roads diverged in a yellow wood
and sorry I could not travel both
And be one traveller, long I stood

and looked down one as far as I could
to where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
and having perhaps the better claim
because it was grassy and wanted wear;
though as for that, the passing there
had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
in leaves no feet had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I --
I took the one less travelled by,
and that has made all the difference

Rabu, 5 Disember 2012

IDEOLOGI KAUM MUDA DALAM PERSURATAN MELAYU

SYED JAMALUDIN AL-AFGANI telah memberi sumbangan yang besar dalam reformasi ideologi masyarakat sekitar tahun 1869. Reformasi ideologi yang dicetuskan beliau bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat Islam di Timur Tengah. Sebaliknya, pemikiran tersebut telah tersebar luas termasuklah ke kawasan Nusantara. Pembaharuan yang dibawa oleh beliau iaitu memahami ajaran Al-Quran bukan menerusi kaedah taklid semberono yang menjadi tradisi kaum tua menarik minat penuntut-penuntut Al-Azhar. Setelah kematiannya, perjuangan Jalaluddin telah diteruskan oleh muridnya yang bernama Syeikh Muhammad Abduh.

Gagasan pembaharuan terhadap cara berfikir berdasarkan acuan Islam sebenar yang dipelopori Jalaluddin ketika itu telah dibawa ke Tanah Melayu menerusi Syed Syeikh Al-Hadi. Penulis Hikayat Faridah Hanum (1925/1926) ini telah meluaskan pemikiran yang menyeru masyarakat khususnya umat Islam berfikir dan melakukan ijtihad terhadap aneka isu berkaitan agama Islam telah disambut baik oleh penulis-penulis sezaman dengannya seperti Ahmad Kotot, Shamsuddin Salleh, Abdullah Sidek, Ishak Haji Muhammad dan Abdul Kadir Adabi.

Syed Syeikh Al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum telah memperlihatkan kelantangan beliau bersuara menerusi karya sastera berkenaan emansipasi wanita menerusi watak Faridah Hanum. Dalam hal ini, Syeikh Al-Hadi menekankan keutamaan menuntut pelajaran bukan hak mutlak kaum lelaki. Sebaliknya, hak dan kepentingan menuntut ilmu turut menjadi hak kaum wanita. Ilmu dibahaskan sebagai wadah yang akan membawa kemajuan dan keharmonian hidup. Dalam konteks Faridah Hanum, watak wanita berpendidikan itu enggan menerima kahwin paksa dan sanggup berkorban duit untuk membina sekolah bagi kaum wanita. Selain itu, emansipasi wanita – penulis kelahiran negeri Melaka itu turut menyeru masyarakat yang masih kekal dengan pemikiran tradisional agar menerima pemodenan berlandaskan al-Quran.  Paling utama, amalan bertaklid secara sembarangan yang berpaksikan tradisi semata-mata amat ditentang oleh beliau yang membawa gagasan pembaharuan Jalaluddin Al-Afghani.
           
Syed Syeikh Al-Hadi ialah tokoh yang memperkenalkan ideologi baharu dan reformasi kaum muda. Ideologi pembaharuan terhadap cara masyarakat memandang dan mengamalkan Islam secara lebih sistematik dan logik berteraskan al-Quran dan hadis telah menarik minat penulis-penulis sezaman dengannya yang mempunyai kerisauan yang sama terhadap masalah yang melanda masyarakat rentetan daripada pemahaman yang sempit dan salah terhadap Islam. Pentafsiran al-Quran dan hadis yang hanya berteraskan budaya dan adat turut ditentang oleh penulis-penulis tersebut. Di samping itu, sikap ulama yang tidak bersungguh-sungguh mentafsir makna Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW turut menjadi antara perkara utama yang disentuh gerakan ideologi Kaum Muda.
           
Masyarakat sudah biasa dengan ‘kaum muda’. Namun, apakah Kaum Muda itu adalah sebuah organisasi yang tersusun dan terpimpin seperti Angkatan Sasterawan ’50?. Tesis kedoktoran Hashim Ismail yang dibukukan dengan judul Hermeneutik: Reaksi Reformasi Kaum Muda ini memberi jawapan. Berteraskan prinsip ‘semangat’ zaman dalam teori hermeneutik, Hashim telah menemui dapatan yang menarik mengenai semangat dan ideologi ‘Kaum Muda’. Kajian Hashim mendapati kaum muda bukanlah satu organisasi yang tersusun sebaliknya satu gerakan ideologi yang hadir dalam pemikiran pengarang-pengarang yang terkesan dengan pembaharuan pemikiran yang diperkenalkan Syed Syeikh Al-Hadi di Tanah Melayu (setelah Syed Syeikh Al-Hadi menerima pemikiran tersebut daripada Syed Jalaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh).
           

Buku ini terdiri daripada tujuh bab dengan dapatan yang mampu memberi pencerahan terhadap pemahaman konvensional masyarakat mengenai kaum muda yang dianggap sebagai satu gerakan terorganisasi. Setelah mengenal pasti Syed Syeikh al-Hadi sebagai pelopor pemikiran kaum muda di Tanah Melayu, Hashim Ismail memperlihatkan dapatan mengenai sembilan orang pengarang Melayu dekad 1920-1940 yang terpengaruh dan menerima dengan baik gagasan Syed Syeikh Al-Hadi. Penerimaan tersebut dijelmakan menerusi karya-karya mereka.
             
Penulis-penulis Kaum Muda menampilkan wanita sebagai watak utama yang menjadi alat untuk mereka menyampaikan pemikiran pembaharuan tersebut. Kajian ini menjadikan watak-watak seperti Faridah Hanum (Hikayat Faridah Hanum), Ramlah (Kawan Benar), Salmah (Iakah Salmah?) dan Tengku Maimunah (Melati Kota Bharu). Penulis seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ahmad Rashid Talu, Ahmad Kotot dan A. Kadir Adabi menekankan aspek pemodenan wanita merangkumi aspek pendidikan dan ekonomi kaum wanita.
           
Bagi penulis-penulis ini, tabu yang melingkungi kehidupan wanita tradisional tidak harus dibiarkan terus membelenggu diri wanita. Kaum wanita perlu diberikan hak seperti yang diaturkan dalam Islam. Kaum wanita perlu menjadi individu berpendidikan dan bijaksana, bukan lagi pemuas nafsu lelaki semata-mata. Kaum wanita juga perlu berani menegakkan kebenaran dan pandangan yang baik seperti yang dilakukan watak-watak berkenaan. Selain itu, kumpulan penulis ini juga berkarya dengan agenda menyedarkan masyarakat Melayu supaya tidak terus hidup selesa di bawah penjajahan. Pendidikan amat dipentingkan kerana ilmu itu yang akan membolehkan masyarakat hidup lebih aman dan tidak terus dipermainkan penjajah. Kaum Muda melihat kepentingan ilmu amat relevan dengan al-Quran yang amat sistematik dan memenuhi logik akal. Oleh yang demikian, tradisi mencintai ilmu di Barat harus dicontohi masyarakat Melayu-Islam untuk maju dalam kehidupan dua dunia.
           
Kaum Muda adalah satu bentuk ideologi tidak terorganisasi secara fizikal. Akan tetapi, ideologi yang dibawa oleh Syed Syeikh Al-Hadi iaitu mengenai pembaharuan dan pemodenan berlandaskan pemahaman yang benar terhadap Al-Quran adalah satu bentuk ideologi yang diterima secara baik dan diaplikasikan oleh pengarang-pengarang yang mempunyai agenda sama dengan Al Hadi. Pegangan yang utuh terhadap ideologi tersebut menjadikan pengarang-pengarang zaman itu menyuarakan pemikiran dan nasihat yang sama menerusi karya-karya mereka dengan menjadikan tema cinta sebagai alat, bukan keutamaan.

Tesis yang dibukukan ini juga memperkenalkan analisis dan hujah yang lebih mendalam mengenai karya-karya penulis dekad 1920-1940 berbanding dapatan yang ada dalam buku Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) (2004) yang diselenggara oleh Hamzah Hamdani dan Siti Aisah Murad. Analisis yang terdapat dalam buku tersebut secara harfiah menyimpulkan karya-karya dekad ini sebagai karya yang membawa tema cinta tetapi tidak mendalami tema dan asbab tema itu digunakan pada latar zaman tersebut seperti yang dilakukan oleh Hashim Ismail. Sebagai contoh, Hikayat Faridah Hanum dianggap Yahya Ismail sebagia kisah percintaan yang terkandung unsur erotik (2004:70). Adalah menarik sekiranya pembaca membuat perbandingan antara buku tulisan Hashim Ismail ini dengan buku Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) itu.