Isnin, 24 September 2012

GEMBIRALAH MEMBACA

MEMBACA memberi kepuasan yang berbeza bagi setiap individu. Saya berkenalan dengan seorang wanita warga emas. Usianya sekitar 65 tahun. Wanita tua ini tidak berpendidikan tinggi namun kesemua anaknya cemerlang dalam lapangan kerjaya yang mereka ceburi. Wanita yang tidak berpendidikan tinggi, yang kerjanya semata-mata sebagai suri rumah tangga sepenuh masa ini mempunyai kecintaan yang amat tinggi terhadap buku.

Saban hari, wanita tua itu tidak akan melepaskan peluang membaca surat khabar. Akan ada surat khabar aneka penerbit di atas meja yang terdapat di ruang tamu. Malah, wanita itu akan berasa sakit pada bahagian kepala sekiranya tidak membaca walaupun hanya untuk satu hari. Bagi memenuhi keperluan emosi dan intelek wanita ini, anaknya yang bekerja sebagai guru akan membeli pelbagai jenis buku buat tatapan bonda tercinta itu. Dari buku agama, politik hinggalah genre novel akan dibaca oleh wanita itu dengan senang hati. Wanita itu selalu memperuntukkan masa untuk membaca kerana itulah perbuatan yang akan memberi kepuasan kepada emosi dan fikirannya.

Ingatan saya terhadap wanita tua itu amat kuat apabila seorang pelajar ijazah bertanya kepada saya. Bagaimana mahu membaca dengan gembira? Pelajar ini mengikuti kursus berkaitan sastera yang memfokus pada salasilah kesusasteraan Melayu. Kursus yang menuntut para pelajar membaca lebih banyak sebagai pembaca aktif, bukannya pembaca pasif. Sulalatus Salatin, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Tuhfat al-Nafis terasa amat membebankan bagi yang bertanya. Sekiranya dunia sastera mempunyai jumlah pelajar sastera yang besar tetapi tohor kecintaan terhadap ilmu, buku dan baca, apakah dunia sastera Melayu akan kekal lestari di tangan Generasi Y?

Bagaimana mahu rasa suka dan gembira ketika membaca?

Persoalan ini seharusnya dijawab dengan soalan juga. Mengapa rasa benci dan sukar untuk membaca? Bagi pelajar, karya-karya agung yang mempunyai latar dan jarak masa yang begitu jauh akan menjadi alasan utama. Penggunaan bahasa yang panjang, berbelit-belit dan diksi-diksi arkaik tambah menjarakkan lagi pemahaman pelajar sekali gus membuahkan rasa jemu terhadap karya. Jika ditelusuri, perasaan ini timbul apabila pelajar meletakkan dirinya sebagai 'PELAJAR' terhadap karya yang dibaca. Pelajar tidak akan berasa jemu, bosan dan marah ketika disuruh membaca karya-karya sastera sekiranya pelajar meletakkan diri sebagai PENGKAJI dan PEWARIS karya-karya berkenaan. Hal ini akan membuatkan pelajar membaca karya-karya berkenaan dengan rasa senang hati, suka, rela dan ikhlas untuk memahami susur galur sastera Melayu yang diwarisi dari nenek moyang kita sendiri.

Sakitnya hati pelajar membaca sirah Sejarah Melayu yang bermula dengan perjalanan Raja Suran akan terubat sekiranya pelajar menanggapi karya tersebut sebagai bahan dokumentasi hidup dan sudut pandang masyarakat Melayu dahulu. Pemupukan rasa cinta terhadap sejarah bangsa Melayu akan mencuit rasa ingin tahu pembaca terhadap corak hidup masyarakat dahulu yang dapat kita ketahui hari ini hanya melalui pembacaan dan kajian terhadap bahan yang dibaca itu.

Di samping itu, rasa suka dan gembira ketika membaca akan mekar dalam sanubari pelajar sekiranya pelajar menetapkan fokus dan matlamat sebagai insan yang bergelar PELAJAR. Apabila pelajar menghargai keberadaan pelajar di sesebuah intitusi yang 'menghidangkan' ilmu, pengetahuan dan pengalaman, maka hal ini sedikit sebanyak akan membantu pelajar untuk menikmati bahan baca dan melakukan tugasan dengan keseronokan yang berganda. Rasa menghargai peluang yang pelajar terima untuk melanjutkan pengajian seharusnya asbab untuk pelajar menghargai setiap perkara yang perlu pelajar jalani sepanjang berada di institusi pengajian, sekali gus menjadi batu loncatan untuk pelajar mengaplikasi ilmu daripada bahan baca dan kajian terhadap sesuatu buku itu apabila pelajar benar-benar berada dalam lapangan kerjaya yang berkaitan satu masa nanti. Membaca sebagai pelajar menuntut pelajar menjadi lebih kritis. Membaca bukan dengan sekadar menjadi penerima sebaliknya berupaya menyaring setiap perkara yang pelajar terima dengan bijaksana.

Hargailah peluang kalian untuk bergelar mahasiswa sesebuah institusi pengajian tinggi kerana tidak semua insan mampu berada di tempat kalian. Berpeluang duduk di bangku pengajian dan mengaut sebanyak ilmu yang dikongsikan oleh guru-guru anda yang berpengalaman dan berpengetahuan. Apabila anda menghargai peluang tersebut, anda tahu pengorbanan yang perlu anda dan keluarga berikan demi menyelesaikan sesebuah pengajian itu; anda akan  dapat berasa betapa indahnya dunia ilmu yang sedang anda ceburi. Dengan kesedaran ini, anda akan sentiasa berasa tenang, sabar, tekun dan gembira untuk membaca malah - anda akan berasa resah, gelisah seandainya tidak membaca apatah lagi membaca hasil tulisan yang bermutu tinggi.

Membacalah, kerana itu perintah pertama daripada Allah. Membacalah, kerana itu yang akan menyedarkan anda betapa luasnya ilmu Allah di dunia ini. Bagi pelajar jurus kesusasteraan, tiada alasan untuk anda berhenti atau membenci buku kerana buku dan baca ialah alat utama dalam bidang yang serba indah ini. Marilah kita menjadi individu yang suka, gembira dan ikhlas membaca tanpa berasa terpaksa seperti wanita tua dalam perenggan awal tulisan saya ini. Membaca memberi pengetahuan dan pengalaman bagi memperkukuh takah kematangan seseorang insan.

Selamat membaca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan