Rabu, 18 April 2012

MANIPULASI KUASA BAHASA KREATIF

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang ~Sayidina Ali


KAMUS DEWAN
mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang berfungsi sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bagi melancarkan proses komunikasi, bahasa menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Penggunaan bahasa yang lancar, bersistem dan tepat menghasilkan daya perhubungan yang berkesan. Ketepatan penggunaan bahasa bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti bahasa, malah menjadikan proses enkod dan dekod berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat berbahasa.

Selain berperanan sebagai alat komunikasi manusia, bahasa berperanan besar membentuk pemikiran dan pandangan hidup manusia. Manipulasi bahasa kreatif yang baik memberi impak kepada daya fikir khalayak penerima bahasa. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, kemasukan tulisan Jawi dan bahasa Arab telah memperkaya bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu bukan sekadar lingua franca yang berperanan dalam bidang perdagangan antarabangsa mahupun pentadbiran negeri Melaka. Sebaliknya, bahasa Melayu sebelum zaman itu lagi telah menjadi wadah masyarakat melahirkan gagasan pemikiran berlandaskan kreativiti berbahasa.

Ketika zaman Melayu klasik (1400-1800), bahasa Melayu yang masih dipengaruhi ciri-ciri bahasa arkaik serta bahasa Arab telah digunakan sebagai senjata untuk berkarya oleh penglipur lara. Proses penggunaan bahasa secara kreatif wujud baik dalam konteks sastera lisan mahupun sastera tulisan. Komuniti Melayu klasik yang mempunyai pertalian erat dengan unsur alam telah menzahirkan pandangan mereka melalui pelbagai cara. Sebagai contohnya, pantun dua kerat seperti di bawah yang lestari sehingga ke hari ini terhasil daripada daya cerap masyarakat terhadap alam yang membentuk kata-kata sarat penghargaan terhadap budi seseorang tanpa penggunaan bahasa secara langsung:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata yang pendek namun mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Pentakrifan peribahasa ini membuktikan penguasaan terhadap bahasa kreatif mampu mewujudkan laras bahasa tersendiri yang bertujuan memberi pengajaran secara santun. Penggunaan bidalan, perumpamaan, pepatah-petitih, perbilangan, kias ibarat dan tamsil dalam kategori peribahasa sejak zaman dahulu berfungsi menyampaikan sindiran, amanat dan teguran tanpa menyakitkan hati. Hal ini memperlihatkan betapa komuniti Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam kebanyakan tamadun, kecekapan sasterawan menggunakan bahasa kreatif sering menarik perhatian terutamanya oleh pemerintah. Kisah penyair mahupun penulis yang menemui ajal di dalam penjara mahupun di tali gantung bukanlah kisah luar biasa dalam dunia kesusasteraan. Setiap pengkarya mempunyai prinsip tertentu dalam berkarya. Sesetengah sasterawan memilih menggunakan sastera dan bahasa kreatif sebagai sumber perjuangan. Bahasa dan dunia sastera diyakini berupaya menjadi ‘lidah masyarakat’ bagi menyampaikan kritikan terhadap pemerintahan yang bobrok.

Pramoedya Ananta Toer, tokoh penulis Indonesia telah beberapa kali dipenjarakan ketika hidupnya. Keadaan yang menimpa penulis prolifik antaranya novel Keluarga Gerilya (1950), Bumi Manusia (1982) dan Gadis Pantai (1962) ini lantaran pengaruh besar daripada ketajaman tulisan beliau. Ketakutan pemerintah terhadap pengaruh tulisan Pramoedya begitu tinggi sehingga anak kelahiran Blora itu tidak dibenarkan mempunyai tinta dan kertas sepanjang menjadi tahanan penjara. Hal yang sama menimpa Jose Rizal yang dikenali menerusi novel Noli me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891). Kisah-kisah ini membuktikan bahasa kreatif berkuasa memberi anjakan paradigma terhadap pembaca sekali gus menyemarakkan semangat nasionalisme rakyat yang ditakuti pemerintah kuku besi.

Penggunaan bahasa, daya penceritaan dan sentuhan terhadap isu semasa yang baik mampu mempengaruhi psikologi dan semangat individu. Seni bahasa kreatif atau dikenali sebagai bahasa sastera dimanfaatkan oleh sasterawan pejuang seperti A. Samad Said melalui puisi “Peludah Bahasa” mahupun Usman Awang menerusi puisi “Pak Utih”. Puisi prosa ini mengkritik ahli politik yang hanya mesra rakyat ketika kempen pilihan raya. Namun, rakyat dibiarkan dengan harapan setelah pihak terbabit mendapat kemenangan :


IPunya satu isteri mau dakap sampai mati
Lima anak mau makan setiap hari
Teratak tua digayuti cerita puaka
O Pak Utih, petani yang berjasa.

II...
Di mana-mana jamuan dan pesta makan
Ayam panggang yang enak di depan
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa
Bapa-bapa pergi ke mana dengan mobil besar?
(“Pak Utih”, 1954)

Seni bahasa kreatif mempunyai perbezaan yang besar dengan penggunaan bahasa standard. Secara umum, bahasa standard ialah kelas bahasa yang relevan sebagai bahasa penghantar formal. Namun demikian, atas lesen kepenyairan, sasterawan yang mempunyai kreativiti dalam berbahasa mampu menyembunyikan segala isi tersirat di sebalik susunan kata yang dicipta dalam lingkungan kesusasteraan. Syed Syeikh Al-Hadi ialah reformis yang mendapat suntikan semangat dari Timur Tengah. Dalam masa yang sama, beliau juga ialah novelis yang aktif menghasilkan karya sekitar tahun 1920-1930-an. Novel Hikayat Faridah Hanum (1925) karangan beliau diiktiraf oleh sebahagian pengkritik sebagai novel Melayu moden yang pertama.
Sebagai penulis, ketajaman daya kreativiti Syed Syeikh Al-Hadi menyembunyikan hal-hal bersifat erotik melalui bahasa kreatif terbukti. Bagi beliau, penggunaan gaya bahasa ini membuka ruang kreatif yang lebih luas namun masih meletakkan nilai ketatasusilaan sebagai sempadan. Pilihan bahasa kreatif ini berupaya mengelakkan rasa tidak senang pembaca terhadap beberapa adegan yang sensitif. Perhatikan syair yang dihasilkan Syed Syeikh Al-Hadi bagi menggambarkan situasi malam pertama pernikahan antara Faridah Hanum dengan Shafik Afandi :

...
Kudrat Tuhan Ilahul Ali,
Awan dan mega tersingkap sekali,
Bintang zaharah nampak tajalli,
Zahirlah kubah keramat dan wali.

Shafik pun khayal di situ sebentar,
Seluruh anggota rasa menggeletar,
Mengucaplah ianya ya Rabbi ya Sattar
Ampunkan dosaku Ilahi ya Ghaffar.

Dosa mabuklah Shafik di bahan gelora,
Hilanglah peringatan hilang kira-kira,
Anak kunci kubah dipadukan segera,
Merebutkan sementara Faridah nan cendera.

(Petikan daripada Hikayat Faridah Hanum:1925)

Seni berbahasa bukan sahaja penting dalam lapangan penulisan kreatif. Sebaliknya, kreativiti berbahasa berperanan utama dalam dunia pengacaraan majlis. Dalam hal ini, seni bahasa kreatif diperlukan agar sesebuah majlis yang dikendalikan berjalan baik dan tepu kata-kata yang menyenangkan hadirin. Setiap pengacara atau penulis skrip pengacaraan majlis wajar peka terhadap matlamat majlis. Pemilihan skrip yang tidak bersesuaian dengan format majlis akan menimbulkan gangguan terhadap kelancaran majlis. Keupayaan mengungkapkan butir-butir fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan.

Bahasa Melayu kaya dengan laras-laras bahasa kreatif bagi tujuan pengacaraan. Lazimnya, bahasa-bahasa berirama digunakan untuk dua tujuan utama iaitu menyampaikan mesej yang sukar untuk disampaikan dengan menggunakan bahasa biasa dan untuk memuliakan majlis. Penggunaan bahasa kreatif bagi majlis perpisahan, peminangan mahupun pernikahan memberi nilai tambah terhadap semangat Melayu yang sememangnya menyanjung tinggi keupayaan bahasa menyampaikan makna. Perhatikan gurindam yang boleh digunakan dalam majlis perpisahan di bawah. Inti gurindam ini penuh dengan tanda penghargaan terhadap individu yang akan bersara tanpa menggunakan bahasa standard :


Kasih mana orang baru,
Kasih lagi orang lama.

Sedap mana kasut baru,
Sedap lagi kasut lama.

Sedih mana tuan yang pergi,
Sedih lagi kami yang tuan tinggalkan.
(Abdullah Hassan, Aripin Said, Ainon Mohd:2007).

Dalam dunia siasah, gaya bahasa retorik dipilih pemimpin bagi meraih kepercayaan dan perhatian rakyat. Pemimpin Amerika Syarikat misalnya mempunyai penguasaan gaya bahasa retorik yang amat baik sehingga mampu memiliki ‘suara’ besar di dunia global. Hal ini kerana golongan pemimpin berkenaan mempunyai pengetahuan yang luas akan pengaruh gaya bahasa retorik untuk memancing kesetiaan rakyat.

Presiden Geogre W. Bush berjaya mencuri perhatian rakyat Amerika dengan penegasan bahawa campur tangan Amerika di Iraq bertujuan membebaskan rakyat Iraq daripada belenggu kepimpinan kuku besi Saddam Hussein. Walau bagaimanapun, pandangan skeptikal masyarakat di luar Amerika melihat ucapan Bush semata-mata retorik untuk meraih sokongan rakyat Amerika bagi ‘menghalalkan’ tindakannya terhadap Iraq. Penggunaan bahasa kreatif yang bersifat retorik ini memerlukan daya imaginasi, emosi dan penceritaan yang kuat untuk mengikat kepercayaan khalayak. Hal ini turut dapat dilihat menerusi Pemenang Sinematografi Terbaik dalam Festival Filem Asia Pacific 2001, Pasir Berbisik. Watak Daya yang dilakonkan oleh Dian Sastrawidoyo membesar dengan harapan menerusi ‘suara-suara’ bapa yang meninggalkannya ketika kecil. Filem ini memperlihatkan realiti kuasa bahasa kreatif memberi kesan kepada psikologi manusia :

DAYA
Bapa saya meninggalkan saya sewaktu kecil. Saya bangun pada satu hari dan dia tidak ada lagi. Yang tersisa hanya suaranya. Satu hari nanti,angin akan mempertemukan kita.


Bahasa kreatif bukan milik bahan bacaan semata-mata. Apabila sesebuah karya itu dipentaskan atau mendapat tempat di layar perak, fungsi bahasa kreatif semakin besar bagi mendekatkan jarak antara masyarakat dengan bahasa. Beberapa buah filem yang mencapai status pecah panggung dengan garapan skrip serta penggunaan bahasa yang indah mampu menarik perhatian khalayak. Filem Puteri Gunung Ledang (2006) menampilkan kisah perjuangan Hang Tuah dan cinta Puteri Gunung Ledang menerusi penggunaan bahasa yang menarik sebagai dialog. Garapan bahasa kreatif ini bersesuaian dengan jalan cerita dan watak yang ditampilkan oleh M. Nasir dan Tiara Jaquelina. Kehadiran bahasa kiasan bertujuan melahirkan perasaan atau pemikiran menjadikan taraf bahasa Melayu semakin tinggi dan relevan untuk pelbagai ruang dan fungsi :



HANG TUAHKanda lupa cinta dinda seagung maya.

GUSTI PUTRICinta kanda? Buka
n semesta luasnya?

HANG TUAHMasih kecil berbanding cinta dinda!


GUSTI PUTRITapi kanda ke mari juga.

HANG TUAHLaksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga.
Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda.

(Petikan dialog filem Puteri Gunung Ledang)


Pihak berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran sewajarnya mengambil inisiatif merapatkan jurang masyarakat umum dengan seni bahasa kreatif. Usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melalui Fakulti Penulisan Kreatif dalam melahirkan penulis-penulis yang kenal tanggungjawab dan keupayaan kuasa bahasa kreatif wajar diambil perhatian. Penulis yang mempunyai kemahiran berbahasa kreatif juga harus mengambil kira sempadan dalam berkarya sekali gus memastikan hasil pena mereka menjanjikan kebaikan dan kemakmuran untuk masyarakat pembaca dan penerima bahasa.



Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian ~Pramoedya Ananta Toer-


Esei ini telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Februari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan