Jumaat, 26 Ogos 2011

RAKAMAN KEHIDUPAN DALAM SEROJA MASIH DI KOLAM

APABILA berbicara tentang buku, selain menikmati pengalaman di dalam karya yang ditulis oleh pengarang, saya juga akan berbicara tentang rasa. Bagi saya, rasa juga penting dalam meneliti kesan pengalaman terhadap pembacaan. Walaupun kata rasa sering dikaitkan dengan emosi, bagi saya rasa terhadap sesebuah pembacaan berkait rapat dengan latar pendidikan, pengalaman, kebudayaan dan sebagainya. Bukan sekadar rasa biasa. "Best" atau tidak "best" sesebuah karya.

Saya sering kali mendengar khabar tentang novel Seroja Masih di Kolam yang begitu feminis sifatnya, yang begitu mengangkat tema wanita di dalamnya. Akan tetapi, saya melihat dan berasa sebaliknya sepanjang membaca dan usai membaca naskhah tulisan Adibah Amin berkenaan. Bagi saya, kekuatan wanita di dalam karya ini hambar. Watak utama iaitu Nur Diana dari awal hingga akhir cerita banyak bermain dengan perasaan dan fikiran-fikiran yang tidak stabil. Watak Latifah sebagai 'player' pula akhirnya mendapat natijah atas sikapnya sendiri. Manakala, Che' Eton iaitu ibu kepada Diana ialah wanita stereotaip yang sibuk dengan kecantikan, kemegahan dan penuh kemodenan.
Secara peribadi, saya melihat karya ini lebih menjurus aspek sosiobudaya masyarakat Melayu akhir dekad 1960-an. Novel ini mengisahkan kehidupan keluarga Che' Jalal bersama isterinya iaitu Che' Eton dan anak tunggalnya bernama Nur Diana. Che' Jalal ialah pegawai tinggi di Rumah Persekutuan. Watak ini sering dibumbui rasa rendah diri, tertekan dengan cabaran dan sindiran yang dibawa oleh Amdin.
Meskipun telah lama berkhidmat, Che' Jalal gagal mendapat perhatian ketua tinggi di jabatannya malah sering diperlekehkan Amdin yang muda belia. Dalam masa yang sama, gejolak hidup rumah tangganya dengan Che' Eton yang mempunyai sikap tertentu menyebabkan Che' Jalal mencari perhatian di luar rumah melalui watak Latifah.

Sementara itu, kisah ini juga memaparkan perbezaan darjat yang ketara dan gaya hidup masyarakat zaman itu. Dalam hal ini, Che' Eton ialah gambaran masyarakat berkedudukan yang memandang sinis terhadap golongan bawahan yang ditandakan oleh Hayati dan Ridhwan. Meskipun mempunyai ibu yang suka mendatangkan masalah dengan berkelakuan sombong terhadap Hayati, Nur Diana sebaliknya mempunyai peribadi yang lebih tulus. Tidak melihat kepada perbezaan darjat, Nur Diana yang lebih akrab dan senang dengan sikap ayahnya lebih mudah berkawan dengan Hayati dan senang dengan Ridhwan.
Namun demikian, pengkisahan terhadap Diana memperlihatkan kebuntuan dan dilema yang dilaluinya. Diana rapuh jiwa. Itu yang boleh saya tegaskan pada watak Diana melalui pembacaan saya. Diana tahu peribadi sebenar Rusli melalui teman-temannya. Dia tahu betapa kaki perempuan teman lelakinya itu. Akan tetapi, Diana masih lagi memberi ruang dan kepercayaan tidak berbelah bahagi setiap kali Rusli memberikan penjelasan (penipuan demi penipuan). Setelah gagal teruk dalam peperiksaan, Diana bersemangat untuk menduduki HSC atas dorongan Ridhwan.

Diana bermain dengan perasaannya sendiri. Di hatinya ada Rusli namun di fikirnya selalu ada Ridhwan. Diana tahu antara Rusli dan Ridhwan yang lebih baik lakunya ialah Ridhwan. Diana tahu bahawa yang lebih sesuai dijadikan imam untuknya ialah Ridhwan namun Diana tetap gagal membuat keputusan. Selain itu, pengarang juga menggambarkan Diana sebagai seorang wanita yang 'tidak berperasaan'. Sebagai seorang yang berpendidikan Inggeris, anak orang berdarjat, Diana seolah-olah 'kosong fikir' dan 'tunarasa'. Hal inilah yang membuatkan Rusli berang selalu akan teman wanita yang dianggapnya sebagai tidak berperasaan. Apakah kewajarannya Diana yang mempunyai pergaulan luas itu dijadikan sebagai 'tidak berperasaan' begitu? Apakah untuk memperlihatkan kenaifan Diana?
Meskipun pada akhir cerita akhirnya penulis menggambarkan Diana membuat keputusan untuk memilih Ridhwan namun perjalanan itu terlalu panjang sedangkan sepanjang cerita perwatakan Diana konsisten dengan 'kenaifannya'. Bagi saya, watak yang lebih menarik dalam cerita ini ialah Che' Jalal. Saya dapat melihat Che' Jalal yang berang dengan sikap Che' Eton, ditekan dengan pandangan negatif majikan dan jabatan terhadap dirinya, digoda dan tergoda dengan kewanitaan Latifah namun pada akhirnya Che' Jalal sedar bahawa Che' Eton itulah isteri yang telah lama berkongsi hidup dan nafas dengannya. Kesedaran ini membuatkan Che' Jalal kembali memaafkan kesalahan isterinya sendiri.
Namun demikian, Seroja Masih di Kolam tetap mempunyai aspirasi tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui watak Ridhwan sebagai pejuang bahasa dan dramatis yang kuat dalam melebarkan pemikiran bahawa Melayu perlu sedar akan kedudukannya dan tidak terus terjajah mindanya.

Saya percaya, rasa tidak senang saya terhadap karya ini muncul kerana khabar-khabar yang saya dengar tentang feminisnya karya ini. Saya sebagai pembaca alaf 21 pada usia semasa ini mempunyai latar pendidikan, pengalaman dan kebudayaan yang berbeza dengan pembaca pada latar novel ini dihasilkan. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Adibah Amin kerana sedikit-sebanyak naskhah ini menjadi perakam zaman yang memberi bantuan kepada saya untuk memahami kehidupan masyarakat jauh dari zaman saya sekarang.

1 ulasan:

  1. Salam saudari. Saya tertarik dengan hujah-hujah dan pandangan saudari terhadap novel ini. Saya dan rakan-rakan saya mengkaji novel ini di peringkat pra-universiti. Dan seperti juga saudari, kami tidak berapa tertarik dengan novel ini. Jalan ceritanya yang tidak mempunyai 'direction' dan sikap bermegah-megah orang Melayu yang ditunjukkan oleh pengarang seakan-akan tidak membawa 'message' yang banyak kepada pembaca.

    BalasPadam