Sabtu, 13 Oktober 2012

ANTARA CINTA, PERSAHABATAN, KESETIAAN DAN PENGKHIANATAN

SAYA berkesempatan meminjam sebuah novel lama daripada seorang guru saya. Judul novel itu ialah Selasih Ku Sayang yang ditulis oleh Alias Ali. Novel ini diterbitkan oleh Syarikat Perchetakan Utusan Melayu Berhad. Tarikh novel ini terbit tidak pula diberitahu. Walau bagaimanapun, pada halaman penghargaan; penulis memaklumkan bahawa novel in ditulis berdasarkan kisah benar yang diceritakan oleh nenek penulis :

Kesah ini konon benar berlaku, di-sabuah kampong di-Ulu Trengganu. Kapada orang2 di-sini kesah ini di-kenali dengan nama Lubok Mati Bertiga. Kesah ini pernah di-bukukan dulu. Saya tulis kembali cherita ini atas permintaan nenek yang sekarang sudah lebeh sa-ratus tahun usia-nya, tetapi maseh suka bercherita -AA

Latar cerita dalam novel ini adalah pada zaman tradisional. Watak utama dalam novel ini ialah Muda, anak tunggal Mak Sinah yang sudah kematian suami. Manakala, antagonisnya ialah Umbang. Muda dan Umbang ialah rakan yang amat akrab sejak kecil. Mereka sama-sama belajar silat dengan Pak Malim. Apabila usia mereka sudah matang, Muda yang menjalin cinta dengan Dewi. Umbang yang kecewa apabila Dewi memilih Muda sebagai kekasih membuat perancangan untuk merampas Dewi daripada Muda secara rahsia.
Dengan alasan mahu menimba pengalaman dan ilmu di negeri orang, Umbang memujuk Muda untuk berkelana di Ulu Trengganu. Setelah mendapat persetujuan Mak Sinah, Muda dan Umbang mengumpul kayu sebagai bahan dagang mereka. Sebelum meninggalkan Pekan Ipoh, Muda menanam dua pohon Selasih di rumah Dewi. Pohon itu dijadikan Muda sebagai alamat akan keadaan Muda sepanjang kembaranya :

"Dua pokok selaseh itu nanti akan mengganti jasad aku di-sini. Kalau layu selaseh di-kiri alamat-nya aku sakit di perantauan. Kalau layu selaseh di-kanan, alamat-nya mendapat aral dan tidak pulang lagi."

Muda yang amat mempercayai Umbang langsung tidak menaruh wasangka akan niat tersembunyi sahabat itu. Kehilangan Umbang yang tiba-tiba di Pahang membuatkan Muda menyangka Umbang mati dibaham haiwan liar atau berkelana mencari sesuatu. Genap setahun Muda di Ulu Trengganu, dia pun kembali pulang ke Pekan Ipoh seperti yang dijanjikan kepada Mak Sinah dan Dewi. Sebaik sahaja Muda tiba di perkampungannya, barulah dia tahu bahawa Umbang telah mengkhianatinya dengan pulang ke Pekan Ipoh dan membuat khabar bahawa Muda sudah mati. Khabar itu menjadi faktor Umbang berjaya menikahi Dewi secara paksa walaupun gadis itu tetap percaya bahawa Muda masih hidup berdasarkan alamat pohon selasih.

Protagonis Muda digambarkan pengarang sebagai watak yang matang menerima ketetapan takdir. Muda tidak mahu membalas dendam kepada Umbang atas pengkhianatan Umbang kerana peristiwa Umbang menyelamatkan nyawa Muda ketika dia hampir lemas setelah jatuh dari kapal dalam perjalanan ke Pahang. Konflik memuncak apabila Dewi yang hampir gila kerana mencintai Muda dan terpaksa menikahi Umbang menemui Muda pada satu malam. Umbang yang melihat pertemuan itu menjadi amarah dan mahu membunuh Muda. Pada ketika itulah, berlaku pertikaman yang menyebabkan kematian ketiga-tiga mereka.

Pada awalnya, saya tertanya-tanya apakah maksud Lubok Mati Bertiga. Sifat saya yang tidak akan membuka halaman terakhir sebelum selesai membaca menemukan saya bahawa kisah benar (atau mitos?) yang menjadi asas penceritaan novel ini berkisah tentang cinta, persahabatan dan pengkhianatan yang membawa kepada kematian tiga manusia yang berkaitan :

Mata-nya tertuju kepada satu badan yang terkujor di-atas sa-buah batu besar. Dia chepat2 bangun dan berjalan ka-arah tuboh itu. Bila hampir dia melihat tiga mayat bergelimpangan. Sa-bilah keris terchachak di-dada Muda. Pada mayat Dewi dan Umbang kelihatan darah maseh membueh keluar.

Orang tua itu mengeleng2kan kepala-nya.


Tempo penceritaan novel ini agak cepat sehingga memperlihatkan ketergesaan proses penulisannya. Ketergesaan ini membuatkan karya ini meninggalkan banyak lompong yang menimbulkan tanda tanya kepada khalayak pembaca. Selasih Ku Sayang ialah novel Alias Ali yang ketiga selepas Gersang dan Krisis. Dalam karya ini, beliau disifatkan penerbit menerusi rangsang sari (blurb) telah melakukan eskperimen iaitu percubaan baharu dalam penulisan novel (ketika itu).

Menurut pengarangnya, novel yang dijual ketika itu dengan harga $2.60 telah diusahakan sejak tahun 1965 tetapi tergendala penulisannya apabila beliau mengikuti kursus penulisan fiksyen di Writers Workshop, IOWA, AMerika. Perbezaan novel ini dengan novel-novel Alias Ali yang sebelumnya terletak pada penekanan keindahan dan irama bahasa.

Membaca novel ini memancing rasa ingin tahu saya untuk mengetahui lebih lagi tentang Lubok Mati Bertiga.

Di sini saya berikan link mengenai Lubok Mati Bertiga oleh Bernama yang akan didokumentasikan  http://www.sinarharian.com.my/semasa/kisah-lubuk-mati-bertiga-akan-didokumentasi-1.53846

Khamis, 11 Oktober 2012

APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF: SATU TINJAUAN KEWAJARAN

KESUSASTERAAN secara umum bermaksudkan sesuatu yang indah dan bermakna baik dari segi isi dan tubuhnya. Berdasarkan etimologi sastera dan kesusasateraan, penulis sebenarnya menggalas tanggungjawab besar dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu baik dalam bentuk puisi mahupun prosa. Peri penting tanggungjawab seorang penulis dalam memimpin pemikiran dan akal budi masyarakat lewat karya yang dihasilkan perlu tampil secara baik agar mampu diterima baik oleh khalayak pembaca. Dalam hal ini, kesusasteraan yang menitikberatkan unsur estetika perlu dicitrakan oleh penulis bukan sahaja dari aspek pengolahan gaya bahasanya malahan menuntut nilai estetika dari segi persoalan dan pemikiran yang timbul. Pengarang besar, SN Shahnon Ahmad menegaskan peri pentingnya menimbulkan nilai estetika pemikiran, estetika bahasa dan estetika cerita yang menjadi landasan dalam membawa gagasan pemikiran yang cuba disampaikan pengarang.

Dunia kesusasteraan menuntut para penulis untuk mengeksploitasi ruang kreativiti yang ada pada diri dan alam sekitarnya bagi menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan mampu memandu daya fikir khalayak masyarakat agar lebih terarah. Wawasan dan visi penulis perlu jelas iaitu untuk membijaksanakan pembaca dengan kebenaran dan nilai keadilan dalam hidup. Walau bagaimanapun, tidak sedikit penulis baharu yang sering tersasar dalam merealisasikan tanggungjawab murni seorang penulis ini apabila membiarkan diri terikat dengan variasi konsep dan kepelbagaian teori tertentu sewaktu melewati proses kreatif.

Kerja seorang penulis adalah menulis. Konsep ini lebih disenangi oleh kebanyakan penulis baik penulis baharu mahupun penulis mapan. Dalam banyak hal, penulis lebih berasa selesa dalam membebaskan kreativitinya daripada dikongkong oleh sebarang ugeran sewaktu berkarya. Mengongkong diri dengan perkara-perkara kritikal tersebut secara tidak sedar sebenarnya memberi impak pada kesan rasa dan nilai estetika karya yang akan dinikmati oleh pembaca. Dalam hal ini, penulis yang mengikat kerangka kreativitinya dengan bentuk-bentuk teori tertentu akan menjadikan mereka obses untuk memastikan perihal tema, watak dan perwatakan, olahan gaya bahasa, latar dan pelbagai aspek yang menjadi nadi pergerakan sebuah naratif menepati pati teori yang dipegang. Hal ini tidak akan disedari penulis ketika menjalani proses kreatif. Melihat pada penghasilan karya ‘terikat’ sebegini, kesan rasa yang negatif akan menganggu sistem minda pembaca semasa menghadami karya tersebut. Perkara ini terjadi lantaran rasa terpaksa yang akan menghambat suasana bosan khalayak untuk lebih meneliti sari pati karya dalam bentuk yang bukan superfisial.

Penulis umumnya akan mencari sesebuah idea yang ingin ditulis melalui citraan peristiwa, pengalaman yang boleh muncul dari pengalaman peribadi mahupun pengalaman individu lain dan isu-isu kemanusiaan yang berlegar dalam ruang dunia manusiawi dan kemanusiaan. Proses pencarian idea yang ingin digarap ini akan muncul terlebih dahulu dan diperam dalam jangka waktu tertentu sebelum diterjemahkan dalam himpunan aksara. Penulis akan menggunakan pancaindera yang sedia ada untuk mematangkan idea yang timbul dengan bermatlamat untuk memberi ruang cerita luar biasa dengan gagasan pemikiran yang akan memimpin pembaca untuk lebih berfikir tentang diri, alam, dunia, manusia dan tuhan. Hal ini tentunya perlu lahir secara ikhlas dari hati seorang penulis yang menjadikan tulisan sebagai medium menyampaikan hasrat dan visi murni pengamal sastera. Melihat pada lumrah proses kreativiti ini, penulis yang terlalu ghairah untuk mencampuradukkan kerjaya penulis dengan pengkritik akan menjadikan kerja pertukangan seorang penulis termanifestasi sebagai kaku dan kurang nilai seninya lagi. Secara langsung, hal ini akan menjejaskan nilai karya tersebut sebagai sebuah karya sastera yang baik di samping menggugat tugas memanusiakan manusia yang terkandung di dalamnya. 
Namun demikian, penerapan teori ini berbeza dengan pemanfaatan pendekatan tertentu yang boleh menambah daya resepsi pembaca menaakul naratif yang ingin disampaikan pengarang. Misalnya, seseorang penulis boleh memasukkan unsur-unsur wacana yang akan memberi satu ilmu tambahan dalam gubahan cerita dan peristiwa yang dihidangkan kepada pembaca. Pendekatan memasukkan wacana dalam sesebuah karya akan mencambahkan pengalaman dan ilmu pembaca. Walau bagaimanapun, penulis tetap perlu memandu gaya dalam proses kreatif tersebut agar pendekatan memasukkan unsur wacana ini tidak menganggu kepentingan aluran estetik dalam sesebuah karya sastera. Hal ini bagi mengelakkan daripada karya sastera itu dikategorikan sebagai karya ilmiah. Sebagai contoh, Faisal Tehrani merupakan seorang penulis prolifik yang begitu tekal dalam membijaksanakan pembacanya dengan memasukkan unsur-unsur wacana dan ilmu sebagai sari pati karya beliau. Hal ini menunjukkan keprihatian seorang penulis untuk menjadikan bahan bacaan yang dihasilkan bukan sekadar sebuah bahan baca biasa yang membawa masyarakat pembaca ke ruang dimensi imaginasi tanpa hala tuju. Oleh hal yang demikian, seorang penulis yang berwawasan dan mempunyai visi dalam penulisannya tidak seharusnya membiarkan karyanya terumbang-ambing tanpa nilai intelektual yang boleh memberi manfaat kepada pembaca.

Pengamal sastera terutama penulis baharu perlu bijak dalam memberi titik perbezaan yang jelas dalam menentukan bentuk pengaplikasian teori yang boleh menyekat daya kreativiti penulis dengan pendekatan tertentu. Hal ini kerana, pendekatan tertentu dan bersesuaian boleh menjadi kekuatan sesebuah karya tanpa menolak unsur estetikanya. Memanglah bukan satu kesalahan untuk seseorang penulis menulis dengan menjadikan sesebuah teori sebagai sandaran. Namun tidak banyak penulis yang menggunakan kaedah tersebut dalam berkarya. Langkah berani tersebut perlu diambil dengan penguasaan yang tinggi terhadap teori yang dipegang. Sementelahan pula, penulis berkenaan juga perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap unsur estetika karya yang tidak sewajarnya ditelan oleh teori. Menulis bersandarkan teori tertentu akan menjadikan sesebuah karya itu tinggi taraf juga kualitinya dan mampu diterjemah melalui proses enkod dan dekod pembaca. Perkara ini hanya akan berlaku sekiranya penulis benar-benar arif dengan teori serta mempunyai kesedaran mendalam bagi melestarikan nilai estetika karya sastera.

Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hasaan merupakan contoh penulis yang berjaya dalam lapangan kesusasteraan walaupun berpegang teguh pada konsep teater fitrah dalam kebanyakan karya beliau. Kejayaan beliau sebagai dramatis merupakan hasil kekuatan konsep teater fitrah yang diperkenalkan lewat karya-karya yang ditulis seperti 1400, Intan Yang Tercanai dan Mana Setangginya. Karya-karya tersebut merupakan hasil tulisan beliau dengan mengaplikasikan konsep teater fitrah secara sedar. Karya-karya yang diketengahkan lewat konsep yang dihasilkan beliau mampu diterima baik oleh pengamat sastera. Hal ini menunjukkan seseorang penulis yang ingin menulis bersandarkan sesebuah teori mahupun konsep perlu mempunyai daya pengetahuan dan ketekalan sewaktu berkreatif. Perkara ini bermaksud, penulis mampu menguasai atau mewujudkan sesebuah teori dan konsep untuk dijadikan sebagai kayu pengukur kepada hasil penulisannya secara konsisten.

Pewujudan konsep tertentu dan konsistensi dalam memasukkan konsep tersebut ke ruang naratif seperti yang dilakukan Noordin Hassan akan menjadikan sesebuah karya itu bermutu tinggi dan mampu diterima masyarakat. Secara mudah, penulis yang ingin menulis dengan menerapkan teori tertentu sewaktu berkarya perlu mempunyai satu teori khusus dan tekal menulis bersandarkan pada kerangka teori yang dicipta seperti yang dilakukan oleh Noordin Hassan, Shafie Abu Bakar dan Muhammad Hj Salleh. Bagi penulis baharu yang tidak mempunyai pegangan dan pemahaman yang jitu terhadap teori-teori tertentu, perlukah penulis sebegini mengikat proses pengkaryaan dengan teori yang kurang diketahui secara total dan pasti?

Kreativiti seorang penulis akan menjadi lebih bermutu apabila penulis dengan rela hati memberi kepercayaan yang tinggi kepada fikiran rasional dan sentuhan perasaan. Hal ini bersangkutan dengan nilai sensitiviti seorang penulis yang penuh dengan rona-rona estetika untuk diterjemahkan ke dalam karya. Penulis yang memberi kepercayaan kepada kemampuan intelektualnya dalam menulis akan mencambahkan idea yang unik dan tulisan yang mesra dengan khalayak pembaca.

Sasterawan Negara A. Samad Said umpamanya merupakan seorang tokoh penulis yang menunjukkan variasi dalam bernaratif. Kepelbagaian karya beliau yang bermula dengan kejayaan Salina, Sungai Mengalir Lesu, Daerah Zeni dan Hujan Pagi menjadi bukti bahawa kepercayaan yang tinggi terhadap daya imaginasi, estetika dan pengalaman membolehkan beliau menghasilkan pelbagai genre karya bermutu. Misalnya, Salina merupakan karya beliau yang mengangkat kisah kemanusiaan masyarakat Kampung Kambing yang terpaksa berhadapan dengan kepayahan hidup era pasca perang dunia kedua. Kepayahan dan kesulitan hidup diwakilkan pengarang melalui watak Salina, seorang pelacur yang terpaksa menjalani kehidupan payah meskipun pernah dibumbui oleh kesenangan dan kasih sayang keluarga. Sementelahan itu, Salina turut memaparkan citra suara subaltern dalam menuntut warna hidup yang lebih baik pada masa itu.

Lain pula halnya dengan Hujan Pagi yang berkisar pada watak utamanya iaitu Lukman yang menghadapi prahara kejiwaan lantaran perjuangan menjulang kebenaran yang terhalang selaku wartawan. Manakala, Sungai Mengalir Lesu memaparkan gelodak hidup masyarakat Melayu yang berhadapan dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Karya-karya beliau yang menampilkan kepelbagaian tema ini sebenarnya menjadi bukti kejayaan seorang penulis yang tekun melaksanakan tugasnya dengan sepenuh hati tanpa perlu memikirkan teori yang ingin diterapkan.

Sungguhpun begitu, gagasan dan inti karya beliau masih dapat dicari gali oleh para pengkritik dan pengamat sastera yang profesional melalui siratan teori tertentu yang lahir secara tanpa sedar penulis. Melalui pengamatan, paparan watak Salina dan Siti Khatijah dalam novel Salina membawa pelbagai persoalan yang boleh dibongkar melalui pengaplikasian teori feminisme, sama ada yang dipelopori oleh Chery Register mahupun oleh Elaine Showalter. Sementara itu, Hujan Pagi merupakan sebuah karya yang mengangkat permasalahan psikologi manusia. Hal ini terungkap melalui watak Lukman yang berhalusinasi bagi menjayakan matlamat yang gagal dilaksanakan di alam realiti. Persoalan psikologi manusia dalam Hujan Pagi boleh diselongkar oleh para pengkritik sastera melalui pengaplikasian Teori Psikoanalisis Lacan mahupun Teori Psikoanalisis Klasik oleh Sigmund Freud. Sementara itu, Sungai Mengalir Lesu merupakan imejan unsur kemanusiaan masyarakat Melayu yang tertindas di tanah air sendiri pada zaman pendudukan Jepun. Persoalan ini dapat diteliti melalui penerapan teori Studi Budaya yang digunakan pengkritik sastera bersandarkan anatomi naratif Sungai Mengalir Lesu itu sendiri.

Kepelbagaian genre novel yang dihasilkan oleh A. Samad Said memperlihatkan keberhasilan beliau selaku seorang pengarang yang memberi kebebasan dalam ruang kreativitinya tanpa mengekang idea dan jaluran naratif dengan teori-teori tertentu. Hal ini memperlihatkan satu pemahaman yang tinggi oleh A. Samad Said terhadap tanggungjawab beliau sebagai penulis yang memerlukan daya estetika yang tinggi bagi menjalankan tugas sebagai perakam masa dan peramal masa depan.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula menidakkan kebolehan dan keupayaan sesebuah teori dalam menghasilkan sesebuah karya yang baik. Perkara ini memerlukan keseimbangan yang jelas iaitu antara nilai estetika dan pendekatan mahupun teori yang digunakan. Sekiranya penulis terutamanya penulis baharu ingin mengaplikasikan penerapan teori sewaktu berkarya, penulis wajar memberi keseimbangan yang adil terhadap kedua-dua perkara tersebut. Hal ini penting agar karya yang dihasilkan mampu berdiri sebagai sebuah karya yang berupaya menarik minat dan fikiran khalayak pembaca untuk mengamati karya dengan lebih mendalam.

Dalam hal ini, penyair misalnya boleh mengaplikasikan Teori Stilistik yang berkait rapat dengan gaya untuk menghasilkan sesebuah puisi yang berkesan. Sebagai contoh, penggunaan hybrid memperlihatkan dua perkataan yang dicantumkan berfungsi untuk menambahkan kekayaan bahasa. Sesuatu perkataan hybrid itu adalah melambangkan atau menggambarkan keadaan mahupun suasana lain yang menjadi mesej sesebuah karya sastera. Manakala, penggunaan bahasa figuratif gaya kiasan dalam sesebuah tulisan baik berupa puisi mahupun bukan puisi mampu menonjolkan nilai-nilai estetik, retorik dan nilai-nilai konotatif terhadap karya yang mampu memberi kesan kepada daya resepsi dan pemikiran khalayak. Menurut Hashim Ismail, penguasaan bahasa figuratif yang baik boleh menjadikan sesebuah karya itu kaya dengan makna. Penyair boleh mengambil kesempatan daripada konsep licentia poetica untuk menggunakan manipulasi bahasa sebijak yang mungkin bagi mengungkapkan makna yang sebanyak mungkin. Dari sini, lahirlah hasil penciptaan karya kreatif dengan nilai-nilai tanggapan dan nilai-nilai perasaan yang menimbulkan kesan berbeza bergantung pada proses pembacaan dan penghayatan seseorang.

Melalui pemahaman terhadap Teori Stilistik, penulis mahupun penyair mampu meluaskan ruang idea dengan penggunaan bahasa figuratif yang membolehkan penyair menjangkau tahap kesan manipulasi lambang dan manipulasi kiasan. Bahasa kiasan dan bahasa perlambangan merupakan dua unsur yang menghidupkan unsur figuratif penyair. Hakikatnya, bahasa figuratif ini akan menjadikan bahasa puisi menjadi lebih segar, bertenaga, indah dan berkesan dari segi pengalaman, perasaan serta pemikiran. Melalui pemahaman terhadap Teori Stilistik, para penyair terutamanya penyair baharu mampu menghasilkan sesebuah puisi yang lebih baik dan bermutu kerana mampu menjadikan bahasa puisinya tidak sekadar sarat dengan unsur dekoratif bahasa sebaliknya padat dengan unsur pemikiran yang terungkap dalam gaya bahasa yang berkesan. Hal ini menunjukkan bahawa penulis boleh mengaplikasikan sesebuah teori sewaktu berkarya dengan mengambil kira faktor inti dan bentuk karya yang ingin dihasilkan.

Intihanya, tidak semua penulis mampu menulis dengan baik tanpa menghakis nilai estetika dalam karya sekiranya mengikat kerangka kreativiti dengan teori mahupun konsep tertentu. Penulis wajar mengenal pasti hakikat sebenar tanggungjawab seorang penulis agar karya yang dihasilkan mampu diterjemahkan secara baik oleh masyarakat pembaca tanpa melahirkan sebarang unsur bosan atau paksaan. Hal ini kerana sifat kedua-dua unsur ini yang boleh menghilangkan rasa teruja pembaca terhadap kisah dan subteks yang tersembunyi dalam sebuah karya sastera yang baik. Oleh hal yang demikian, kejelasan antara peranan penulis dengan pengkritik perlu dihayati oleh para penulis baharu yang ingin berkecimpung dalam dunia kesusasteraan.

Tunas Cipta, April 2010

Selasa, 2 Oktober 2012

BAHASA TUNJANG KETAMADUNAN BANGSA DAN NEGARA

SEJARAH perkembangan manusia membuktikan bahasa sebagai elemen penting dalam susur galur kehidupan dan kebudayaan. Bahasa sebagai wadah untuk interaksi berperanan memastikan kelancaran kehidupan manusia. Pembinaan sesebuah tamadun turut berkait rapat dengan kewujudan bahasa. Dalam pembinaan peradaban, bahasa dianggap antara faktor penggerak kewujudan tamadun. Malahan, bahasa menjadi identiti dan simbol yang mewakili tamadun.

Tamadun-tamadun besar seperti Islam, Yunani, Rom dan Mesir telah memperlihatkan kehebatannya. Terdapat tinggalan kemajuan tamadun berkenaan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Namun demikian, kewujudan tamadun-tamadun agung ini tetap bertitik tolak daripada asas pembinaan tamadun yang sama. Selain kewujudan petempatan dan aturan organisasi, bahasa dan sistem tulisan tersendiri ialah asas penting dalam pembentukan tamadun. Melalui bahasa, masyarakat dalam tamadun dan antara tamadun dapat berkomunikasi sekali gus melancarkan rutin kehidupan dan pembangunan peradaban. 

Sistem tulisan dan bahasa menjadi perantara komunikasi, alat perakam, penyampaian dan pewarisan khazanah tamadun dalam pelbagai bidang ilmu. Manakala, bahasa penting dalam pembangunan tamadun bangsa dan negara lantaran daripada peranan bahasa itu sendiri. Bahasa bukan semata-mata alat untuk perhubungan harian sebaliknya menjadi wahana dalam pencarian dan penyampaian ilmu pengetahuan. Jika ditinjau aspek keunggulan tamadun Islam, kegemilangannya tidak terhad pada sisi akidah semata-mata. Sebaliknya, tamadun Islam mengungguli sejarah peradaban dunia disebabkan sifat syumul yang ada padanya. Kemajuan tamadun Islam dalam dunia perubatan, kejuruteraan, matematik, ilmu alam, seni bina dan sebagainya menarik perhatian tamadun Barat untuk menyerap ilmu-ilmu tersebut ke dalam tamadun mereka. Namun demikian, penyerapan ilmu berkenaan tidak dibuat dengan menggunakan bahasa Arab yang digunakan dalam tamadun Islam. Tamadun Barat seperti Yunani memindahkan segala ilmu yang diambil daripada tamadun Islam ke dalam bahasa Yunani sendiri. Tindakan itu berdasarkan pemahaman yang jitu masyarakat dalam tamadun bahawa masyarakat dan peradabannya akan menjadi lebih ideal apabila menggunakan bahasa mereka sendiri, walaupun ilmu itu diambil daripada tamadun asing.

Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kurun sebelum kemodenan, sebaliknya turut wujud dalam pembinaan tamadun dan negara semasa. Korea, Jepun, China, Rusia dan Perancis menjadi contoh terbaik dalam memperlihatkan kemajuan peradaban negara dan bangsa melalui ketekalan penggunaan bahasa ibunda masing-masing. Negara-negara tersebut tidak mengambil bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris sebagai agen memajukan negara dan bangsa. Mereka tidak sesekali terpengaruh dengan kegilaan segelintir golongan yang menganggap bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa yang mampu mengangkat nilai intelektual tamadun negara dan bangsa. 

Bahasa Melayu yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun Melayu seterusnya menjadi tunjang tamadun Malaysia telah melalui jalan dan rintangan yang pelbagai untuk terus bertahan. Perlembagaan Malaysia mentakrifkan ‘Melayu’ sebagai manusia yang menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, mengamalkan cara hidup Melayu dan menganut agama Islam (Nik Safiah Karim: 2005).

Sebelum termaktub Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1967) yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia, bahasa Melayu telah pun diangkat sebagai bahasa antarabangsa (lingua franca) pada abad ke-14 lagi. Pada masa itu, bahasa Melayu menjadi akar pentadbiran, pemerintahan, perdagangan dan kemasyarakatan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Kedudukan strategik Melaka yang terletak di antara laluan timur dan barat menjadi pusat tumpuan pedagang antarabangsa sehingga dikenali sebagai malakat, yang bermaksud tempat perhimpunan segala pedagang. Setiap pedagang yang tiba di Melaka mengetahui dan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. 

Kerajaan Srivijaya yang menakluki kerajaan Melayu-Jambi sebelum kemunculan Kerajaan Melayu Melaka telah mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi disebabkan kecekapan bahasa Melayu. Seterusnya, bahasa Melayu yang menjadi alat komunikasi dalam ketamadunan Kerajaan Srivijaya telah secara langsung memberi peluang kepada bahasa Melayu berkembang dan maju sejajar dengan kemajuan tamadun Srivijaya. Keunggulan bahasa Melayu juga telah diiktiraf oleh cendekiawan Barat. Sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dianggap sebagai ketinggalan zaman dan tidak mengikut arus kemajuan. Francois Valentjin, seorang bestari Belanda menyebut bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti berikut :

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina." (Nik Safiah Karim: 2003)

Zaman penjajahan Inggeris ialah latar masa yang menyaksikan kegemilangan bahasa Melayu mula diganggu gugat. Pihak British yang menyedari keunggulan bahasa Melayu di Tanah Melayu cuba memecahbelahkan rakyat berbilang kaum. Bahasa Melayu yang berperanan penting dalam pembentukan tamadun Melayu dan Malaysia dikekang daripada terus diterima oleh lapisan masyarakat majmuk. British yang menyedari kekuatan bahasa sebagai unsur perpaduan masyarakat telah membentuk Jawatankuasa Barnes 1950 bagi merealisasikan hasrat mereka untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, bantahan daripada masyarakat Melayu yang enggan menerima pemberatan bahasa Inggeris dan masyarakat Cina yang menuntut British mengkaji semula sistem pendidikan Cina merencatkan hasrat British tersebut.

Menyedari kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, Parti Perikatan pada tahun 1956 telah meluluskan Penyata Razak sebelum diganti dengan Penyata Rahman Talib yang menjadi teras kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam sistem pendidikan Malaysia. Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang menyandang jawatan Menteri Pelajaran pada tahun 1974 telah mewujudkan pula Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini dirangka dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi semua sekolah dan institusi pengajian tinggi. Usaha gigih pemimpin dan pejuang bahasa terdahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai bahasa ilmu inilah yang mencetuskan polemik apabila wujud saranan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.

Selain peranan dan kekuatan bahasa dalam memajukan tamadun bangsa melalui sistem pendidikan, bahasa turut menjadi asas dalam perkembangan budaya dan falsafah pemikiran tamadun bangsanya sendiri. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan sahaja perlu dikuasai dan difahami dari aspek tatabahasa semata-mata. Sebaliknya, keindahan dan ketinggian bahasa Melayu dalam menyampaikan buah fikir turut perlu dimanfaatkan. Tamadun Rom dan Yunani menyaksikan kecemerlangan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Tokoh-tokoh dramatis seperti Aristotles, Plato dan Socrates menyumbang dalam kemajuan ketamadunan mereka dengan penciptaan karya-karya seni terutamanya drama yang dikenali sarwa dunia. Di samping itu, drama-drama Aristotle menjadi landas dalam pembikinan sastera terutamanya penulisan drama baik di Eropah mahupun di rumpun timur. 

Sebagai sebuah tamadun timur yang bersendikan adat dan Islam, tamadun Melayu menyimpan banyak manfaat dan kekuatan bahasa yang dimiliki dalam lapangan kesusasteraan. Tradisi keintelektualan dan kesusasteraan Melayu berkembang selari dengan perkembangan tulisan Jawi yang diresapi daripada sistem tulisan Arab pada kurun ke-14. Penggunaan alam fikir secara mendalam untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu persoalan melibatkan proses berfikir yang berperingkat dan tersusun. Hal ini bagi mendapatkan idea-idea bernas dan hujah yang tepat. Kecanggihan alam fikir masyarakat Melayu lampau diterjemahkan dalam bentuk lisan dan tulisan. Bentuk sastera lisan melibatkan kisah-kisah lipur lara, kisah-kisah binatang, cerita jenaka, cerita nasihat, mitos, cerita asal-usul dan legenda.

Lebih mengagumkan, kesusasteraan dalam tamadun Melayu mempunyai lingkungan yang lebih luas. Tidak hanya tertakluk pada cerita-cerita prosa sahaja. Zaman praliterasi tidak mengekang masyarakat Melayu yang sangat menyanjung tinggi bahasanya memunculkan bentuk ucapan lisan seperti teromba, nazam, seloka, gurindam dan syair. Dalam masa yang sama, kewujudan simpulan bahasa, pepatah-petitih, peribahasa, bidalan dan bahasa kiasan ialah elemen yang menambah daya kesantunan berbahasa dalam bahasa dan sastera Melayu. Setiap genre sastera klasik ini mempunyai aturan penghasilan yang tersendiri namun mempunyai matlamat yang sama iaitu membawa alam fikir dan pemikiran masyarakat Melayu terhadap fenomena yang berlaku di persekitaran. Keunggulan sastera klasik Melayu turut terletak pada bawaan pemikiran yang bersifat merentas zaman dengan akal fikir yang bertitik tolak pada persoalan alam, budaya, agama dan politik. 

Tradisi keintelektualan Melayu dalam bentuk lisan dan tulisan ini berkembang selaras dengan perkembangan tamadun Melayu. Sekiranya Eropah terkenal dengan Oedipus Complex yang menekankan konsep manusia tidak boleh lari daripada takdir dan ramalan, Sejarah Melayu nukilan Tun Sri Lanang kaya dengan permainan bahasa yang membawa khalayak berfikir dengan lebih dalam tentang hakikat kejadian manusia, hubungan sosial, politik dan sistem kenegaraan. Unsur-unsur dan bahasa magis sastera Melayu telah lama wujud melalui karya ini. Penggunaan alam menjadi metafora untuk ahli fikir dan sasterawan lampau mencitrakan inti fikiran dan pemikiran mereka berteraskan jati diri Melayu dan bahasa Melayu.

Pembentukan tamadun Malaysia adalah berteraskan tamadun Melayu. Hal ini jelas dapat dilihat apabila Perlembagaan Persekutuan Malaysia dijadikan sebagai dokumen penting dalam perundangan negara. Perlembagaan ini menjadi bukti akan pengaruh dan kemasukan tamadun Melayu dalam pembentukan tamadun Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum. Bahasa Melayu sebagai bahasa dalam tamadun Melayu diangkat oleh tamadun Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Namun demikian, dasar toleransi membolehkan kaum bukan Melayu terus bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Dasar toleransi ini bertujuan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya. Bahasa bukan sahaja utama dari aspek penggunaan nahu dan ketepatan, sebaliknya mempunyai tugas penting yang melangkaui aspek sosiopolitik dan kemasyarakatan. Bahasa berperanan dalam dasar politik dan tidak terhad pada lingkup linguistik semata-mata.

Dasar bahasa yang dibentuk oleh pemerintah sesebuah negara mahupun tamadun memperlihatkan perlunya kewujudan sebuah bahasa sebagai identiti nasional negara. Pemilihan bahasa yang mewakili negara dan bangsa haruslah bersifat ideal. Pembentukan sebuah bahasa kebangsaan juga menjadi jalan untuk mewujudkan perasaan kebangsaan terhadap masyarakat Malaysia walaupun berbilang bangsa. Dalam hal ini, bahasa Melayu diperlukan sebagai alat untuk melahirkan perasaan jati diri masyarakat. Penyatuan masyarakat melalui bahasa bukan sahaja akan memudahkan komunikasi antara bangsa, bahkan menjadi sendi yang mengukuhkan tamadun Malaysia. Pemahaman terhadap satu bahasa yang sama akan menimbulkan rasa senang antara rakyat dan menjadikan proses komunikasi berjalan lancar. Secara tidak langsung, penjelmaan dasar bahasa Melayu dalam tamadun Malaysia mengurangkan salah faham terutama dalam aspek penyampaian makna (Tamadun Islam dan Tamadun Melayu: 2006).

Sejak zaman kesultanan Melayu lagi, usaha-usaha untuk memelihara bahasa Melayu sebagai sendi peradaban bangsa Melayu dan Malaysia giat dijalankan. Pada tahun 1888, Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) di Johor ditubuhkan bertujuan memajukan bahasa Melayu secara berkumpulan. Dato’ Abdul Rahman Andak yang menjadi pengasas badan ini menjadikan tujuan utama penubuhannya adalah untuk mengendalikan perbincangan tentang bahasa Melayu. Perbincangan yang dilakukan membabitkan aspek ejaan dan perkataan. Pada tahun 1934, Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) berdiri sebagai badan yang bertanggungjawab menggalakkan tradisi karang-mengarang dalam bahasa dan buku-buku Melayu. 

Kemunculan Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS ‘50) pada tahun 1950 telah memperkasakan lagi pejuang-pejuang bahasa yang tahu dan sedar akan ketinggian nilai bahasa dalam mengukuhkan peradaban Melayu seperti A. Samad Ismail, Keris Mas dan Usman Awang. Kemunculan angkatan ini bukan sahaja menghasilkan karya sebagai peluahan emosi dan minat terhadap kesusasteraan. Sebaliknya, golongan ini berjuang menyedarkan masyarakat Melayu melalui konsep “Seni Untuk Masyarakat” dengan kritikan-kritikan sosial. Bahasa dan sastera Melayu menjadi medium sasterawan menyedarkan masyarakat agar bangkit daripada terus dijajah oleh Barat baik dari segi lahiriah mahupun rohaniah. Ledakan kesedaran akan kedaifan hidup orang Melayu terutamanya golongan petani disentuh Usman Awang melalui puisinya berjudul ‘Pak Utih’. Kritikan-kritikan tersebut bukan hanya disampaikan dalam satu genre sastera sahaja namun merangkumi cabang puisi, cerpen, novel dan drama seperti drama Atap Genting Atap Rumbia oleh Kala Dewata.

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 menyemarakkan lagi usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang ketamadunan Malaysia. Pada mulanya, DBP di bawah Kementerian Pelajaran menggunakan nama Balai Pustaka sebelum diubah menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Kewujudan DBP berperanan dalam memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan. Dalam masa yang sama, DBP memainkan fungsinya untuk memajukan bakat kesusasteraan terutamanya dalam bahasa kebangsaan. Usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi tonggak utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang peradaban Malaysia di mata dunia.

Bahasa sebagai sendi tamadun dan bangsa perlu terus dipelihara dan dilestarikan. Sifat bahasa Melayu yang anjal, terbuka, sederhana dan cekap begitu kuat untuk menjadi wakil tamadun Malaysia di peringkat supranasional. Meskipun berbilang bangsa, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati lantaran peranannya yang besar dalam mewujudkan kesatuan negara bangsa Malaysia. Tanpa mengira bangsa dan agama; bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun Malaysia perlu dihormati dan dipelihara agar tamadun Malaysia terus kukuh dan gah di persada dunia sekali gus merealisasikan kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia.”
...
Demi mencapai misi
membangun nusa jaya
hargai teras tamadun kita
baru gemilang negara.

Bahasa sendi tamadun bangsa
sastera bicara budaya
mari teguhkan sumpah
mari daulatkan bahasa.
 (Lirik lagu “Bahasa Sendi Tamadun Bangsa” oleh Awang Sariyan)