Khamis, 7 Julai 2011

MAJLIS PELANCARAN ANGGERIK UNGU DAN KARYA BUKU PRIMA

BERTEMPAT di ruang legar Pusat Konvensyen Shah Alam, majlis pelancaran 40 judul buku di bawah jenama Teen@Prima dan Kids@Prima telah dirasmikan oleh Puan Sri Diah Shahruddin, selaku Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf. Sebanyak 40 judul buku kanak-kanak dan novel remaja telah berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.


Alhamdulillah, novel remaja saya berjudul Anggerik Ungu dan buku kanak-kanak siri pertama Warna-Warni Dunia Anis berjaya dilancarkan. Saya bukanlah individu yang menanam cita-cita untuk menjadi penulis sejak kecil. Hatta, saya tidak dilahirkan daripada rahim seorang penulis. Akan tetapi, takdir pilihan saya melanjutkan pengajian di Fakulti Penulisan Kreatif, ASWARA telah membawa kepada penghasilan Anggerik Ungu dan Warna-Warni Dunia Anis.



Sejujurnya, saya berasa sentiasa bersyukur setiap kali karya saya tersiar di dada akhbar mahupun majalah. Setiap karya yang saya hasilkan itu sentiasa saya niatkan untuk mendidik anak-anak bangsa mengenal indahnya budaya, agama dan unggulnya bangsa Melayu yang ada di dalam diri kita.


Insya-Allah, saya akan terus berkarya sama ada dalam genre kreatif mahupun ilmiah. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada guru-guru saya di Fakulti Penulisan Kreatif yang ikhlas mendidik saya dan mempercayai kebolehan saya. Tidak ketinggalan, jutaan terima kasih kepada Puan Sri Diah yang sudi memberi peluang kepada saya untuk berkarya di bawah jenama Grup Buku. Sesungguhnya, kepercayaan yang beliau berikan amat saya hargai.


Dalam masa yang sama, terima kasih saya ucapkan kepada bonda saya Ramlah Ahmad yang sentiasa ikhlas mendoakan saya. Buat Cikgu Julia Juis yang tabah mengajar saya erti hdup, segugus kasih dan doa buat cikgu sebagai tanda penghargaan saya yang tidak pernah habis. Cikgu Norhana Othman, terima kasih atas sokongan dan bantuan yang cikgu berikan sepanjang perjalanan hidup ini. Cikgu Abdul Ghalib Yunus, terima kasih kerana pernah mengajar saya untuk menjadi pengguna bahasa yang berhemah.


Kepada semua yang sudah memiliki Anggerik Ungu, terima kasih dan hayatilah kisah seorang Sofia Humairah. Semoga kalian akan bahagia dan dalam kasih sayang Allah selalu.


Anggerik Ungu
kasihku untukmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan