Isnin, 25 April 2011

SOUTI SARMAD DALAM ADVENCER SI PENIUP NEY

'ALO, DAH HABIS!' itu bicara hati saya sebaik-baik menamatkan pengembaraan Ustaz Sulaiman Hilmi dalam Advencer Si Peniup Ney. Saya seorang pembaca yang sabar walaupun ada ketika terlalu lambat. Sejak kecil, saya tidak akan sesekali mengkhianati prinsip saya dalam membaca. Seorang sahabat baik saya akan meninjau terlebih dahulu halaman atau bab akhir sesebuah novel sebelum dibeli. Bezanya kami walaupun akrab, saya tidak akan sesekali menjengah halaman atau bab terakhir novel itu. Bahagian itu akan saya telusuri secara kronologi. Penamatnya, biarlah menjadi rahsia sehingga tiba masa saya mendekatinya. Bagi saya, perasaan usai bertemu bab atau halaman terakhir setiap pembacaan itu adalah sangat istimewa walaupun tidak lari daripada rasa kecewa, resah atau gembira dengan katarsis yang ada.

Berbalik kepada Advencer Si Peniup Ney, pemenang kategori Novel Remaja Hadiah Sako 2004 menghidangkan satu pengembaraan ilmu kepada para pembaca melalui Ustaz Sulaiman Hilmi dan 40 belia dari bangsa jin. Novel ini mengisahkan visi Ustaz Sulaiman Hilmi yang berusaha memenuhi permintaan sekumpulan jin Islam agar menuntun hidup bangsa jin di negeri Fantasi yang menjadikan hedonisme sebagai agenda hidup mereka. Ustaz Sulaiman Hilmi ialah anak tunggal kepada Ustaz Kamal. Beliau ialah seorang hafiz dan seorang muda yang mendalami ilmu agama dan begitu dihormati.

Atas keyakinan 40 jin Islam berkenaan terhadap kemampuan Ustaz Sulaiman Hilmi untuk memimpin mereka, Ustaz Kamal telah dipujuk agar mengizinkan permintaan mereka itu dikabulkan. Pada awal pertemuan 40 jin dan Ustaz Kamal di Masjid Fatih, pembaca akan 'masuk' ke dalam wacana antara 40 jin dengan Ustaz Kamal. 40 jin menegaskan betapa umat manusia mempunyai karamah yang lebih tinggi dan layak untuk memimpin remaja mereka dalam beriman dan mentauhidkan Allah. Dalam masa yang sama pula, Ustaz Kamal berdepan dengan konflik untuk memenuhi permintaan 40 jin lantaran usia Sulaiman Hilmi yang masih terlalu muda di samping perbezaan hidup antara manusia dengan jin.

Setelah mendapat keyakinan dan persetujuan Ustaz Kamal, Sulaiman Hilmi telah mengikuti 40 jin beli menuju negeri Fantasia yang letaknya di celah awan. Negeri Fantasia yang dipimpin oleh Jin Bertindik Satu mengamalkan fahaman hedonisme dalam kehidupan mereka. Yang dipentingkan oleh masyarakat jin di situ ialah keseronokan dan kelalaian daripada mengingati Allah. Jin-jin remaja di Fantasia begitu obses terhadap muzik. Alunan muzik lagha menjadi hidangan halwa telinga dan jiwa mereka. Tanpa mengingati segala perintah dan larangan Allah, hidup di negeri Fantasia adalah bermatlamatkan keseronokan dan jauh daripada keredaan Allah:

"Ketua mereka seekor jin bertindik sebelah. Fahaman negeri ini ialah fahaman hedonisme. Hidup mereka untuk bersuka-suka sahaja. Sukar sekali untuk menyedarkan remaja di sini." (2005:33)




Sulaiman Hilmi dan 40 jin belia membawa tauhid dan panji iman kepada negeri Fantasia. Dalam usaha itu, mereka menjadikan muzik sebagai alat untuk 'masuk' ke hati masyarakat jin Fantasia khususnya jin remaja. Menyedari kecenderungan mereka terhadap muzik, Ustaz Sulaiman menyebarkan genre muzik souti sarmad. Genre yang dibawa ini ialah muzik yang membawa penikmatnya ke destinasi akhir kehidupan iaitu Allah. Muzik ini bertujuan menyedarkan kealpaan manusia terhadap janji yang telah dimeterai dengan Allah bahawa manusia hanyalah hamba Allah pemilik semesta alam. Oleh yang demikian, muzik adalah satu tenaga kerohanian yang mengajar dan membimbing pendengarnya.


Jin Bertindik Satu telah mengugut Ustaz Sulaiman Hilmi dan 40 jin remaja, sekiranya mereka gagal memberi persembahan terbaik dalam konsert yang menjadi acara biasa bagi masyarakat Fantasia maka mereka akan dihumban ke satu kawasan yang akan membekukan mereka. Justin, orang suruhan Jin Bertindik Satu telah dihantar mengikuti kelas souti sarmad pimpinan Sulaiman Hilmi. Pada awalnya, Justin sememangnya bermatlamat untuk mencungkil segala ajaran songsang Sulaiman Hilmi yang bertentangan dengan fahaman hedonisme Fantasia. Akan tetapi, Justin akhirnya terperangkap dengan agendanya sendiri. Pintu hatinya terbuka lantas menjadi penganut Islam yang teguh imannya.


Meskipun Jin Bertindik Satu hampir mengakui kebenaran ajaran yang dibawa Sulaiman Hilmi, perasaan asyik cinta Puteri Simone Sidharra telah menyebabkan Sulaiman Hilmi dipenjarakan selama dua tahun oleh Jin Bertindik Satu. Puteri Simone, anak tunggal Jin Bertindik Satu jatuh cinta kepada Sulaiman Hilmi dan mahu memilikinya. Mengadaptasi kisah Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha, Puteri Simone telah menggoda Sulaiman Hilmi. Akan tetapi, ketakutan Sulaiman Hilmi terhadap azab Allah membuatkan Sulaiman Hilmi difitnah oleh Puteri Simone. Akan tetapi, Putrei Simone akhirnya insaf dan bertaubat atas dosanya. Ajaran Islam berkembang di negeri Fantasia yang menukar nama menjadi negeri al-Hidayah.

Pengembaraan Sulaiman Hilmi diteruskan ke dasar lautan. Walau bagaimanapun, tanpa banyak rintangan seperti yang dialami di negeri Fantasia, masyarakat jin dasar laut itu lebih mudah menerima tauhid dan Islam apabila Sulaiman berjaya menyembuhkan Maharaja Tenggiri berkat ayat al-Quran dan kekuasaan Allah. Setelah lama mengembara demi mengembangkan ajaran Allah, akhirnya 40 jin remaja Islam dengan berat hati melepaskan Sulaiman Hilmi yang tekad untuk pulang ke pangkuan ayan dan ibunya.


Di samping pengembaraan rohani, perdebatan ilmu muzik dari sudut tasawuf antara Ustaz Kamal dengan Sulaiman Hilmi memberi ruang kepada pembaca untuk menelaah alir fikir dan mencari titik tentu hukum muzik melalui konflik sema' yang dilakukan Sulaiman Hilmi dan 40 jin. Naskhah ini juga memberi sumbangan besar dalam memperihalkan sejarah kewujudan sistem notasi muzik yang selama ini dipercayai berasal daripada Barat. Pembongkaran ilmu ini adalah satu hal yang sangat penting dalam memberi pengetahuan terhadap golongan muslim yang selama ini terperangkap dalam kebanggaan palsu barat.


Advencer Si Peniup Ney tulisan Faisal Tehrani ini menjadi menarik apabila penulis menggunakan sudut pandangan ketiga serba tahu. Sementelahan itu, penggunaan gaya penulisan yang santai dan bersahaja mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara pencerita dan pembaca:


Adapun hal Simone Sidharra ini akan diperikan pada babak-babak lain yang khusus kerana si puteri sudah teramat mabukkan kekacakan Sulaiman, sampai sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan remaja alim itu berada dalam genggamannya atau setepatnya pelukannya atau lebih tepat lagi belitannya. ... Buat seketika disimpan dahulu kisah ini hingga tiba ke satu tempat yang wajar akan dibuka tentangnya (2005:73).


Pengembaraan Sulaiman Hilmi dengan 40 jin remaja tentu akan menjadi lebih menarik sekiranya pertentangan dan konflik yang dialami kumpulan ini ditambah lagi. Membaca karya ini akan menimbulkan rasa tidak puas pembaca apabila karya ini tamat dengan begitu mudah. Walau bagaimanapun, kekuatan inti cerita dan kepelbagaian ilmu yang ada di dalam karya ini mengubat sedikit rasa tidak senang dengan pengakhiran mudah itu.

Tidak memahami semua perkara bukan bermakna anda kalah dan jahil, tetapi petanda anda harus lebih menimba dan mencari -2005:140-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan