Jumaat, 8 Julai 2011

MENANTI SNOWY

SAYA baru sahaja pulang dari pejabat apabila PT menghubungi dan memaklumkan rakan pejabat terlupa mematikan suis lampu. Meredah malam Kuala Lumpur. Ketika tiba di lampu isyarat Masjid Amaniah, Sg Tua. Saya melihat kelibat kereta seseorang yang saya kenali. Kelibat kereta Dr. Fairul yang mengambil Snowy untuk abangnya pada Mac 2008 yang lalu.


Saya mengejar dan menahan kereta itu. Syukur, Dr. Fairul masih mengingati saya. Dengan rasa yang bercampur baur, saya terus bertanya tentang Snowy. Anak kucing generasi pertama Mimi yang sudah menghadap Ilahi. Snowy saya berikan tanpa berfikir panjang kepada abang Dr. Fairul kerana ketika itu saya mempunyai 12 ekor kucing dan ketika itu kucing-kucing saya hidup bebas tidak bersangkar hingga menimbulkan masalah dengan seorang jiran yang tidak suka akan kucing.




Sebaknya saya malam ini.


Saya : Dah lama saya cari Dr. tapi tak jumpa. Nombor fon dr dah hilang dalam hp saya. Saya nak tahu, bagaimana dengan Snowy? Snowy masih ada?


Dengan debar, saya menanti jawapan Dr. Fairul. Beliau dengan kereta Honda City vtec hitam dan saya Nouvo LC berada di bahu jalan Sungai Tua. Di langit, bulan sabit menyerlah indah, walau tiada bintang kerlip.


Dr. Fairul : Ada lagi dengan abang saya. Dah tiga empat kali dia beranak.


Saya : Ya, Allah. Snowy ada lagi! Kenapa tak kembirikan dia?


Dr. Fairul : Apa tu?


Saya : Kembirikan, 'kasi'kan dia?


Dr. Fairul : Isy, tak naklah. Kesian dia.


(Sila baca http://www.spca.org.my/neuter.?htm#1 hingga tamat)


Saya : Mesti dia makin gebu sekarang ni? Anak dia, Baby yang saya beri sekali dengan dia dulu ada juga?


Dr. Fairul : Dia dah agak kurus. Asyik beranak je. Anak dia pula semua cantik-cantik. Banyak yang parsi dan jantan. Baby pun ada. Tapi anak-anak dia abang saya dah beri kepada orang. Tinggal dia saja.


Saya rasa pilu di hati. Fatwa Jakim pada tahun 2002 tentang perihal kembirikan haiwan peliharaan seperti kucing sudah jelas. Perkara itu halal untuk kemaslatahan kucing dan masyarakat. Banyak hikmahnya, niat kembiri bukan untuk menzalimi haiwan. Cubalah berfikir ...


Saya : Oh, dah lama sangat saya nak tahu tentang Snowy. Saya tak pernah lupa Snowy. Boleh tak Dr. Fairul mms foto terbaru Snowy kepada saya? Saya nak sangat lihat wajah Snowy.


Dr. Fairul : Boleh (sambil menyalin nombor fon saya) Tapi dia dah tua dah saya rasa. Dah kurus, tak macam mula-mula dulu.


Hati saya pilu lagi. Bukan soal usianya akan tetapi kucing kalau dijaga rapi biar usianya sudah 24 tahun pun tetap akan cantik, gebu dan manis jika dipelihara dengan baik. Snowy saya dahulu dan kucing-kucing saya kini, begitulah.


Saya : Dr, kalau abang dr dah tak nak Snowy ... tolonglah jangan beri kepada sesiapa. Pulangkan semula kepada saya. Saya serius. Tak kisahlah kalau Snowy sakit atau apa, pulangkanlah semula kepada saya. Jangan beri kepada orang lain ...


Dr. Fairul : Okey, saya janji nanti saya beritahu abang saya. Saya ke rumahnya nanti, saya akan ambil fotonya dan mms Fatiha.


Kami berpisah di situ. Hati saya berbunga kerana mendapat tahu bahawa Snowy masih ada kerana saudara sama generasi dengan Snowy iaitu Bobob dan Chimp serta ibunya Mimi sendiri sudah pergi menghadap Ilahi. Maknanya, hanya Snowylah generasi pertama Mimi yang saya ambil di tepi longkang itu yang masih ada. Saya sangat bersyukur.


Jauh di sudut hati, saya berharap Dr. Fairul berpegang pada janjinya lantaran seperti saya yang sangat berpegang kepada janji. Seseorang penulis tersohor pernah menasihati saya agar tidak bercerita tentang kucing-kucing saya. Baginya, orang akan bosan dengan cerita-cerita kucing saya itu. Bagi saya, beliau tidak memahami ikatan kemanusiaan antara seorang pencinta haiwan yang melihat haiwan sebagai makhluk ciptaan Allah yang berhak dikasihi. Saya berkongsi cerita ini untuk saya dan rakan-rakan yang mahu membacanya. Bagi yang tidak gemar dan bosan dengan cerita-cerita ini, anda tidak perlu membacanya.


Semoga Snowy akan kembali ke pangkuan saya lagi. Semoga kesal saya memberikan Snowy kepada orang lain itu akan hilang. Sungguh, saya benar-benar berharapkan Snowy saya semula. Sama ada Snowy masih sempurna gebu dan masih mengenali saya yang menariknya keluar dari kemaluan Mimi ketika dilahirkan atau Snowy sudah uzur, sudah tidak sempurna dan indah pada pandangan mata atau tidak lagi mengenali saya ... saya tetap sayang kepada Snowy. Sayang yang melimpah ruah dan sentiasa ada. Saya berjanji akan menjaga Snnowy dengan baik selagi hayat saya masih ada. Semoga, abang Dr. Fairul akan tergerak hatinya untuk memulangkan Snowy kepada saya semula. Amin ya rahim amin ya rahim amin ya rahim ...

1 ulasan:

  1. Salam alayk. Sabar ya kak Wardah, baik hati akak =)

    BalasPadam