Isnin, 25 April 2011

SOUTI SARMAD DALAM ADVENCER SI PENIUP NEY

'ALO, DAH HABIS!' itu bicara hati saya sebaik-baik menamatkan pengembaraan Ustaz Sulaiman Hilmi dalam Advencer Si Peniup Ney. Saya seorang pembaca yang sabar walaupun ada ketika terlalu lambat. Sejak kecil, saya tidak akan sesekali mengkhianati prinsip saya dalam membaca. Seorang sahabat baik saya akan meninjau terlebih dahulu halaman atau bab akhir sesebuah novel sebelum dibeli. Bezanya kami walaupun akrab, saya tidak akan sesekali menjengah halaman atau bab terakhir novel itu. Bahagian itu akan saya telusuri secara kronologi. Penamatnya, biarlah menjadi rahsia sehingga tiba masa saya mendekatinya. Bagi saya, perasaan usai bertemu bab atau halaman terakhir setiap pembacaan itu adalah sangat istimewa walaupun tidak lari daripada rasa kecewa, resah atau gembira dengan katarsis yang ada.

Berbalik kepada Advencer Si Peniup Ney, pemenang kategori Novel Remaja Hadiah Sako 2004 menghidangkan satu pengembaraan ilmu kepada para pembaca melalui Ustaz Sulaiman Hilmi dan 40 belia dari bangsa jin. Novel ini mengisahkan visi Ustaz Sulaiman Hilmi yang berusaha memenuhi permintaan sekumpulan jin Islam agar menuntun hidup bangsa jin di negeri Fantasi yang menjadikan hedonisme sebagai agenda hidup mereka. Ustaz Sulaiman Hilmi ialah anak tunggal kepada Ustaz Kamal. Beliau ialah seorang hafiz dan seorang muda yang mendalami ilmu agama dan begitu dihormati.

Atas keyakinan 40 jin Islam berkenaan terhadap kemampuan Ustaz Sulaiman Hilmi untuk memimpin mereka, Ustaz Kamal telah dipujuk agar mengizinkan permintaan mereka itu dikabulkan. Pada awal pertemuan 40 jin dan Ustaz Kamal di Masjid Fatih, pembaca akan 'masuk' ke dalam wacana antara 40 jin dengan Ustaz Kamal. 40 jin menegaskan betapa umat manusia mempunyai karamah yang lebih tinggi dan layak untuk memimpin remaja mereka dalam beriman dan mentauhidkan Allah. Dalam masa yang sama pula, Ustaz Kamal berdepan dengan konflik untuk memenuhi permintaan 40 jin lantaran usia Sulaiman Hilmi yang masih terlalu muda di samping perbezaan hidup antara manusia dengan jin.

Setelah mendapat keyakinan dan persetujuan Ustaz Kamal, Sulaiman Hilmi telah mengikuti 40 jin beli menuju negeri Fantasia yang letaknya di celah awan. Negeri Fantasia yang dipimpin oleh Jin Bertindik Satu mengamalkan fahaman hedonisme dalam kehidupan mereka. Yang dipentingkan oleh masyarakat jin di situ ialah keseronokan dan kelalaian daripada mengingati Allah. Jin-jin remaja di Fantasia begitu obses terhadap muzik. Alunan muzik lagha menjadi hidangan halwa telinga dan jiwa mereka. Tanpa mengingati segala perintah dan larangan Allah, hidup di negeri Fantasia adalah bermatlamatkan keseronokan dan jauh daripada keredaan Allah:

"Ketua mereka seekor jin bertindik sebelah. Fahaman negeri ini ialah fahaman hedonisme. Hidup mereka untuk bersuka-suka sahaja. Sukar sekali untuk menyedarkan remaja di sini." (2005:33)




Sulaiman Hilmi dan 40 jin belia membawa tauhid dan panji iman kepada negeri Fantasia. Dalam usaha itu, mereka menjadikan muzik sebagai alat untuk 'masuk' ke hati masyarakat jin Fantasia khususnya jin remaja. Menyedari kecenderungan mereka terhadap muzik, Ustaz Sulaiman menyebarkan genre muzik souti sarmad. Genre yang dibawa ini ialah muzik yang membawa penikmatnya ke destinasi akhir kehidupan iaitu Allah. Muzik ini bertujuan menyedarkan kealpaan manusia terhadap janji yang telah dimeterai dengan Allah bahawa manusia hanyalah hamba Allah pemilik semesta alam. Oleh yang demikian, muzik adalah satu tenaga kerohanian yang mengajar dan membimbing pendengarnya.


Jin Bertindik Satu telah mengugut Ustaz Sulaiman Hilmi dan 40 jin remaja, sekiranya mereka gagal memberi persembahan terbaik dalam konsert yang menjadi acara biasa bagi masyarakat Fantasia maka mereka akan dihumban ke satu kawasan yang akan membekukan mereka. Justin, orang suruhan Jin Bertindik Satu telah dihantar mengikuti kelas souti sarmad pimpinan Sulaiman Hilmi. Pada awalnya, Justin sememangnya bermatlamat untuk mencungkil segala ajaran songsang Sulaiman Hilmi yang bertentangan dengan fahaman hedonisme Fantasia. Akan tetapi, Justin akhirnya terperangkap dengan agendanya sendiri. Pintu hatinya terbuka lantas menjadi penganut Islam yang teguh imannya.


Meskipun Jin Bertindik Satu hampir mengakui kebenaran ajaran yang dibawa Sulaiman Hilmi, perasaan asyik cinta Puteri Simone Sidharra telah menyebabkan Sulaiman Hilmi dipenjarakan selama dua tahun oleh Jin Bertindik Satu. Puteri Simone, anak tunggal Jin Bertindik Satu jatuh cinta kepada Sulaiman Hilmi dan mahu memilikinya. Mengadaptasi kisah Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha, Puteri Simone telah menggoda Sulaiman Hilmi. Akan tetapi, ketakutan Sulaiman Hilmi terhadap azab Allah membuatkan Sulaiman Hilmi difitnah oleh Puteri Simone. Akan tetapi, Putrei Simone akhirnya insaf dan bertaubat atas dosanya. Ajaran Islam berkembang di negeri Fantasia yang menukar nama menjadi negeri al-Hidayah.

Pengembaraan Sulaiman Hilmi diteruskan ke dasar lautan. Walau bagaimanapun, tanpa banyak rintangan seperti yang dialami di negeri Fantasia, masyarakat jin dasar laut itu lebih mudah menerima tauhid dan Islam apabila Sulaiman berjaya menyembuhkan Maharaja Tenggiri berkat ayat al-Quran dan kekuasaan Allah. Setelah lama mengembara demi mengembangkan ajaran Allah, akhirnya 40 jin remaja Islam dengan berat hati melepaskan Sulaiman Hilmi yang tekad untuk pulang ke pangkuan ayan dan ibunya.


Di samping pengembaraan rohani, perdebatan ilmu muzik dari sudut tasawuf antara Ustaz Kamal dengan Sulaiman Hilmi memberi ruang kepada pembaca untuk menelaah alir fikir dan mencari titik tentu hukum muzik melalui konflik sema' yang dilakukan Sulaiman Hilmi dan 40 jin. Naskhah ini juga memberi sumbangan besar dalam memperihalkan sejarah kewujudan sistem notasi muzik yang selama ini dipercayai berasal daripada Barat. Pembongkaran ilmu ini adalah satu hal yang sangat penting dalam memberi pengetahuan terhadap golongan muslim yang selama ini terperangkap dalam kebanggaan palsu barat.


Advencer Si Peniup Ney tulisan Faisal Tehrani ini menjadi menarik apabila penulis menggunakan sudut pandangan ketiga serba tahu. Sementelahan itu, penggunaan gaya penulisan yang santai dan bersahaja mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara pencerita dan pembaca:


Adapun hal Simone Sidharra ini akan diperikan pada babak-babak lain yang khusus kerana si puteri sudah teramat mabukkan kekacakan Sulaiman, sampai sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan remaja alim itu berada dalam genggamannya atau setepatnya pelukannya atau lebih tepat lagi belitannya. ... Buat seketika disimpan dahulu kisah ini hingga tiba ke satu tempat yang wajar akan dibuka tentangnya (2005:73).


Pengembaraan Sulaiman Hilmi dengan 40 jin remaja tentu akan menjadi lebih menarik sekiranya pertentangan dan konflik yang dialami kumpulan ini ditambah lagi. Membaca karya ini akan menimbulkan rasa tidak puas pembaca apabila karya ini tamat dengan begitu mudah. Walau bagaimanapun, kekuatan inti cerita dan kepelbagaian ilmu yang ada di dalam karya ini mengubat sedikit rasa tidak senang dengan pengakhiran mudah itu.

Tidak memahami semua perkara bukan bermakna anda kalah dan jahil, tetapi petanda anda harus lebih menimba dan mencari -2005:140-

Rabu, 20 April 2011

WANITA DALAM PASIR BERBISIK

"BAPA SAYA meninggalkan saya sewaktu kecil. Saya bangun pada satu hari dan dia tidak ada lagi. Yang tersisa hanya suaranya. Satu hari nanti, angin akan mempertemukan kita."

Begitu suara Daya (Dian Sastrowardoyo) memperihalkan perasaannya sebagai pembukaan filem Pasir Berbisik. Daya ialah anak tunggal kepada Berlian (Christine Hakim). Setelah ditinggalkan oleh suaminya iaitu Agus (Slamet Rahardjo), Berlian berusaha sedaya upaya membesarkan dan melindungi Daya daripada sebarang kecelakaan. Menetap di satu perkampungan, Daya sebagai anak remaja berasa terkongkong dengan perlindungan yang diberikan ibu kepadanya. Bagi Daya, dia sudah terlalu dewasa dan sudah sepatutnya memiliki hidup yang lebih baik dan jauh daripada ibunya yang berhati keras sesuai dengan nama Berlian - batu yang paling keras.


Kegawatan emosi antara Berlian dan Daya dapat dilihat melalui suara tidak mesra daripada Daya yang benci akan peraturan Berlian terhadap ibunya serta Berlian yang tidak bijak mempamerkan kasih sayangnya kepada Daya. Walau bagaimanapun, Berlian sememangnya mempunyai kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap Daya. Ungakapan 'Anak' yang diberi kepada Daya sebenarnya ialah manifestasi kasih sayang Berlian terhadap Daya. Namun demikian, Daya menganggap panggilan itu sebagai tidak menghormati kewujudan namanya sendiri iaitu Daya.

Berasakan dingin jalinan hubungan antara dia dengan ibunya, Daya sentiasa berharap dan yakin betapa ayahnya akan pulang dan membawa dia pergi daripada bosan dan kongkongan hidup yang diwujudkan Berlian. Bagi Daya, ibunya tidak langsung memahami perasaannya sebagai gadis. Dalam masa yang sama, Daya yang tidak pernah melihat ayahnya mempunyai keyakinan yang tinggi betapa kepulangan ayahnya nanti akan memberi kebahagiaan buat dirinya.

Meskipun demikian, realiti hubungan jiwa antara Daya dan Berlian dapat dilihat apabila Berlian sentiasa sahaja mengetahui detik perasaan dan jejak langkah Daya. Di samping itu, Daya sendiri tahu betapa ibunya sentiasa tahu akan kehadirannya. Situasi ini dapat dilihat terutama sekali pada pembukaan filem ini yang memperlihatkan Daya mengira 1,2,3 dan serentak dengan itu Berlian akan menoleh ke arahnya. Bagi menyara kehidupan dia dengan Daya, Berlian telah membantu Bidan Suri selain membuat jamu.Akibat keadaan kemarau yang berlarutan, beberapa orang kampung telah meninggal dunia akibat wabak yang tiba. Tidak lama setelah itu, sekumpulan perompak pula telah datang dan membakar perkampungan kecil itu. Hal ini membuatkan Daya dan Berlian terpaksa lari dan menuju ke Pasir Putih. Sebuah kawasan perlarian yang pernah disebutkan oleh Buk Li, adik kepada Berlian yang bekerja sebagai penari ronggeng.


Di lembah berpasir, perjalanan Berlian dan Daya telah dibumbui dengan rintangan. Naskhah ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada khalayak ketekunan dan ketabahan wanita terutamanya yang diwakili oleh Berlian untuk meneruskan kehidupan. Badai pasir sepanjang perjalanan jauh mereka menuju Pasir Putih tidak melemahkan semangat Berlian untuk memimpin Daya menuju kehidupan yang lebih baik.

Ketika badai pasir melanda, Berlian dan Daya telah tertimbus di dalam pasir. Seorang lelaki pemberontak lakonan Didik Doank pula telah mengambil bekalan makanan mereka berdua. Sebagai gadis naif, Daya mempercayai cerita pemberontak tentang kawasan pasir itu yang dahulunya ialah kerajaan agung. Akibat sumpahan dewi-dewi langit, kerajaan itu telah diterbalikkan dan tertimbus di dalam pasir itu. Pemberontak telah memberikan sebuah topeng kepada Daya yang dikatakan boleh membantu Daya jauh daripada sumpahan dewi-dewi dengan syarat memakai topeng itu di belakang kepala.

"Anak, untuk apa kau terus-menerus memakai topeng itu kalau hanya melihat ke belakang," Berlian menegur Daya yang asyik menoleh ke belakang sepanjang perjalanan jauh mereka ke Pasir Putih. Teguran Berlian itu juga menjadi citraan semangat Berlian yang mampu bangkit dan tidak lelah apabila ditinggalkan Agus.

Di Pasir Putih, Daya telah berkawan dengan Sukma. Atas kesedaran Berlian tentang pentingnya pengetahuan dan ilmu kepada Daya, Berlian telah menghantar Daya belajar bersama datuk Sukma. Di petempatan itu, mereka tinggal di sebuah pondok buruk. Suwito, seorang lelaki yang kononnya mempunyai harta dan kekayaan di kota telah jatuh hati kepada Daya. Menyedari hal itu, Berlian berusaha menjaga dan melarang Daya daripada terus menari apatah lagi sejak kehadiran Buk Li. Setelah menyedari Daya semakin berminat terhadap tarian dengan kebaya merah pemberian Buk Li, Berlian telah membakar kebaya tersebut. Hal ini membangkitkan amarah Daya. Ketika itula Buk Li memberi pesan kepada Berlian agar tidak keras mengatur hidup Daya supaya dia tidak kehilangan Daya.


Kematian Sukma apabila dia ditolak oleh pemberontak ketika mereka bermain memberi kesan yang besar kepada psikologi Daya. Dia menjadi lebih pendiam. Kepulangan Agus yang tidak disenangi Berlian seolah-olah kebahagiaan buat Daya. Dengan mudah, Daya menerima ayahnya itu. Kata Agus lebih mudah diterima berbanding kata-kata Berlian. Agus yang hanya tahu memasang angan-angan untuk hidup senang telah menjadikan Daya mangsa kepada nafsu buas Suwito hanya dengan harga sekotak rokok dari Amerika. Atas sebab sayang, Daya hanya menurut kata. Setelah dirinya dicemari Suwito, Daya menjadi lemah dan trauma. Berlian yang tahu akan perbuatan Agus itu telah membuat minuman beracun dan diberi kepada Agus sewaktu dia tidur.

Beberapa hari selepas itu, Pasir Putih didatangi pemberontak lagi yang membakar perumahan mereka. Berlian akhirnya bersedia melepaskan Daya pergi bersama-sama datuk Sukma untuk memulakan hidup baharu. Meskipun tanpa kerelaan Daya, Berlian tekad betapa tiada lagi kebaikan untuk dia terus berada di Pasir Putih.

Filem ini adalah sebuah filem yang sarat bermain dengan emosi sepanjang durasi tayangannya. Konflik jiwa seorang anak yang merindui ayahnya dan prahara seorang ibu yang mahu melindungi anaknya daripada sebarang keburukan. Ketegasan dan kongkongan Berlian terhadap Daya membuatkan Daya berkeras hati dan terus berharap akan kehadiran ayah yang tentunya akan membahagiakannya. Berlian tahu dan sedar, Agus tidak akan membahagiakan Daya. Malah Berlian sedar kepulangan Agus hanya akan memudaratkan Daya. Oleh sebab itulah, Berlian tidak mahu berbicara apa-apa tentang Agus kepada Daya. Namun demikian, sifat lurus dan sayang tanpa batas Daya terhadap Agus telah memakan dirinya.

Pasir Berbisik ialah cerminan Daya yang sentiasa percaya bahawa pasir-pasir itu sentiasa berbicara kepadanya. Pasir-pasir itu menjadi saksi rindu Daya kepada ayahnya. Pasir-pasir itu menjadi bukti dendam Daya kepada kongkongan ibunya. Hanya setelah segalanya berlaku, barulah Daya menyedari betapa tinggi kasih Berlian kepadanya.

Filem ini telah memenangi :
Best Cinematography Award, Best Sound Award dan Jury's Special Award For Most Promising Director untuk Festival Filem Asia Pacific 2001
Festival Film Asiatique Deauville 2002 - Dian Sastrowardoyo sebagai Artis Wanita Terbaik
Festival Film Antarabangsa Singapura ke-15- Dian Sastrowardoyo sebagai Artis Wanita Terbaik

Selasa, 5 April 2011

SEDIKIT TENTANG HAK CIPTA DAN CATATAN BIASA

SUDAH BEBERAPA hari hujan tidak turun. Cuaca menjadi bahang dan hawa panas melata. Walau bagaimanapun, bunyi guruh bergempita di dalam cerah dan bahang cuaca itu. Saya, Kak Rozi, Nada dan Asrul bertemu di Kafe Bunga Raya. Sudah agak lama kami tidak bertemu. Kali terakhir pertemuan kami adalah pada awal Februari yang lalu. Alhamdulillah, masing-masing berada dalam landasan kerjaya tersendiri. Asrul Sany kini sebagai penyelidik untuk sebuah rancangan berkaitan makanan dan Nada sebagai penulis.


Alhamdulillah, Wacana Sastera "Apa Itu Plagiat" berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah berkaitan kelewatan hidangan seperti yang sering berlaku dan dikhuatiri. Persiapan juga berjalan dengan lancar. Prof. Madya Dr. Rohazar Wati dan Sdr. Mohd Fairuz Mhd. Padoli (MF Kencana) telah memberikan pembentangan yang sangat menarik dan bermanfaat. Prof. Rohazar dengan kepakaran dan kearifannya dalam dunia harta intelek. Saya mengagumi kesungguhan dan keghairahan beliau untuk berkongsi maklumat dengan para siswa dan hadirin yang menyertai wacana santai itu. Pengalaman membentangkan kertas kerja berkenaan harta intelek di dalam dan luar negara serta ketekalan berada dalam dunia perundangan harta intelek selama lebih daripada 20 tahun memberi kelebihan kepada Prof. Madya Rohazar Wati untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan dengan sungguh meyakinkan.


Sememangnya, adalah sangat penitng untuk penggiat seni yang mahu menceburkan diri dalam dunia industri kreatif untuk mengetahui hak dan kuasa yang mereka ada sebagai pemegang hak cipta. Akta Hak Cipta 1987 yang telah digubal memberi ruang kepada pemegang hak cipta untuk melindungi karya dan kewibawaan pemegang dan pencipta karya berkenaan. Mohd Fairuz pula berkongsi pengalaman beliau dalam beberapa kes mengenai plagiarisme dan kes 'Jangan Tegur' yang berlaku sekitar tahun 2008 yang lalu. Sesuatu yang dapat diambil hasil daripada pembentangan beliau adalah perlunya mahasiswa atau sesiapa sahaja yang mahu atau baru menceburkan diri dalam bidang kreatif ini agar berhati-hati, tidak terlalu teruja dan bijak bertingkah dalam berurusan dengan pihak-pihak terbabit yang melibatkan karya kreatif.


Namun demikian, sesuatu yang agak sulit untuk dijelaskan adalah sejauh mana penguatkuasaan undang-undang berkenaan dalam memastikan hak dan kepentingan pemegang hak cipta terjamin dan terpelihara? Jika dilihat dari segi denda yang dikenakan atas Patrick d' Arvor, penulis terkenal Perancis didakwa melakukan plagiarisme atas sebahagian besar sebuah karya penulis Amerika dan surat-surat bekas kekasihnya ke dalam novel beliau jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan denda yang dimuktamadkan terhadap kesalahan yang sama di Malaysia.


Dalam masa yang sama, kesedaran pengkarya dalam mempertahankan hak cipta dan memanfaatkan undang-undang yang tersedia juga sangat menyedihkan. Kebanyakan penggiat seni lebih senang untuk mengambil langkah "biarlah ..." daripada memanfaatkan Akta Hak Cipta 1987. Apakah tindakan ambil mudah ini rentetan kurangnya pengetahuan mereka terhadap perlindungan dan kepentingan melindungi karya? Kurangnya rasa kepunyaan untuk mempertahankan karya yang dilanggar? Saya masih ingat ketika Noraniza Idris ditemu bual dalam satu rancangan berkenaan sebuah lagu nyanyian beliau yang dihasilkan oleh Pak Ngah telah didapati ditiru oleh sebuah kumpulan penyanyi di Thailand. Sewaktu ditanya oleh wartawan, penyanyi lagu etnik kreatif itu gagal memberi jawapan akan langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah berkenaan.


Umumnya, masalah plagiarisme dan hak cipta ialah masalah sejagat. Hal ini berlaku di mana-mana sahaja. Yang membezakannya ialah penguatkuasaan terhadap isu ini. Jika diperhatikan Perancis dan negara-negara Eropah mempunyai ketekalan dan sistem penguatkuasaan yang jauh lebih baik dan serius dalam menangani isu ini. Adalah baik sekiranya pihak berkaitan di Malaysia mengambil berat isu dan industri ini bagi menjamin kelestarian karya seni sebagai salah satu sendi tamadun bangsa.


Penggiat seni harus menyedari bahawa penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Berne menetapkan bahawa sesebuah karya itu dilindungi sebaik-baik sahaja karya itu telah dipindahkan dalam bentuk material tanpa memerlukan pemegang hak cipta karya melakukan pendaftaran. Oleh itu, sebagai pemegang hak cipta adalah wajar karya itu dipertahankan dan dilindungi agar tidak dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dengan mudah.


Catatan ini hanyalah sedikit ringkasan mengenai wacana yang amat bermanfaat hari ini. Sebagai mantan siswa yang pernah mengikuti kursus Kesenian dan Undang-Undang dan terpilih pula untuk membuat kertas kerja mengenai tajuk Hak Cipta, saya berasakan betapa isu dan pengetahuan penggiat seni terhadap isu ini adalah sangat penting agar pengkarya tidak mudah ditipu dan dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Wacana ini memperkukuh maklumat berkenaan hak cipta, plagiarisme dan harta intelek. Wacana kali ini tamat lewat daripada yang dijadualkan ekoran daripada persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh hadirin.


Dan, hari ini agak memenatkan saya. Seharian menemankan emak di Hospital Selayang semalam, melihat dos-dos tambahan yang diberikan doktor kepada emak menambahkan berat minda saya. Barangkali, kepenatan itu yang membuatkan saya mampu menulis entri ini setelah agak lama berhibernasi daripada aktif menulis entri . Insya-Allah, bermula esok dan hari-hari seterusnya saya akan bermastautin buat beberapa ketika di Pusat Dokumentasi Melayu (DBP) bagi menyambung pencarian judul-judul drama yang ada di Malaysia sejak Megat Terawis 'dilahirkan'. Fikiran saya tidak akan tenang selagi semua rak majalah Dewan Sastera yang tinggi itu belum saya terokai setiap jilidnya.


Prof. Madya Dr. Rohazar Wati Zuallcobley dan Sdr. Mohd Fairuz Mhd Padoli, terima kasih daun keladi, perkongsian kalian mengukuhkan nurani

---

Jumaat, 1 April 2011

USMAN AWANG SASTERAWAN UNGGUL SEPANJANG ZAMAN

USMAN AWANG, lebih dikenali sebagai penyair romantis. Namun, menelusuri liku kehidupan allahyarham, kita akan lebih kenal kekentalan arwah dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Dalam kelembutan, ada kelantangan. Merenung foto arwah ini, terasa kasih kian membunga buat sasterawan negara yang begitu berjasa. Al-Fatihah buat Allahyarham Usman Awang, Tunas Cipta, April 2011.

Sifat sastera yang hidup adalah menggambarkan keadaan hidup rakyat yang sebenar dengan nyata dan ini sudah ada bayangannya dalam corak kesusasteraan kita baik dari segi penghidupan mahupun dari segi perjuangan rakyatnya. Tetapi kalau hanya corak yang telah dan sedang dibayangkan, ini belumlah bererti dan tidak dapat dibanggakan lagi, malah masih berasa kurang dan kekurangan inilah yang mesti diisi dan dipenuhi oleh pendukung-pendukung seni sastera dengan tidak perlu lagi menjerit dan membanggakan "aku menulis mengikut faham seni untuk seni" atau "aku menulis adalah seni untuk masyarakat".

~Usman Awang~