Jumaat, 6 Mei 2011

KISAH SIASAH DALAM SATIRA

SEBUAH SATIRA SIASAH, novel ini menggunakan pendekatan kalam atau narator dalam menceritakan kisah yang berlaku sepanjang perjalanan Ketupat Cinta karangan Faisal Tehrani (2009) ini. Permulaan novel ini mengisahkan Tun Lepat yang dijatuhi hukuman mati setelah difitnah meracuni Sultan Alauddin Riayat Syah. Sepanjang dalam tahanan, Tun Lepat telah bertemu dengan seorang banduan bernama Hang Seleri. Tun Lepat yang merupakan anak saudara kepada Dato Musa al-Kadzim telah difitnah oleh Tun Senaja yang berhasrat untuk memberi ruang puteranya memegang takhta dengan cara meracuni Sultan Alauddin Riayat Syah.

Sebagai gerau (tukang masak) istana, Tun Lepat telah difitnah memasukkan racun ke dalam santapan Sultan Alauddin. Fitnah terbabit rentetan daripada rasa haloba Tun Senaja iaitu permaisuri Sultan Alauddin yang enggan takhta pemerintahan beralih kepada putera tiga madunya yang lain iaitu Tun Molijah Wan Moss, Tun Nyonya Kepayang dan Tun Saripah. Walau bagaimanapun, kisah perjalanan hidup Tun Lepat hinggalah beliau ditahan untuk menjalani hukuman tergantung pada Bab Bom Kak Melah. Hal ini kerana, pada bahagian seterusnya, Ketupat Cinta memperihalkan kisah Dato Musa al-Kadzim iaitu gerau istana yang telah berkhidmat ketika zaman pemerintahan Parameswara.


Pegarang menjadikan Tun Lepat yang menceritakan pengalaman dia mengikut bapa saudaranya itu sehinggalah Tun Lepat melarikan diri ke Madinah apabila Dato Musa al Kadzim difitnah oleh Tun Rosjah. Dalam bahagian inilah pembaca berpeluang masuk ke dalam ruang siasah Kesultanan Melayu Melaka bermula dari pemerintahan Parameswara yang meninggalkan Palembang, menguasai Temasek hinggalah kononnya 'membuka' Melaka. Sepanjang bahagian ini, Dato Musa al Kadzim menjadi watak penting yang memberi pendedahan Islam kepada Parameswara dan rakyat Melaka.

Parameswara yang mempunyai banyak isteri berdepan dengan konflik sama seperti yang dilalui warisnya iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah. Bezanya, Parameswara tidak berjaya dijatuhkan oleh isteri-isterinya seperti yang dilakukan Tun Senaja. Perebutan gelar permaisuri antara Puteri Kamarul Ajaib, Cik Lo' Lo' Ganish dengan Tun Rosjah telah menggerakkan cerita ini. Tun Rosjah, seorang pelayan makan dalam sampan pada awalnya telah menjadi isteri Parameswara. Puteri Kamarul Ajaib yang menjadi permaisuri enggan melihat Parameswara melayan Cik Lo' Ganish melebihi dirinya dan menangkat Tun Rosjah yang digambarkan sebagai wanita gemuk, debab, badak, tembam dan haloba kuasa. Tun Rosjah menggunakan perkhidmatan bomoh dan nasi kangkang untuk mempengaruhi pemikiran Parameswara.


Melihat Dato Musa sebagai musuh utama, Tun Rosjah yang gemar mendakap segala macam penyanyi dari benua Keling dan lelaki-lelaki muda yang dianggap anak-anak itu sangat gemar membazirkan duit rakyat dengan membeli belah dan mendandan diri semata-mata. Tun Rosjah yang begitu kuat keinginannya untuk menjadi berkuasa sanggup membuat tipu daya kepada Parameswara, menfitnah Dato Musa yang warak dan alim serta mengebom Cik Lo' Lo dan Puteri Kamarul Ajaib.


Walau bagaimanapun, berkat wali Allah Dato Musa yang petah ilmu agama sehingga berjaya menjadikan Badang syahid pada akhir nyawanya, Tun Rosjah akhirnya kecundang dan mati tersula diri dengan tongkatnya sendiri. Tun Lepat yang disuruh pergi ke Madinah akhirnya menerima sepucuk surat daripada Tun Halimah (Dang Shakuntala) yang sangat alim dan begitu akrab dengan Dato Musa sepanjang hayatnya. Setelah kematian Tun Rosjah, Parameswara akhirnya menikahi Tun Halimah. Tun Lepat diminta pulang demi membantu Tun Halimah memimpin perjalanan hidup dan pemerintahan Parameswara yang kelihatannya diancam oleh Tengku Tembam.


Novel satira ini bukan sahaja sarat dengan falsafah makanan yang disediakan pengarang bersandarkan ilmu Islam. Dikukuhkan dengan dalil-dalil berdasarkan hadis dan al-Quran, novel ini menterjemahkan kisah siasah Melayu dahulu kala yang dijalinkan dengan kisah politik semasa kini. Penggunaan simbol-simbol nama dan peristiwa mampu membawa alam fikir pembaca untuk meneliti dan berfikir akan situasi politik negara. Inti resepi segala macam makanan sama ada lauk-pauk mahupun kuih-muih menjadi wadah sampingan dalam menjalinkan cerita yang dibawa watak dengan falsafah di sebalik cerita lucu yang disampaikan Hang Seleri atau Tun Lepat.


Sebagai pembaca, pasti tercuit rasa tidak senang apabila perjalanan Tun Lepat yang ditahan lantaran difitnah Tun Senaja tidak disambung. Walau bagaimanapun, sebagai musim pertama adalah diharapkan perjalanan Tun Lepat dan kisah sejarah siasah dalam fiksi ini dapat ditelusuri lagi pada musim kedua novel ini. Novel ini membawa kisah manusia yang haloba, perjuangan kebenaran menghunjam kebatilan dan saratan ilmu tauhid yang bermanfaat untuk direnungkan sebagai seorang muslim dan mukmin.

1 ulasan:

  1. ketupat Cinta... ketika membacanya terbayang-bayang nama watak-watak dalam cerita ini dengan situasi sebenar.

    Bacaan yang tidak terasa berat ketika membacanya namun sarat dengan dengan initipati dan isi...

    BalasPadam