Sabtu, 13 Ogos 2011

NYAWA DI-HUJONG PEDANG, SATU RAKAMAN PENDERITAAN

RAKAMAN sejarah penderitaan rakyat Tanah Melayu ketika pendudukan Jepun. Itulah yang boleh disifatkan akan naskhah novel Nyawa di-hujong Pedang karangan Ahmad Murad Nasruddin. Novel ini telah diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Persekutuan Tanah Melayu Kuala Lumpur setelah novel ini mendapat hadiah pertama dalam peraduan mengarang cerita anjuran Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946. Novel ini telah dicetak buat kali keenam pada tahun 1963.
Nyawa di-hujong Pedang memaparkan kehidupan seorang pemuda bernama Yazid yang berdepan dengan pengkhianatan sahabat baik iaitu Sa'id dan kekejaman tentera Jepun. Sejak kecil, Yazid dan Sa'id bersahabat baik. Namun demikian, kedua-dua sahabat itu mempunyai perbezaan keinginan dan sikap yang nyata. Yazid seorang yang berpendidikan Melayu mempunyai empati yang tinggi terhadap nasib bangsanya sedangkan Sa'id lebih gemar menimbulkan masalah dan hanya memikirkan kepentingan dirinya.

Apabila Jepun datang dan menduduki Tanah Melayu, Sa'id telah mengkhianati orang Melayu dan masyarakat di sekitar Sungai Kinta dengan menjadi informer kepada Jepun. Sebagai 'tali barut' Jepun, Sa'id bertindak memberi maklumat akan pergerakan anti-Jepun dan sebarang bentuk cubaan atau penghinaan masyarakat Tanah Melayu terhadap kerajaan Jepun. Atas rasa iri hati dan amarah apabila Juriah yang memilih Yazid sebagai kekasih, Sa'id tekad untuk membalas dendam kepada Yazid.

Pelbagai cara telah dilakukan untuk memujuk Juriah serta Pak Deris dan Mak Jah tidak menerima Yazid sebagai menantu mereka. Hatta, Sa'id juga mengugut Juriah akan nasib yang menimpa ibu dan bapanya sekiranya Juriah terus menerima Yazid sebagai suami. Beberapa hari sebelum hari pernikahan Juriah dan Yazid, Ya'kub dan dua orang Cina dari pergerakan anti-Jepun telah datang ke kampung Yazid dengan harapan mempengaruhi orang-orang kampung itu agar membenci dan membantu pergerakan itu menjatuhkan Jepun. Rasa benci pergerakan itu dibumbui oleh kekejaman Jepun terhadap rakyat Tanah Melayu yang membuta-tuli terutama kepada bangsa Cina.
Melalui pertemuan penduduk bersama Ya'kub inilah pembaca dapat meneliti pemikiran Yazid terhadap pergerakan tersebut. Meskipun Yazid tidak bersetuju dengan keganasan dan pendudukan Jepun yang nyata menyimpang dari slogan awal mereka iaitu Asia Untuk Asia dan Kemakmuran Asia Raya, Yazid berfikiran bahawa demi keselamatan penduduk kampung adalah tidak wajar untuk mereka mengikuti pergerakan tersebut :

"Tuan-tuan sakalian,
Kita sakalian terhutang budi kepada Enche' Ya'kub kerana bersusah-payah ka-mari bersharah kapada kita hari ini. Sa-sunggoh-nya tiadalah sadikit pun shak di-hati kita bahawa segala chakap-chakap Enche' Ya'kub itu di-keluarkan-nya dengan tulus ikhlas dan bagi faedah kita bangsa Melayu juga. Sa-benar-nya jika Jepun lama memerentah di-Tanah Melayu ini banyak-lah mudharat-nya kapada kita kelak."

Kemudian oleh Yazid di-terangkan-nya bala' yang akan menimpa kaum Melayu sa-kira-nya Jepun jaya dalam peperangan itu. Ugama Islam ia-itu-lah ugama orang-orang Melayu harus akan di-ganggui oleh pemerentah baharu itu. Demikian juga 'adat resam dan bahasa Melayu akan luput.

"Dengan sebab itu," kata Yazid menyambong chakap-nya, "Kita mesti bersama-sama menolong menghapuskan kuasa Jepun di-sabelah sini supaya Kerajaan Inggeris datang balek memerentah di-sini samula. Tetapi, tuan-tuan, hendak-lah juga di-jaga keselamatan kampong kita serta anak isteri dan saudara mara kita. Sa-kira-nya diketahui oleh MP atau police atau tentera Jepun bahawa pendudok-pendudok kampong ini menjadi ahli-ahli pergerakan anti-Jepun atau communist, neschaya nyawa kita di-dalam bahaya kelak. Rumah-rumah kita akan di-bakar oleh Jepun dan kita sakalian akan di-tembak dan di-tikam dengan banet kemudian di-champakkan mayat kita ka-dalam api. Kejadian demikian sudah pernah berlaku di kampong-kampong China yang di-shakkan sarang communist, sunggoh pun di-kampong-kampong Melayu belum pernah jadi demikian lagi. Oleh itu saya harap Enche' Ya'kub tidak-lah berkechil hati sa-kira-nya saya chadangkan pendudok-pendudok kampong ini yang suka-kan hidup dengan aman itu di-bebaskan daripada menjadi ahli-ahli pergerakan anti-Jepun itu ..." (1963:14)

Sa'id yang mendapat tahu akan penyertaan Yazid dalam syarahan itu telah membuat fitnah kepada M.P iaitu Sarjan Yoshimura. Yazid dikatakan bersekongkol dengan pergerakan anti-Jepun dan menghina kerajaan Jepun. Oleh sebab itu, Yazid ditangkap oleh polis Jepun pada hari pernikahannya dengan Juriah. Berpisahlah pasangan yang baru diijabkabulkan itu. Perpisahan itu mengundang pelbagai tanggapan. Ada yang meyakini bahawa perpisahan itu ialah perpisahan yang tiada lagi pertemuan sesudahnya. Hal ini melihat akan keadaan kekejaman polis Jepun yang suka menyeksa tahanannya sehingga mati selagi maklumat yang diinginkan tidak mereka dapat.
Sepanjang Yazid ditahan dan diseksa di Rumah MP di Ipoh di bawah penguasaan Sarjan Yoshimura yang bengis, Sa'id berusaha mempengaruhi Pak Saman dan Mak Mah agar hilang harapan terhadap anak tunggal mereka itu. Kepada Juriah dan ibu bapanya dikatakan Yazid tidak akan pulang melainkan mati di hujung pedang. Yazid yang mempunyai keperibadian mulia walaupun berasakan bahawa fitnah yang melanda dirinya itu datangnya daripada Sa'id tetap tidak mahu membuah tuduhan melulu sekali tidak mendapat buktinya.

Sepanjang di dalam tahanan, Yazid telah dipukul, dihenyak dan disepak oleh Sarjan Yoshimura. Bagi Yoshimura, orang Melayu tidak seperti bangsa Cina yang sanggup mati kerana mempertahankan rahsianya. Oleh sebab itulah Yoshimura memberi beberapa peluang dan beberapa sesi penyeksaan terhadap Yazid dengan harapan Yazid akan mengaku dan memberi maklumat yang dikehendakinya apabila tidak tahan dengan penyeksaannya lagi. Akan tetapi, Yoshimura silap. Yazid tidak sesekali membuka sebarang maklumat yang dia tahu apatah lagi untuk mengakui bahawa dia adalah salah seorang ahli pergerakan anti-Jepun. Yazid juga menafikan pembabitan penduduk di kampungnya seperti yang difitnah oleh Sa'id. Bagi Yazid, dia lebih rela mati daripada membuka mulut seterusnya membuatkan seluruh penduduk kampung hidup dalam penderitaan.
Setelah beberapa kali diseksa, Yazid akhirnya memberanikan diri untuk melawan Yoshimura dengan buah fikirannya. Tindakan ini dilakukan sebagai peluang terakhir untuk dia melempiaskan rasa marahnya terhadap kekejaman Jepun :
"Terima-kaseh, tuan. Sekarang saya mulai. Kerajaan Jepun datang ka-mari supaya benua Asia bagi orang-orang Asia, bukan?" kata Yazid bertanya kepada Yoshimura. Yoshimura pun menganggok-anggokkan kepala-nya sakali lagi. "Dan lagi kerajaan Jepun hendak menjadikan Asia Timor ini Kawasan Kema'moran bagi sakalian orang-orang Asia supaya sakalian-nya tinggal di-dalam aman sentosa dan suka ria. Tetapi chuba lihat, apabila Jepun masok ka-mari beberapa orang China, Melayu, India dan lain-lain bangsa telah mati di-bunoh mereka. Begitukah hidup dalam aman sentosa dan suka ria nama-nya?" (1963:67)

Tindakan berani Yazid berkenaan membuatkan Yoshimura naik berang dan terus memberi arahan agar Yazid dibawa ke belakang rumah untuk dipancung olehnya sendiri. Namun demikian, kuasa Allah mengatasi segala ketentuan manusia. Saat kepala Yazid hampir dipancung oleh Yoshimura, seorang pegawai Jepun tiba dan memanggil Yoshimura. Khabar bahawa Jepun sudah kalah dan British berjaya menduduki semula Tanah Melayu bergema. Yazid serta-merta dibebaskan.
Setelah kembalinya kerajaan British di Tanah Melayu, MP, MP Jepun yang membuat kekejaman telah dibicarakan dan dihukum. Yoshimura telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di hadapan rakyat Ipoh. Sa'id pula telah dibunuh oleh bangsa Cina yang menaruh dendam terhadap informer-informer Jepun yang banyak menimbulkan penderitaan dalam hidup bangsa Cina sepanjang pendudukan Jepun.
Akhirnya, Yazid dan Juriah kembali bersatu dan hidup dalam aman sentosa sebagai suami isteri.

Melihat pada tarikh naskhah ini ditulis oleh Ahmad Murad (1954) serta catatan penulis akan dedikasi naskhah ini terhadap allahyarham Enche' Yazid bin Ahmad iaitu sahabat penulis yang meninggal dunia di bawah kekejaman Jepun, maka adalah wajar untuk mengatakan bahawa novel ini ialah rakaman sejarah penderitaan yang dilalui rakyat Tanah Melayu di bawah pendudukan Jepun. Meskipun British kembali ke Tanah Melayu namun penderitaan dan penyeksaan yang dialami orang Tanah Melayu sepanjang pendudukan Jepun masih berbekas di dalam hati dan ingatan mereka. Selain sikap dan amalan bersatu dalam kepelbagaian bangsa yang dapat dilihat sewaktu Yazid ditahan di Rumah MP bersama-sama orang India dan Cina, novel ini juga memperlihatkan kebergantungan masyarakat terhadap pemerintahan Inggeris dan belum mempunyai kesedaran untuk bebas daripada sebarang penjajahan dan menerajui tanah air sendiri.
Melihat latar pendidikan Ahmad Murad yang pernah mendapat pendidikan di Sultan Idris Training College (MPSI), maka tidak hairanlah wujudnya percikan nada pemberontakan dan nasionalisme melalui karya ini yang didasarkan pada latar zaman pendudukan Jepun. SITC sememangnya dikenali sebagai institusi yang melahirkan banyak penyair dan penulis yang mempunyai kesedaran nasional yang tinggi dan berjuang dalam membebaskan pemikiran lapuk masyarakat melalui mata pena.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan