Jumaat, 25 Mei 2012

PEREMPUAN NAN BERCINTA, PENEROBOSAN WACANA DUA FIKRAH

"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun  sudah mati."

SEBUAH puisi dibangunkan menerusi susunan dan pemilihan perkataan yang terbaik daripada yang terbaik. Sesebuah drama dikukuhkan dengan dialog sebagai seni bahasa, perwatakan, elemen teaterikal dan isi cerita yang kukuh. Pembinaan sesebuah drama yang baik umpama usaha membina sebuah rumah yang kukuh dan tahan zaman-berzaman. Perempuan Nan Bercinta pula dibangunkan dengan aspek wacana yang menyeluruh, tidak harfiah, kekuatan bahasa dan perjalanan cerita menerusi teknik imbas kembali yang menyegarkan.

Kehadiran Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dalam karya ini sesungguhnya mengubat rindu dan rasa terkilan pembaca terhadap perjalanan hidup Ali Taqi dalam novel Tuhan Manusia. Sekiranya Tuhan  Manusia mempertemukan Ali Taqi dengan Zehra, anak seorang editor majalah liberal bernama Encik Aris - Perempuan Nan Bercinta mempertemukan Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dengan Dr. Tengku Idora, seorang feminis dan teraju utama Modest Women Oriental (MWO) yang berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia. Awal karya ini bermula apabila Dr. Tengku Idora, berusia 38 tahun yang berjuang untuk mendapatkan kesamarataan hak antara lelaki dan wanita khususnya di Malaysia diperkenalkan oleh penulis. Bagi seorang pejuang feminis-liberal, Tengku Idora berusaha untuk menyebarkan 'hak-hak' wanita yang pada pandangan sekularnya kurang mendapat perhatian Islam. Walau bagaimanapun, perjuangan Tengku Idora mendapat tentangan intelektual daripada Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad selaku Ketua Pengarah FASEH.

Penderaan bapa terhadap ibunya, Tengku Melor turut memberi implikasi terhadap Tengku Idora untuk menentang kuasa patriaki dan percaya bahawa kuasa matriaki mampu mengatasi kekuasaan lelaki. Bagi Tengku Idora, lelaki ialah penyebab pada kesengaraan dan penderitaan wanita seperti yang dialami ibunya. Pengalaman pahit itu melahirkan Tengku Idora sebagai aktivitis wanita yang berusaha memberi kekuatan mental khususnya kepada wanita walaupun dengan cara memutar belit fakta yang telah diturunkan oleh Allah SWT menerusi al-Quran Karim. Bagi Tengku Idora, golongan wanita terlalu dimomokkan dengan mitos-mitos terutamanya dari Barat betapa wanita (Hawa) ialah tunjang utama lelaki (Adam) mendekati kebatilan, sekali gus wanita mendapat label sebagai pendorong kejahatan yang dilakukan pihak lelaki.

... "Argh Basti, aku tak akan mengulangi kesilapan Bonda. Lelaki terlalu menderanya."

Plato menyatakan hanya lelaki sahaja yang dicipta langsung oleh Tuhan. Hanya lelaki yang diberikan jiwa. Aristotle pernah menyatakan wanita adalah manusia yang tidak sempurna. Dan, kemudian, bukankah tradisi Rom dan Helena menjadikan wanita sebagai kelompok berstatus renda? Tata semacam inilah yang menjadi tata kegerejaan apabila teologi Kristian meminjam, meniru dan mengekor buta sambil melakukan integrasi lintas dengan pandangan Yahudi kuno serta Romawi. Semuanya tanpa memikirkan kelemahan logika. Gereja kemudiannya menjadikan wanita di bawah kaki kemanusiaan. (2012:5)

Walau bagaimanapun, pertemuan Dr. Tengku Idora dengan Prof. Dr. Ali Taqi di Geneva dalam satu seminar berhubung hak wanita sebagai pemangkin kejayaan masyarakat telah menjadi titik tolak perubahan hidup wanita kental itu. Pertemuan itu bukanlah pertemuan pertama Tengku Idora dengan Dr. Ali Taqi. Malah, nyala benci Dr. Idora terhadap Dr. Ali Taqi semakin marak apabila dia berasa dimalukan oleh pandangan bernas Dr. Ali Taqi dalam seminar di Washington D.C satu ketika dahulu. Beberapa hari sebelum pertemuan itu, Tengku Idora telah dibayangi oleh wajah almarhumah ibunya Tengku Melor yang persis tidak senang dan memarahi perbuatan Tengku Idora dengan gagasan feminis-liberal yang dibawa.

Kemunculan Tengku Melor menjadikan anakandanya semakin resah apatah lagi setelah berulang kali dibayangi dengan kata-kata bonda "Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati" dengan tujuh sifat iaitu siddiqah, mubarakah, thahurah, zakiyah, radhiyah, mardhiyah, muhaddatsah manakala dua sifat lagi dituntut oleh Tengku Melor agar dicari oleh Tengku Idora sendiri.

Tengku Idora membesar dalam kehidupan serta persekitaran yang dibayangi institusi kelelakian yang tidak memberikan teladan yang baik. Hal ini menyebabkan Tengku Idora melihat wujudnya tradisi berat sebelah terhadap isu gender melalui sebuah hadis yang dipetik dari Sahih al-Bukhari. Walau bagaimanapun, salah tanggapan Tengku Idora telah disambut oleh Dr. Ali Taqi bahawa kedudukan wanita dan lelaki dalam Islam ialah shatray al-nafs al-wahidah yang bermaksud dua bahagian dari satu jiwa yang tidak mungkin terpisah (2012:35). Surah An-Nisa yang dibacakan Dr. Ali Taqi menolak hadis riwayat Abu Hurairah lantaran tiada pandangan jelas bahawa wanita wujud dari tulang rusuk lelaki.

Pada hakikatnya, perjalanan cerita dalam novel setebal 410 halaman lengkap dengan rujukan nota kaki bagi setiap hujah yang diberikan ini bergerak menerusi teknik imbas kembali. Di samping itu, kisah pertentangan idea antara Tengku Idora dan Dr. Ali Taqi bukanlah perkara utama yang ingin diketengahkan. Sebaliknya, perbezaan pendapat dan fahaman antara dua golongan intelektual ini menjadi wadah untuk menyalurkan isu berkenaan kedudukan wanita dari kaca mata seorang faham feminis-liberal dengan seorang tokoh Islam yang mempunyai prinsip serta sudut pandang tauhidik dan profetik yang kukuh (2012:7). Bagi Dr. Ali Taqi, pandangan Barat sememangnya memperlihatkan tugas wanita mengurus rumah tangga sebagai satu tugas yang remeh seperti yang diyakini tokoh dari MWO dan Sisters of Ummah. Sebaliknya pandangan Islam melihat tanggungjawab wanita itu sebagai medan paling asas untuk mendidik dan menanam falsafah tauhid dalam diri anak-anak.

Apabila Tengku Idora pengsan ketika Dr. Ali Taqi memberikan hujah berdasarkan dalil akli dan naklinya, Bastian (lelaki bermata hijau yang menyimpan cinta untuk Tengku Idora) berusaha untuk mendapatkan rawatan terhadap Tengku Idora yang koma. Pengesahan dari Dr. Zainab - anakanda Dr. Ali Taqi dari Pusat Perubatan FASEH akan Dr. Idora yang menghidap barah tulang mengukuhkan hati Bastian untukmenjadikan Idora sebagai isteri. Situasi ini merancakkan isu utama yang diketengahkan penulis dalam karya ini iaitu keutamaan ahlul bait yang sering dipinggirkan oleh masyarakat Islam kini.

Perbincangan mengenai hak-hak wanita dan keutaamaan ahlul bait di sisi Nabi Muhammad SAW dan Islam itu sendiri mula disuarakan menerusi ingatan kembali Zanjabila dalam Bab 6 hingga Bab 9 daripada 30 Bab dalam novel ini. Menerusi Zanjabila, khalayak bukan sahaja mendapat pengetahuan mengenai penderaan yang dilakukan oleh ayah Tengku Idora (pemabuk yang suka mendera) terhadap ibu mereka,malah menyatakan perbezaan fikiran dan pendirian dua beradik ini. Kisah pertemuan Zanjabila dengan Hashemi turut menyerlahkan perkenalan pasangan ini dengan Dr. Ali Taqi. Zanjabila mengenang kembali penjelasan Dr. Ali Taqi berhubung pandangan Ahli Sunah Waljamaah yang mengangkat Saidina Ali sebagai ahlul bait ialah pengganti Nabi Muhammad SAW. Kemangkatan Nabi Muhammad SAW dan ketaasuban pengikut sesetengah sahabat telah menyebabkan kepentingan Saidina Ali kurang diutamakan.

Bab 10 hingga Bab 12 memperlihatkan jalur pemikiran dan perjalanan Bastian yang juga mengenang kembali perkenalannya dengan Tengku Idora dan Dr. Ali Taqi. Sebagai sarjana Barat yang amat meminati cabang budaya dan tradisi Melayu, Bastian terpesona dengan wacana ilmu dan agama dalam Tamadun Melayu dan keindahan Islam. Walaupun Bastian mengakui kebenaran dan kebaikan yang dibawa oleh Islam, Bastian masih lagi terkekang untuk memeluk Islam disebabkan empat persoalan. Pertemuan dengan Dr. Ali Taqi telah membuka lagi ruang fikir Bastian agar meneliti dengan lebih dalam mengenai konsep tauhid Islam. Perbincangan mengenai keutamaan dan keistimewaan ahlul bait dan sudut pandang Wahabi semakin terangkum kuat menerusi Dr. Ali Taqi dan Bastian :

"Demistikisasi. Kalau ada gerakan keilmuan yang kontra demistikisasi, maka ia akan menjadi gerakan keilmuan yang mencabut akar sejarah bangsa. Islam yang masuk ke rantau ini bukan Islam legalistis, tetapi Islam yang dibawa para wali dengan dimensi mistikal, yakni kita panggil tasawwuf. Wahabi ingin menghidupkan formalisme, lalu kaum sufi digelar ahli sarair, kaum Wahabi ini jadi ahli zhawahir. Ajaran Islam jadi sangat sentral fikah. Ia membawa kepada dikotomi sunah-bidaah, halal-haram, tauhid-syirik, Islam-jahiliyyah sehingga proses penyucian batin yang menjadi pengalaman beragama yang emosional, atau apa yang saya namakan kehangatan beragama sekarang telah diserang. Wirid, selawat, zikir, marhaban jadi serangan. Kaum Wahabi berpegang penuh kepada hadis 'barang siapa beramal tidak sesuai dengan perintahku, ia tertolak'. Mereka mahu bermain dengan hal-hal zahir sahaja. Ingat, lapisan kedua yang memungkinkan dorongan akal untuk mendapatkan ilmu 'renang' dan bukan sahaja ilmu 'nahu' seperti dalam anekdot Rumi?" (2012:149)

Bastian mengahwini Idora walaupun sebelum itu keinginannya itu tersekat dek kerana empat persoalan kepada dia sebagai Kristian dan manusia yang mementingkan logik akal yang sihat untuk menerima Islam. Tengku Idora sendiri tidak mampu menjawab empat persoalan tersebut, namun Siti Fatimah binti Ali Taqi, anakanda Pengarah FASEH pada akhir cerita telah menjawab kesemua persoalan Bastian dalam satu sidang akhbar berikutan penangkapan Dr. Ali Taqi yang didakwa sebagai ejen Iran sekali gus menjadi ejen Syiah ekoran pendedahan oleh WikiLeaks. Jawapan Siti Fatimah Ali Taqi yang mewarisi semangat cinta mendalam terhadap ahli keluarga Nabi Muhammad SAW berjaya mengislamkan Hilda, wartawan dari saluran berita antarabangsa CNN.

Perempuan Nan Bercinta menarik jiwa dan minda khalayak pembaca yang bersedia untuk menerima sesuatu yang baharu daripada kelaziman. Novel sarat wacana ini ialah laluan untuk pembaca mengenal makna kata ahlul bait sekali gus membuang stigma terhadap fahaman Syiah secara semberono. Meskipun Dr. Ali Taqi ditahan, Tengku Idora yang sembuh asbab tawassul di Raudah telah menjadi seorang wanita Mukminah yang berusaha mencari siratul mustaqim langsung bertaubat atas usaha-usaha jahatnya untuk memesongkan kepercayaan wanita-wanita Islam terhadap hukum Islam yang terbaik untuk mereka. Perempuan Nan Bercinta bukanlah merujuk makna denotatif - perempuan yang sedang bercinta. Namun, 'Perempuan Nan Bercinta' ialah wanita-wanita yang berusaha mencari dan mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan kaum keluarga baginda seperti Saidatina Fatimah di sisi Rasulullah dan Ali Karamallahuwajhah, wanita mulia yang menentang sehingga mati dan sesudah matinya (2012:374).

Satu persoalan yang sering disoal kepada Dr. Ali Taqi dan penulis karya ini khususnya iaitu adakah Dr. Ali Taqi seorang syiah lantaran minat yang mendalam terhadap ilmu-ilmu berkaitan Syiah dan menjadikan Imam Jaafar Sadik, Imam Khomeini dan Ali Shariati sebagai idola turut terjawab dalam karya ini. Perempuan Nan Bercinta ialah karya sastera dengan gagasan persuratan tersendiri khusus untuk pembaca yang mahu membaca dan mengenali makna di sebalik karya. Keindahan karya ini bukan sahaja terletak pada tatacara ilmu dan wacana yang disusun malah terpelihara dari segi estetik bahasa yang cemerlang meskipun tidak lepas daripada unsur sindiran yang tersendiri untuk difikirkan pembaca. Karangan penulis tersohor Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan harga RM 35 ini untuk pembaca yang sedia menerima dan mencerna. Selamat membaca.

Kajiannya mungkin tidak disambut, tidak dipuji dengan benar, tetapi rausyanfikir akan tenang kerana "pembaca terpilihnya" benar-benar bertepuk, mengangguk dan bersorak pada tempatnya; kerana benar-benar ia tiba pada hikmahnya. Dan rausyanfikir tidak perlukan semua pembaca karyanya begitu,cukuplah seorang.- Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan