Isnin, 20 Jun 2011

WANITA BERKERUSI RODA

SAYA BARU saja pulang dari Pejabat Pos. Ada perkara menarik bagi saya untuk dirakam pada laman ini sebagai ingatan untuk saya dan kalian yang sudi membaca. Dengan Nouvo LC merah, saya terus menuju ke jalan Selayang Baru. Ketika tiba di lampu isyarat, saya berhenti sebaik-baik melihat merah terpancar pada aras tanda paling atas.

Seorang wanita berkerusi roda, pergerakan kerusi rodanya adalah ke belakang. Dalam erti kata lain, dia menggunakan kerusi roda dengan pergerakan melawan arus. Kakinya tersarung kasut sukan berwarna merah jambu. Wanita itu memakai baju lengan panjang warna biru. Tudung ala-ala Ariani warna kelabu. Saya melihat kakinya, agak cacat. Kaki kiri seperti terkulai ke tanah. Dia menuju ke mana? Adakah dia mahu melintas? Saya tidak pasti.

Apabila hijau melatari isyarat membenarkan pergerakan Nouvo Lc merah saya, maka saya pun terus meredah jalan menuju Pejabat Pos. Dalam masa yang sama, ingatan saya masih lagi teringat akan wanita itu. Saya kira, usianya dalam awal atau pertengahan 50-an. Wajahnya putih amat dan bersih walau keringat kelihatan pada wajahnya yang diserbu matahari semakin meninggi.

Sebaik-baik memarkir motor, saya lalu menekan punat yang lantas mengeluarkan angka giliran saya. 1049, itu giliran saya. Sedang saya membelek-belek sampul pos ekpres di dalam tangan dan sampul kecil berisi keputusan peperiksaan semester akhir untuk dipos kepada SUK Selangor, wanita tadi bersusah-payah masuk ke kawasan luar Pejabat Pos. Tanpa dirancang, saya lantas bangun dari duduk. Pintu Pejabat Pos yang berhawa dingin itu saya buka.

"Mak cik nak masuk? Mak cik nak masuk?" saya bertanya sambil mak cik itu berkelip-kelip matanya memandang saya.

Saya langsung membuka kedua-dua daun pintu Pejabat Pos lalu menolak kerusi roda mak cik itu. Dua anak tangga kecil sedikit menjadi halangan. Setelah memastikan keadaan mak cik berkerusi roda itu selamat, saya bergegas ke kaunter dan menekan punat, mendapatkan angka giliran untuk mak cik itu. Tidak lama kemudian, angka giliran saya pun tiba. Sambil berurusan dengan pegawai di kaunter, seorang wanita tua. Saya percaya dia berasal dari utara, barang kali Kedah lantaran dialek utara yang begitu pekat.

Sekejapan itu, saya mendengar bicara wanita dari utara itu dengan wanita yang saya bantu tadi. Wanita berkerusi roda itu mengalami kecacatan pertuturan. Cakapnya kurang jelas akan tetapi saya pasti akan tutur wanita dari utara itu.

"Hang bayar bil api ka?"

"Be ... be tu.. la, bil ... bil... api" wanita berkerusi roda berkata sambil menunjukkan bil elektriknya kepada wanita dari utara.

"Hang bayar buat apa? Anak hang tak bayar?" wanita dari utara itu memang lantang vokalnya.

Saya mendengar. Anak wanita berkerusi roda itu menggunakan duit wanita itu untuk membeli kereta. Wanita dari utara bukan main marah. Seisi Pejabat Pos mendengar amarahnya kepada anakanda wanita berkerusi roda.

"Hang duduk dengan dia, hang mak dia. Patut dia yang bagi hang duit. Bukan ambik duit hang. Itu duit hang!"

Wanita berkerusi roda membisikkan sesuatu kepadanya. Wanita dari utara mengerut dahi dan merengus. Tidak lama selepas urusan saya tamat, saya masih duduk di dalam pejabat bercat merah itu. Saya mahu lihat ke mana arah wanita itu. Selepas wanita itu usai melangsaikan bil-bilnya, dia berusaha untuk membuka pintu. Sekali lagi, saya terus bangkit dan membuka pintu seluas-luasnya, lalu menolak kerusi rodanya ke luar.

Ah, Jalan Selayang itu memang sibuk. Jalannya tidak terlalu besar tetapi amat sibuk. Wanita itu ketawa sambil berkata "Na .. nai ... naik mo..to ...tor !" apabila saya mengenakan topi keledar. Barangkali wanita berkerusi roda tidak sangka saya yang berbaju kurung menaiki Nouvo LC.

Bersungguh-sungguh dia mengucapkan terima kasih kepada saya dalam sukar tuturnya. Hati saya sebak. Perlahan-lahan, saya mengekori pergerakannya. Apakah dia mahu melintas jalan? Saya mahu membantu. Akan tetapi, tiada tanda dia mahu melintas jalan. Dengan kerusi roda yang di belakangnya tergantung beg plastik Giant berisi pencuci pinggan Axion, dia menolak roda dalam keadaan melawan arus. Mahu ke mana? Saya tidak tahu lagi. Nokia C3 saya berada di dalam beg sandang, jika tidak sudah tentu saya tidak ketinggalan mengambil foto wanita cekal itu untuk saya kenang selalu.

Dengan berat hati, saya membelok dan meninggalkan wanita berkerusi roda itu. Entah, hati saya sebak sepanjang perjalanan. Saya teringat akan emak saya. Saya tidak sanggup membayangkan emak saya begitu. Andai wanita itu benar mempunyai anak, saya kecewa amat dengan anaknya yang tega melihat wanita berkerusi roda itu bersusah-payah sedemikian rupa. Saya yakin, sesiapa sahaja yang melihat keadaan wanita berkerusi roda itu akan runtun hatinya. Namun demikian, saya cuba meletakkan diri ke dalam diri wanita itu. Andai dia seorang ibu, saya yakin tiada marah, benci dan dendam dalam dirinya terhadap anak yang rela membiarkan dirinya begitu. Mulianya hati ibu!

Sepanjang perjalanan pulang, hati saya terus diterjah rasa sebak. Ingatan saya terhadap wanita berkerusi roda itu amat kuat. Setelah enjin saya matikan, saya berdiri seketika di sisi Nouvo LC.

"Cekalnya mak cik itu," saya berkata perlahan sambil berjalan menuju rumah yang di dalamnya ada emak tercinta.

Sungguh, wanita berkerusi roda itu sangat kental dan cekal jiwanya. Saya berbangga dengan keberaniannya membelah badai hidup walau sukar sedemikian rupa. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada wanita berkerusi roda itu. Semoga dia disayangi Allah selalu. Semoga dia sihat dan tenang sentiasa. Amin Ya Rahim.

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah masih ada insan seperti kamu. Maha Suci Allah. Setiap apa yg dicipta di depan mata kita, pasti ada hikmah yg ingin disampaikan secara halus. Saya dilarang masuk ke Akademi Sastera sebagai peserta. Huhuhuhu...

    BalasPadam