Isnin, 7 Mac 2011

SASTERA DAN MANUSIA

DI TENGAH kalut anak kecil menangis dan ayah sibuk memujuk. Di celah tangkas jururawat melayan pesakit. Di sisi bonda setia menanti dipanggil. Di sibuk rumah sakit yang sempit, saya temui mutiara bicara sasterawan negara ini. Sasterawan terbilang, Muhammad Haji Salleh yang memilih puisi :

1. Buah pertama dari dusun terbaik pun biasanya agak buruk, tetapi semua pohon harus belajar berbunga dan berbuah yang termanis, dan semua ini memerlukan tahap-tahapnya dan waktu yang meregang.

2. Sastera membuka dunia, lebih luas daripada geografi atau astronomi. Sebahagian yang dibuka ialah cakewala dalaman, yang lebih berahsia daripada planet dan galaksi (apakah bintang-bintang juga bergelek-gelek di lubang hitam?). Kesusasteraan perlu kerana kita dihaluskan, dirumitkan sebagai manusia. Kesedaran kita ditajamkan, dan kepekaan dikembangkan.


~Dewan Sastera, Mac 2011

Saya terkesima seketika. Mutiara bicara SN itu sangat benar. Saya ialah murid aliran sains tulen sewaktu di sekolah menengah dahulu. KOMSAS dalam subjek bahasa Melayu selalu membuatkan saya jemu. Minat saya terhadap sastera tidak pernah tumbuh sewaktu berada di alam persekolahan. Lantas, apabila saya mula mengenal sastera hingga tumbuh subur cinta terhadap sastera, maka saya dapat melihat dengan jelas perbezaan fasa tunailmu sastera dan fasa mula cinta sastera.




Selalu saya merenung semula jejak dan liku perjalanan saya dalam dunia penulisan ini. Yang pasti, setiap kali renungan maka saya akan bertemu dengan ruang diri. Ruang yang tidak pernah saya endah walau selalu di persekitaran saya.
Pohon nyiur yang indah dan meliuk-lintuk usai ditiup bayu petang tidak pernah mendatangkan apa-apa kesan kepada saya. Malah, objek-objek alam seperti itu tidak membuatkan saya berfikir lebih dalam tentang kejadiannya. Hatta, saya tidak pernah berasa begitu cinta dan tertarik akan bulan dan bintang serta indah langit malam seperti kini.

Memang benar kata-kata SN Muhammad Haji Salleh dalam catatan beliau itu. Sastera membentuk peribadi. Melentur nurani dan menjadikan saya insan yang mula berminat untuk banyak berfikir tentang segala yang berlaku di dunia ini. Saya tidak lagi mensia-siakan alam. Renungan atas setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku saban hari semakin kuat. Nyata, perubahan itu sangat saya rasai. Saya menjadi semakin peka dengan pelbagai isu. Andai dahulu, saya hanya selesa berada dalam ruang hidup sendiri. Tidak berminat dengan isu yang berada di luar diri. Akan tetapi, sastera dan kesusasteraan mengajar saya untuk lebih peduli.

Berdasarkan pengalaman ini, saya mempunyai keyakinan yang tinggi betapa sastera mempunyai tanggungjawab dan peranan yang membesar dalam membentuk peribadi manusia dan sesebuah tamadun itu sendiri. Tanpa sastera, manusia menjadi beku dan kaku. Tidak mampu berfikir pada setiap lapisan kehidupan. Sastera, menjana manusia menjadi lebih bijaksana. Gabungan sastera dalam pelbagai corak hidup seharian akan memantapkan lagi kedudukan manusia sebagai makhluk berakal fikiran.

Catatan ini saya tuju kepada sesiapa sahaja yang mempunyai prasangka terhadap sastera dan kesusasteraan. Saya pernah membenci sastera sewaktu bersekolah dahulu. Maka dengan itu, saya berharap agar adik-adik yang masih di bangku sekolah tidak akan mengulangi kesilapan saya itu lantas dikurung rasa bersalah atas sikap dan masa yang telah lalu itu. Alangkah indahnya jika kita mampu mengecapi dan menikmati nikmat bahasa dan sastera bangsa sendiri sejak dari kecil lagi. Begitu, bahasa dan sastera akan semakin gah dan dihormati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan