Selasa, 18 September 2012

ESTETIKA PENGULANGAN DALAM STILISTIK

PENGULANGAN yang juga disebut sebagai repetisi merujuk gaya bahasa yang mengandungi pengulangan bunyi, pengulangan bahasa dan pengulangan struktur. Menurut Donald C. Freeman, aliran kedua dalam pendekatan stilistik ialah aliran yang meneliti stail dari sudut pengulangan atau pengulangan pola-pola. Hal ini bermakna dalam hasil ciptaan, para pengarang sering berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kesan dan kekuatan dengan melakukan pengulangan.
Dharmawijaya menyatakan bahawa unsur pengulangan ini digunakan untuk memenuhi beberapa fungsi. Pertamanya, untuk menimbulkan irama atau suasana muzikal terutama apabila puisi itu dideklamasikan. Kedua, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan utama bagi penyairnya. Ketiga, menarik tumpuan perhatian. Pengulangan berfungsi bagi menimbulkan kesan keindahan tertentu untuk mencapai intensiti.
Pengulangan Aspek Bahasa
Pengulangan aspek dalam puisi boleh diteliti dari segi pengulangan kata, frasa atau ungkapan, kalimat atau ayat berangkap. Pengulangan kata dalam puisi boleh berlaku di awal, tengah, akhir serta di awal dan akhir baris atau rangkap sesebuah puisi.
 Anafora ialah pengulangan kata pertama pada setiap baris atau ayat. Sufian Husin menyatakan anafora adalah satu cara pengulangan iaitu perkataan-perkataan yang sama diulang pada permulaan (atau lebih satu baris atau ungkapan). Cara begini sering wujud dalam puisi.
Drs. Atmazaki menjelaskan anafora ialah pengulangan bunyi, kata atau struktur sintaksis pada lirik atau kalimat yang berturutan untuk mendapatkan kesan tertentu. Pengulangan anafora berfungsi memberi penegasan kepada sesuatu persoalan atau perasaan. Dengan adanya pengulangan maka penyebutan sudah tentu mengandungi irama dan intonasi tersendiri. Pengulangan malah berjaya meninggalkan kesan irama dan muzikal yang segar dan tidak memberi tekanan atau kebosanan.
            Contoh pengulangan anafora :
tau-taulah di bintang satu
di hari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara
di hari mati kita mengira pahala dalam dosa.
                                                                         (KPJK:1)

Sementara itu, epifora ialah pengulangan yang melibatkan pengulangan kata di akhir setiap baris atau ayat. Rahman Shaari menyamakan epifora dengan episfora dan mendefinisikannya sebagai perulangan kata di akhir baris. Gaya bahasa episfora adalah kebalikan unsur gaya bahasa anafora. Gaya bahasa episfora lebih menonjol dalam puisi.
            Contoh pengulangan episfora :
di jendela pagi ini
seri begawan

lalu di ranjang malam ini
seri begawan
                                          (KPJK:27)

Selain itu, simploke pula ialah pengulangan kata pada awal dan akhir setiap baris (apitan). Dharmawijaya menggunakan unsur ini secara berkesan dalam Kumpulan Puisi Jejak Kembara seperti contoh berikut :
bening pagi
di bayang pandangmu

gementar senja yang tiba
di lelah langkahmu
                                          (KPJK:25) 
bagai hujan
yang boleh
memilih waktu turunnya
bagai burung
yang boleh
memilih letak sarangnya
bagai bunga
yang boleh
memilih arah rimbunnya
                                          (KPJK:31)
           
Selain simploke yang memperlihatkan apitan yang berulang, mesodiplosis menurut Rahman Shaari ialah pengulangan kata di tengah-tengah baris ayat. Unsur ini memperlihatkan penekanan yang diketengahkan penyair atau pengarang dalam usaha menarik minda dan emosi penerima agar tertumpu pada titik fokus tema yang dibawa.
            Contoh penggunaan mesodiplosis :
  di hari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara
  di hari mati kita mengira pahala dalam dosa
                                                 (KPJK:1)

setiap kali syawal berlagu syahdu
kita saling mengukir

setiap kali syawal menduga
kita saling mentafsir
                                              (KPJK:30)

Pengulangan Frasa atau Ungkapan

Pengulangan ini berlaku dalam baris atau kalimat pada tiap-tiap rangkap. Sebagai penyair berpengalaman dan menguasai ilmu stilistik, Dharmawijaya menggunakan elemen ini dengan amat berkesan untuk menimbulkan kesan muzikal dan penegasan makna sekali gus membawa kepadatan makna bagi persoalan-persoalan yang dibawa dalam puisi. Hal ini dapat diperhatikan dalam contoh berikut :
          kalau esok kasih kita ‘kan hancur jua
          usah ditaburi bumi ini dengan air mata

          kalau esok jua hidup dijenguk kematian
          usah ditangisi sepinya tanah kelahiran
                                                                             (KPJK:1)
           engkau yang bernama cinta
          bagiku tak pernah ada

          engkau yang bernama setia
          bagiku tak pernah menjanjikan
                                                                              (KPJK:16)

Pengulangan Ayat atau Kalimat

Pengulangan ini berlaku dalam baris pada setiap rangkap. Dharmawijaya dalam Kumpulan Puisi Jejak Kembara begitu ketara menggunakan unsur ini dengan berkesan. Misalnya dalam puisi-puisi di bawah :
          telah kurelakan hidup ini
          seindah budi setabah hati

          telah kurelakan hidup ini
          meniti debar mimpi
                                              (KPJK :13)

          dialah si jelita malam
          mengait mimpi di bintang suram
         
          dialah si jelita malam
          bertafakur di bawah gerimis kota penantian

          dialah si jelita malam
          membaringkan lelah di ranjang alam
                                              (KPJK:26)

Pengulangan Rangkap

Pengulangan ini berlaku pada jumlah baris dalam rangkap serta pengulangan frasa dan ayat atau kalimat. Pengulangan jenis ini juga digunakan penyair untuk mendapatkan kesan tertentu dalam puisi berserta tujuan menampilkan keindahan bunyi dan kelembutan pengucapan. Menerusi unsur ini, penyair yang arif perihal sistem tatabahasa melakukan penyimpangan seperti menghilangkan kewujudan tanda sempang (-) bagi kata ganda berirama  seperti contoh di bawah.
Cekallah cekal hatimu sayang
jangan disesal duka memanjang

Tenteramlah tenteram hatimu sayang
jangan dipendam resah bertandang

Tenanglah-tenang hatimu sayang
jangan dikenang cinta petualang

Sucilah suci hatimu sayang
jangan dikhianati damai terbentang
                                                          (KPJK: 32)

Pengulangan Aspek Bunyi

Rahman Shaari menyatakan bahawa pada dasarnya, bunyi setiap kata memiliki keupayaan untuk menjadi muzik dalam sesebuah puisi. Oleh yang demikian, unsur bunyi sangat penting dalam puisi kerana unsur ini ialah unsur muzik. Sebuah puisi menjadi lebih menarik dan indah bukan sahaja kerana isinya mengandungi daya guna, tetapi juga kerana bunyinya. Keindahan bunyi terlaksana dengan kata atau rangkai kata yang terpilih, teratur dan berfungsi dalam keseluruhan puisi itu. Dengan fungsi dan peranan unsur bunyi, sesebuah puisi akan kedengaran lembut dan merdu apabila dideklamasikan. Kebijaksanaan penyair menggunakan unsur ini akan meningkatkan lagi mutu penghasilan puisinya. Bagi mencapai tujuan ini, penyair kebiasaannya akan berhati-hati menggunakan unsur bunyi sama ada rima, aliterasi dan asonansi.

Rima sesebuah puisi amat erat hubungannya dengan perasaan, nada dan suasana yang terkandung dalamnya. Muhammad Haji Salleh menyatakan bahawa rima itu agak besar kegunaannya kepada penyair. Pertama, rima dapat menolong mengatur baris-barisnya ke dalam kumpulan yang menjadi seperti bait. Pada dasarnya, terdapat suatu bahagian tema atau makna pada bait itu. Seterusnya, rima juga sering digunakan untuk memusatkan lagi sesuatu bahagian makna di dalam puisi kerana yang disampaikan itu disalurkan mengikut rentak yang disediakan oleh rima dan ucapan.

 Penyair biasanya menggunakan rima untuk memperlihatkan perbezaan puisi daripada bahasa harian. Dengan adanya rima, puisi menjadi lebih merdu, lebih berkesan dan lebih dramatik. Pengulangan rima ialah pengulangan yang berlaku dalam perkataan atau di hujung perkataan seperti contoh berikut :
sepatutnyalah 
hamparan kasihku
warga petani
kubentangkan di rumah relamu
selagi
ladang keringatmu
mengisi
lapar kenyang
siang malamku.

selamanyalah
junjung hormatku
warga petani
kuletakkan di langkah setiamu
selagi
lelah budimu
menjadi
darah daging
gelisah hidupku.
                                     (KPJK:24)

Jelas sekali dalam puisi “Warga Petani” karya Dharmawijaya di atas mempunyai persamaan rima bagi rangkap pertama dan kedua iaitu abcdefgb, abcdefgb.

Sementara itu, pengulangan aliterasi diertikan oleh Harimurti Kridalaksana sebagai pengulangan konsonan atau kelompok konsonan pada awal suku kata atau awal kata secara berurutan. Hashim Awang menyatakan bahawa alierasi ialah ulangan bunyi konsonan yang biasanya terdapat pada awal kata yang berurutan  dalam suatu baris atau ayat.

Manakala, pengulangan asonansi ialah pengulangan bunyi vokal dalam dua atau lebih daripada dua suku kata. Asonansi adalah sejenis gaya pengulangan yang melibatkan penggunaan vokal yang sama pada perkataan yang berturutan dalam baris-baris puisi seperti a, e, i, o dan u. Penggunaan bunyi vokal memberi kesan kehalusan dan kemerduan pendengaran, mengungkapkan perasaan serta pemikiran penyair seperti contoh dalam jadual di bawah :
Penggunaan Aliterasi dalam KPJK
Penggunaan Asonansi dalam KPJK
bersama hening bulan di dada
debu pepura deru pesona
kalau esok kasih kita ‘kan hancur jua
di liuk lintuk rimbun padi
mereka meredah membelah jua
senyum santun dunia

Pengulangan Struktur atau Stikometri

Pengulangan ini merupakan pengulangan semua unsur yang membentuk sesebuah karya sama ada puisi mahupun prosa. Pengulangan struktur sebenarnya lebih dominan dapat dilihat dalam karya puisi. Pengulangan struktur dalam puisi lebih mudah ditentukan kerana bentuknya yang ringkas. Unsur puisi yang diteliti dari segi pengulangan struktur ialah keseragaman keseluruhan bentuknya sama ada bentuk luaran atau bentuk dalaman. Bentuk luaran yang dikaji ialah pengulangan baris, rangkap dan rima akhirnya. Manakala bentuk dalaman yang diteliti ialah tema, persoalan, irama dan nada.
Pengulangan Baris dan Rangkap
Pengulangan Struktur Keseluruhan
di persimpangan ini
kita masih bisa bersalaman
meski tembok curiga
mematikan denyut keakraban
di kota cinta

di perhentian ini
kita saling menemukan
suara rasa
makna kerinduan
kehilangan pangkalan
                                 (KPJK:17)
Cekallah cekal hatimu sayang
jangan disesal duka memanjang

Tenteramlah tenteram hatimu sayang
jangan dipendam resah bertandang

Tenanglah tenang hatimu sayang
jangan dikenang cinta petualang

Sucilah suci hatimu sayang
jangan dikhianati damai terbentang
                                                    (KPJK: 32)

Pengulangan struktur dalam puisi bertujuan menimbulkan kesan estetika terutama pada pengulangan rima akhirnya yang menimbulkan kesan keindahan intonasi alat artikulasi, puisi mudah dibaca dan dihafal, menarik untuk dideklamasikan, menimbulkan kepadatan perasaan dan pemikiran serta menguatkan makna atau isi-isi tersebut. Intihanya, penguasaan yang jelas terhadap kuasa pengulangan dalam penghasilan sesebuah karya mampu menghasilkan nukilan yang mantap, segar dan ‘hidup’ sepanjang zaman seperti yang dilakukan Allahyarham Kamaruzzaman A. Kadir atau lebih dikenali dengan nama penanya, Dharmawijaya. Al Fatihah.

Tulisan ini telah tersiar dalam Dewan Bahasa, Ogos 2012 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan