Selasa, 1 Mac 2011

KEPENTINGAN KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN

MATTHEW ARNOLD dalam The Function of Critism at the Present Time menyifatkan kritikan bukanlah satu jalan untuk pengkritik mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, kritikan menjadi medan untuk pengkritik menilai dan menganalisis karya sasterawan secara sistematik dan beralasan. Dalam lapangan kesusasteraan, kritikan berperanan penting dalam mengangkat sesebuah karya. Tanpa kritikan, karya sastera hanya berlegar pada lapisan makna pertama tanpa dapat melihat lapisan-lapisan makna yang tersembunyi dan lebih bererti. Lapisan makna terdalam seperti itu jarang sekali mampu ditanggapi oleh pembaca pasif yang hanya membaca makna harfiah karya.

Dalam masa yang sama, kritikan sastera membantu khalayak pencinta sastera yang tidak terlibat dalam dunia kritikan berpeluang menjangkau aspek pemikiran pengkarya secara lebih dalam. Di samping itu, kritikan berperanan membetulkan salah persepsi masyarakat pembaca terhadap karya yang dibaca dan pandangan pembaca terhadap pengarang itu sendiri. Dengan kritikan, karya yang terpinggir mampu bangkit dan dikenali oleh masyarakat. Karya yang baik sekali pun tidak dapat memberikan manfaatnya secara optimum sekiranya tidak diambil perhatian oleh pengkritik lantas membuatkan karya itu terkubur.

Lantaran itu, dunia kritikan harus berjalan seiringan dengan dunia kesusasteraan dan tidak harus dipinggirkan. Pendekatan yang diambil oleh Tunas Cipta melalui fokus Disember 2010, berkenaan dunia kritikan wajar dipandang serius oleh khalayak pembaca yang mahu mendalami dunia sastera dan kritikan sastera secara seimbang, khususnya penulis baharu. Golongan penulis baharu harus mempunyai kesedaran akan kepentingan kritikan sastera ini. Tidak salah seorang penulis baharu berjinak-jinak dengan kritikan sastera kerana hal ini akan memberi ruang untuk penulis menjadi lebih matang, teliti dan aktif berfikir secara kritikal. Secara langsung, hal ini akan memberi kelebihan kepada penulis baharu memanfaatkan dwikemahiran yang ada untuk memantapkan aspek penulisan.

Walau bagaimanapun, perkara utama yang perlu ada untuk menjadi seorang pengkritik iaitu kepelbagaian ilmu dan kefahaman yang tinggi terhadap teori sangat perlu. Seorang pengkritik harus mempunyai pengetahuan yang jelas dan daya analisis yang tinggi. Dalam masa yang sama, pengkritik harus mempunyai kemahiran berbahasa kritikan yang baik kerana bahasa untuk kritikan sangat berbeza dengan bahasa untuk penulisan kreatif. Paling penting, barisan penulis atau pengkritik muda yang mahu serius dalam lapangan ini harus menyedari bahawa kritikan adalah satu genre penulisan ilmiah yang mempunyai struktur yang tersendiri dan tidak seperti genre penulisan kreatif yang biasa ditelusuri.

“BERSAMA MEMARTABATKAN DUNIA KRITIKAN SASTERA NEGARA”

Wardah Munirah
FAKULTI PENULISAN, ASWARA
04 Disember 2010

Tunas Cipta, Februari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan