Rabu, 2 Februari 2011

CERITA CINTA JIWA MANUSIA : CINTA HARI-HARI RUSUHAN

KISAH CINTA PELARIAN POLITIK. Kisah luhur pejuang rakyat marhaen. Itulah yang ditemukan dalam karya awal Faisal Tehrani, Cinta Hari-Hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000). Novel ini mengisahkan jalur hubungan tiga dunia antara Basri, Tengku Valizah dan Basariah. Basri dan Tengku Valizah ialah pasangan kekasih dan penentang kebobrokan pemimpin negara era 70-an, sewaktu isu Baling dan ubi gedung membumbui hidup masyarakat tani.

Manakala, Basariah ialah penjalin hubungan cerita dua dimensi iaitu jalur cerita kehidupan Basri dan Valizah serta elemen yang memberi nokhtah pada kekusutan penderitaan Tengku Valizah pascakelahiran Basariah dan salah tanggapan Basri terhadap cintanya itu. Basri, seorang anak kelahiran Kedah yang begitu sensitif terhadap nasib masyarakat kesan daripada dasar 'terlalu' terbuka kerajaan kepada pemodal asing berjuang bersungguh-sungguh dengan rakan-rakan daripada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).
Kemuncak perjuangan Basri dan rakan-rakan (Ikram, Buchon, Rita, Zainul) apabila meletusnya demonstrasi gergasi hasil penyatuan perjuangan mahasiswa seluruh negara pada Disember 1974. Pihak kerajaan telah bertindak agresif dengan bukan sekadar menyembur gas pemedih mata kepada aktivis sebaliknya turut melakukan tangkapan secara rawak kepada semua yang menyertai demonstrasi berkenaan. Beberapa rakan Basri termasuklah cendekiawan yang tidak buta melihat kepincangan layanan kerajaan terhadap rakyat iaitu Dr. Syed Hadi telah ditawan.

Atas dasar keselamatan, Basri telah menyamar dan bersembunyi di dalam hutan kawasan Universiti Malaya. Atas bantuan Rita dan Idham, Basri melarikan diri ke Australia. Pemergian Basri sebagai pelarian politik lebih daripada 20 tahun memberi kesan besar kepada Tengku Valizah Tengku Sandel yang terpaksa mengahwini Raja Hishamuddin. Keterpaksaan itu dan kasih sayang yang kuat terhadap Basri menyebabkan Tengku Valizah mengalami tekanan perasaan. Tengku Basariah sendiri mempunyai pandangan yang negatif terhadap bondanya yang tidak pernah melayan dia sebagai anak. Tengku Basariah yang diselamatkan oleh Basri sewaktu pengeboman di Big Ben, London menemui jalur cerita cinta Tengku Valizah dan Basri. Meskipun pahit untuk dia menelan hakikat betapa lelaki berusia yang dicintai itu ialah kekasih bondanya sendiri, Basariah mengambil keputusa untuk membenamkan cintanya terhadap Basri dan berusaha menyatukan semula Basri dengan Tengku Valizah.


Kehidupan Basri sebagai pelarian politik sehingga menjadi warganegara Britain tidak pernah melenyapkan cinta dan kasihnya kepada warna padi menguning di bendang dan rindunya kepada tanah air. Setelah membuka Restoran Scud, Basri yang keliru dengan perasaannya terhadap Basariah yang dibayangi raut wajah Tengku Valizah akhirnya mendapat kepastian betapa Tengku Valizah bukanlah pengkhianat cinta seperti yang dianggapnya. Perpisahan dan penderitaan yang dilalui selama 20 tahun itu adalah kesan tindakannya menjustifikasi Tengku Valizah tanpa bukti :

"Sebenarnya bang ... abang dan bonda terlalu asyik bercinta lalu terlupa pada masa serta persekitaran. Ia berupaya merubah manusia. Dan kita kemudian saling tuduh-menuduh secara melulu sedang waktu memamah segala yang kita punya hingga kita akhirnya kecewa dan tak miliki apa-apa..." Basariah ditimpa salji yang tiba-tiba melekat (2000: 285-286).

Pengarang bukan sahaja menampilkan kisah cinta tiga dunia. Yang lebih utama ialah fokus pengarang terhadap perjuangan mahasiswa dalam menentukan politik dan kehidupan rakyat. Mahasiswa yang bergabung dan mempunyai prinsip serta jelas terhadap tanggungjawab yang dipikul mampu membuka mata dunia dan berkuasa untuk berjuang menegakkan keadilan. Secara halus, karya yang terbit awal dekat ke-21 ini menegur keadaan politik mahasiswa kini yang seakan-akan tidak mengerti akan peranan mereka terhadap masyarakat. Kebanyakan dunia siswa kini lebih cenderung kepada ilmu semata-mata hingga menjauhkan diri daripada kisah-kisah masyarakat yang menuntut pembelaan :

Akan tetapi apa yang berlaku, masyarakat kampus di kalangan mahasiswa atau pada pensyarah dan pentadbir universiti; atau masyarakat luar pun sedang mempersoalkan apakah gerakan mahasiswa benar-benar berperanan dalam arus pembangunan negara kita atau tidak relevan lagi memandangkan negara kita sudah membangun dengan begitu pesat sekali.

Mahasiswa kaku dan beku memikirkan bagaimana mahu survive bila graduate nanti. Mereka hanya memikirkan apa pekerjaan yang akan mereka dapati dan ini berlaku pada bangsa Melayu, India atau Cina (2000: 108).
Aktiviti dan perjuangan Basri serta rakan-rakannya memperlihatkan citra mahasiswa dekad 70-an yang berani, lantang dan tidak gentar memperjuangkan nasib rakyat. Walau bagaimanapun, Basri yang kembali ke Malaysia pada tahun 1997 berasa terkilan dengan beberapa rakan seperjuangan dahulu yang berpaling daripada prinsip. Malah, menjadi penyumbang pada kepincangan sistem politik negara yang langsung tidak memberi faedah kepada masyarakat umumnya :

Basri ketawa kecil. Rakan-rakannya ada yang membesar sebagai orang niaga segera, ada yang berkembang sebagai politikus licik, ada memuncak sebagai tokoh akademik, ada jaya sebagai orang seni tetapi ini sedikit lain, tokoh pembangkang. Dan Basri ketawa lagi. Benarlah zaman telah bergantian. Manusia berubah segala-galanya ikut berubah (2000: 265).

Novel ini bernada melankolik walau terselit lantang suara pejuang dan pincang permainan golongan atasan. Bagi pembaca yang tidak pernah membaca karya ini selain karya-karya lain penulis, maka jangan terkejut apabila bertemu dengan nilai tidak konvensional yang ada dalam karya-karya lain penulis. Novel ini ialah fasa awal penulisnya sebelum berkembang dan terus subur dengan Tunggu Teduh Dulu, Tuhan Manusia. Bagi pembaca muda, novel ini akan membawa pembaca ke gedung dunia 70-an dan akhir 90-an dengan siratan ceritanya yang luar biasa. Cintamu, cinta yang berputik dalam keadaan rusuh. Cinta hari-hari rusuhan tak upaya kau bawa ke mana-mana.
Kisah Basri menyentuh rasa.
Penderitaan Valizah meruntun hati.
Pengorbanan Basariah lambang kasih murni.

`````````````````````````````````````````
I Write The Song (Lagu cinta Basri, Valizah, Basariah)
I’ve been alive forever,
And I wrote the very first song.
I put the words and the melodies together,
I am music,
And I write the songs.

I write the songs that make the whole world sing.
I write the songs of love and special things.
I write the songs that make the young girls cry.
I write the songs, I write the songs.

My home lies deep within you,
And I’ve got my own place in your sole.
Now, when I look out through your eyes,
I’m you’g again, even though I’m very old.

Chorus

Oh my music makes you dance
And gives your spirit to take a chance,
And I wrote some rock ’n’ roll so you can move.
Music fills your heart,
Well, that’s a real fine place to start.
It’s from me it’s for you,
It’s from you, it’s from me,
It’s a world wide symphony.

Chorus

I am music, and I write the songs.
Barry Manilow

Tiada ulasan:

Catat Ulasan