Ahad, 30 September 2012

ERTI HIDUP PADA MEMBERI

JUMAAT, 28 September 2012 ialah kali ketiga saya perlu membawa Chubby ke Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya dalam bulan September ini. Petang Khamis, saya mengesan simptom-simptom keadaan jantung Chubby tidak normal. Pergerakan nafas yang agak laju biarpun tidak selaju biasa. Kali ini, saya tidak mahu bertindak lambat. Tidak sanggup saya melihat Chubby menderita akibat paru-paru yang dipenuhi air. Petang Jumaat itu, Dr. Wong yang menangani kes Chubby. Kebiasaannya, Dr. Prem dan Dr. Tan yang merawat Chubby. Setelah hampir 10 minit menunggu giliran, Chubby dibawa masuk ke bilik pemeriksaan.

Chubby mula bernafas menggunakan mulut
Sebaik-baik Dr. Wong menghampiri kami, saya terus memaklumkan Dr. Wong bahawa Chubby memperlihatkan simptom paru-paru berair tetapi belum pada tahap kritikal seperti sebelum ini. Dr. Wong berkata, "Wah, bagus. Awak sudah tahu ya. Sebelum ini kalau ini kucing datang sini, mesti dia punya nafas sudah teruk. Sudah semput."

Dua minggu yang lalu, Dr. Prem meminta saya membuat keputusan mengenai Chubby. Sakit Chubby iaitu ketidaknormalan jantung tiada ubatnya melainkan pembedahan bagi menggantikan jantung Chubby dengan jantung mekanikal. Namun, teknologi itu masih belum digunakan di Malaysia. Memang teknologi tersebut ada diaplikasikan seperti di sebuah hospital veterinar di Australia seperti yang saya tonton dalam rancangan dokumentari di Animal Planet. Akan tetapi, peratus untuk pembedahan itu berjaya amat tipis. Apatah lagi, teknologi itu memerlukan penderma.

Chubby dikenal pasti menghidap penyakit tersebut setelah diserang sawan pada awal Januari 2010. Chubby kehilangan deria pandang selama dua jam. Saya tidak tahu bahawa itu ialah sawan. Puncanya ialah kekurangan garam dalam badan Chubby. Setelah dibuat ujian darah, imbasan dan  ujian sinar x, jantung Chubby disahkan tidak normal. Jantung Chubby akan terus membesar. Hinggalah pembesaran itu tidak dapat lagi dibendung oleh tulang rusuk Chubby, jantungnya akan berhenti. Namun, komplikasi penyakit Chubby amat memeritkan. Chubby tidak boleh langsung aktif berlari atau terkejut. Apabila hal itu berlaku, sistem jantung Chubby juga akan mengalami kejutan menyebabkan peredaran darah terganggu dan air akan berkumpul di paru-parunya sekali gus menyebabkan Chubby sukar bernafas. Antara tanda gangguan ini ialah Chubby akan mengalami kesukaran untuk kencing. Air kencing yang semakin sedikit menandakan semakin banyak air terkumpul di dalam paru-paru Chubby.

Chubby selepas diberi bekalan oksigen
Anak kucing kacukan Parsi yang saya ambil ibunya dari tepi sebatang jalan ini perlu memakan ubat seumur hidupnya. Dr. Prem menjangkakan Chubby hanya boleh bertahan selama enam bulan. Namun, sekarang sudah sembilan bulan Chubby menanggung sakit itu. Semuanya ketentuan Allah. Penyakit genetik kucing Parsi ini memerlukan Chubby mengambil tiga jenis ubat saban hari iaitu 0.5 ml Lasix, 0.5 ml heabrasser dan 1/8 theolin dua kali sehari. Ubat-ubatan ini sekadar mengurangkan pengumpulan air pada paru-paru Chubby.

Dua minggu lalu, Chubby dibawa ke hospital atas sebab yang sama. Keadaan Chubby sangat tenat. Paw dan gusi Chubby sudah sangat biru dan lebam. Chubby dimasukkan ke dalam wad dan diberi bekalan oksigen selama tiga jam di samping suntikan mengeluarkan air dari paru-paru. Ketika itu, Dr. Prem meminta saya berfikir. Jika dibiarkan Chubby hidup, maka Chubby akan terus-terusan berhadapan dengan gangguan itu dan saya perlu sentiasa bersedia membawa Chubby ke hospital untuk diberi bekalan oksigen dengan kos yang tinggi. Jika tidak dibawa ke hospital. komplikasi pada pernafasan Chubby akan menyakitkan Chubby. Dr. Prem tidak mahu Chubby mati dalam keadaan yang sukar. Air mata saya mengalir saat memegang dan mengusap kepala Chubby saat dia terbaring di atas katil pemeriksaan. Bagaimana saya boleh biarkan Chubby pergi dengan sekali suntikan ketika itu? Saya menghubungi seorang ustaz ketika itu dan bertanya pendapat beliau. Beliau menyarankan saya agar melakukan solat hajat dan mempertimbangkan penjelasan doktor.
Chubby dalam perjalanan ke hospital.
 Saya akan terus menjaga Chubby. Untuk itu, Chubby akan segera saya bawa ke hospital setiap kali tubuh Chubby memperlihatkan tanda awal pengumpulan air di paru-parunya seperti yang saya lakukan pada Jumaat lepas. Chubby akan lega selepas diberi suntikan tersebut cuma pengawasan rapi perlu diberikan kepada Chubby agar dia tidak aktif dan tidak terkejut oleh apa-apa keadaan. Hanya Allah yang tahu hujung usia Chubby. Sebelum sampai ke hujung itu, biarlah Chubby terus bersama-sama saya untuk berkongsi dan saling memberi makna hidup.

Saya sempat berkenalan dengan seorang wanita berbangsa Cina. Kucingnya berbaka Siam yang sudah berusia sembilan tahun berhadapan dengan kegagalan fungsi buah pinggang. Kucing yang diambil dari SPCA itu perlu mencuci buah pinggangnya setiap minggu. Wanita itu hadir pada petang itu untuk melawat kucing Siam yang perlu ditahan di wad selama beberapa hari. Saya dapat melihat dan mendengar dengan jelas betapa gembira kucing itu apabila melihat kehadiran wanita, penjaga yang mengasihinya itu.

Kucing Siam yang bermasalah buah pinggang
Ketika ingin pulang, saya menegur wanita India yang memegang beg kucing. Kucing yang dibawa ke hospital itu sudah  berusia 13 tahun. Tiga tahun lebih muda daripada kucing saya Boboy yang sudah berusia 16 tahun. Kucing wanita itu juga mengalami masalah buah pinggang. Memang pada tahap usia begitu, kebanyakan organ akan bermasalah. Boboy saya juga begitu. Kalau dulu Boboy kencing dua kali sehari, sekarang sudah menjadi lebih daripada enam kali. Malah baru-baru ini saya mendapati Boboy kencing semasa tidur sebanyak dua kali. Itu juga disebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi dengan betul.

Kata wanita ini, "Kita mesti jaga juga mereka biarpun dah tua nyanyuk. Itu takdir dia"
Pada hari penuh berkat itu juga, saya bertemu dengan dua remaja. Mereka kelihatan takut-takut untuk masuk ke dalam hospital. Saya melihat dengan jelas ada seekor anak kucing dalam usia lima bulan di dalam poket baju salah seorang daripada mereka.
"Eh, kenapa kucing ni dik?"

"Dia sakit matalah, kak. Pastu ada bengkak dekat mata dia. Mahal tak kalau bawa dia jumpa doktor?"

"Akak tak tahulah. Cuba tanya dulu. Kalau tidak pun, adik sapukan minyak gamat di sekeliling mata kucing itu dan titiskan eyemo ke bahagian mata yang sakit itu."

"Oh. Terima kasih kakak."

Setelah mereka berpaling, saya terfikir untuk bertanya.

"Kucing siapa tu dik?"

"Entah, kak. Saya jumpa dia kat tepi jalan tadi."
Anak kucing dalam poket baju
Erti hidup pada memberi. Semoga dua remaja itu akan terus menyuburkan nilai kemanusiaan dan melunaskan tanggungjawab manusia terhadap alam dengan baik. Semoga anak kucing itu akan sihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan