Selasa, 30 Ogos 2011

DILEMA PERAWAN TUA DALAM CINTA SUCI ZAHRANA

TIDAK ADA WANITA NORMAL yang tidak punya rasa untuk berumah tangga dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang enggan mengandungkan janin daripada benih suami tercinta di dalam rahim yang dimilikinya dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang menolak untuk menjadi makmum saban solat jemaah berimamkan suami yang menikahinya atas dasar cinta dan amanah daripada Allah dengan sengaja.
Menjadi seorang wanita berkerjaya, berprestasi, bereputasi tinggi, mempunyai pendidikan dan kecemerlangan yang bergemerlapan tetapi melewati usia tanpa teman yang halal dalam melayari bahtera perkahwinan bukanlah mudah. Zahrana berusia 34 tahun, pada usia itu wanita dari tanah Jawa itu diamuk tekanan masyarakat khususnya ibu bapa sendiri untuk melihat Zahrana bernikah, mempunyai suami dan cahaya mata penyejuk hati.
Zahrana, wanita bercita-cita tinggi mendapat penghargaan antarabangsa sebagai arkitek ulung dari Universiti Tsinghua, Beijing namun hatinya resah apabila mendapat sambutan dingin daripada ibu dan bapa sendiri. Habiburrahman El Shirazy memulakan novel terbaharu yang terbit pada Mei 2011 berjudul Cinta Suci Zahrana ini dengan pertanyaan demi pertanyaan Zahrana terhadap dirinya sendiri sewaktu dalam penerbangan menuju Beijing untuk menerima anugerah berkenaan. Dewi Zahrana tertanya-tanya, berkonflik dalam diri akan sebab ibu dan bapa menghantarnya terbang ke Negara Tembok Besar dengan dingin.

Lina, sahabat baik sejak dari SMA dihubungi agar menemui ibu bapa Zahrana seraya menggali rahsia dinginnya mereka terhadap Zahrana. Melalui Lina, Zahrana mendapat tahu akan kecewanya Pak Munajat dan Bu Nuriyah terhadap dirinya. Ya, Zahrana seharusnya cukup membanggakan ibu dan bapa apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa, bakal melanjutkan S-3 dan tulisan-tulisan Zahrana termuat dalam jurnal-jurnal antarabangsa dunia reka bina. Namun, segala pengiktirafan dan kecemerlangan Zahrana tidak mampu menandingi harapan dan impian Pak Munajat serta Bu Nuriyah yang kepingin Zahrana mengakhiri dunia sendirinya dengan pernikahan. Zahrana dilabel sebagai 'anak perawan tua'. Sesetengah jiran mula berkata tentang Zahrana yang sukar menemui jodoh pada usia sebegitu. Mengenangkan pendapat pakar perubatan akan kesukaran mendapatkan zuriat pada usia wanita lewat 30-an tambah merisaukan Pak Munajat dan Bu Nuriyah. Mereka khuatir andai keturunan mereka tidak bersambung gara-gara liatnya Zahrana menemui jodohnya.
Namun demikian, Zahrana tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga. Zahrana berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Walau bagaimanapun, Zahrana tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri yang belum berpunya. Dia berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama hidup dengan tohmahan 'anak perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya.
Pak Sukarman, Dekan Fakultas Teknik di Universiti Mangunkarsa berusia lewat 50-an berusaha mendapatkan Zahrana. Kejelitaan, kebijaksanaan dan penghargaan yang diperoleh Zahrana menjadikan dia begitu tergila-gilakan pensyarah muda berkenaan. Zahrana yang mengetahui sikap mata keranjang dan kebejatan moral Pak Sukarman telah menolak lamarannya. Penolakan lamaran membuatkan Zahrana diancam sehingga menarik diri dari kerjayanya di universiti berkenaan. Dendam Pak Sukarman yang menganggap dirinya besar, terhormat dan tidak wajar setelah ditolak lamarannya oleh Zahrana mengatur strategi agar Zahrana kekal sebagai perawan tua.
Setelah menarik diri dari Universitas Mangunkarsa, Zahrana berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pesantren. Di pesantren, Zahrana tekad memenuhi impian Pak Munajat dan Bu Nuriyah dengan memohon bantuan kiyai melalui Ummi Saadah agar mencarikan calon suami yang soleh dan bertakwa untuk dirinya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti. Pak Sukarman yang mendapat tahu Zahrana bakal menikahi Rahmad (penjual keropok yang soleh) mengatur strategi membunuh Rahmad pada hari pernikahannya dengan Zahrana.
Selain kematian Rahmad, Zahrana juga diterjah duka lantaran kematian Pak Munajat yang diserang sakit jantung pada hari yang sama. Zahrana semakin buntu. Pertemuan tidak diduga dengan Bu Zulaika, iaitu bonda kepada Hassan yang menjadi anak didiknya di universiti memberikan laluan baharu. Hassan yang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia memohon agar Bu Zulaika meminang Zahrana untuk dirinya. Jarak usia empat tahun dan kedudukan Hassan sebagai mantan muridnya membuatkan Zahrana terpinga-pinga seketika. Namun pada akhirnya, Zahrana menerima lamaran dan pada hari yang sama menuntut agar dia dan Hassan dinikahkan pada malam kedua Ramadan di masjid berdekatan rumah Zahrana.
Pengakhirnya cerita ini bagi saya agak mengejut dan terlalu tergesa-gesa. Kewajaran Zahrana menerima lamaran Hassan memberikan satu impak yang kurang mendalam dan boleh dipertikaikan. Barangkali pengarang menyimpan hikmah yang tersendiri. Akhir karya ini juga mengabaikan Bu Nuriyah selepas pernikahan Zahrana dan kematian Pak Munajat kerana pengarang 'membawa' Zahrana dan Hassan ke Fudan tanpa Bu Nuriyah.

Namun demikian, karya ini berdiri teguh atas konflik emosi Zahrana yang menjadi fokus pengarang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik namun kekurangan nilai tambah sebagai seorang wanita ditelusuri dengan berhati-hati. Seorang wanita yang tegas, mahukan kejayaan namun cukup prihatin dalam mencari calon suami yang penuh keimanan untuk jaminan masa depan. Cinta Suci Zahrana membawa khalayak menelusuri liku jiwa pengembaraan seorang wanita 'perawan tua' mendepani kehidupannya yang sering dipandang negatif oleh kebanyakan masyarakat. Tegasnya, seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja untuk melewatkan hari bergelar isteri.

2 ulasan:

  1. salam...versi bhasa malaysia ny ad jual x....tanpa saya berasa bangga universiti tempt sy belajr juga dinukilkn sekali...universiti sains malaysia....

    BalasPadam
  2. Salam, yang saya baca ini versi Indonesia yang dibeli di Indonesia. Tidak pasti sama ada wujud dalam versi BM. Tapi, versi ini pun mudah difahami.

    BalasPadam