Ahad, 29 April 2012

TEROMBA: WADAH MANIFESTASI SASTERA MELAYU

MANUSIA dan alam merupakan dua unsur yang saling berkait dengan hubungan timbal balik yang sedia ada. Selain memperlihatkan nilai saintifik, alam sebenarnya menjadi cermin dan panduan untuk manusia meneliti dan memahami kehidupan. Kebanyakan falsafah yang berperanan mengungkap nilai pemikiran dan kebudayaan sesebuah bangsa dan tamadun mempunyai keterikatan yang tinggi dengan unsur dan pengamatan manusia terhadap alam. Dalam tamadun Barat, Ralph Waldo Emerson yang terkenal dengan nilai kecintaan tinggi terhadap alam memperlihatkan kepentingan unsur alam dalam menambah ilmu pengetahuan manusia sama ada yang berbentuk metafizik mahupun duniawi. Bagi Emerson, alam menjadi sumber untuk manusia berfikir mengenai pencipta selain sebagai sumber inspirasi kepada manusia.

Dalam perkembangan ilmu falsafah, ketinggian falsafah Melayu dilihat kurang menonjol melalui buku mahupun naskhah bertulis seperti yang dimiliki oleh tamadun Barat melalui tulisan-tulisan Socrates, Plato dan Aristotle yang dibukukan. Karya seperti Republic menjadi aset kepada tamadun Barat dalam mengangkat nilai falsafah mereka. Walau bagaimanapun, hal ini berbeza dengan tamadun Melayu yang penuh dengan kehalusan dan ketatasusilaan. Dalam tamadun Melayu, falsafah dan unsur pemikiran yang telah wujud sejak zaman kesultanan Melayu tercitra dalam bentuk puisi yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu itu sendiri. Nilai sensitiviti yang tinggi dalam diri masyarakat Melayu menjadikan mereka sering merenung kejadian alam dan dimanifestasikan melalui puisi-puisi tradisional seperti pantun, nazam, syair, talibun dan teromba. Masyarakat melahirkan perasaan dan pandangan kolektif mereka terhadap kehidupan melalui medium kreatif tradisional tersebut.

Namun demikian, nilai kekayaan yang ada dalam puisi-puisi tradisional tersebut semakin kurang diberi perhatian lantaran daripada peredaran zaman yang seolah-olah meminggirkan warisan kebudayaan Melayu yang sarat dengan falsafah tersembunyi. Dalam hal ini, teromba yang merupakan salah satu puisi tradisional kelihatan lebih terpinggir jika dibandingkan dengan pantun, gurindam dan syair. Hal ini dapat dilihat apabila jarang sekali teromba dimasukkan ke dalam antologi Komponen Sastera (KOMSAS) yang menjadi subjek wajib bagi semua murid di peringkat sekolah menengah.

Teromba merupakan salah satu genre puisi tradisional yang lahir dalam komuniti masyarakat Melayu keturunan Minang dan mengamalkan budaya hidup yang berteraskan Adat Pepatih. Selain teromba, puisi tradisional ini turut dikenali sebagai terasul, tambo dan salasilah. Bagi masyarakat Minang, teromba dimaksudkan sebagai peraturan memperlihatkan peri penting peraturan dalam kehidupan manusia. Dalam hal ini, masyarakat Minang melihat kehidupan yang dijalani tanpa peraturan sama seperti menjalani kehidupan yang tidak beradat. Sebagai genre puisi, teromba yang masih diikuti dan diamalkan di Minangkabau, Sumatera dan di Negeri Sembilan, Malaysia, tergolong dalam puisi yang tidak terikat; iaitu tidak mempunyai bentuk dan struktur tertentu, berangkap atau tidak. Dalam adat Minangkabau, teromba digunakan dalam istiadat perkahwinan dan sebagai sumber utama masyarakat Minang untuk berbicara mengenai adat. Teromba wujud dan dihasilkan oleh masyarakat dahulu secara kolektif yang diwarisi secara lisan dan hafalan.

Sebagai sebuah masyarakat yang hidup bersendikan pepatah “alam takambang menjadi guru”, masyarakat Minang yang terbiasa dengan kehijauan alam telah mencetuskan falsafah, pemikiran, peraturan dan hukum kehidupan melalui susunan ayat yang mengandungi inti makna mendalam melalui teromba. Teromba yang disusun dan disampaikan dalam bentuk puisi memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada khalayak masyarakatnya. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu yang kukuh akar budi berupaya membentuk masyarakat yang halus jiwa dan pemikirannya melalui penciptaan teromba.

Selain sebagai medium penyampaian fikiran dan perasaan, teromba juga menjadi wadah komunikasi dalam kalangan masyarakat. Proses enkod dan dekod khalayak yang menggunakan teromba dapat disalurkan dengan baik sehingga memberi kesan kepada pemikiran dan renungan mereka terhadap kehidupan. Komunikasi secara perbilangan, terasul, pepatah, gurindam, syair dan teromba membolehkan khalayak mencerna mesej yang ingin disampaikan melalui ragam penyampaian yang menarik. Hal ini merupakan kejayaan masyarakat pengamal puisi yang menemui jati diri dan rohani melalui renungan terhadap fenomena alam yang diterjemahkan dalam bentuk kreatif tersebut.

Dalam mendepani arus modenisasi yang memperlihatkan kelonggaran struktur jati diri manusia, adalah wajar untuk masyarakat kembali mengenang semula akan keunggulan puisi seperti teromba yang mampu memberi keutuhan terhadap jati diri seseorang individu. Masyarakat moden yang sudah terbiasa dengan tulisan-tulisan popular bersifat harfiah seharusnya diperkenalkan semula dengan bentuk teromba yang mampu mendidik jiwa manusia untuk lebih kenal diri dan pencipta, sekali gus melahirkan insan kamil yang menjadi modal insan berguna kepada pembangunan negara bangsa. Hal ini boleh dilakukan dengan melakukan pemupukan awal dengan konsep peribahasa melentur buluh biar dari rebungnya.

Kepesatan pembangunan teknologi moden dalam membantu manusia memahami dunia boleh diseimbangkan dengan melihat unsur alam dalam teromba yang kaya dengan nilai falsafah. Renungan masyarakat terutamanya generasi muda terhadap nilai dalam teromba berupaya membentuk masyarakat yang tinggi akal budi dengan bersandarkan renungan terhadap alam tanpa meminggirkan modenisasi. Hal ini kerana, teromba yang semakin terpinggir dalam arus sastera perdana mampu membantu manusia untuk melahirkan satu kehidupan yang lebih sejahtera. Nilai yang wujud dalam teromba melangkaui ruang masa dan zaman.

Sebagai contohnya, teromba yang telah lahir sejak zaman dahulu telah pun membicarakan persoalan ekonomi secara telus dan dibincangkan dalam khalayak masyarakatnya. Perkara ini dapat dihubung kait dengan struktur adat Minang itu sendiri yang memperlihatkan tanggungjawab Buapak dalam merangsang kegigihan anak buahnya untuk berusaha membaiki ekonomi diri dan keluarga. Sawah padi yang dimiliki perlu diusahakan dengan baik bagi menjamin masa depan diri dan keluarga. Secara halus, hal ini mencitrakan kepentingan masyarakat Minang untuk mengeksploitasi sawah padi dan unsur alam secara optimum agar kehidupan menjadi lebih stabil serta harmoni. Dalam masa yang sama, saranan agar berusaha gigih ini juga merupakan satu pesanan melalui teromba yang mempunyai keterikatan kuat dengan saranan agama Islam yang dipegang oleh Adat Pepatih iaitu saranan agar manusia berusaha untuk berjaya dan mengubah nasib manusia itu sendiri agar menjadi lebih baik. Hal ini dapat diperhalusi melalui teromba berikut:

Hendak seribu daya
Tak hendak seribu bicara
Biar berputih tulang
Jangan berputih mata
Bulat tak datang menggolek
Pipih tak datang melayang
Kalau tak pecahkan ruyung
Di manakah dapat sagunya(Kia Wahab, Kampung Peraku, Negeri Sembilan, 11 April 2001)

Secara tidak langsung, teromba yang dihasilkan memberi makna tersembunyi untuk difikirkan oleh khalayak yang bijak menilai bahawa kesenangan hidup tidak datang tanpa usaha dan kegigihan. Hal ini nyata menyentuh perihal ekonomi masyarakat bahawa satu sistem ekonomi yang teratur dan jelas perlu dijana dalam usaha mendapatkan hasilnya. Melalui teromba, pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kesedaran kepada anak buahnya.

Keutuhan falsafah Melayu yang tersembunyi dalam teromba tetap tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Lapisan makna yang terdapat di dalam sesebuah teromba merupakan satu pandangan terhadap masa kemudian. Sekiranya gagasan 1Malaysia muncul atas dasar pemikiran Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pada tahun 2009, teromba yang dipetik daripada Alif Mokhtar pada tahun 2001 telah mencerminkan kepentingan perpaduan dan muafakat bagi memupuk sebuah negara harmonis yang berbilang kaum dan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang baru dilahirkan. Malahan, teromba-teromba dengan landasan idea seperti yang diketengahkan Alif Mokhtar tidak mustahil telah wujud sejak berabad lama. Melalui teromba, perpaduan dijelmakan sebagai satu perkara asas yang perlu dipelihara sebaik mungkin. Nasihat di dalam teromba Alif Mokhtar mengajar manusia agar menepati janji, berkerjasama dan saling bertoleransi antara satu sama lain. Hal ini jelas dapat dikaitkan dengan situasi sosial masyarakat kini yang berusaha mencapai kedamaian negara melalui gagasan 1Malaysia yang mementingkan kesatuan dan perpaduan.

Dalam hal ini, teromba yang dihasilkan tersebut menggunakan kiasan, alegori dan perbandingan terhadap alam sama ada flora mahupun fauna dalam menyampaikan fikirannya. Atas dasar keupayaan akal manusia untuk berfikir lanjut, teromba berselindung di sebalik bahasa-bahasa figuratif yang menjelma secara semula jadi melalui fikiran pengarang untuk ditelaah dan direnung oleh khalayak masyarakat penerima. Penelitian masyarakat penerima terhadap unsur alam dengan bahasa figuratif tersebut bukan hanya membuka minda khalayak sebaliknya memperkaya pengalaman manusia terhadap alam di persekitaran. Sekiranya khalayak menghayati dan memanfaatkan idea dan falsafah yang ada di dalam teromba ini, maka satu kehidupan masyarakat yang saling menghormati dan taat setia kepada negara mampu direalisasikan :

Sekata tak berdalih
Janji dibuat dimuliakan
Buruk jangan dicari
Musuh sama dihadang
Berlunak sama berlumpur
Bak kerbau sekandang
Tanduk sama diasah
Bak burung sesangkar
Mengepal sekirai
Bak ayam sereban
Kecil besar sama sedayung
Sakit sayu semua berduka
Bak labu nan menjalar
Pucuk sama digetus
Wakaf sama dipetik
Ada sama mendapat
Cicir sama dicari
Untung laba sama dirasa

Dalam masyarakat Minang di Negeri Sembilan, teromba menjadi alat untuk memupuk perpaduan, keselesaan dan jalinan kasih sayang yang berpanjangan. Melalui teromba, komunikasi antara masyarakat Melayu yang mengamalkan Adat Pepatih disalurkan dengan bentuk yang begitu halus. Kehalusan susunan, pemilihan dan unsur alam digunakan untuk menyemarakkan sifat berbudi dalam kalangan masyarakatnya. Aspek budi ditekankan agar masyarakat Melayu mampu hidup secara aman dengan rasa saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Masyarakat Melayu yang dikenali dengan kesantunan dan keperibadian yang tinggi begitu mementingkan nilai budi dalam aspek hidup seharian.

Keanjalan struktur teromba menjadikan puisi ini berupaya memanfaatkan variasi peribahasa yang disatukan bagi memberi satu pengukuhan terhadap nilai yang ingin disampaikan. Melalui teromba berikut, aspek ini ditekankan dengan unsur nasihat serta pengajaran sebagai panduan untuk masyarakat menjalani kehidupan dengan sejahtera bersandarkan budi yang dijunjung semulia adat:

Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tua dimuliakan
Yang muda dikasihi
Sama besar hormat-menghormati
Yang merah itu saga
Yang kurik itu kundi
Yang indah itu bahasa
Yang baik itu budi
(Mansor Gampam, Gunung Pasir, Negeri Sembilan, 5 Jun 2001)

Sejajar dengan pegangan Islam bermazhab Shafie yang diamalkan masyarakat Minang, Adat Pepatih, nilai syumul falsafah dalam teromba tidak ketinggalan mengangkat martabat kaum wanita seperti yang pernah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W pada awal penurunan al-Quran. Dalam hal ini, teromba yang menjadi medium penyampaian fikiran dan perasaan telah dimanfaatkan oleh masyarakat Minang dengan peluahan penghargaan dan keutamaan untuk menghormati kaum wanita. Secara tidak langsung, mesej yang disampaikan melalui teromba mampu menimbulkan rasa kagum dan hormat akan wanita daripada kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Kesedaran yang dipupuk melalui alternatif kreatif tradisional ini berupaya membuang rasa klise masyarakat yang memandang enteng tentang isu hak dan keutamaan kaum wanita.

Dalam masyarakat ini, kaum wanita yang mampu memberikan pandangan secara bebas haruslah mempunyai sifat kewanitaan yang ideal dan anggun. Menariknya, keanggunan yang dimaksudkan bukan tertakluk kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya merangkumi kebijaksanaan, kecerdasan dan berpengalaman yang luas. Walau bagaimanapun, segala dasar keanggunan tersebut tetap dibatasi hukum adat dan kebijaksanaan wanita berfikir dalam banyak segi kehidupan. Perincian tersebut disalurkan melalui pemanfaatan unsur alam seperti di bawah :

Tahu mudarah jaga manfaat
Mengenal laba juga rugi
Tahu di onak yang menyangkut
Tahu di ranting yang mencucuk
Ingat di dahan yang menghempap
Tahu di angin yang berseru
Tahu di arus ombak yang bersabung
Tahu di alamat kata sampai
(Mohd Shah Mazlan, Kampung Dioh, Negeri Sembilan, 22 Mac 2001)

Keupayaan teromba dalam mengungkap nilai kehidupan dan falsafah hidup manusia merupakan satu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Sekiranya masyarakat Barat berbangga dengan inti falsafah mereka yang dibukukan, maka masyarakat Melayu sewajarnya memberi penekanan dan berbangga dengan kewujudan puisi tradisional seperti teromba yang menyembunyi falsafah kehidupan di sebalik susunan kata bersumberkan nilai alam dan kemanusiaan. Falsafah bangsa Melayu yang lahir secara semula jadi terakam dalam puisi tradisional seperti ini. Ketohoran pengetahuan masyarakat dan generasi kini terhadap teromba seharusnya diperdalamkan agar keunggulan memanifestasikan falsafah Melayu dapat terus disuburkan.

Generasi kini mempunyai keterbukaan minda yang lebih mudah untuk dilentur melalui pengaplikasian medium teromba yang sarat dengan bahasa figuratif dan renungan pengarang terhadap alam. Sekiranya masyarakat dahulu mewujudkan teromba secara kolektif, penulis atau pemikir kini mampu menjadikan teromba sebagai satu saluran pemikiran yang berkesan dalam memantapkan sesebuah institusi baik dari yang kecil sehingga menjangkau lapisan institusi yang lebih besar seperti negara.

Pendedahan serius mengenai teromba terhadap generasi kini merupakan satu tindakan yang wajar bagi memastikan pelestarian teromba dalam sejarah sastera Melayu tidak terpadam. Fungsi teromba dalam mendidik masyarakat, memberi panduan serta pengajaran mengenai kehidupan dan falsafah bangsa Melayu yang halus budi pekerti mampu dikembangkan melalui warisan terhadap generasi kini yang semakin tandus pengetahuan mengenai seni puisi teromba. Dalam mendepani arus kemodenan, nilai seni teromba sentiasa relevan untuk segenap lapisan masyarakat. Kepadatan nilai moral, akhlak, agama, kekeluargaan dan mencakupi keseluruhan isu dalam aspek kehidupan manusia membolehkan nilai seni dan tradisi Melayu dalam teromba terus terpelihara meskipun berhadapan dengan unsur globalisasi.

Keupayaan teromba dalam mengungkapkan falsafah Melayu secara halus merupakan satu kebanggaan yang wajar dilestarikan untuk warisan generasi akan datang. Pelestarian dan kerelevanan teromba dalam kehidupan masyarakat Melayu juga wajar diberi perhatian serius agar genre puisi tradisional yang menyimpan khazanah ilmu alam, budaya dan pemikiran manusia ini mampu diteliti generasi akan datang untuk mengenali susur galur adat dan budaya Melayu yang kaya dengan kiasan dan perlambangan kata dalam mencerminkan pemikiran, jati diri dan keperibadian bangsa.

Esei ini telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Mei 2010

Rabu, 18 April 2012

MANIPULASI KUASA BAHASA KREATIF

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang ~Sayidina Ali


KAMUS DEWAN
mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang berfungsi sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bagi melancarkan proses komunikasi, bahasa menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Penggunaan bahasa yang lancar, bersistem dan tepat menghasilkan daya perhubungan yang berkesan. Ketepatan penggunaan bahasa bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti bahasa, malah menjadikan proses enkod dan dekod berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat berbahasa.

Selain berperanan sebagai alat komunikasi manusia, bahasa berperanan besar membentuk pemikiran dan pandangan hidup manusia. Manipulasi bahasa kreatif yang baik memberi impak kepada daya fikir khalayak penerima bahasa. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, kemasukan tulisan Jawi dan bahasa Arab telah memperkaya bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu bukan sekadar lingua franca yang berperanan dalam bidang perdagangan antarabangsa mahupun pentadbiran negeri Melaka. Sebaliknya, bahasa Melayu sebelum zaman itu lagi telah menjadi wadah masyarakat melahirkan gagasan pemikiran berlandaskan kreativiti berbahasa.

Ketika zaman Melayu klasik (1400-1800), bahasa Melayu yang masih dipengaruhi ciri-ciri bahasa arkaik serta bahasa Arab telah digunakan sebagai senjata untuk berkarya oleh penglipur lara. Proses penggunaan bahasa secara kreatif wujud baik dalam konteks sastera lisan mahupun sastera tulisan. Komuniti Melayu klasik yang mempunyai pertalian erat dengan unsur alam telah menzahirkan pandangan mereka melalui pelbagai cara. Sebagai contohnya, pantun dua kerat seperti di bawah yang lestari sehingga ke hari ini terhasil daripada daya cerap masyarakat terhadap alam yang membentuk kata-kata sarat penghargaan terhadap budi seseorang tanpa penggunaan bahasa secara langsung:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata yang pendek namun mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Pentakrifan peribahasa ini membuktikan penguasaan terhadap bahasa kreatif mampu mewujudkan laras bahasa tersendiri yang bertujuan memberi pengajaran secara santun. Penggunaan bidalan, perumpamaan, pepatah-petitih, perbilangan, kias ibarat dan tamsil dalam kategori peribahasa sejak zaman dahulu berfungsi menyampaikan sindiran, amanat dan teguran tanpa menyakitkan hati. Hal ini memperlihatkan betapa komuniti Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam kebanyakan tamadun, kecekapan sasterawan menggunakan bahasa kreatif sering menarik perhatian terutamanya oleh pemerintah. Kisah penyair mahupun penulis yang menemui ajal di dalam penjara mahupun di tali gantung bukanlah kisah luar biasa dalam dunia kesusasteraan. Setiap pengkarya mempunyai prinsip tertentu dalam berkarya. Sesetengah sasterawan memilih menggunakan sastera dan bahasa kreatif sebagai sumber perjuangan. Bahasa dan dunia sastera diyakini berupaya menjadi ‘lidah masyarakat’ bagi menyampaikan kritikan terhadap pemerintahan yang bobrok.

Pramoedya Ananta Toer, tokoh penulis Indonesia telah beberapa kali dipenjarakan ketika hidupnya. Keadaan yang menimpa penulis prolifik antaranya novel Keluarga Gerilya (1950), Bumi Manusia (1982) dan Gadis Pantai (1962) ini lantaran pengaruh besar daripada ketajaman tulisan beliau. Ketakutan pemerintah terhadap pengaruh tulisan Pramoedya begitu tinggi sehingga anak kelahiran Blora itu tidak dibenarkan mempunyai tinta dan kertas sepanjang menjadi tahanan penjara. Hal yang sama menimpa Jose Rizal yang dikenali menerusi novel Noli me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891). Kisah-kisah ini membuktikan bahasa kreatif berkuasa memberi anjakan paradigma terhadap pembaca sekali gus menyemarakkan semangat nasionalisme rakyat yang ditakuti pemerintah kuku besi.

Penggunaan bahasa, daya penceritaan dan sentuhan terhadap isu semasa yang baik mampu mempengaruhi psikologi dan semangat individu. Seni bahasa kreatif atau dikenali sebagai bahasa sastera dimanfaatkan oleh sasterawan pejuang seperti A. Samad Said melalui puisi “Peludah Bahasa” mahupun Usman Awang menerusi puisi “Pak Utih”. Puisi prosa ini mengkritik ahli politik yang hanya mesra rakyat ketika kempen pilihan raya. Namun, rakyat dibiarkan dengan harapan setelah pihak terbabit mendapat kemenangan :


IPunya satu isteri mau dakap sampai mati
Lima anak mau makan setiap hari
Teratak tua digayuti cerita puaka
O Pak Utih, petani yang berjasa.

II...
Di mana-mana jamuan dan pesta makan
Ayam panggang yang enak di depan
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa
Bapa-bapa pergi ke mana dengan mobil besar?
(“Pak Utih”, 1954)

Seni bahasa kreatif mempunyai perbezaan yang besar dengan penggunaan bahasa standard. Secara umum, bahasa standard ialah kelas bahasa yang relevan sebagai bahasa penghantar formal. Namun demikian, atas lesen kepenyairan, sasterawan yang mempunyai kreativiti dalam berbahasa mampu menyembunyikan segala isi tersirat di sebalik susunan kata yang dicipta dalam lingkungan kesusasteraan. Syed Syeikh Al-Hadi ialah reformis yang mendapat suntikan semangat dari Timur Tengah. Dalam masa yang sama, beliau juga ialah novelis yang aktif menghasilkan karya sekitar tahun 1920-1930-an. Novel Hikayat Faridah Hanum (1925) karangan beliau diiktiraf oleh sebahagian pengkritik sebagai novel Melayu moden yang pertama.
Sebagai penulis, ketajaman daya kreativiti Syed Syeikh Al-Hadi menyembunyikan hal-hal bersifat erotik melalui bahasa kreatif terbukti. Bagi beliau, penggunaan gaya bahasa ini membuka ruang kreatif yang lebih luas namun masih meletakkan nilai ketatasusilaan sebagai sempadan. Pilihan bahasa kreatif ini berupaya mengelakkan rasa tidak senang pembaca terhadap beberapa adegan yang sensitif. Perhatikan syair yang dihasilkan Syed Syeikh Al-Hadi bagi menggambarkan situasi malam pertama pernikahan antara Faridah Hanum dengan Shafik Afandi :

...
Kudrat Tuhan Ilahul Ali,
Awan dan mega tersingkap sekali,
Bintang zaharah nampak tajalli,
Zahirlah kubah keramat dan wali.

Shafik pun khayal di situ sebentar,
Seluruh anggota rasa menggeletar,
Mengucaplah ianya ya Rabbi ya Sattar
Ampunkan dosaku Ilahi ya Ghaffar.

Dosa mabuklah Shafik di bahan gelora,
Hilanglah peringatan hilang kira-kira,
Anak kunci kubah dipadukan segera,
Merebutkan sementara Faridah nan cendera.

(Petikan daripada Hikayat Faridah Hanum:1925)

Seni berbahasa bukan sahaja penting dalam lapangan penulisan kreatif. Sebaliknya, kreativiti berbahasa berperanan utama dalam dunia pengacaraan majlis. Dalam hal ini, seni bahasa kreatif diperlukan agar sesebuah majlis yang dikendalikan berjalan baik dan tepu kata-kata yang menyenangkan hadirin. Setiap pengacara atau penulis skrip pengacaraan majlis wajar peka terhadap matlamat majlis. Pemilihan skrip yang tidak bersesuaian dengan format majlis akan menimbulkan gangguan terhadap kelancaran majlis. Keupayaan mengungkapkan butir-butir fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan.

Bahasa Melayu kaya dengan laras-laras bahasa kreatif bagi tujuan pengacaraan. Lazimnya, bahasa-bahasa berirama digunakan untuk dua tujuan utama iaitu menyampaikan mesej yang sukar untuk disampaikan dengan menggunakan bahasa biasa dan untuk memuliakan majlis. Penggunaan bahasa kreatif bagi majlis perpisahan, peminangan mahupun pernikahan memberi nilai tambah terhadap semangat Melayu yang sememangnya menyanjung tinggi keupayaan bahasa menyampaikan makna. Perhatikan gurindam yang boleh digunakan dalam majlis perpisahan di bawah. Inti gurindam ini penuh dengan tanda penghargaan terhadap individu yang akan bersara tanpa menggunakan bahasa standard :


Kasih mana orang baru,
Kasih lagi orang lama.

Sedap mana kasut baru,
Sedap lagi kasut lama.

Sedih mana tuan yang pergi,
Sedih lagi kami yang tuan tinggalkan.
(Abdullah Hassan, Aripin Said, Ainon Mohd:2007).

Dalam dunia siasah, gaya bahasa retorik dipilih pemimpin bagi meraih kepercayaan dan perhatian rakyat. Pemimpin Amerika Syarikat misalnya mempunyai penguasaan gaya bahasa retorik yang amat baik sehingga mampu memiliki ‘suara’ besar di dunia global. Hal ini kerana golongan pemimpin berkenaan mempunyai pengetahuan yang luas akan pengaruh gaya bahasa retorik untuk memancing kesetiaan rakyat.

Presiden Geogre W. Bush berjaya mencuri perhatian rakyat Amerika dengan penegasan bahawa campur tangan Amerika di Iraq bertujuan membebaskan rakyat Iraq daripada belenggu kepimpinan kuku besi Saddam Hussein. Walau bagaimanapun, pandangan skeptikal masyarakat di luar Amerika melihat ucapan Bush semata-mata retorik untuk meraih sokongan rakyat Amerika bagi ‘menghalalkan’ tindakannya terhadap Iraq. Penggunaan bahasa kreatif yang bersifat retorik ini memerlukan daya imaginasi, emosi dan penceritaan yang kuat untuk mengikat kepercayaan khalayak. Hal ini turut dapat dilihat menerusi Pemenang Sinematografi Terbaik dalam Festival Filem Asia Pacific 2001, Pasir Berbisik. Watak Daya yang dilakonkan oleh Dian Sastrawidoyo membesar dengan harapan menerusi ‘suara-suara’ bapa yang meninggalkannya ketika kecil. Filem ini memperlihatkan realiti kuasa bahasa kreatif memberi kesan kepada psikologi manusia :

DAYA
Bapa saya meninggalkan saya sewaktu kecil. Saya bangun pada satu hari dan dia tidak ada lagi. Yang tersisa hanya suaranya. Satu hari nanti,angin akan mempertemukan kita.


Bahasa kreatif bukan milik bahan bacaan semata-mata. Apabila sesebuah karya itu dipentaskan atau mendapat tempat di layar perak, fungsi bahasa kreatif semakin besar bagi mendekatkan jarak antara masyarakat dengan bahasa. Beberapa buah filem yang mencapai status pecah panggung dengan garapan skrip serta penggunaan bahasa yang indah mampu menarik perhatian khalayak. Filem Puteri Gunung Ledang (2006) menampilkan kisah perjuangan Hang Tuah dan cinta Puteri Gunung Ledang menerusi penggunaan bahasa yang menarik sebagai dialog. Garapan bahasa kreatif ini bersesuaian dengan jalan cerita dan watak yang ditampilkan oleh M. Nasir dan Tiara Jaquelina. Kehadiran bahasa kiasan bertujuan melahirkan perasaan atau pemikiran menjadikan taraf bahasa Melayu semakin tinggi dan relevan untuk pelbagai ruang dan fungsi :



HANG TUAHKanda lupa cinta dinda seagung maya.

GUSTI PUTRICinta kanda? Buka
n semesta luasnya?

HANG TUAHMasih kecil berbanding cinta dinda!


GUSTI PUTRITapi kanda ke mari juga.

HANG TUAHLaksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga.
Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda.

(Petikan dialog filem Puteri Gunung Ledang)


Pihak berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran sewajarnya mengambil inisiatif merapatkan jurang masyarakat umum dengan seni bahasa kreatif. Usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melalui Fakulti Penulisan Kreatif dalam melahirkan penulis-penulis yang kenal tanggungjawab dan keupayaan kuasa bahasa kreatif wajar diambil perhatian. Penulis yang mempunyai kemahiran berbahasa kreatif juga harus mengambil kira sempadan dalam berkarya sekali gus memastikan hasil pena mereka menjanjikan kebaikan dan kemakmuran untuk masyarakat pembaca dan penerima bahasa.



Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian ~Pramoedya Ananta Toer-


Esei ini telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Februari 2012