Selasa, 7 Jun 2011

USMAN AWANG: SASTERAWAN SEPANJANG ZAMAN

Tak guna kita menebas lalang kalau akarnya tak dicabut.
Akar itu ialah PERATURAN. Itulah musuh kita yang sebenar,
peraturan yang tidak adil yang ditentukan pada kita. (Uda dan Dara, 1970)


USMAN AWANG bukanlah satu nama asing dalam dunia kesusasteraan negara. Anak kelahiran Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Johor ini dilahirkan pada 12 Julai 1929. Atas faktor kemiskinan, beliau hanya mendapat pendidikan setakat darjah enam sekolah Melayu. Namun demikian, Usman Awang mempunyai minat membaca yang sangat tinggi.


Semasa pendudukan Jepun, beliau menjadi petani di Segamat. Sebelum bekerja di Pejabat Tali Air Segamat dengan jawatan budak pejabat, Usman Awang bekerja sebagai buruh paksa Jepun di Singapura. Pada tahun 1946, sasterawan yang mendapat julukan “Seniman Sepanjang Zaman” ini berkhidmat sebagai Polis Hutan di Melaka. Disebabkan rasa tidak senang dengan “kekejaman” yang terpaksa dilakukan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Polis Hutan, Usman Awang meletakkan jawatan dan berhijrah ke Singapura bersama seorang sahabat baiknya, Jamil Sulong.


Pengalaman hidup yang penuh kesengsaraan lantaran penjajahan British dan pendudukan Jepun mencambahkan benih kenegaraan dalam dirinya. Usman Awang terkenal sebagai penyair yang kaya dengan puisi-puisi romantis. Beliau masyhur dengan bahasa yang indah, lembut dan menyenangkan. Keunggulan Usman Awang sebagai pencetus semangat kebangsaan dan pejuang kemerdekaan lewat karyanya jarang diketahui, khususnya oleh angkatan sasterawan muda. Sedangkan, usaha menjejaki sejarah kehidupan Usman Awang akan menemukan khalayak dengan liku-liku perjuangan serta semangat cinta negara yang besar dan mekar di dalam dirinya.





Keindahan, kelembutan dan kemurnian bahasa yang digunakan menjadi wadah beliau untuk menjentik alam fikir dan perasaan masyarakat Melayu agar bangun dan menentang sebarang bentuk penjajahan, baik yang berupa lahiriah mahupun rohaniah. Kemiskinan yang dialami waktu kecil dan kepincangan yang diamati sejak era penjajahan British sehinggalah pendudukan Jepun memberi kesan yang mendalam kepadanya. Usman Awang menggunakan deria pengamatan terhadap liku-liku kesengsaraan yang dialami orang Melayu untuk mencapai hidup bahagia di tanah air sendiri. Penelitian dan pengalaman yang dilalui mendorong beliau untuk menyedarkan masyarakat khususnya bangsa Melayu agar bangkit dan memajukan diri sendiri baik dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

Kesungguhan Usman Awang menyedarkan bangsa Melayu agar tidak lupa jati diri setelah mengecap nikmat kemerdekaan tanah air jelas menjelma dalam puisi “Tanah Melayu”. Puisi tersebut menyarankan rakyat Tanah Melayu supaya bersatu dalam membina negara bangsa yang kukuh dan tidak terus dibayangi kuasa asing yang tidak pun memikirkan nasib dan masa depan mereka.

Kita rakyat di bumi jantung ini,
Tiada beza dalam segala apa jua,
Penanam padi atau buruh memberi tenaga,
Terkepung dalam semboyan muluk ‘demokrasi’.
(“Tanah Melayu”, 1955)

Hatta, puisi beliau yang begitu terkenal iaitu “Kekasih” (1971) sebenarnya menggesa rakyat Malaysia agar bersatu serta sama-sama menjaga kewibawaan dan keharmonian Malaysia. Ungkapan-ungkapan indah dalam “Kekasih” sering ditafsir khalayak umum sebagai kata-kata manis seorang kekasih kepada kekasih hati. Walau bagaimanapun, jika dilihat pada tahun penghasilannya iaitu sewaktu Malaysia masih baru dengan Dasar Ekonomi Baru dan usai berdepan Tragedi 13 Mei, Usman Awang menjadikan “Kekasih” sebagai citraan negara Malaysia yang perlu diberi perhatian dan dipelihara sebaik mungkin. Ilmu menjadi perkara utama yang perlu diambil peduli oleh rakyat agar mampu memajukan Malaysia sekali gus bebas daripada sebarang bentuk penjajahan minda.

Penerima Anugerah Sastera Negara (1983) ini memiliki beberapa nama pena seperti Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Pengarang Muda, Rose Murni dan U.A. Sepanjang penglibatan dalam dunia kesusasteraan, beliau menyerlah dalam penghasilan ratusan jumlah puisi. Di sebalik kegemilangan dalam dunia kepenyairan, Usman Awang turut cemerlang dalam genre cerpen dan drama. Kumpulan cerpen Degup Jantung mengumpulkan 21 buah cerpen yang dihasilkan sekitar tahun 1959-1962. Turunnya Sebuah Bendera ialah kumpulan cerpen yang menghimpunkan 18 buah cerpen awal Usman Awang. Selain itu, cerpen-cerpen beliau termuat dalam antologi Cerita-cerita Pendek DBP (1960), Mekar dan Segar (1984). Tulang-tulang Berserakan ialah novel tunggal beliau yang terbit pada tahun 1966.


Genre drama
ialah wahana kesusasteraan yang begitu mengangkat nama Usman Awang selain genre puisi. Sejumlah 22 buah drama telah dihasilkan. Berbeza dengan lapangan puisi yang terhad penggunaan jumlah kata namun mementingkan kepadatan makna dan pemikiran, drama pentas memberi ruang yang lebih besar kepada Usman Awang untuk melontarkan kritikan sosial dan menegur masyarakatnya. Sasterawan terbilang ini memanfaatkan peranannya sebagai dramatis yang peka terhadap fenomena kemasyarakatan di sekitarnya.


Suasana politik Malaysia-Indonesia yang berbeza memerlukan langkah perdamaian yang tidak sama. Persepsi sesetengah pihak yang melihat kemerdekaan Tanah Melayu diperoleh dengan cara mudah tanpa kehormatan ditegur Usman Awang melalui drama Malam Kemerdekaan (1959). Beliau mewujudkan watak Affandi yang menganggap kemerdekaan bermaruah diperoleh melalui perjuangan bersenjata dan berdarah. Setelah mendapati kebanyakan rakyat Tanah Melayu tidak mempunyai alur pemikiran yang sama dengannya, Affandi menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan di Indonesia yang dianggap lebih berani dan bermaruah (Zakaria Ariffin: 2011).


Sebagai sasterawan berjiwa merdeka, Usman Awang tidak pernah menyembunyikan apa-apa kepincangan negara yang diketahuinya. Beliau tidak pernah berasa takut dan gentar andai kelantangan suaranya dalam berkarya menumbuhkan rasa tidak senang mana-mana pihak. Teguran dan sindiran Usman Awang tidak hanya mencakupi ruang hidup masyarakat Melayu marhaen sebaliknya menyentuh sistem pemerintahan negara beraja. Dalam legenda Melayu, Hang Tuah dimartabatkan sebagai pahlawan agung yang begitu setia. Kesetiaan Tuah yang dinafikan oleh sultan diterima masyarakat sebagai ketaatan luhur seorang rakyat terhadap pemerintah. Penguasa sentiasa berada di landas yang benar dan setiap arahan tidak boleh diingkari.

Sungguhpun demikian, kemunculan drama Matinya Seorang Pahlawan menjadi bukti keberanian Usman Awang menentang nilai konvensional masyarakat Melayu terhadap kesetiaan Hang Tuah. Drama ini mengangkat Hang Jebat sebagai wira dengan segala sifat dan ciri keperwiraannya. Jebat tidak lagi dianggap sebagai penderhaka sebaliknya pahlawan Melayu yang berani menegakkan kebenaran walaupun yang menjadi lawannya ialah sultan Melaka. Dalam hal ini, Usman Awang membawa gagasan baru tentang konsep kesetiaan rakyat terhadap pemerintah. Sekiranya Tuah memegang prinsip “pantang anak Melayu menderhaka kepada rajanya”, Jebat yang diangkat menjadi protagonis dalam karya ini berpegang pada kata keramat “raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah” (Zakaria Ariffin: 2011). Usman Awang bijak memanfaatkan latar drama dengan berkesan bagi menyedarkan rakyat khususnya bangsa Melayu baik ketika sebelum merdeka mahupun setelah Tanah Melayu beroleh kemerdekaan. Drama Tamu Di Bukit Kenny (1967) menjadi medium sasterawan ini menegur masyarakat Melayu pasca merdeka. Kegelisahan Usman terhadap sikap masyarakat Melayu yang malas dan tidak tahu menghargai peluang yang ada ditimbulkan melalui watak Pegawai. Watak ini telah mengkritik orang-orang kampung yang tidak memanfaatkan tanah pemberian kerajaan. Dalam masa yang sama, usaha serius Pegawai untuk membantu masyarakatnya yang bobrok membuatkan dia terlupa perihal anak-anaknya yang mula terpengaruh dengan budaya Barat:

PEGAWAI : (Marah) Begini rupanya anak-anak aku? Begini caranya kau belajar. Salleh? Begini kau hidup di belakang aku. Fatimah? Tak malu! Terloncat-loncat macam orang liar. (Matanya memandang ke meja, berjalan mendekati meja dan mengambil majalah Inggeris yang kulit luarnya gambar bogel). (Tamu di Bukit Kenny, 1984)

Setelah negara mencapai kemerdekaan, rakyat khususnya orang Melayu yang terpengaruh dengan ideologi dan budaya penjajah British mahukan kehidupan selesa dan moden. Walau bagaimanapun, keinginan itu tidak sejajar dengan usaha yang dilakukan. Sifat malas dan terlalu bergantung orang Melayu pada kerajaan tanpa mahu berusaha disentuh Usman Awang melalui karya ini. Harapan beliau untuk melihat orang Melayu maju terpancar melalui watak Pegawai. Namun demikian, beliau mengadunkan sifat leka Pegawai yang meruntuhkan keluarganya sendiri bagi memberi kesan kepada khalayak agar bangkit daripada kelalaian. Masyarakat Melayu perlu melihat dan menilai diri sendiri untuk bangun menjadi bangsa yang maju dan bermaruah tinggi.

Legenda sasterawan ini tidak hadir di persada negara sebagai seorang sasterawan semata-mata. Usman Awang turut menjalankan tanggungjawab beliau sebagai pembela nasib rakyat. Teguran-teguran lantang dan berani terhadap persoalan kemasyarakatan menjadi asas dalam penulisannya. Dalam erti kata lain, pengarang legenda ini menjadikan sastera sebagai medan perjuangannya. Sewaktu menjadi Setiausaha Angkatan Sasterawan 50 (ASAS ‘50), Usman Awang pernah tidak disenangi segelintir ahli angkatan. Kecenderungan untuk bersifat diplomasi menjadikan beliau dianggap sebagai pesimis oleh segelintir ahli yang mahukan tindakan agresif dalam memartabatkan slogan “Seni Untuk Masyarakat”. Walau bagaimanapun, karisma dan kesabaran beliau berjaya mengatasi segala permasalahan.


Walaupun Usman Awang selari dengan slogan “Seni untuk Masyarakat” yang dipegang ASAS ‘50, beliau tidak menolak sepenuhnya gagasan “Seni untuk Seni”. Kepentingan dan keperluan nilai seni dalam karya tetap diperlukan dan diakui oleh beliau. Dalam hal ini, Usman Awang mementingkan nilai, pemikiran dan pengajaran yang mahu disampaikan kepada khalayak. Yang diutamakan beliau ialah kesedaran masyarakat lewat karya yang dihasilkan. Dalam erti kata lain, Usman Awang berkarya untuk menyampaikan idealisme dan pemikiran tentang tanggungjawab individu termasuklah penggiat sastera dalam ketamadunan dan pembangunan negara :

Sifat sastera yang hidup adalah yang menggambarkan keadaan hidup rakyat yang sebenar dengan nyata dan ini sudah ada bayangannya dalam corak kesusasteraan kita baik dari segi penghidupan mahupun dari segi perjuangan rakyatnya. Tetapi kalau hanya corak yang telah dan sedang dibayangkan, ini belumlah bererti dan tidak dapat dibanggakan lagi, malah masih merasa kurang. Dan kekurangan inilah yang mesti diisi dan dipenuhi oleh pendukung-pendukung seni sastera dengan tidak perlu lagi menjerit dan membanggakan “aku menulis mengikut faham seni untuk seni” atau “aku menulis adalah seni untuk masyarakat”. (Menyirat Inspirasi:2011)


Dalam usaha menyedarkan masyarakat agar bangkit daripada leka, Usman Awang menjadi perwira bangsa dengan membangkitkan tema kemanusiaan dalam karya-karyanya. Usman Awang mempunyai jati diri seorang Melayu yang tinggi. Lahir dalam keluarga yang dihambat kemiskinan, beliau mempunyai simpati dan empati yang mendalam terhadap nasib golongan terpinggir seperti nelayan dan petani. Perkara ini terpancar melalui kebanyakan karya kreatif beliau yang mengangkat kisah hidup kelompok terpinggir.



Kesungguhan Usman Awang mengangkat latar kemiskinan golongan terpinggir dilihat sebagai tanda dan peringatan yang diberikan kepada pihak penguasa agar memberi perhatian terhadap masyarakat yang diwakilinya. Puisi “Pak Utih” (1954) menampilkan kisah petani yang diwakili oleh watak Pak Utih. Petani ialah kelompok masyarakat yang memberi sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi negara berasaskan pertanian. Namun, janji dan manifesto pemimpin untuk membangunkan nasib golongan seperti Pak Utih sebelum pilihan raya adalah bertentangan dengan kehidupan mewah golongan berkuasa di kota. Kehidupan petani di ceruk desa tidak diambil perhatian setelah pilihan raya diadakan :

I
Punya satu isteri mau dakap sampai mati
Lima anak mau makan setiap hari
Teratak tua digayuti cerita puaka
O Pak Utih, petani yang berjasa.


II
...
Di mana-mana jamuan dan pesta makan
Ayam panggang yang enak di depan
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.Pak Utih masih menanti dengan doa
Bapa-bapa pergi
ke mana dengan mobil besar? (“Pak Utih”, 1954)


Jasa Usman Awang dalam mengukuhkan sastera dan bahasa Melayu sememangnya besar. Selain menjadi pengasas Persatuan Penulis Nasional (PENA), beliau komited dalam penubuhan Kumpulan Budi Utama (KUBU). Malahan, Malam Gema Puisi yang sering dianjurkan penggiat sastera bertitik tolak daripada idea Usman Awang satu ketika dahulu.


Keberanian dan kelantangan Usman Awang mempertahankan kebebasan media terserlah apabila beliau terlibat dalam mogok terhadap Utusan Melayu. Usman Awang dan rakan-rakannya menolak sebarang campur tangan politik dalam media. Walaupun Usman Awang dipecat ekoran pemogokan itu, beliau tidak pernah menyerah kalah dalam usaha menjadikan sastera dan media massa sebagai saluran perjuangan kemanusiaan dan kenegaraannya.

Pada awal tahun 1960-an, Usman Awang yang peka dengan isu manusia, kemanusiaan dan membenci penindasan terhadap masyarakat terpinggir telah membentuk “konfrontasi” antara golongan tani dengan pihak berkuasa negeri Selangor. Tunjuk perasaan dan perkhemahan dilakukan selama beberapa hari di hadapan bangunan pejabat Menteri Besar Selangor. Usman Awang dan beberapa rakan telah menerbitkan antologi puisi yang bernada protes terhadap peristiwa berkenaan (Firdaus Abdullah: 2011).

Keunggulan Usman Awang sebagai sasterawan dan pejuang masyarakat tidak hanya diketahui oleh bangsa Melayu. Sebaliknya, golongan Cina di Malaysia turut memahami konsep perjuangan dan nilai sastera Tongkat Warrant. Hubungan murni beliau dengan kenalan berketurunan Cina baik di dalam mahupun di luar negara memberi ruang pemikiran dan kritikan Usman Awang merentas sempadan geografi, bahasa, agama dan bangsa. Walaupun memiliki semangat jati diri Melayu yang tinggi, Usman Awang tidak pernah menidakkan hak golongan bukan Melayu untuk menikmati kedamaian hidup di Malaysia. Sebaliknya, Usman Awang berusaha menerusi karyanya untuk membentuk perpaduan rakyat berbilang kaum. Lebih mengagumkan, karya Usman Awang pernah menjadi teks kajian untuk mata pelajaran Bahasa Cina peringkat menengah satu masa dahulu.


Nilai sejagat yang ada dalam karya-karya Usman Awang menjadikannya sebagai antara karya sastera Melayu paling banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Statistik Perpustakaan Universiti Malaya pada tahun 1983 mendapati sejumlah 62 buah terjemahan pelbagai genre karya beliau ke dalam bahasa Mandarin telah dilakukan (Chong Fah Hing: 2011). Semangat Malaysia dan perpaduan ini dapat dilihat dalam puisi “Anak Jiran Tionghua” :


Lihat mereka tertawa riang
Ah Chew tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu
.
(“Anak Jiran Tionghua”: 1962)


Tulang-Tulang Berserakan (1966) ialah curahan pengalaman Usman Awang sebelum negara mencapai kemerdekaan. Karya ini boleh dianggap sebagai biografi yang mencatat pengalaman hidup beliau semasa zaman pemerintahan British, era pendudukan Jepun dan zaman penindasan komunis di Tanah Melayu dalam bentuk kreatif. Novel tunggal ini berperanan sebagai alat dokumentasi sejarah dan sumber rujukan masyarakat khususnya sasterawan muda untuk menimba ilham dan pengalaman yang mampu lahir sebagai karya ideal serta merentas zaman seperti yang dilakukan Sasterawan Negara Usman Awang.

Dengan niat tulus untuk memakmurkan dunia sastera, Usman Awang menggunakan jawatan beliau sebagai penyunting sastera di akhbar mingguan Utusan Zaman untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis sastera negara. Antara sasterawan yang mendapat didikan daripada beliau ialah Kemala, Firdaus Abdullah dan S. Othman Kelantan. Usaha Usman Awang menyatukan penulis mapan dengan penulis muda telah membentuk barisan sasterawan yang mantap pada masa itu.


Karya-karya Usman Awang telah pun dikenali di peringkat supranasional. Hasil kreatif beliau diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama berkenaan ialah bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, Czechoslovakia, Portugal, Arab, Macedonia dan Jerman. Tema sejagat yang dibawa melalui garapan puisi, cerpen dan drama-dramanya menjadikan pemikiran Usman Awang tersebar ke seluruh dunia. Walau bagaimanapun, pengiktirafan masyarakat dunia terhadap Usman Awang harus disusuli dengan kesedaran rakyat tempatan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sastera dan tamadun Malaysia.

Pemergian Allahyarham Usman Awang ke rahmatullah dalam bulan Ramadan pada 29 November 2001 adalah satu kehilangan besar bagi dunia sastera Melayu dan negara Malaysia. Namun, Usman Awang kekal menjadi contoh dalam usaha penulis kini menampilkan diri sebagai sasterawan jati yang tahu peranan dalam melahirkan masyarakat bertanggungjawab kepada diri sendiri, bangsa, agama dan negara. Usman Awang bukanlah penyair romantis semata-mata sebaliknya pejuang bahasa, bangsa dan negara yang kental semangat kenegaraannya.


Siapa manusia yang tiada putus asa
Hiruplah udara baru yang segar berkembang
Isilah dunia ini dengan keyakinan perdamaian
Hembuskan nafas pada malam yang lena
(“Merpati Putih, Jelajahilah Dunia ini”, 1959)


Nota : Esei ini telah tersiar dalam majalah Tunas Cipta, April 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan