Jumaat, 30 November 2012

PELESTARIAN BAHASA MELALUI PEMBAHARUAN DAN PENGEMBANGAN NAHU


SESEBUAH bahasa yang unggul dalam satu-satu tamadun tidak mustahil mengalami proses kepupusan sekiranya tidak berlaku unsur pengembangan dalam bahasa tersebut. Hal ini kerana sesebuah bahasa yang tidak berkembang memperlihatkan sifat tidak dinamis bahasa yang pada akhirnya membawa kepada kepupusan lantaran sukar untuk berhadapan dengan arus zaman yang semakin berkembang. Dalam hal ini, bahasa Sanskrit merupakan antara contoh bahasa lampau yang mempunyai pengaruh besar dalam kebanyakan bahasa lain termasuklah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, keunggulan bahasa Sanskrit itu tidak bertahan lama kesan sifat bahasanya yang tidak dinamis dan tidak mengalami pengembangan. Sejarah kepupusan bahasa Sanskrit wajar diambil perhatian oleh para pencinta bahasa yang merangkumi para pengkaji, ilmuan, mahasiswa-mahasiswa linguistik, guru-guru pelatih, guru-guru yang sudah bertauliah serta tidak terkecuali masyarakat awam yang mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap bahasa Melayu.

Bahasa Melayu yang pernah dikenali sebagai lingua franca berabad lalu tidak mustahil mengalami kepupusan sekiranya aspek pengembangan nahunya tidak dititikberatkan. Perkara ini bertitik tolak kepada perubahan masa yang mendepani nahu bahasa Melayu. Penggunaan nahu bahasa Melayu mengalami perubahan sejajar dengan perubahan minda masyarakat yang mengikuti arus dalam mencari penyesuaian mahupun keselesaan dalam pengaplikasian nahu bahasa ibunda. Beberapa perubahan dari segi nahu berlaku kesan penerimaan dan penolakan masyarakat bahasa itu sendiri.  Secara tidak sedar, penerimaan dan penolakan masyarakat bahasa terhadap beberapa aspek dalam nahu itu sebenarnya merupakan satu proses pengembangan bahasa yang penting dalam memastikan pelestarian nahu bahasa Melayu dan kedudukan bahasa itu sendiri untuk terus berkembang mekar seiring dengan arus perdana masa.

Keanjalan sesuatu bidang ilmu itu juga boleh dikaji bersandarkan pelbagai variasi sudut fikiran yang akan memperkukuh keupayaan sesebuah bidang ilmu. Pengukuhan yang berakarumbikan teori dan pendekatan tertentu menjadikan satu-satu lapangan ilmu itu mudah untuk difahami dan dikuasai oleh masyarakatnya. Dalam lapangan bahasa, perkara seperti ini biasa berlaku dalam proses mematangkan lagi sesebuah cabang bahasa yang sedia ada bagi memastikan kekuatan bahasa itu untuk terus digunakan oleh masyarakat penuturnya, sama ada secara akademik mahupun bukan akademik. 

Buku Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima merupakan kesinambungan daripada cetakan pertamanya pada tahun 1980. Setelah hampir dua dekad, institusi nahu bahasa Melayu telah memperlihatkan beberapa pembaharuan jika dibandingkan dengan bahasa yang digunakan dalam tahun 1980 dahulu dan tahun-tahun berikutnya. Perubahan-perubahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan perubahan-perubahan asas dalam sistem dan struktur bahasa, malah perubahan-perubahan tersebut turut muncul dalam pemilihan butir-butir yang menjadi inti sistem dan struktur bahasa. 

Perubahan-perubahan dan pembaharuan yang mengisi institusi nahu bahasa perlu sentiasa diambil perhatian terutamanya oleh para pengkaji bahasa yang bertindak sebagai perakam kepada pembaharuan dan perubahan bahasa. Tindakan ini penting agar dapat memberi pendedahan mengenai bahasa secara lebih ilmiah dan sistematik kepada khalayak masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Hal ini bersandarkan peri pentingnya pengetahuan masyarakat terhadap nahu bahasa bagi menjadikan bahasa Melayu dihormati bukan sahaja oleh penutur natifnya malah juga oleh masyarakat universal. Dalam masa yang sama, pemahaman yang jelas terhadap nahu bahasa akan meningkatkan keberkesanan sesebuah bahasa sebagai alat komunikasi utama manusia.

Sementelahan pula, penggunaan dan pengetahuan terhadap nahu yang betul penting bagi melancarkan proses pertukaran maklumat dan peluahan gagasan pemikiran oleh seseorang individu dengan individu lain. Dalam konteks ini, pengguna dan penerima perlu menggunakan nahu bahasa dengan betul sama ada dalam konteks lisan mahupun tulisan bagi membolehkan proses enkod dan dekod berjalan dengan lancar. Proses enkod dan dekod amat penting bertujuan melahirkan komunikasi yang berjaya di samping memelihara kesantunan berbahasa yang sangat ditekankan oleh bahasa dan bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Perkembangan teknologi dan maklumat serta kemodenan alaf sewajarnya meletakkan bahasa ke tahap yang lebih tinggi dan disegani sebagai medium komunikasi utama yang menzahirkan fikiran, pengalaman, ilmu dan kemahiran. 

Melihat peri pentingnya penguasaan dan pengetahuan yang mendalam terhadap nahu bahasa Melayu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memikul tanggungjawab besar untuk memastikan pelestarian dan pengembangan bahasa Melayu telah mengambil inisiatif dengan menerbitkan buku Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima sebagai pedoman kepada para pencinta dan cendekiawan bahasa serta masyarakat umumnya. Edisi terbaharu ini berperanan penting dalam membantu khalayak untuk mendalami ilmu nahu bahasa Melayu melalui kaedah yang lebih jelas dan mudah. Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima merupakan sebuah buku nahu rujukan yang bersifat menyeluruh untuk menjadi rujukan terbaik bagi para pengkaji bahasa dan penulis buku nahu untuk pelbagai tujuan seperti menyediakan buku-buku pengajaran bahasa.

Tambahan lagi,  judul-judul yang dibincangkan dalam buku ini lebih meluas dan meliputi pelbagai aspek dalam sistem dan struktur bahasa yang kebanyakannya belum dibincangkan oleh mana-mana buku nahu Melayu. Pendekatan eklektik yang diaplikasikan oleh penulis menjadi faktor asas terhadap kejayaan buku ini sebagai pendamping utama pencinta dan cendekiawan bahasa. Kekayaan buku ini turut terletak pada keupayaan memperkatakan aspek kata, frasa dan ayat dengan jelas di samping menyentuh konteks wacana, sosial dan budaya aspek-aspek bahasa itu digunakan. Hal ini merupakan kayu pengukur dalam membezakan keistimewaan Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima dengan mana-mana buku nahu Melayu yang lain. Kewibawaan buku ini yang menampilkan pendekatan yang lebih sederhana juga membolehkan khalayak masyarakat pelbagai lapisan yang berminat untuk mendalami persoalan nahu berasa tidak terlalu tertekan dan dapat memahaminya dengan baik. Dalam hal ini, pengarang telah menggunakan bahasa yang mudah dan berkesan dalam membentangkan butir-butir berkenaan nahu dengan jelas. Menariknya, Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima menyentuh secara mendalam persoalan adverba yang boleh muncul dalam bentuk kata dan frasa. Persoalan adverba ini pernah menjadi perbincangan utama dalam lapangan kebahasaan sejak beberapa tahun kebelakangan. Dalam buku ini, pengarang telah menghuraikan secara mendalam bahawa kata adverba boleh diwujudkan oleh kata selapis atau kata berlapis. Adverba yang diwujudkan oleh kata selapis  adalah seperti sana, situ, sini, tadi, sekarang dan sebagainya. Sementara itu, kata adverba dalam bentuk berlapis boleh ditandai oleh akhiran se- dan akhiran -an. Dalam hal ini, awalan adverba, se- berfungsi sebagai penggubah golongan yang bermaksud boleh diimbuhkan kepada kata nama, kata kerja utama, kata kerja bantu dan kata sifat.      

Dalam penggunaan se + kata nama, kata nama yang menjadi dasar bagi pengimbuhan se- ialah kata nama waktu terutamanya kata masa dan waktu. Hasil pengimbuhan yang diberikan terhadap kata nama tersebut ialah semasa dan sewaktu. Kedua-dua kata tersebut berfungsi sebagai adverba waktu dengan makna “pada masa” dan “pada waktu”. Sebagai akhiran pula, adverba –an mendapat kata gandaan sebagai kata dasarnya. Hasil pengimbuhan –an kepada kata gandaan yang seperti ini ialah adverba perhinggaan dan gaya serta kata harapan. Antaranya ialah mati-matian sebagai adverba perhinggaan daripada kata dasar mati-mati, adverba gaya kecil-kecilan daripada kata dasar kecil-kecil dan kata harapan seperti mudah-mudahan daripada kata dasar mudah-mudah.

Sementelahan itu, buku Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima turut memperjelas frasa adverba secara lebih meluas dengan memecahkan frasa adverba kepada dua golongan dengan masing-masing mempunyai subgolongan yang tersendiri. Frasa adverba ialah frasa yang berfungsi pada ajung ayat dan terdiri daripada frasa adverba endosentrik dan frasa adverba eksosentrik. Dalam perbicaraan ini, frasa adverba endosentrik terdiri daripada satu kata adverba atau rentetan kata adverba, manakala frasa adverba eksosentrik boleh terdiri daripada frasa preposisi, frasa benda atau frasa sifat.  Buku ini juga telah memecahkan penggolongan frasa adverba kepada 29 Frasa Adverba Selapis seperti Adverba Tempat dalam bentuk frasa minimal seperti: sini, situ, sana, dalam, luar, atas bawah dan depan. Adverba Tempat ini berperanan bagi menerangkan di mana sesuatu perbuatan atau peristiwa itu berlaku.  Adverba Gaya bertujuan menerangkan bagaimana atau dengan gaya yang bagaimana sesuatu perbuatan dilakukan. Adverba Muasal berfungsi menjawab pertanyaan dari apa sesuatu perbuatan itu disempurnakan. Adverba Manfaat menjawab pertanyaan untuk siapa, kepada siapa atau dari siapa sesuatu perbuatan itu dilakukan. Dalam perbincangan ini, untuk siapa dan kepada siapa menunjukkan tumpuan manfaat. Manakala Adverba Durasi  berfungsi menerangkan jangka waktu yang terus-menerus dan menjadi konteks sesuatu perbuatan atau peristiwa itu berlaku. Turut dibincangkan ialah Frasa Adverba Kompleks yang dibahagikan kepada Frasa Adverba Kompleks Tak Setara dan Frasa Adverba Kompleks Setara.

Selain menyorot perbincangan mengenai kata dan frasa adverba, perincian tentang gelaran yang bersesuaian untuk pergaulan formal turut disediakan bagi memecahkan kebuntuan khalayak masyarakat yang acap kali melakukan kesalahan dalam memberikan gelaran tertentu kepada individu tertentu dalam situasi formal. Perbincangan yang berhimpun dalam judul Kata Nama Gelaran  di bawah subjudul Gelaran Pergaulan Tak Bersahaja (Formal) menjelaskan tatacara menyebut gelaran dalam situasi formal. Dalam hal ini, situasi formal dimaksudkan sebagai pergaulan yang memperlihatkan wujud sekatan-sekatan sosial yang tertentu antara individu yang berkaitan. Kebiasaannya, sekatan ini berkaitan dengan sekatan pangkat dalam pekerjaan atau kedudukan sosial atau saling tidak kenal antara individu penutur. Dalam konteks pergaulan formal seperti ini, antara gelaran yang digunakan ialah Tuan yang ditujukan kepada orang lelaki yang lebih tinggi pangkatnya dalam ruang pekerjaan dan sebagainya. Gelaran ini turut digunakan bagi merujuk orang lelaki yang bergelar Haji, Doktor, Profesor dan yang seumpamanya. 

Sementelahan itu,  gelaran Puan digunakan untuk merujuk orang perempuan yang sudah berkahwin tetapi dalam konteks yang sama boleh membawa peranan yang sama dengan gelaran Tuan. Secara langsung, hal ini menegaskan bahawa gelaran Puan tidak digunakan hanya untuk merujuk orang perempuan yang sudah berkahwin sahaja, sebaliknya turut digunakan bagi merujuk orang perempuan dalam perbicaraan yang melibatkan pangkat daripada kendiri dalam bidang pekerjaan. Antara gelaran yang turut dibincangkan dalam buku ini ialah saudara, saudari dan tetuan. Perbincangan ini meskipun tampak mudah tetapi amat penting untuk difahami secara jelas oleh penutur bahasa Melayu yang sering terlibat dalam urusan formal dan memerlukan tatacara sebutan gelaran yang betul bagi mengelakkan salah faham emosi antara pemberi dan penerima maklumat.

Berbeza dengan buku-buku nahu lain, Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima  turut membuka ruang pengetahuan khalayak pembaca dengan lebih jelas apabila memberikan penghuraian yang lebih terperinci dalam kaedah yang mudah untuk difahami. Dalam tajuk Kata Kerja Bantu (KKB), terdapat dua subgolongan yang mendukung (KKB) iaitu kata kerja aspek dan kata kerja modalitas. Kata kerja aspek dikenali sebagai proses perbuatan atau keadaan sama ada belum, masih atau selesai berlaku. Sementara itu, kata kerja modalitas membantu dalam memberi ciri “suasana” kepada perbuatan atau keadaan yang dirujuk oleh kata kerja leksikal. Dalam hal ini,  pengarang memudahkan khalayak pembaca dengan memperincikan fungsi dan situasi yang sesuai untuk digunakan kedua-dua jenis kata bantu tersebut. Yang berikutnya merupakan kata kerja aspek dengan pengertiannya:
  • Menunjuk perbuatan yang sudah berlaku : sudah, telah (hanya dalam bahasa tulisan), pernah.
  • Menunjuk perbuatan atau keadaan yang sedang berlaku : sedang, masih, tengah (dalam bahasa lisan).
  • Menunjuk perbuatan yang belum berlaku : belum, akan.
Dalam setiap penerangan berhubung dengan setiap kata kerja aspek bagi setiap fungsi seperti di atas, pengarang turut memberikan penjelasan yang lebih terperinci berkenaan kewajaran situasi penggunaannya. Sebagai contoh :
Saya sudah membaca buku itu.
(Maksudnya: Saya membaca buku itu pada waktu lampau dan selesai  membacanya)

Penggunaan kata kerja sudah diterangkan sebagai penunjuk kepada perbuatan atau keadaan yang sudah berlaku dan sudah selesai seperti contoh di atas. Penjelasan dan contoh mudah yang diberikan membolehkan khalayak memahami kewajaran situasi dan corak penggunaan yang tepat. Hal ini secara tidak langsung jika diaplikasikan dalam konteks perbicaraan yang lebih serius mampu memberi kesan kefahaman yang lebih teliti dan dapat difahami secara tepat oleh penerima maklumat sekali gus mewujudkan jalinan komunikasi yang berkesan.

Sejajar dengan perubahan masa, keanjalan nahu bahasa Melayu terbukti dengan keupayaannya menerima, menolak dan melakukan penyesuaian bagi terus mendapat tempat di hati khalayak masyarakat penuturnya. Dalam buku ini, beberapa perubahan dan pembaharuan yang berlaku dalam nahu bahasa Melayu telah dibincangkan. Dalam judul Pembentukan Kata Kerja Berlapis, subjudul Akhiran –i dengan Makna “berulang-ulang, terus-menerus” memperkatakan bahawa kata kerja dengan akhiran –i yang mempunyai kata kerja transitif sebagai kata dasarnya dan mendukung makna “berulang-ulang” atau “terus-menerus” ini ialah tembaki, angkuti, dan periksai sebagai contoh. Dalam perihal ini, pengarang memberikan contoh seperti :
  • Askar-askar itu menembaki pertahanan musuh.
  • Kapal-kapal itu mengangkuti jemaah haji.
  • Dia memeriksai surat-surat lama itu.
Penggunaan akhiran jenis –i ini dilihat sebagai tidak lagi produktif dan hanya muncul dalam kesusasteraan lama. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu yang digunakan sekarang tidak lagi menggunakan akhiran –i dalam kata kerja berkenaan. Lihat ayat-ayat di bawah ini:
  • Askar-askar itu (terus-menerus) menembak pertahanan musuh.
  • Kapal-kapal itu (terus-menerus) mengangkut jemaah haji.
  • Dia (terus-menerus) memeriksa surat-surat lama itu.
Perubahan ini berlaku disebabkan rasa janggal masyarakat penutur kini bagi memperkatakan sesuatu dengan menggunakan akhiran –i tersebut. Namun begitu, sifat dinamis nahu bahasa Melayu tidak mengekang perubahan dan pembaharuan seperti contoh di atas bagi memastikan kelangsungan bahasa Melayu untuk terus subur dalam jiwa bangsa dan tanah Melayu.

Keistimewaan Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima ini juga tercitra pada penampilan Bab 12  yang membicarakan Kata Sifat secara lebih terperinci dan mendalam. Hal ini merupakan antara keistimewaan buku terbaharu ini dalam memperkatakan nahu bahasa Melayu secara meluas. Kata sifat sebagai subgolongan daripada golongan kata karyaan dilihat pada fungsinya dalam ayat yang mempunyai persamaan dengan kata kerja tak transitif kerana tidak mengambil objek.  Kata sifat dibahagikan kepada beberapa subgolongan tertentu berdasarkan komponen-komponen makna dan hubungan sintagmatiknya dengan kata-kata lain dalam frasa. 

Perbicaraan mengenai Kata Sifat Gabungan Indera dilihat agak menarik perhatian. Pemerian pengarang terhadap subgolongan kata ini merupakan satu bentuk kesedaran terhadap khalayak akan saling jalinan antara pancaindera yang menjelma melalui aspek kata sifat. Kata Sifat Gabungan Indera terhasil daripada dua gabungan ciri indera atau lebih, umpamanya:
  •  tenteram (gabungan dengar dan pandang)
  • selesa (gabungan sentuh dan pandang)
  • bersih (gabungan pandang, sentuh dan bau)
  •  kotor (gabungan pandang, sentuh dan bau)
Kata Sifat Akhlak pula umumnya mencitrakan peribadi seseorang menurut norma-norma agama dan kesusilaan. Kata-kata sifat dalam golongan ini ialah : tulus, jujur, bersih, amanah dan mulia. Dalam hal ini, antonim bagi kata-kata tersebut antaranya adalah biadab, gasar, kasar dan kurang ajar. Dalam subgolongan Kata Sifat Emosi, kata sifat yang termasuk dalam golongan ini boleh bersifat positif seperti bahagia, gembira, dan riang. Manakala, kata sifat emosi yang berbentuk negatif adalah seperti sedih, kecewa dan dukacita. Sebagai tambahan, kemunculan kata teruja dalam abad ke-21 yang mempunyai sama makna dengan excited pula boleh dianggap neutral. Hal ini berikutan dengan maknanya yang boleh muncul sebagai positif mahupun negatif bergantung kepada konteks penggunaannya. Selain Kata Sifat Gabungan Indera, Kata Sifat Akhlak dan Kata Sifat Emosi, terdapat 12 lagi subgolongan Kata Sifat. Antaranya ialah Kata Sifat Tabii, Kata Sifat Warna, Kata Sifat Ukuran, Kata Sifat Bentuk, Kata Sifat Akaliah dan Kata Sifat Kuasa Tenaga.

Penerbitan edisi ini merupakan usaha murni yang dilakukan oleh pihak DBP sejak tahun 1980. Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima disusun oleh pakar yang berwibawa ini mempunyai 475 halaman dengan perincian yang mendalam. Penerbitan buku ini diharapkan mampu merungkai persoalan-persoalan berkaitan dengan nahu bahasa Melayu di samping memberi landasan kepada khalayak pembaca yang bercita-cita untuk meninggikan taraf bahasa Melayu baku dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Intihanya, penerbitan Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima ini merupakan satu wahana terbaik dalam menyampaikan persoalan-persoalan berkaitan dengan nahu bahasa Melayu dalam bentuk yang lebih ringan dan mudah difahami khalayak pembaca. Sebagai pengguna dan pencinta bahasa, masyarakat sewajarnya mempunyai kesedaran betapa saban hari muncul butir-butir baharu dalam kosa kata bahasa Melayu melalui pelbagai bentuk. Sehubungan dengan itu, adalah penting bagi penghasilan buku nahu seperti ini untuk merakamkan perubahan dan kemunculan-kemunculan baharu tersebut untuk dianalisis oleh pakar bahasa yang mengkaji nahu bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh tokoh penulis buku ini.  Secara tidak langsung, pendekatan dan kelahiran Nahu Mutakhir Melayu Edisi Kelima memberi titik nokhtah terhadap rungutan sesetengah pihak berkenaan ketiadaan buku nahu rujukan yang lengkap untuk semua lapisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan