Selasa, 2 Oktober 2012

BAHASA TUNJANG KETAMADUNAN BANGSA DAN NEGARA

SEJARAH perkembangan manusia membuktikan bahasa sebagai elemen penting dalam susur galur kehidupan dan kebudayaan. Bahasa sebagai wadah untuk interaksi berperanan memastikan kelancaran kehidupan manusia. Pembinaan sesebuah tamadun turut berkait rapat dengan kewujudan bahasa. Dalam pembinaan peradaban, bahasa dianggap antara faktor penggerak kewujudan tamadun. Malahan, bahasa menjadi identiti dan simbol yang mewakili tamadun.

Tamadun-tamadun besar seperti Islam, Yunani, Rom dan Mesir telah memperlihatkan kehebatannya. Terdapat tinggalan kemajuan tamadun berkenaan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Namun demikian, kewujudan tamadun-tamadun agung ini tetap bertitik tolak daripada asas pembinaan tamadun yang sama. Selain kewujudan petempatan dan aturan organisasi, bahasa dan sistem tulisan tersendiri ialah asas penting dalam pembentukan tamadun. Melalui bahasa, masyarakat dalam tamadun dan antara tamadun dapat berkomunikasi sekali gus melancarkan rutin kehidupan dan pembangunan peradaban. 

Sistem tulisan dan bahasa menjadi perantara komunikasi, alat perakam, penyampaian dan pewarisan khazanah tamadun dalam pelbagai bidang ilmu. Manakala, bahasa penting dalam pembangunan tamadun bangsa dan negara lantaran daripada peranan bahasa itu sendiri. Bahasa bukan semata-mata alat untuk perhubungan harian sebaliknya menjadi wahana dalam pencarian dan penyampaian ilmu pengetahuan. Jika ditinjau aspek keunggulan tamadun Islam, kegemilangannya tidak terhad pada sisi akidah semata-mata. Sebaliknya, tamadun Islam mengungguli sejarah peradaban dunia disebabkan sifat syumul yang ada padanya. Kemajuan tamadun Islam dalam dunia perubatan, kejuruteraan, matematik, ilmu alam, seni bina dan sebagainya menarik perhatian tamadun Barat untuk menyerap ilmu-ilmu tersebut ke dalam tamadun mereka. Namun demikian, penyerapan ilmu berkenaan tidak dibuat dengan menggunakan bahasa Arab yang digunakan dalam tamadun Islam. Tamadun Barat seperti Yunani memindahkan segala ilmu yang diambil daripada tamadun Islam ke dalam bahasa Yunani sendiri. Tindakan itu berdasarkan pemahaman yang jitu masyarakat dalam tamadun bahawa masyarakat dan peradabannya akan menjadi lebih ideal apabila menggunakan bahasa mereka sendiri, walaupun ilmu itu diambil daripada tamadun asing.

Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kurun sebelum kemodenan, sebaliknya turut wujud dalam pembinaan tamadun dan negara semasa. Korea, Jepun, China, Rusia dan Perancis menjadi contoh terbaik dalam memperlihatkan kemajuan peradaban negara dan bangsa melalui ketekalan penggunaan bahasa ibunda masing-masing. Negara-negara tersebut tidak mengambil bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris sebagai agen memajukan negara dan bangsa. Mereka tidak sesekali terpengaruh dengan kegilaan segelintir golongan yang menganggap bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa yang mampu mengangkat nilai intelektual tamadun negara dan bangsa. 

Bahasa Melayu yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun Melayu seterusnya menjadi tunjang tamadun Malaysia telah melalui jalan dan rintangan yang pelbagai untuk terus bertahan. Perlembagaan Malaysia mentakrifkan ‘Melayu’ sebagai manusia yang menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, mengamalkan cara hidup Melayu dan menganut agama Islam (Nik Safiah Karim: 2005).

Sebelum termaktub Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1967) yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia, bahasa Melayu telah pun diangkat sebagai bahasa antarabangsa (lingua franca) pada abad ke-14 lagi. Pada masa itu, bahasa Melayu menjadi akar pentadbiran, pemerintahan, perdagangan dan kemasyarakatan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Kedudukan strategik Melaka yang terletak di antara laluan timur dan barat menjadi pusat tumpuan pedagang antarabangsa sehingga dikenali sebagai malakat, yang bermaksud tempat perhimpunan segala pedagang. Setiap pedagang yang tiba di Melaka mengetahui dan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. 

Kerajaan Srivijaya yang menakluki kerajaan Melayu-Jambi sebelum kemunculan Kerajaan Melayu Melaka telah mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi disebabkan kecekapan bahasa Melayu. Seterusnya, bahasa Melayu yang menjadi alat komunikasi dalam ketamadunan Kerajaan Srivijaya telah secara langsung memberi peluang kepada bahasa Melayu berkembang dan maju sejajar dengan kemajuan tamadun Srivijaya. Keunggulan bahasa Melayu juga telah diiktiraf oleh cendekiawan Barat. Sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dianggap sebagai ketinggalan zaman dan tidak mengikut arus kemajuan. Francois Valentjin, seorang bestari Belanda menyebut bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti berikut :

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina." (Nik Safiah Karim: 2003)

Zaman penjajahan Inggeris ialah latar masa yang menyaksikan kegemilangan bahasa Melayu mula diganggu gugat. Pihak British yang menyedari keunggulan bahasa Melayu di Tanah Melayu cuba memecahbelahkan rakyat berbilang kaum. Bahasa Melayu yang berperanan penting dalam pembentukan tamadun Melayu dan Malaysia dikekang daripada terus diterima oleh lapisan masyarakat majmuk. British yang menyedari kekuatan bahasa sebagai unsur perpaduan masyarakat telah membentuk Jawatankuasa Barnes 1950 bagi merealisasikan hasrat mereka untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, bantahan daripada masyarakat Melayu yang enggan menerima pemberatan bahasa Inggeris dan masyarakat Cina yang menuntut British mengkaji semula sistem pendidikan Cina merencatkan hasrat British tersebut.

Menyedari kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, Parti Perikatan pada tahun 1956 telah meluluskan Penyata Razak sebelum diganti dengan Penyata Rahman Talib yang menjadi teras kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam sistem pendidikan Malaysia. Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang menyandang jawatan Menteri Pelajaran pada tahun 1974 telah mewujudkan pula Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini dirangka dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi semua sekolah dan institusi pengajian tinggi. Usaha gigih pemimpin dan pejuang bahasa terdahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai bahasa ilmu inilah yang mencetuskan polemik apabila wujud saranan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.

Selain peranan dan kekuatan bahasa dalam memajukan tamadun bangsa melalui sistem pendidikan, bahasa turut menjadi asas dalam perkembangan budaya dan falsafah pemikiran tamadun bangsanya sendiri. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan sahaja perlu dikuasai dan difahami dari aspek tatabahasa semata-mata. Sebaliknya, keindahan dan ketinggian bahasa Melayu dalam menyampaikan buah fikir turut perlu dimanfaatkan. Tamadun Rom dan Yunani menyaksikan kecemerlangan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Tokoh-tokoh dramatis seperti Aristotles, Plato dan Socrates menyumbang dalam kemajuan ketamadunan mereka dengan penciptaan karya-karya seni terutamanya drama yang dikenali sarwa dunia. Di samping itu, drama-drama Aristotle menjadi landas dalam pembikinan sastera terutamanya penulisan drama baik di Eropah mahupun di rumpun timur. 

Sebagai sebuah tamadun timur yang bersendikan adat dan Islam, tamadun Melayu menyimpan banyak manfaat dan kekuatan bahasa yang dimiliki dalam lapangan kesusasteraan. Tradisi keintelektualan dan kesusasteraan Melayu berkembang selari dengan perkembangan tulisan Jawi yang diresapi daripada sistem tulisan Arab pada kurun ke-14. Penggunaan alam fikir secara mendalam untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu persoalan melibatkan proses berfikir yang berperingkat dan tersusun. Hal ini bagi mendapatkan idea-idea bernas dan hujah yang tepat. Kecanggihan alam fikir masyarakat Melayu lampau diterjemahkan dalam bentuk lisan dan tulisan. Bentuk sastera lisan melibatkan kisah-kisah lipur lara, kisah-kisah binatang, cerita jenaka, cerita nasihat, mitos, cerita asal-usul dan legenda.

Lebih mengagumkan, kesusasteraan dalam tamadun Melayu mempunyai lingkungan yang lebih luas. Tidak hanya tertakluk pada cerita-cerita prosa sahaja. Zaman praliterasi tidak mengekang masyarakat Melayu yang sangat menyanjung tinggi bahasanya memunculkan bentuk ucapan lisan seperti teromba, nazam, seloka, gurindam dan syair. Dalam masa yang sama, kewujudan simpulan bahasa, pepatah-petitih, peribahasa, bidalan dan bahasa kiasan ialah elemen yang menambah daya kesantunan berbahasa dalam bahasa dan sastera Melayu. Setiap genre sastera klasik ini mempunyai aturan penghasilan yang tersendiri namun mempunyai matlamat yang sama iaitu membawa alam fikir dan pemikiran masyarakat Melayu terhadap fenomena yang berlaku di persekitaran. Keunggulan sastera klasik Melayu turut terletak pada bawaan pemikiran yang bersifat merentas zaman dengan akal fikir yang bertitik tolak pada persoalan alam, budaya, agama dan politik. 

Tradisi keintelektualan Melayu dalam bentuk lisan dan tulisan ini berkembang selaras dengan perkembangan tamadun Melayu. Sekiranya Eropah terkenal dengan Oedipus Complex yang menekankan konsep manusia tidak boleh lari daripada takdir dan ramalan, Sejarah Melayu nukilan Tun Sri Lanang kaya dengan permainan bahasa yang membawa khalayak berfikir dengan lebih dalam tentang hakikat kejadian manusia, hubungan sosial, politik dan sistem kenegaraan. Unsur-unsur dan bahasa magis sastera Melayu telah lama wujud melalui karya ini. Penggunaan alam menjadi metafora untuk ahli fikir dan sasterawan lampau mencitrakan inti fikiran dan pemikiran mereka berteraskan jati diri Melayu dan bahasa Melayu.

Pembentukan tamadun Malaysia adalah berteraskan tamadun Melayu. Hal ini jelas dapat dilihat apabila Perlembagaan Persekutuan Malaysia dijadikan sebagai dokumen penting dalam perundangan negara. Perlembagaan ini menjadi bukti akan pengaruh dan kemasukan tamadun Melayu dalam pembentukan tamadun Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum. Bahasa Melayu sebagai bahasa dalam tamadun Melayu diangkat oleh tamadun Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Namun demikian, dasar toleransi membolehkan kaum bukan Melayu terus bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Dasar toleransi ini bertujuan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya. Bahasa bukan sahaja utama dari aspek penggunaan nahu dan ketepatan, sebaliknya mempunyai tugas penting yang melangkaui aspek sosiopolitik dan kemasyarakatan. Bahasa berperanan dalam dasar politik dan tidak terhad pada lingkup linguistik semata-mata.

Dasar bahasa yang dibentuk oleh pemerintah sesebuah negara mahupun tamadun memperlihatkan perlunya kewujudan sebuah bahasa sebagai identiti nasional negara. Pemilihan bahasa yang mewakili negara dan bangsa haruslah bersifat ideal. Pembentukan sebuah bahasa kebangsaan juga menjadi jalan untuk mewujudkan perasaan kebangsaan terhadap masyarakat Malaysia walaupun berbilang bangsa. Dalam hal ini, bahasa Melayu diperlukan sebagai alat untuk melahirkan perasaan jati diri masyarakat. Penyatuan masyarakat melalui bahasa bukan sahaja akan memudahkan komunikasi antara bangsa, bahkan menjadi sendi yang mengukuhkan tamadun Malaysia. Pemahaman terhadap satu bahasa yang sama akan menimbulkan rasa senang antara rakyat dan menjadikan proses komunikasi berjalan lancar. Secara tidak langsung, penjelmaan dasar bahasa Melayu dalam tamadun Malaysia mengurangkan salah faham terutama dalam aspek penyampaian makna (Tamadun Islam dan Tamadun Melayu: 2006).

Sejak zaman kesultanan Melayu lagi, usaha-usaha untuk memelihara bahasa Melayu sebagai sendi peradaban bangsa Melayu dan Malaysia giat dijalankan. Pada tahun 1888, Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) di Johor ditubuhkan bertujuan memajukan bahasa Melayu secara berkumpulan. Dato’ Abdul Rahman Andak yang menjadi pengasas badan ini menjadikan tujuan utama penubuhannya adalah untuk mengendalikan perbincangan tentang bahasa Melayu. Perbincangan yang dilakukan membabitkan aspek ejaan dan perkataan. Pada tahun 1934, Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) berdiri sebagai badan yang bertanggungjawab menggalakkan tradisi karang-mengarang dalam bahasa dan buku-buku Melayu. 

Kemunculan Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS ‘50) pada tahun 1950 telah memperkasakan lagi pejuang-pejuang bahasa yang tahu dan sedar akan ketinggian nilai bahasa dalam mengukuhkan peradaban Melayu seperti A. Samad Ismail, Keris Mas dan Usman Awang. Kemunculan angkatan ini bukan sahaja menghasilkan karya sebagai peluahan emosi dan minat terhadap kesusasteraan. Sebaliknya, golongan ini berjuang menyedarkan masyarakat Melayu melalui konsep “Seni Untuk Masyarakat” dengan kritikan-kritikan sosial. Bahasa dan sastera Melayu menjadi medium sasterawan menyedarkan masyarakat agar bangkit daripada terus dijajah oleh Barat baik dari segi lahiriah mahupun rohaniah. Ledakan kesedaran akan kedaifan hidup orang Melayu terutamanya golongan petani disentuh Usman Awang melalui puisinya berjudul ‘Pak Utih’. Kritikan-kritikan tersebut bukan hanya disampaikan dalam satu genre sastera sahaja namun merangkumi cabang puisi, cerpen, novel dan drama seperti drama Atap Genting Atap Rumbia oleh Kala Dewata.

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 menyemarakkan lagi usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang ketamadunan Malaysia. Pada mulanya, DBP di bawah Kementerian Pelajaran menggunakan nama Balai Pustaka sebelum diubah menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Kewujudan DBP berperanan dalam memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan. Dalam masa yang sama, DBP memainkan fungsinya untuk memajukan bakat kesusasteraan terutamanya dalam bahasa kebangsaan. Usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi tonggak utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang peradaban Malaysia di mata dunia.

Bahasa sebagai sendi tamadun dan bangsa perlu terus dipelihara dan dilestarikan. Sifat bahasa Melayu yang anjal, terbuka, sederhana dan cekap begitu kuat untuk menjadi wakil tamadun Malaysia di peringkat supranasional. Meskipun berbilang bangsa, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati lantaran peranannya yang besar dalam mewujudkan kesatuan negara bangsa Malaysia. Tanpa mengira bangsa dan agama; bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun Malaysia perlu dihormati dan dipelihara agar tamadun Malaysia terus kukuh dan gah di persada dunia sekali gus merealisasikan kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia.”
...
Demi mencapai misi
membangun nusa jaya
hargai teras tamadun kita
baru gemilang negara.

Bahasa sendi tamadun bangsa
sastera bicara budaya
mari teguhkan sumpah
mari daulatkan bahasa.
 (Lirik lagu “Bahasa Sendi Tamadun Bangsa” oleh Awang Sariyan)

2 ulasan: