Khamis, 16 Jun 2011

WANITA DALAM THE DAY I BECAME A WOMAN

TIGA WANITA SATU CERITA. Filem ini menampilkan tiga watak wanita iaitu Hava, Ahoo dan Hoora di Pulau Kish, Iran. Fokus cerita ini adalah mengenai kehidupan tiga wanita dalam melalui fasa hidup mereka. Kisah dimulakan dengan watak Hava, seorang anak kecil yang akan meningkat usia sembilan tahun pada latar masa itu. Dengan usia sembilan tahun itu, Hava tidak lagi dibenarkan berkawan dengan rakan-rakan lelaki terutama sahabat baiknya yang bernama Hassan. Malah, Hava juga perlu memakai chador (jilbab) seperti ibu dan neneknya.

Bagi Hava, dia masih belum memahami semua perkara dan larangan ibu dan neneknya. Ibu dan nenek berusaha menyedarkan Hava bahawa dia tidak boleh bermain dengan rakan-rakan lelaki dan perlu memakai chador agar tidak dimarahi Tuhan. Namun demikian, Hava bersungguh-sunggu meminta simpati ibu dan neneknya agar memberikan satu jam kepada Hava untuk bermain dengan Hassan. Setelah tamat satu jam yang diberikan, Hava berjanji akan menurut arahan ibu dan neneknya dan meninggalkan persahabatannya dengan Hassan.




Nenek Hava memberikan dia satu ranting kayu dan mengajar Hava cara untuk melihat waktu. Janji yang dibuat ialah Hava perlu pulang apabila tiada lagi bayang pada ranting kayu itu nanti. Oleh sebab itu, Hava terus mencari Hassan di rumahnya. Akan tetapi, Hassan tidak dibenarkan keluar oleh kakaknya. Kakak Hassan menegah Hava menemui Hassan apabila ibu Hava telah mengusir Hassan yang mahu mengajak Hava pergi membeli aiskrim pada awal cerita. Kekangan itu menyebabkan Hava pergi sendiri membeli lolipop dan tamarin. Jendela menjadi ruang komunikasi di antara Hassan yang berada di dalam rumah dengan Hava di luar. Hava dan Hassan berkongsi lolipop yang sama dan hal ini menjadi sesuatu yang tidak disenangi oleh masyarakat di situ. Tidak lama kemudian, Hava dijemput ibunya apabila bayang-bayang tiada lagi pada ranting yang dibawa ke mana-mana itu.



Cerita kedua mengisahkan Ahoo, seorang wanita yang masih muda. Cerita ini mengisahkan Ahoo yang sedang mengikuti perlumbaan basikal. Kedatangan suami Ahoo dan meminta Ahoo berhenti daripada menyertai perlumbaan itu langsung tidak diendahkan. Suaminya memberi kata putus untuk menceraikan Ahoo setelah beberapa kali usaha memujuk Ahoo daripada berbasikal gagal. Mullah Uthman datang dengan menaiki kudanya dan mengisytiharkan perceraian Ahoo itu. Perbuatan Ahoo yang engkar pada arahan suami dan tegar berbasikal itu mengundang marah puaknya. Setelah jauh perjalanan dan sering mendahului perlumbaan itu, Ahoo akhirnya terpaksa mengalah apabila dua orang saudara lelakinya datang dari arah bertentangan dengan kuda masing-masing lalu menahan Ahoo. Adegan ini seolah-olah membangkitkan persoalan tentang kemenangan yang dikejar oleh Ahoo. Dari segi fizikal, Ahoo tidak jauh dari kemenangan dalam perlumbaannya. Akan tetapi, dirinya tidak lagi bergelar isteri.


Cerita ketiga ialah Hoora, seorang wanita tua yang tiba di Lapangan Terbang KishInt. Wanita tua ini mengupah beberapa budak lelaki untuk membawa barang-barangnya. Sebelum pulang ke rumah, Hoora dan budak-budak suruhannya telah pergi membeli belah di bazar. Hoora melilit kain pelbagai warna pada setiap jari-jemarinya yang menandakan barang untuk dibeli. Hoora membeli televisyen, mesin basuh, perkakas dapur, katil dan sebagainya.


Hoora membeli semua barangan tersebut untuk memenuhi keinginannya yang tidak pernah dipenuhi semasa suaminya masih hidup. Hoora seolah-olah memanfaatkan baki usia dan kebebasan yang dimiliki setelah kematian suaminya untuk memiliki setiap keinginannya yang tersekat pada masa lalu. Setelah membeli semua barangan tersebut, Hoora mengarahkan budak-budak suruhannya menyusun barangan tersebut di pesisir pantai sebelum dilayarkan menuju ke tengah pantai. Susunan barangan tersebut menggambarkan kedudukan sebuah rumah yang lengkap dan Hoora duduk di atas katil sambil ditolak oleh budak-budak suruhan ke tengah pantai.


Filem yang memenangi Anugerah Drama Iran pada tahun 2000 ini memanfaatkan penggayaan filem pendek. Latar masa filem ini berlaku dalam tempoh hanya beberapa jam bermula saat Hava bangun daripada tidur hingga Hoora berlayar dengan segala barangannya. Skrip Mohsen Makhmalbaf dengan arahan Marzieh Meshkini ini menampilkan fasa hidup wanita di Iran. Meskipun setiap watak di dalam filem ini berada pada latar yang berbeza dan tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain, Hava, Ahoo dan Hoora mewakili perjalanan hidup wanita di Pulau Kish.


Hava ialah anak kecil yang meningkat usia sembilan tahun dan perlu menerima hakikat yang tidak difahaminya lagi. Ahoo ialah isteri yang terikat antara gejolak memenuhi tuntuan perasaan dan keinginan sendiri serta keadaan sebagai seorang isteri. Hoora ialah wanita tua yang beroleh kebebasan pada usia senja setelah kematian suaminya. The Day I Became A Woman pertama kali ditayangkan pada Festival Filem Venice (2000), pernah ditayangkan di beberapa festival filem seperti di Festival Filem Toronto dan Festival Filem London. Pada awal kemunculannya, filem ini telah ditentang oleh Iran. Adegan Hava berkongsi lolipop dengan Hassan menjadi antara subjek yang tidak disenangi Iran. Filem ini pada dasarnya menjadi ledakan suara sutradara yang melihat keadaan wanita di Iran (Pulau Kish) menuntut kebebasan daripada nilai tradisi yang mendiksriminasi wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan