Sabtu, 27 Ogos 2011

KEKUATAN MAZNI DALAM BADAI SEMALAM

CERITA TENTANG JIWA manusia penuh kental dan cita-cita. Setiap kisah bercerita tentang jiwa manusia. Aspek kejiwaan menjadi antara elemen penting dalam sesebuah naratif. Badai Semalam karangan Khadijah Hashim menampilkan satu pergelutan jiwa seorang remaja sunti bernama Mazni. Hidup sebatang kara, yang ada hanyalah ibunya Cik Bibah. Hidup menumpang di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, Mazni sering dibumbui resah jiwa lantaran kesihatan Cik Bibah yang merosot sentiasa.

Mazni, anak tunggal Cik Bibah berusia 18 tahun yang lahir tanpa pernah melihat wajah arwah ayahnya menghadapi dilema. Jauh di sudut hati, Mazni pelajar Maktab Melayu mempunyai keinginan dan cita-cita tinggi untuk meneruskan pelajaran hingga ke tahap paling tinggi. Akan tetapi, kesusahan hidup yang dialami membuatkan Mazni sering resah. Dia mahu mencapai cita-cita. Dalam masa yang sama, kesihatan ibu menuntut pengorbanan Mazni untuk menyara hidup mereka.


Cik Bibah tidak bersetuju dengan keputusan Mazni untuk berhenti daripada sekolah atas nasihat Mak Atun. Bagi Cik Bibah, pelajaranlah yang mampu mengubah nasib dia dan Mazni. Ibu tua itu mahu melihat Mazni mencapai cita-cita untuk menjadi doktor perubatan. Janji Mazni bahawa dia tetap akan mencapai cita-cita, tekad untuk menghadiri sekolah malam demi menduduki peperiksaan STP membuatkan Cik Bibah merestui keputusan Mazni.
Encik Haris dan Cik Rohana sememangnya sudah banyak menabur budi kepada Mazni dan Cik Bibah. Membina sebuah rumah kecil untuk didiami Mazni dan Cik Bibah yang sudah uzur sebagai mengenang budi wanita tua itu berkhidmat sebagai tukang masak di rumah mereka. Menyara makan dan minum mereka berdua. Mazni tidak sanggup terus memohon bantuan Encik Haris lagi. Walau bagaimanapun, Encik Haris yang mendapat tahu keputusan Mazni telah meminta bantuan rakan di Bank Bumiputera yang baru dibina dan memberi posisi kerani kepada Mazni.
Perhubungan antara Mazni dengann Zaki (Siswa Universiti Singapura) yang sangat idealis pemikirannya sentiasa memberi kekuatan kepada Mazni untuk tidak lupa akan cita-cita yang disimpannya. Dengan gigih menghadiri kelas malam serta bekerja bagi menyara hidup Cik Bibah, kehidupan Mazni mula ditimpa ujian lain apabila Karim, anak bongsu Encik Haris dan Cik Rohana yang mempunyai kehidupan bebas jatuh cinta pada ketulusan hati Mazni.
Kehadiran Mazni yang tidak pernah dipedulikan di dalam rumahnya itu akhirnya telah disedari apabila Mazni yang setia menemaninya ketika Karim kemalangan. Rasa kasih yang membuak-buak menyebabkan Karim tekad menyunting Mazni untuk menjadi teman hidupnya yang halal dan sah. Meskipun mendapat caci maki daripada Cik Rohana yang enggan bermenantukan Mazni (anak orang gaji) akhirnya perkahwinan mereka dilangsungkan juga lima bulan sebelum Mazni menghadapi peperiksaan STP.
Zaki yang memendam cinta kepada Mazni sekian lama kecewa namun Mazni tegas bahawa nasib manusia itu tidak sama. Dia telah banyak terhutang budi dengan keluaga Encik Haris dan tidak sanggup menghampakan orang banyak berbudi kepada dia dan Cik Bibah. Perkahwinan yang penuh rintangan dengan pelbagai fitnah sehingga meragut nyawa Cik Bibah itu hanya bertahan bahagia sebelum Karim mengambil keputusan keluar dari rumah Encik Haris dan Cik Rohana lantaran tekanan yang diberikan Cik Rohana yang sering dipengaruhi Cik Mahani (jiran yang mencemburui Mazni).
Silapnya Mazni apabila dia terlalu fokus kepada pelajaran dan peperiksaan yang terlalu hampir dan memberi kepercayaan penuh kepada Karim untuk mencari hiburan bersama rakan-rakannya. Malangnya, kepercayaan itu disalah guna Karim dan tabiat lamanya kembali semula. Pergaduhan besar antara Mazni dan Karim menyebabkan Mazni dimasukkan ke hospital dan Karim pula kemalangan hingga meragut nyawanya. Mazni sendirian lagi. Hidup sebatang kara tanpa ada saudara mara. Cinta yang cuba dihulurkan Zaki ditolak dan Tanjung Puteri ditinggalkan bagi melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur.
 
Badai Semalam bagi saya menampilkan kekuatan seorang wanita yang tidak terlalu ideal sifat dan pemikirannya namun mempunyai ketegasan dan ketinggian cita-cita untuk membebaskan diri daripada belenggu fikir konvensi masyarakat ketika itu iaitu "tempat wanita hanya di dapur, apa guna belajar setinggi mungkin dan sebagainya". Malah, pemikiran pengarang ini bukan sekadar disampaikan melalui watak Mazni sebaliknya disuguhkan dengan pendirian Cik Bibah yang sudah tua namun mempunyai keinginan untuk melihat Mazni menjadi wanita yang berjaya dalam pendidikan, kerjaya dan kehidupannya.
Melihat pada latar karya ini dihasilkan iaitu pada akhir tahun 1960-an yang ketika itu pendidikan terhadap wanita masih perkara yang tidak penting untuk dibicarakan, Badai Semalam tampil dengan watak wanita kental jiwa dan tahu erti hidup berdiri atas kaki sendiri, mengurangkan pergantungan terhadap bantuan orang lain dan memandang tinggi pendidikan serta kejayaan hidup berkerjaya. Hal ini saya kesan jelas sepanjang cerita mengenai cita-cita Mazni seperti berikut :
"Nampaknya tak ada jalan lain untuk kita mengadu hal! Mak ... kita harus berdiri sendiri sekarang. Jangan terlalu mengharapkan bantuan orang sekarang. Dunia sekarang bukan dunia simpati yang mewah. Manusia sekarang punya masalah-masalahnya yang tersendiri. Masing-masing mahu memperbaiki nasib masing-masing. Kita juga terpaksa berdiri sendiri, cuba menyelesaikan soal hidup kita sendiri ..." terang Mazni berani. Pendapatnya memang benar, fikir ibu tua itu, Dunia sekarang terlalu mementingkan diri sendiri. Orang lain belakang kira. Dia sakit. Dia tersepit. Dia terdesak. Dia sengsara. Itu bukal soal yang perlu difikirkan oleh masyarakat manusia di zaman atom ini. Zaman manusia naik ke bulan. Zaman manusia mengejar seribu kemajuan dan kebahagiaan. Memang benar, manusia harus melengkapkan diri sendiri dengan sejuta kemewahan dalam hidup ini sebelum memandang keliling. (1968:29)
Mengapa saya katakan watak Mazni kental jiwa namun tidak cukup ideal? Saya melihat Mazni dan menghormati Mazni dalam pendirian dan ketegasannya mencapai cita-cita. Keutamaannya melihat pelajaran sebagai aspek penting dalam kehidupan. Akan tetapi di sebalik keyakinan dan kekuatan untuk maju dan mengubah nasib keluarga itu, Mazni mempunyai pendirian yang rapuh apabila melibatkan soal cinta dan manusia di sekitarnya. Ya, Mazni menerima Karim bukan kerana cinta semata-mata, sebaliknya juga untuk membalas jasa Encik Haris. Mazni tidak sanggup melukakan hati manusia yang banyak membantu hidup dia dan ibunya. Namun demikian, Mazni lupa bahawa keputusan mengenai hal rumah tangga bukan perkara remeh. Mazni hanya memikirkan perasaan orang lain sedangkan tidak melihat atau membuat jangkaan pada masa depan.

Walau bagaimanapun, olahan watak Mazni ini menarik bagi saya kerana Khadijah Hashim menampilkan watak Mazni sebagai watak manusia yang tidak sempurna. Mempunyai hitam dan putih. Ada kekuatan pada aspek ini. Ada kelemahan pada aspek berikutnya. Dalam masa yang sama, saya juga sangat gembira melihat dan menikmati gaya bahasa yang digunakan penulis ini. Penggayaan bahasanya puitis tetapi bersederhana. Karya ini bukan sahaja menarik untuk dikaji dari aspek psikologi, budaya malah juga penggunaan stilististik di dalamnya. Badai Semalam, karya merentas zaman!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan