Isnin, 14 Februari 2011

PENGAWASAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB IBU BAPA

SUDAH BANYAK sekali berita kehilangan anak kecil yang kita dengar. Sejak kehilangan dan kematian tragis yang menimpa Nurin Jazlin, masyarakat semakin terbuka dan prihatin akan isu kehilangan anak kecil ini.

Beberapa hari yang lalu, saya mengunjungi Taman Metropolitan, Selayang. Pagi yang indah dan cerah, memang nyaman untuk merehatkan minda. Ketika sendiri berjalan, saya mendengar esak tangis seorang kanak-kanak. Saya menoleh ke belakang dan saat itu saya lihat susuk seorang anak kecil lelaki yang sudah bengkak matanya. Ya, anak kecil itu memang sudah saya lihat berjalan sendirian sebelum itu. Saya fikir, memang dia sudah biasa berjalan sendirian. Terdetik juga di hati saya betapa berani kanak-kanak itu, berjalan sendirian.


Walau bagaimanapun, ketika melihat dia menangis maka saya segera mendekatinya. Saya bertanya akan sebab dia menangis. Akan tetapi, dia masih gementar. Dia hanya menggeleng sambil mengesat air matanya. Saya menjadi gusar. Tidak tahu apa-apa yang perlu saya lakukan. Sungguh, saya tidak pernah berdepan dengan situasi begitu. Saya yakin, anak kecil itu sudah kehilangan ibu dan bapanya.

Setelah puas memujuk, barulah dia memberitahu namanya. Aris, nama anak kecil berbaju kemeja kuning itu. Saya bertanya lanjut tentang dia lagi. Aris berusia lapan tahun. Dia datang ke taman itu bersama ibu, ayah dan seorang adiknya. Katanya, dia kehilangan ibu dan ayah apabila ayahnya berlari lebih laju. Dia ketinggalan di belakang.

Saya menjadi gusar, saya tidak boleh meninggalkan Aris di situ. Saya sedar saya bertanggungjawab untuk mencarikan Aris ibu dan ayahnya. Namun demikian, keadaan geografi Taman Metropolitan yang luas itu membuatkan saya susah hati sekiranya mereka tidak ditemui. Lantas, saya memegang tangan Aris dan terusa sahaja berjalan. Siapa tahu saya dan Aris akan bertemu ibu dan bapanya?


Menurut Aris, ibunya memakai baju berwarna merah. Maka, setiap wanita yang memakai baju berwarna merah menjadi sasaran pandangan saya. Saya bertanya akan kereta ayahnya, akan nombor telefon ayahnya dan beberapa maklumat lazim. Sayang sekali, Aris tidak tahu. Nah, bukankah ini satu hal yang membimbangkan?

Secara peribadi saya beranggapan bahawa anak-anak kecil memang sukar dikawal. Mereka mempunyai kedegilan dan keaktifan tersendiri. Ibu bapa yang seharusnya lebih peka dan prihatian akan anak masing-masing. Jangan salahkan anak-anak apabila mereka hilang daripada pandangan. Apatah lagi, anak-anak itu tidak diajar untuk menghafal maklumat penting seperti nombor telefon ibu bapa! Bukankah kecuaian ini akan menyusahkan diri sendiri.

Kami berjalan sehingga ke hujung taman. Sebaik-baik tiba di kawasan parkiran kereta, Aris menjerit apabila melihat kereta proton biru. Katanya, itu ialah kereta ayahnya. Hati saya menjadi lega. Sekurang-kurangnya saya tahu ibu dan ayah Aris masih berada di kawasan itu. Tentunya sedang risau mencari anak kecil itu.

Kami menunggu agak lama di situ. Tidak lama kemudian, saya terlihat lagi seorang wanita berbaju merah di kawasan permainan kanak-kanak. Segera saya tunjukkan Aris wanita itu. Aris lantas menjerit memanggil 'Ibu'. Nah, benarlah itu ibu Aris. Saya menjadi tambah bersyukur. Aris kembali kepada ibunya.

Ahad yang lalu, saya menemui kes yang hampir sama dengan Aris. Bezanya, anak kecil lelaki itu berjalan jauh di hadapan dan ibunya tinggal jauh di belakang. Saya memimpin tangan anak kecil itu dan menyerahkannya kepada ibunya. Saya katakan kepada ibunya pengalaman saya dengan Aris. Pengalaman saya dengan Aris membuatkan saya selalu gusar apabila melihat anak-anak kecil berjalan sendirian tanpa kelibat ibu dan ayah di samping mereka.


Saya, Cikgu Julia dan Dr. Shafik (teman persekolahan) di parkiran

Bayangkan perkara yang boleh menimpa mereka sekiranya mereka terus hilang, diculik? Bayangkan ketakutan anak-anak itu menunggu ibu dan bapa mereka menjejaki mereka? Semoga setiap ibu bapa akan lebih prihatin dan peka dengan keselamatan anak-anak ketika berada di luar rumah. Jangan sesekali memandang enteng isu ini kerana sudah terlalu banyak kes sadis menimpa anak-anak yang hilang daripada ibu bapa mereka. Ajarkan anak-anak untuk menghafal maklumat penting agar sekiranya mereka jatuh ke tangan individu bertanggungjawab maka mereka dapat dibantu dengan mudah.

Mahu berekreasi, mahu bersantai; silakanlah tetapi pastikan anak-anak anda sentiasa dalam pengawasan dan pengamatan berpanjangan.

wallahua'alam.

1 ulasan:

  1. jangan lah kita bersedih atas kehilangan siapa siapa tetapi kita menyayanginya

    BalasPadam