Isnin, 23 Julai 2012

BAHASA TEMPATAN CITRA JENAMA TEMPATAN

Riang-riang terbang riang,
    Camar indah terbang rendah;
Takkan Melayu di dunia hilang,
    Itu sumpah wira Hang Tuah.

DASAR Pandang Ke Timur (DPKT) yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1982 bertujuan membentuk budaya kerja cemerlang seperti yang diperlihatkan masyarakat Korea Selatan. Kuasa timur yang terkenal gah sebagai negara maju itu diramalkan mampu menandingi kemajuan ekonomi Amerika Syarikat dalam empat dekad akan datang. Korea Selatan yang memperlihatkan pembangunan mantap dari segi ekonomi dan pertahanan budaya telah menjadi teladan banyak negara yang mengimpikan kejayaan, kekayaan dan kemajuan. Sejarah sebagai sebuah negara miskin berserta penglibatan dalam Perang Saudara dengan Korea Utara tidak mematahkan semangat Korea Selatan untuk bangkit dan membina empayar unggul di mata dunia.

Malaysia antara negara yang berusaha mencontohi kemajuan Korea Selatan dan Jepun. Kekuatan dua negara ini untuk bangun dari sejarah hitam Perang Dunia Kedua diteladani menerusi gagasan DPKT yang umumnya lebih menjurus corak dan budaya kerja terbaik dua negara matahari terbit ini. Hakikatnya, kejayaan Korea Selatan dan Jepun bukan terletak pada budaya kerja semata-mata. Selain diterapkan dengan kepentingan Sains dan Matematik dalam melahirkan masyarakat pintar, Korea Selatan amat mementingkan aspek budaya dan sistem sosial gaya tersendiri secara tekal. Republik Korea Selatan yang berpecah dengan Korea Utara sebagai dua entiti berbeza pada tahun 1948 serius mempertahankan tradisi budaya khususnya aspek bahasa dan adat resam agar tidak goyah dilanda pengaruh globalisasi dan Barat yang kuat menyusup ke dalam minda masyarakat Timur. Atas kejayaan dua negara terbabit mempertahankan bahasa dan adat resam mereka, adalah wajar untuk Malaysia turut mencontohi dan meyakini betapa keunggulan bahasa dan budaya sendiri bukan penghalang negara dalam mengecap kejayaan seperti yang dibuktikan dua negara kecil tersebut.

Sekiranya negara-negara berkenaan berbangga dengan keunikan bahasa sendiri, Artikel 152 yang disahkan dalam Perlembagaan Malaysia pula semakin mendapat “kecaman” pihak yang mempunyai krisis keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya dengan baik. Jika pada zaman dahulu bahasa Melayu diiktiraf sebagai lingua franca, dikenali seantero dunia, era moden memperlihatkan garis-garis yang cuba memisahkan bahasa Melayu dengan fungsinya sebagai penggerak Tamadun Melayu sepanjang zaman. Seandainya negara maju seperti Korea begitu menghormati dan berbangga dengan bahasa ibunda mereka, bangsa Malaysia khususnya Melayu semakin dibelenggu rasa ragu-ragu terhadap kebolehan bahasa kebangsaan sendiri. Hal ini jelas tercitra apabila semakin banyak jenama Malaysia yang tidak lagi berwajah Malaysia, dengan bahasa Melayu sebagai tunjangnya.

Fungsi bahasa dalam kehidupan manusia bukan sekadar sebagai alat komunikasi yang melancarkan perhubungan, juga proses dekod dan enkod antara manusia. Sebaliknya, bahasa berperanan menampilkan imej bangsa, tamadun dan budaya yang tersendiri. Bahasa juga boleh dipandang sebagai fenomena sosial yang menghubungkan seorang individu dengan individu lain dalam satu masyarakat bahasa (Hashim Musa: 2006). Fungsi ini sekali gus menjadikan bahasa sebagai medium utama terhadap pengenalan jati diri penutur dan pemilik bahasa itu sendiri. Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang diperkenalkan Dewan Bahasa dan Pustaka wajar tersemat utuh dalam jiwa bangsa Melayu dan Malaysia umumnya sebagai garis panduan bagi penggunaan bahasa yang baik. Hal ini penting agar sebarang perkara berkaitan penggunaan bahasa tidak tersasar daripada menjadikan jati bahasa Melayu sebagai akarnya.

Kemunculan model Preve keluaran Proton pada April 2012 sebagai kereta global pertama menimbulkan aneka persoalan terutamanya dalam kalangan pencinta bahasa. Bukan kemampuan kereta yang bakal menembusi pasaran Eropah September 2012 ini yang dipersoalkan. Namun, pemilihan nama daripada perbendaharaan kata asing itu yang menjadi polemik. Proton Preve yang disebut sebagai Prae-vae telah diubah suai daripada diksi asal bahasa Inggeris yang bermaksud “bukti”. Kosa kata itu juga dipinjam dan diolah daripada bahasa Sepanyol iaitu Preve yang bermaksud “memperuntukkan”.

Apakah kosa kata bahasa Melayu semakin kontang sehingga bahasa asing dipilih sebagai jenama untuk sebuah kereta buatan Malaysia yang akan merentas sempadan geografi ekonomi automotif? Apakah kurangnya bahasa Melayu sehingga tidak layak untuk menjadi label jenama kereta global Malaysia ini? Kemunculan Preve dengan enjin 1.6 liter berserta teknologi RESS menghangatkan lagi isu dan bukti kecelaruan bangsa natif terhadap bahasa Melayu apabila bangsanya sendiri menganggap bahasa Melayu tidak mampu merentas ruang antarabangsa.

Bahasa asing dipilih bagi mengisi ruang jenama produk tempatan dengan alasan komersial. Bagi segelintir pihak yang tandus jati diri dan kepercayaan terhadap bahasa Melayu, pemilihan bahasa asing berupaya menjadikan produk diterima mudah oleh masyarakat global. Sememangnya tidak dinafikan dalam urusan perniagaan, penjenamaan ialah perkara penting dalam kelancaran produk meningkatkan graf pendapatan negara. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih utama di sebalik penjenamaan ialah pemasaran dan rangka promosi yang mantap serta berkesan. Hyundai, Kia, Toyota, Nissan, Honda dan Mitsubishi ialah jenama-jenama kenderaan khususnya kereta dari Jepun dan Korea yang cemerlang biarpun menggunakan ciri bahasa tempatan untuk jenama bagi pasaran antarabangsa.

Proton sebagai sebuah organisasi yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak RM 150 juta telah mencipta sejarah dan menjadi kebanggaan negara apabila berjaya mengeluarkan model Proton Saga sebagai kereta jenama Malaysia yang pertama. Kelahiran Proton Saga diikuti Proton Iswara, Proton Tiara, Proton Putra, Proton Satria, Proton Wira, Proton Waja, Proton Perdana serta Proton Persona mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat tempatan. Lebih membanggakan apabila jenama seperti Proton Waja berjaya mendapat tempat di hati pemilik kenderaan di Indonesia dan China. Penerimaan baik masyarakat luar terhadap jenama-jenama bernada Melayu ini membuktikan bahawa bukan nama yang menjadi taruhan, sebaliknya kualiti dan rangka pemasaran berkesan ialah tunjang kejayaannya.

Sekiranya maksud-maksud bagi setiap diksi yang diangkat sebagai jenama kereta Proton terdahulu ini diteliti, maka akan jelaslah betapa tingginya nilai makna kedua yang cuba ditampilkan menerusi Saga, Perdana, Wira, Waja, Persona, Satria, Putra dan sebagainya. Pemilihan diksi-diksi ini secara tidak langsung membawa usaha dan semangat Melayu dalam jenamanya. Dengan mengetahui maksud, pengguna seharusnya berbangga memiliki Proton Waja, Proton Wira mahupun Proton Perdana seperti di dalam jadual di bawah. Walau bagaimanapun, Proton Myvi, Savvy, Viva dan terkini Preve jelas tidak memaparkan citra Melayu dan Malaysia. Sekiranya hal ini berlarutan, dikhuatiri keunggulan dan kecemerlangan sektor automotif Malaysia yang seharusnya membawa nama Malaysia disalah anggap sebagai jenama-jenama dari negara Barat lantaran pemilihan bahasa asing bagi jenama tempatan.

Jenama dan Maksud

Waja = Kuat (berkaitan semangat dan cita-cita)
Wira = Pahlawan lelaki yang mempunyai sifat wira
Satria =  Sateria, Kesateria, perajurit yang gagah berani
Putra = Putera, anak lelaki raja
Persona = Watak yang ditampilkan
Perdana = Yang terutama
Saga = Sejenis tumbuhan berbuah merah

Sumber : Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1997, DBP, Kuala Lumpur

Dalam bidang kosmetik Malaysia – pemilihan nama Sendayu Tinggi oleh Puan Rozita Ibrahim selaku pemilik jenama dan pengeluar kosmetik berprestij ini membuktikan penggunaan “wajah” Melayu pada jenamanya mampu menarik hati pengguna dengan jaminan kesan positif serta pembungkusan produk yang menarik. Kejayaan Sendayu Tinggi terbukti apabila wujud lebih daripada sembilan anak syarikatnya dengan lebih 2000 pengedar di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Selain itu, pengeluar kosmetik Sri Mawar turut mencatatkan kejayaan apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli. Jika diteliti, kejayaan yang diraih kosmetik berjenama Melayu ini ialah reka bentuk pembungkusan berserta rangka promosi terancang dan berkesan.

Sekiranya semua usahawan yakin bahawa nama yang elegan dan komersial semata-mata ialah tunjang kejayaan sesebuah produk, maka apakah nama Chery bagi jenama kenderaan dari China itu mempunyai nilai komersial yang tinggi? Namun demikian, dari nama sejenis buah - Chery semakin mendapat permintaan antarabangsa termasuklah di Malaysia. Kejayaan Chery Easter menembusi pasaran global tidak lain atas faktor reka bentuk menawan, beberapa kit tambahan dan aksesori kecil dengan tawaran harga di bawah RM 100 000. Walau bagaimanapun, tanpa usaha promosi di ruang supranasional yang berterusan, Chery tidak akan mendapat tempat yang baik dalam dunia automotif tanpa sempadan.

Masalah keyakinan masyarakat tempatan terhadap jenama dengan label bahasa Melayu semakin jelas apabila kebanyakan drama dan filem Melayu lebih bangga memaparkan variasi bahan elektronik keluaran negara lain. Namun demikian, sekiranya masyarakat meneliti drama-drama terbitan Korea Selatan khususnya - jelas memaparkan penggunaan alatan elektronik buatan negara mereka sendiri. Malah, amat sukar bagi khalayak penonton mahupun pengkaji untuk menemui jenama asing sama ada pada kenderaan mahupun telefon bimbit. Dasar penerbitan media elektronik khususnya menerusi drama di Korea Selatan seolah-olah diwajibkan memperlihatkan kemajuan teknologi mereka sebagai satu promosi lantaran drama-drama Korea Selatan begitu diminati masyarakat antarabangsa. Keyakinan warga Korea Selatan terhadap bahasa dan mutu kerja mereka diiktiraf dan diyakini oleh dunia sehingga syarikat Samsung Engineering & Construction diberi kepercayaan untuk membangunkan Burj Dubai, gedung tertinggi di dunia.

Pemikiran ini menjadikan kebanyakan pengarah Korea Selatan melakukan teknik fokus dekat (zoom in) pada alatan yang digunakan pelakon sebagai prop. Sebagai contohnya, drama bersiri Yes, Captain! siaran One Asia TV menunjukkan berulang kali telefon pintar Samsung Galaxy Note, Anycall digunakan oleh watak Kim Yoon Sung, Han-Da jin dan Kang Dong Soo. Seandainya drama-drama tempatan dengan kisah korporat berbangga dengan kereta-kereta mewah seperti BMW dan Mercedesz Benz, drama-drama Korea Selatan berbangga dengan Kia, Hyundai berserta perkakas rumah jenama LG dan Samsung. Namun, di negara kita – mengapa sukar sekali khalayak melihat jenama tempatan dengan bahasa tempatan di kaca televisyen menerusi drama tempatan? Perkara ini kelihatan remeh namun besar implikasinya terhadap pemikiran khalayak yang menonton. Sama ada sutradara mahu membentuk rasa bangga masyarakat terhadap jenama tempatan dengan bahasa tempatan atau membiarkan masyarakat terus dibuai cinta puja terhadap barangan jenama asing - bergantung pada tingginya akar jati diri mereka.

Bahasa tempatan untuk jenama tempatan perlu diberi perhatian serius dalam usaha melestarikan keunggulan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Kedudukan bahasa Melayu di tangga keenam selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India daripada ribuan bahasa di dunia memperlihatkan keupayaan bahasa Melayu di persada global. Keyakinan terhadap bahasa Melayu menampilkan budaya Melayu perlu diteruskan. Sebagai contohnya, Bonda Cafe yang beroperasi di 190 Sussex Gardens Paddington, London menghidangkan juadah-juadah Melayu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan baik dari pada masyarakat Malaysia mahupun warga London sendiri.

Juadah di Bonda Cafe

Nasi Lemak (Malay coconut rice served with prawn sambal, anchovies, peanuts, egg & cucumber £5.00)
Nasi Goreng Kampung (Spicy Malay fried rice with egg, anchovies & salted fish £4.50)
Rendang Daging Traditional Malay spicy beef cooked in (Coconut sauce & lemon grass £5.00)
Asam Pedas (Mackerel cooked in hot and sour gravy £4.80)
Sambal Ikan Bilis & Petai (Anchovies fried with chillies & petai beans £6.50)

Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa menunjukkan budaya. Bahasa menjadi lambang sesebuah tamadun di dunia. Usaha menyemai semangat cinta akan bahasa kebangsaan seharusnya dimulakan sejak anak-anak masih kecil. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya – seperti itulah masyarakat khususnya pemimpin negara mempertahankan bahasa Melayu daripada diragui oleh generasi akan datang. Di Bangladesh, bahasa Laleng yang menjadi bahasa asal negara itu semakin menemui ajalnya. Di Malaysia, janganlah begitu jadinya. Bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang tersendiri. Korea Selatan, Rusia, Perancis dan Jepun sudah membuktikan betapa keyakinan terhadap bahasa sendiri yang tampil sebagai jenama produk negara mereka mampu merentasi sempadan antarabangsa. Berbanggalah dengan bahasa kebangsaan kerana dengan bahasa itulah masyarakat mengenal sejarah, alam persekitaran, dunia pendidikan serta keindahan budaya sendiri yang tiada terperi. Bahasa tempatan untuk jenama tempatan.

Bunga mawar di laman bonda,
    Indah dipandang dipetik jangan;
Biar hilang jasad dan nyawa,
   Bahasa Melayu dipermainkan jangan.

Esei ini tersiar dalam Dewan Bahasa, Julai 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan