Khamis, 1 November 2012

ESTETIKA DALAM CERITA RAKYAT

Cerita rakyat Sabah Saiful dan Badrul Muluk ini mempunyai banyak persamaan dengan cerita lipur lara seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Inderaputera dan Hikayat Malim Deman. Walau bagaimanapun, perbezaannya terletak pada  plot yang tersendiri. Kisah ini bermula apabila Puteri Siti Selasi yang berusia 17 tahun diganggu seekor gajah raksasa. Anakanda Sultan Jalaluddin Syah itu amat diminati oleh gajah raksasa yang berkenan untuk menjadikan Puteri  Siti Selasi sebagai isteri. Atas rasa cinta mendalam gajah raksasa itu, Puteri Selasi ingin dirampas sekali gus memporak-perandakan pemerintahan Sultan Jalaluddin Syah.

Kehadiran gajah raksasa menyebabkan Sultan Jalaluddin Syah menjadi tidak keruan. Emosi sultan semakin kacau maka diperintahkan seluruh pemuda dan anak-anak pembesar agar menumpaskan gajah raksasa itu. Sebagai ganjaran, pemuda yang berjaya mengalahkan gajah raksasa akan dapat memperisterikan Tuan Puteri Siti Selasi lantas menjadi pewaris takhta kerajaan Sultan Jalaluddin Syah.

Mengenang aneka mitos dan legenda yang terdapat dalam cerita rakyat, kemunculan watak gajah raksasa diragui sebagai gajah yang sebenar atau putera yang menyamar sebagai gajah untuk mendapatkan puteri yang didambakan. Namun demikian, pembaca akhirnya menemui kebenaran bahawa gajah raksasa ialah haiwan gergasi tidak berakal yang mempunyai nafsu jahat terhadap puteri rupawan. Atas rasa tidak keruan Sultan, Mak Inang yang menjadi pengasuh Puteri Selasi diperintahkan masuk ke dalam hutan dan mengambil air dari sebuah telaga. Perintah sultan ini bersifat kiasan agar Mak Inang mencari pemuda hebat untuk menumpaskan gajah raksasa setelah tiada pemuda dan pembesar di bandar yang berani menentang keperkasaan gajah raksasa.

Pertemuan Mak Inang dengan dua bersaudara, Saiful Muluk dan Badrul Muluk memberi harapan kepada Mak Inang agar tidak dibunuh kerana gagal melaksanakan tugasnya. Kehadiran Saiful Muluk dan Badrul Muluk membawa konflik kedua yang menarik. Hal ini berlaku apabila Badrul Muluk iaitu adik kepada Saiful Muluk berjaya menumpaskan gajah raksasa dengan pedang keramatnya telah meminta sultan mengahwinkan Badrul Muluk dengan Puteri Selasi. Sebagai adinda yang amat menyayangi kakandanya, Saiful Muluk selalu menjaga keselamatan abang dan kakak iparnya. Namun, kepercayaan Saiful Muluk terhadap adiknya tergugat apabila Puteri Siti Selasi mengadu akan Badrul Muluk cuba memperlakukan sesuatu yang sumbang kepadanya sedangkan ketika itu Badrul Muluk berusaha menumpaskan Sang Mayang Galura  yang ingin menculik Puteri Siti Selasi.

Pemergian Badrul Muluk setelah dihalau Saiful Muluk dari istana mempertemukan Saiful Muluk dengan dua ekor gergasi yang telah menghancurkan sebuah perkampungan jauh di dalam hutan. Dengan kesaktian Badrul Muluk berserta pedang keramat, Tuan Puteri Cinta Cahaya, kaum keluarga dan penduduk kampung tidak bertuan itu berjaya diselamatkan. Saiful Muluk yang menyedari kesalahannya menjejaki Badrul Muluk.

Perjalanan cerita rakyat ini dihiasi dengan variasi mitos yang mengindahkan struktur cerita rakyat. Antara mitos yang terdapat di dalam cerita ini adalah :
  •    Gajah raksasa yang berhajatkan Tuan Puteri Siti Selasi.
  •   Saiful Muluk dan Badrul Muluk mempunyai kuda yang setiap pergerakannya disertai kilat.
  •  Pedang keramat Badrul Muluk menumpaskan gajah raksasa, Sang Mayang Galura dan dua ekor gergasi.
Sebagai melengkapkan struktur cerita rakyat, kisah ini menemui penamat yang menggembirakan apabila Badrul Muluk beroleh sepasang cahaya mata bersama Puteri Cinta Cahaya dan mereka hidup bahagia. Sang Mayang Galura, gajah raksasa dan gergasi menjadi simbol terhadap pelbagai dugaan yang perlu dihadapi manusia dalam mencapai kebahagiaan dan kejayaan. Sesuatu yang diperoleh dengan penuh kesukaran akan lebih memberi nikmat pada akhirnya seperti yang dilalui Badrul Muluk.

Meskipun berbentuk cerita rakyat, naskhah ini amat cemerlang dari segi penggunaan bahasa kiasan seperti simile, hiperbola dan metafora. Penggunaan unsur kiasan yang indah dan mudah ini amat sesuai untuk pembaca umum. Estetika bahasa, cerita dan pemikiran yang terdapat dalam karya ini wajar dihayati dalam membentuk jati diri dan akal budi yang lebih mantap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan