Ahad, 23 September 2012

KUASA KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN

kritikan sastera bermaksud analisis, penilaian dan penyelongkaran 'ruang' terdalam terhadap sesebuah karya. Karya yang terbaik tanpa bantuan kritikan akan menjadi sepi dan kurang dikenali masyarakat. Sebaliknya, karya sastera yang mendapat perhatian pengkritik lebih dikenali sekali gus menyebarluaskan keberadaan karya tersebut dalam dunia persuratan. Kritikan turut menjadi wadah bagi meneliti struktur dan aspek dalaman yang wujud dalam anatomi sesebuah karya. Di samping itu, kritikan berfungsi memberi ruang lebih terbuka kepada khalayak pembaca bagi memahami inti pati karya sekali gus menghapuskan salah faham antara pembaca dengan pengarang.
Menerusi Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara, buku dengan ketebalan 686 halaman ini menjadi bahan dokumentasi penting dalam meriwayatkan aneka pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan untuk dihayati generasi demi generasi. 32 buah kritikan di dalam buku ini khusus menterjemahkan pandangan beliau terhadap kehidupan bermasyarakat merangkumi isu agama, budaya, politik dan kemanusiaan.
10 buah novel yang dikaji ialah Orang Kota Bharu, Juara, Pertentangan, Perjudian, Nagogho Astana, Wajah Seorang Wanita, Ustaz, Angin Timur Laut, Perwira dan Pengertian selain enam buah cerpen. Menariknya, himpunan kritikan terhadap karya-karya S. Othman Kelantan ini memperlihatkan lapisan demi lapisan pemikiran yang diketengahkan telah dikupas pengkritik secara mendalam menerusi pendekatan mahupun teori tertentu. Setiap pendekatan menemukan pemikiran yang berbeza walaupun digunakan pada satu karya yang sama.
Mohd Yusof Hasan menerusi “Orang Kota Baharu Dalam Teori SPB4K” menterjemahkan karya agung pengarang tersebut dengan penerapan teori tersendiri. Berdasarkan tiga sumber utama iaitu Addinul Islam, tamadun Barat-Timur dan masyarakat Melayu-Malaysia, pengkritik mendapati wujudnya persoalan mengenai hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam yang padu di dalam novel itu. Berdasarkan kajian, pengarang dikesan menimbulkan persoalan orang Melayu menerusi simbol Kota Bharu yang tersepit antara amal makruf dan nahi mungkar. Melalui pendekatan tempatan yang digunakan pengkritik, kritikan ini mempunyai kekuatan tafsiran yang kuat namun sedikit pincang apabila tidak memperlihatkan rujukan yang mantap sebagai asas kritikan yang cemerlang.
Novel Juara ialah novel sarat konflik politik desa yang menjadi imejan perkembangan sistem politik tempatan. Novel yang telah diadaptasi ke medium layar dengan judul Jogho ini dikritik oleh Abdul Rahman Napiah menerusi judul “Juara Dalam Teori Teksdealisme” yang mencari citra keunggulan yang cuba dibawa pengarang baik terhadap karya mahupun keperibadian pengarang sendiri. Teori ini melihat Juara sebagai karya yang kurang menyerlah berbanding novel-novel pengarang yang lain terutamanya dari aspek penyelidikan. Namun, teks ini dikesan memperlihatkan pengukuhan daripada kesedaran pengarang berserta daya naratif yang kukuh.
Kritikan sastera bukan sekadar memberi pentafsiran sudut pandang pengarang terhadap kehidupan menerusi karya. Sebaliknya, kritikan sastera yang bermutu berupaya menerobos sempadan emosi pengarang dan mengesan sebab pengarang menghasilkan sesebuah karya menerusi ilmu psikologi. Awang Azman Awang Pawi menerusi “Wajah Seorang Wanita : Bacaan Psikoanalisis” menampilkan S. Othman Kelantan selaku anak yang terlalu menghargai kehadiran ibu dalam kehidupannya. Dengan meneliti teori-teori psikoanalisis Freud atau Lacan dan Derrida yang menolak gagasan Freud, karya ini menggunakan watak Siti Musalmah bagi membawa imejan kekuatan dan ketabahan ibu pengarang yang berjuang membesarkan anak-anak walaupun bergelar ibu, janda, nenek dan manusia dengan aneka pancaroba sekitarnya. Kritikan ini juga melihat kemungkinan pengarang berada di peringkat bawah sedar dengan keinginan menjadi tokoh politik dan bangsa yang berjaya.
Himpunan kritikan terhadap pemikiran sasterawan negara ini kebanyakannya didasari pada teori-teori dari Barat sekali gus memperlihatkan kemiskinan sastera tempatan dengan pendekatan tersendiri selain Teori Konseptual Kata Kunci, Teori Rasa Femenologi dan Teori Persuratan Baharu. Adalah penting sekiranya karya-karya tempatan dikritik menggunakan teori tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini memerlukan usaha keras pengkritik agar lebih kritis berfikir supaya tidak terus berada di bawah telunjuk teori-teori Barat. Hakikatnya, buku ini amat bernilai bukan sahaja bagi penggemar sastera malah kepada pengamal sastera yang mempunyai keinginan untuk mengenali dan menguasai dunia kritikan yang amat diperlukan bagi melestarikan bidang kesusasteraan tempatan.

1 ulasan:

  1. terima kasih ya Cik Fatihah memberi saya sedikit panduan tentang dunia kesusasteraan :)

    BalasPadam