Selasa, 20 November 2012

PERJUANGAN YANG GAGAL

PADA usia 15 tahun, Patmabi dinikahi Pakwan, anak tunggal peniaga intan berlian Mamak Seeni Rawther. Patmabi mengahwini Pakwan setelah lelaki itu bersetuju memberi kebebasan kepada Patmabi untuk hidup bebas daripada kongkongan tradisional. Patmabi mempunyai perwatakan yang agak tabo bagi kehidupan masyarakat pada zaman itu. Meskipun mendapat tentangan untuk melanjutkan pelajaran ke St George’s School, Patmabi belajar bahasa Inggeris degnan rakannya Girlie, seorang Yahudi yang bertekad membangunkan sebuah negara sendiri bernama Israel.

Pengaruh pemikiran Syed Syeikh al-Hadi menerusi akhbar Al-Imam menyemarakkan semangat Patmabi untuk berjuang memajukan diri dan bangsa daripada terus diam dalam genggaman Inggeris. Kemasukan Patmabi ke dalam keluarga Seeni Rawther mempertemukan Patmabi dengan aneka amalan khurafat yang menjadi pegangan keluarga itu. Secara halus, Patmabi berusaha membuang kepercayaan keluarga itu terhadap amalan seperti mandi safar, solat fidyah dan temasya tahlil. Berbeza dengan masyarakat ketika itu, Patmabi mendahulukan logik akal dan kesesuaiannya dengan hukum Islam berbanding ketaatan melulu dalam melakukan sesuatu amalan.




Tidak cukup dibebani dengan gelisah terhadap amalan keluarga Seeni Rawther yang membenarkan kaum lelaki tidak menunaikan solat Subuh dan berpuasa dengan alasan kerja, Patmabi dilanda ujian apabila dia yang mempunyai dua orang anak iaitu Mastan dan Che Din ditinggalkan suaminya. Pakwan yang tidak pernah hidup bebas daripada budaya keluarga bangsawan mengikuti Chah Lenggong, penari kabaret setelah kematian ayahnya Seeni Rawther. Ketika harta Pakwan hampir habis dikikis Chah Lenggong, Pakwan kembali ke pangkuan keluarga dan diterima baik oleh Patmabi.

Namun demikian, Pakwan kembali mengulang kisah curangnya apabila terpaut hati kepada Cik Wan Kerising, primadona Bangsawan Mamak Pushi. Patmabi yang cekal sekali lagi menggunakan kaedah diplomasi untuk berbaik-baik dengan madunya itu seperti yang pernah dilakukan terhadap Chah Lenggong. Namun demikian, Patmabi yang ketika itu sudah menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri gagal dalam rumah tangganya buat kali kedua. Tanpa diceraikan, Patmabi tetap meneruskan kehidupan dan perjuangannya.

Tanpa mempedulikan Pakwan yang terus hanyut dengan Cik Wan Kerising, Patmabi menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan nasib gadis-gadis Melayu mendapatkan hak pendidikan. Dalam masa yang sama, kecenderungan orang Melayu menjual tanah dan rumah kepada bangsa Inggeris, Cina dan India membuatkan Patmabi berusaha menyedarkan pentingnya orang Melayu agar mempertahankan harta masing-masing daripada jatuh ke tangan bangsa asing. Seruan Syed Syeikh al-Hadi agar masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang mempertahankan hak sendiri menjadikan Patmabi rela digelar Jalang Jalan Hatin atas tindakan luar biasa Patmabi sebagai wanita dan suara minoriti zaman itu.

Aci Patmabi mempunyai persamaan watak dengan Faridah Hanum dan Salmah dalam Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh al-Hadi dan Iakah Salmah? nukilan Ahmad Rashid Talu. Walau bagaimanapun, perbezaan ketara terletak pada akhir perjuangan srikandi-srikandi ini. Faridah Hanum berjaya menjatuhkan suaminya yang tohor akhlak iaitu Badaruddin Afandi dan memperjuangkan nasibnya sendiri sebagai seorang wanita. Manakala, Salmah cemerlang bersuara dan bertindak sebagai gadis yang faham hal ehwal ekonomi dan politik Melayu pada zaman itu.

Hal ini berbeza dengan Patmabi, meskipun mempunyai matlamat yang sama dengan Faridah Hanum dan Salmah. Patmabi akhirnya berhadapan dengan masalah ingatan setelah digugurkan dari jawatan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dia juga kehilangan rumah peninggalan arwah ayahnya di tangan dua anak lelakinya sendiri yang menjual rumah dan tanah tersebut kepada Naraina. Hal ini menjadi amat ironi apabila Patmabi yang sering lantang mengingatkan bangsa Melayu agar tidak menjual rumah dan tanah kepada bangsa asing akhirnya menjadi pelengkap Jalan Hatin menjadi ‘hak’ bangsa asing.

Agak kurang menyenangkan bagi saya sebagai pembaca apabila watak Patmabi yang mempunyai idealisme serta perjuangan, ditambah lagi dengan aneka halangan tetapi pada akhir karya ini, protagonis ini dimatikan oleh pengarang dengan serba kegagalan. Hal ini menjadi persoalan. Apakah kematian protagonis wanita menjadi pilihan penulis disebabkan gender? Persoalan ini timbul rentetan daripada kematian dan kegagalan yang bertimpa-timpa terhadap Patmabi walaupun dia mempunyai ruang dan peluang yang besar untuk tekal dalam perjuangannnya.

Namun demikian, karya ini sememangnya baik sebagai alat dokumentasi khususnya apabila novel ini memperincikan latar masyarakat dan budaya pada zaman tersebut. Pelbagai perkara, kepercayaan masyarakat zaman itu yang dapat diserap oleh pembaca kini untuk memperkaya pengalaman sekali gus memberi pengetahuan mengenai kehidupan pada zaman tersebut.

2 ulasan:

  1. Salam sya nak tanya, di mana boleh beli novel ni? dimana saya boleh dapatkan novel ni. terima kasih

    BalasPadam
  2. Salam, novel ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Boleh dapatkan di kedai buku dbp atau dawama.

    BalasPadam