Sabtu, 12 Februari 2011

POLITIK DAN KEPOLITIKAN

POLITIK DAN MEDIA ibarat isi dengan kuku. Kebelakangan ini (lebih tepat, sejak dahulu lagi) berita-berita di media elektronik asyik dengan kisah politik. Kempen di sana. Kempen di sini. Saya mula mengikuti arus politik negara ketika berusia 10 tahun pada tahun 1997. Ketika itu, isu politik menjadi rencah utama dalam pelbagai buletin arus perdana. Semuanya politik kotor. Pihak A memburukkan Pihak B sedangkan Pihak B tidak pula diberi peluang dan ruang yang cukup dan adil untuk memberi keterangan. Masyarakat seolah-olah dipaksa menerima satu kenyataan semata-mata. Tiada kenyataan kedua. Yang tersiar di media perdana itulah yang benar. Selainnya, palsu belaka!

Barangkali, 30 tahun yang lalu khalayak yang didendangkan dengan berita arus perdana seperti media elektronik memang mudah mempercayai setiap inci berita yang disampaikan. Akan tetapi, saya fikir tidak lagi sekarang. Masyarakat telah semakin bijak untuk menilai kedudukan sesebuah berita yang disampaikan. Hatta, remaja sekolah yang cenderung terhadap persekitarannya juga sudah boleh membezakan antara berita benar dengan berita palsu. Apatah lagi, teknologi maklumat memberi ruang untuk masyarakat mendapatkan maklumat yang lebih jelas daripada pelbagai sumber. Hal ini memanglah satu hal yang baik akan tetapi khalayak tetap memerlukan satu penyaringan agar tidak tenggelam dalam lambakan maklumat berkenaan.

Tidak lagi semua masyarakat akan mempercayai segala ceritera politik kotor yang diperlihatkan sebagai 'politik suci' di media. Beritakanlah apa-apa sahaja. Pihak A memberi yang terbaik kepada jelatanya. Pihak B begitu gagal dalam melakukan pembaharuan setelah masa diberikan dan sebagainya. Hakikatnya, hanya masyarakat di negeri berkenaan atau manusia waras akal saja akan mendengar dan menganalisis berita-berita tersebut secara rasional. Analisis, perhatian terhadap persekitaran, pertimbangan maklumat dan sebagainya itu membuatkan masyarakat yang tidak melulu dalam mempercayai berita akan senyum sinis melihat, mendengar dan membaca berita-berita arus perdana atau mana-mana tabloid yang sering mensensasikan isu politik, sama ada politik kotor yang 'disucikan' atau politik suci yang 'dinajiskan'.


Kadang-kadang, masyarakat boleh menjadi bosan dan jelek dengan sikap pemain politik arus perdana ini. Di dalam media, mereka begitu mesra rakyat, begitu tegas dalam berjanji dan begitu mulia memperlihatkan peribadi diri tetapi sebenarnya ialah manusia yang tegar memperkosa kepercayaan jelata dan agama yang memberi amanah kepada mereka terhadap kepimpinan mereka. Pada masa-masa pilihan raya kecil atau umum, mereka benar-benar menjadi jaguh rakyat. Memberi janji demi janji. Bersusah payah meredah banjir dan bahang mentari. Akan tetapi, setelah kemenangan diperoleh maka mereka pun ketawa melihat kepercayaan melulu dan kedangkalan marhaen yang mempercayai lakonan mereka.

Ya, politik itu penting. Politik menggerakkan kehidupan tetapi politik juga begitu menjengkelkan apabila terlalu dimomokkan dengan dendam, kecintaan terhadap dunia, harta dan takhta, kezaliman, kuku besi, penindasan, saling memburukkan dan sebagainya. Kesucian politik yang mampu meningkatkan taraf diri pemain politik sekali gus memberi keharmonian kepada rakyat seperti angan-angan yang tiada arah destinasi.

Politik dan media
Media dan politik
Media oh media.
betapa tersasar sungguh fungsinya yang sebenar
menyampaikan maklumat dengan tepat, padat dan berkesan
hanyalah moto yang tidak lagi dijadikan kenyataan.

Sungguhpun begitu jengkel politik akhir zaman ini, namun kecintaan saya terhadap politik tidak boleh saya padam. Saya akan terus memerhatikan para pemainnya. Terus menganalisis janji dan manifesto politikus dan terus tidak akan berdiam dan membuat keputusan sambil lewa apabila membuang undi pertama saya, tidak lama lagi.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum,akak..saya suka pendapat akak mengenai politik ni..benar,susah mahu mencari kebenaran dalam kata2 pemain politik..akak,teruskan menulis!saya suka tulisan2 akak :)

    BalasPadam
  2. Waalaikusalam, Adik. Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca coretan akak di laman ini. Ya, politik sekarang ini sungguh menjengkelkan tetapi kita tetap tidak boleh meninggalkannya.

    BalasPadam