Khamis, 26 Mei 2011

SERIBU SERATUS EKAR PUISI

ALHAMDULILLAH, setelah setahun berlalu maka antologi puisi Seribu Seratus Ekar Puisi pun selamat diserahkan kepada para penulis kumpulan pertama di Raudah, Kuang. Kumpulan pertama projek ini disertai oleh SM Zakir, Zaen Kasturi, Siti Zainon Ismail, Ahmad Sarju, Rahimidin Zahari, Ridzuan Harun, Shamsudin Othman, Wardah Munirah, Khalila Ismail, Siti Rabiatul Adawiyah, Siti Fairuz dan diketuai oleh SN Anwar Ridhwan.


Kumpulan ini telah dijemput oleh Tan Sri Tajudin Ramli ke Tanjung Rhu Resort Island pada 28 April hingga 2 Mei 2010 dan mencerap alam sebagai inspirasi menghasilkan projek puisi ini. Puisi-puisi yang dimuatkan dalam antologi ini ditampilkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di samping foto-foto pemandangan alam Tanjung Rhu sebagai latar puisi. Tema hubungan manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan menjadi pemangkin puisi-puisi dalam antologi ini.


Ahad, 22 Mei 2011

KISAH ANAK TERBUANG DALAM FALLING LEAVES

APA RASANYA menjadi anak yang terbuang di dalam keluarga sendiri? Adeline Yen Mah, anak bongsu daripada lima beradik (Lydia, Gregory, Edgar, James) terpaksa mengharungi kehidupan yang mencabar perasaannya sebagai seorang manusia dan seorang anak. Ibu kandung Adeline meninggal dunia tidak lama selepas kelahiran Adeline. Kematian itu menjadikan Adeline dianggap sebagai pembawa sial dan tidak dipedulikan oleh ahli keluarganya. Satu-satunya insan yang menyayangi dan setia menemaninya ialah Aunt Baba.

Ayah Adeline iaitu Joseph Tsi-rung Yen mengahwini seorang wanita kacukan Cina-Perancis Jeanne Prosperi Yen yang dipanggil sebagai Niang. Sejarah hidup Adeline menjadi lebih kelam sejak kemasukan Niang ke dalam keluarga Yen. Niang berjaya memanipulasi Joseph hingga lelaki itu mengabaikan anak-anak kandungnya sendiri. Kelahiran Susan dan Franklin (anak Joseph dan Jeanne) sekali gus telah mewujudkan kasta di dalam satu rumah. Lima bersaudara ditempatkan di aras dua rumah banglo mereka sedangkan Susan dan Franklin serta Joseph dan Niang menduduki aras paling atas.



Adeline dan saudaranya tidak dibenarkan bermain bersama Susan dan Franklin hatta mendekati aras paling tinggi di dalam rumah itu. Pada penghujung kurun ke-19, ketika diskriminasi terhadap anak perempuan masih menguasai masyarakat China, Adeline yang dianggap sebagai pembawa sial dihantar ke sekolah berasrama sebagai denda kerana membela Susan yang dipukul oleh Niang.

Kecemerlangan Adeline dalam pelajaran juga membuatkan Niang berasa tidak senang. Hal ini mendatangkan kekhuatiran kepada Niang sekiranya Adeline mengatasi dirinya sebagai wanita yang 'menguasai' Joseph. Sebagai seorang anak, Adeline langsung tidak mendapat kasih sayang dan haknya sebagai anak daripada bapanya. Pengaruh Niang sangat besar sehingga Joseph sanggup melawan kata Baba (datuk Adeline) yang menjadi pengasas legasi perniagaan keluarga Yen.

Kegigihan dan keinginan Adeline untuk membuktikan kemampuan dia sebagai seorang yang berjaya telah membawa dia merantau ke kota London. Melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, Adeline mengahwini seorang lelaki yang hanya berpura-pura mencintainya semata-mata mahukan taraf green card. Akibatnya, Adeline dan anaknya Roger telah dikasari sehingga membawa ketuntasan hati Adeline untuk bercerai. Walau bagaimanapun, perkahwinannya dengan Bob membuahkan kebahagiaan. Meskipun Adeline masih menjadi anak terbuang, dia mempunyai kebahagiaan bersama-sama Bob yang meladeninya dengan cinta.

Pada penghujung tahun 1970-an, Adeline mula mendapat sedikit demi sedikit perhatian daripada Niang dan bapanya. Walau bagaimanapun, agenda jahat Niang tidak pernah berhenti. Niang telah memalsukan wasiat asal bapa Adeline dan menyatakan bahawa bapanya yang terkenal sebagai jutawan di Hong Kong itu telah muflis dan langsung tidak meninggalkan sebarang harta kepada mereka. Lydia dan Susan yang juga dibuang oleh Niang daripada keluarga Yen memilih jalan hidup sendiri. Bezanya, Lydia yang sejak kecil mencemburui Adeline telah menghasut Niang agar membenci Adeline dan menggugurkan nama Adeline dalam wasiat Niang sedangkan dalam masa yang sama Niang memperlihatkan pergantungan dan perdamaian terhadap Adeline.

Kisah benar kehidupan Adeline Yen Mah ini membawa pembaca menelusuri jiwa dan perasaan terdalam seorang anak yang terbuang bukan kerana kesalahannya tetapi kerana penguasaan orang ketiga di dalam keluarga. Dalam masa yang sama, novel ini bukan memfokuskan kekecewaan Adeline terhadap keciciran namanya di dalam wasiat sebaliknya memperihalkan aspek kepercayaan, keinginan terhadap kasih sayang dan penerimaan di dalam keluarga. Walau bagaimanapun, Adeline berasa gembira tanpa sebarang harta yang diwarisi daripada keluarga Yen apabila menemui wasiat asal bapanya yang turut meletakkan namanya sebagai penerima. Bagi Adeline, wasiat asal bapanya itu memperlihatkan kasih sayang bapa terhadap dirinya meskipun pernah dibuang oleh keluarga.

-- Born in 1937 in a port city a thousand miles north of Shanghai, Adeline Yen Mah was the youngest child of an affluent Chinese family who enjoyed rare privileges during a time of political and cultural upheaval. But wealth and position could not shield Adeline from childhood of appaling emotional abuse at the hands of a cruel and manipulative Eurasian stepmother. Determined to survive through her enduring faith in family unity, Adeline struggled for independence aas she moved from Hong Kong to England and eventually to the United States ti become a physician and writer.

A compelling, painful and ultimately triumphant story of a girl's journey into adulthood. Adeline's story is a testament to the most basic of human needs: acceptance, love and understanding. With a powerful voice that speaks of the harsh realities of growing up female in a family and society that kept girls in emotional chains, Falling Leaves is a work of heartfelt intimacy and a rare authentic potrait of twentieth-century in China.

Jumaat, 6 Mei 2011

KISAH SIASAH DALAM SATIRA

SEBUAH SATIRA SIASAH, novel ini menggunakan pendekatan kalam atau narator dalam menceritakan kisah yang berlaku sepanjang perjalanan Ketupat Cinta karangan Faisal Tehrani (2009) ini. Permulaan novel ini mengisahkan Tun Lepat yang dijatuhi hukuman mati setelah difitnah meracuni Sultan Alauddin Riayat Syah. Sepanjang dalam tahanan, Tun Lepat telah bertemu dengan seorang banduan bernama Hang Seleri. Tun Lepat yang merupakan anak saudara kepada Dato Musa al-Kadzim telah difitnah oleh Tun Senaja yang berhasrat untuk memberi ruang puteranya memegang takhta dengan cara meracuni Sultan Alauddin Riayat Syah.

Sebagai gerau (tukang masak) istana, Tun Lepat telah difitnah memasukkan racun ke dalam santapan Sultan Alauddin. Fitnah terbabit rentetan daripada rasa haloba Tun Senaja iaitu permaisuri Sultan Alauddin yang enggan takhta pemerintahan beralih kepada putera tiga madunya yang lain iaitu Tun Molijah Wan Moss, Tun Nyonya Kepayang dan Tun Saripah. Walau bagaimanapun, kisah perjalanan hidup Tun Lepat hinggalah beliau ditahan untuk menjalani hukuman tergantung pada Bab Bom Kak Melah. Hal ini kerana, pada bahagian seterusnya, Ketupat Cinta memperihalkan kisah Dato Musa al-Kadzim iaitu gerau istana yang telah berkhidmat ketika zaman pemerintahan Parameswara.


Pegarang menjadikan Tun Lepat yang menceritakan pengalaman dia mengikut bapa saudaranya itu sehinggalah Tun Lepat melarikan diri ke Madinah apabila Dato Musa al Kadzim difitnah oleh Tun Rosjah. Dalam bahagian inilah pembaca berpeluang masuk ke dalam ruang siasah Kesultanan Melayu Melaka bermula dari pemerintahan Parameswara yang meninggalkan Palembang, menguasai Temasek hinggalah kononnya 'membuka' Melaka. Sepanjang bahagian ini, Dato Musa al Kadzim menjadi watak penting yang memberi pendedahan Islam kepada Parameswara dan rakyat Melaka.

Parameswara yang mempunyai banyak isteri berdepan dengan konflik sama seperti yang dilalui warisnya iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah. Bezanya, Parameswara tidak berjaya dijatuhkan oleh isteri-isterinya seperti yang dilakukan Tun Senaja. Perebutan gelar permaisuri antara Puteri Kamarul Ajaib, Cik Lo' Lo' Ganish dengan Tun Rosjah telah menggerakkan cerita ini. Tun Rosjah, seorang pelayan makan dalam sampan pada awalnya telah menjadi isteri Parameswara. Puteri Kamarul Ajaib yang menjadi permaisuri enggan melihat Parameswara melayan Cik Lo' Ganish melebihi dirinya dan menangkat Tun Rosjah yang digambarkan sebagai wanita gemuk, debab, badak, tembam dan haloba kuasa. Tun Rosjah menggunakan perkhidmatan bomoh dan nasi kangkang untuk mempengaruhi pemikiran Parameswara.


Melihat Dato Musa sebagai musuh utama, Tun Rosjah yang gemar mendakap segala macam penyanyi dari benua Keling dan lelaki-lelaki muda yang dianggap anak-anak itu sangat gemar membazirkan duit rakyat dengan membeli belah dan mendandan diri semata-mata. Tun Rosjah yang begitu kuat keinginannya untuk menjadi berkuasa sanggup membuat tipu daya kepada Parameswara, menfitnah Dato Musa yang warak dan alim serta mengebom Cik Lo' Lo dan Puteri Kamarul Ajaib.


Walau bagaimanapun, berkat wali Allah Dato Musa yang petah ilmu agama sehingga berjaya menjadikan Badang syahid pada akhir nyawanya, Tun Rosjah akhirnya kecundang dan mati tersula diri dengan tongkatnya sendiri. Tun Lepat yang disuruh pergi ke Madinah akhirnya menerima sepucuk surat daripada Tun Halimah (Dang Shakuntala) yang sangat alim dan begitu akrab dengan Dato Musa sepanjang hayatnya. Setelah kematian Tun Rosjah, Parameswara akhirnya menikahi Tun Halimah. Tun Lepat diminta pulang demi membantu Tun Halimah memimpin perjalanan hidup dan pemerintahan Parameswara yang kelihatannya diancam oleh Tengku Tembam.


Novel satira ini bukan sahaja sarat dengan falsafah makanan yang disediakan pengarang bersandarkan ilmu Islam. Dikukuhkan dengan dalil-dalil berdasarkan hadis dan al-Quran, novel ini menterjemahkan kisah siasah Melayu dahulu kala yang dijalinkan dengan kisah politik semasa kini. Penggunaan simbol-simbol nama dan peristiwa mampu membawa alam fikir pembaca untuk meneliti dan berfikir akan situasi politik negara. Inti resepi segala macam makanan sama ada lauk-pauk mahupun kuih-muih menjadi wadah sampingan dalam menjalinkan cerita yang dibawa watak dengan falsafah di sebalik cerita lucu yang disampaikan Hang Seleri atau Tun Lepat.


Sebagai pembaca, pasti tercuit rasa tidak senang apabila perjalanan Tun Lepat yang ditahan lantaran difitnah Tun Senaja tidak disambung. Walau bagaimanapun, sebagai musim pertama adalah diharapkan perjalanan Tun Lepat dan kisah sejarah siasah dalam fiksi ini dapat ditelusuri lagi pada musim kedua novel ini. Novel ini membawa kisah manusia yang haloba, perjuangan kebenaran menghunjam kebatilan dan saratan ilmu tauhid yang bermanfaat untuk direnungkan sebagai seorang muslim dan mukmin.