Sabtu, 10 November 2012

KISAH KASIH SAYANG

JAM 2:30 petang semalam, saya membawa Abi ke Gasing Veterinary Hospital di Petaling Jaya bagi mendapatkan suntikan Lasix lagi. Kali ini, Abi bertahan kurang lebih dua minggu selepas mendapat suntikan Lasix pada Aidiladha yang lalu. Tiba di hospital, saya menunggu agak lama. Sudah menjadi kebiasaan, saya suka menjengah wad demi wad bagi kucing-kucing dan anjing-anjing yang berada di situ.

Saya dapat melihat Dr. Prem dan Dr. Melissa sedang serius merawat seekor anjing yang sedang tenat. Saya tahu keadaan itu. Omi juga pernah menghadapi keadaan itu, bahkan Abi kerap lagi. Saya melihat Dr. Prem mencukur semua bulu dari pinggul anjing itu. Tidak lama kemudian, Dr. Melissa berlari tergesa-gesa menuju ke aras atas sambil mendukung anjing dengan alat 'drip'. Wajah Dr. Melissa tampak jelas cemas. Dr. Prem kemudian mengekori Dr. Melissa dengan pantas sambil mengenakan topi untuk pembedahan. 

Dalam 10 minit selepas itu, seorang wanita bangsa Cina berambut panjang perang masuk ke dalam hospital. Hidungnya merah tanda menahan esak. Air matanya mengalir. Tanpa segan silu, dia menangis dengan kuat sambil berlari naik ke aras atas. Saya mula meneka, ada roh yang sudah diangkat pergi. Wanita itu turun bersama-sama Dr. Melissa yang mendukung anjing tadi. Kali ini, anjing itu sudah dibalut kemas. 

Wanita itu semakin kuat tangisnya. Benar kuat. Saya dan beberapa pemilik haiwan yang lain memerhati wanita dan menghayati esak tangisnya. Anjing peliharaannya tidak dapat diselamatkan. Ajalnya sudah tiba. Mata saya terasa panas. Hati menjadi sebak. Saya faham perasaan wanita itu. Kehilangan haiwan peliharaan yang sudah dianggap keluarga, malah ditatang penuh kasih seperti menjaga anak sendiri.


Agak lama juga wanita itu meratapi pemergian anjing itu sebelum dia yang memandu Honda Civic warna biru memandu pulang bersama-sama jasad anjing itu. Perasaan saya ketika itu amat dalam. Setiap sesuatu yang kita sayang itu ialah ujian untuk kita apabila setiap sesuatu itu akan diambil oleh Allah semula. 
II

Sambil menunggu giliran Abi, saya sempat berbual dengan seorang wanita Inggeris yang melawat anak anjing berusia dua bulan yang ditahan di hospital. Anjing itu diambil daripada SPCA, Setapak pada Jumaat minggu lalu. Anak anjing itu mengalami jangkitan yang serius dan kandungan cacing yang terlalu banyak di dalam perutnya. Lembut dan perlahan-lahan, wanita itu mengusap tubuh anak anjing itu, bagi menenangkannya.

Dia bertanya kepada saya apakah saya tidak suka pada anjing. Oh, tidak. Saya amat suka pada anjing (yang tidak liar). Rupa-rupanya, dia juga ada minat yang sama (bolehkah dikatakan minat?) iaitu mengambil kucing-kucing terbiar. Semasa di India, dia sempat mengambil seekor anak anjing terbiar. 

Wanita itu bercerita, doktor mencadangkan put to sleep tetapi wanita itu menegaskan biarlah pilihan itu sebagai pilihan terakhir. Selagi boleh berusaha, biarlah ada usaha untuk menyembuhkan anak anjingnya. Tidak lama kemudian, giliran Abi tiba. Selepas mendapat suntikan, Abi terus diberi air lantaran kesan ubat itu yang akan membuatkan Abi berasa amat dahaga. 

Terlalu banyak ujian sepanjang menjaga Abi. Disember ini, genap setahun Abi bertarung dengan sakit jantung yang Allah beri kepadanya. Sakit yang hanya boleh disembuhkan dengan mengganti jantung sedia ada dengan jantung lain (mekanikal) yang tidak mungkin berlaku dalam jangka masa ini di Malaysia. Sungguh, banyak yang saya belajar daripada Abi. Ketika dia berada dalam kritikal, memerlukan bekalan oksigen untuk menyambung hayat, ketika dia ditimpa sawan yang hampir meragut nyawa dan penglihatan, ketika Abi diserang ulser yang menyakitkan seluruh ruang mulutnya - saya melihat semua kesakitan Abi dan menemani dia sepanjang sakitnya. Abi bersabar. Abi bertahan walaupun susah. Acapkali saya berpesan kepada Abi, "Abi zikir banyak-banyak ya".

Sakit kroniknya yang tidak akan sembuh membuatkan Abi memerlukan perhatian dan komitmen yang tinggi. Semoga Abi tahu bahawa kehadirannya amat dihargai dan semoga Allah memberi masa lagi untuk kami terus berkongsi kasih dan makna hidup. Andai masa Abi sudah tiba, semoga Allah teguhkan hati saya dan kuatkan iman saya dengan pemergian Abi, nanti.

Selamat berkasih sayang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan