Rabu, 12 Januari 2011

KAKI BAKAR : PERGOLAKAN JIWA & PANDANGAN HIDUP

KAKANG, seorang Jawa yang berasal dari Indonesia dan menjadi pelarian politik di Malaysia ialah subjek utama yang diketengahkan U-Wei melalui filem Kaki Bakar. Mempunyai semangat Jawa yang tinggi, Kakang berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri dengan norma hidup masyarakat Melayu di Malaysia. Semangat hidup dan pandangan dunia (worldview) yang berbeza melebarkan lagi jurang pemikiran antara Kakang dan masyarakat setempat. Kakang melihat masyarakat dalam latar karya tidak mempunyai semangat dalam memperjuangkan kehidupan sendiri. Masyarakat tempatan terlalu bergantung dengan kerajaan melalui subsidi sedangkan dia dan masyarakat di negara asalnya bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan. Perkara ini merupakan titik pemikiran U-Wei yang membawa fikir khalayak merenung ke dalam diri. Apakah masyarakat kita sememangnya terlalu manja? Apakah masyarakat kita lemah seperti yang ditanggap Kakang?
Lima minit pembukaan filem ini menunjukkan Kakang sedang menyimbah gasolin ke sebuah rumah papan. Dengan kemunculan bulan penuh di langit, sorotan terhadap Kesumo (anak bongsu Kakang) yang melihat perbuatan amuk bapaanya itu menjadi permulaan kepada perubahan yang bakal kelihatan terhadap diri Kesumo pada akhir cerita. Tanpa berlengah, karya yang penuh dengan nada serius dan tegas ini memunculkan adegan Kakang didakwa dalam sidang diketuai Tok Empat atas tuduhan merosakkan tanaman penduduk lain. Dalam masa yang sama, Kakang didakwa atas perbuatan membakar. Walau bagaimanapun, tuduhan itu digugurkan kerana ketiadaan bukti yang kukuh dari pihak Tok Empat. Sidang Tok Empat hanya menjadikan ucapan Kakang "kayu dengan getah boleh dibakar" sebagai alasan untuk menuduh Kakang. Dalam adegan itu jugalah khalayak diperkenalkan dengan Tulus Jaya Kesuma (Kesumo) yang diminta memberi bukti kesahihan tetapi gagal. Lantaran tu, Kakang diarahkan Tok Empat untuk keluar dari kampung tersebut.


Hukuman itu membawa Kakang dan keluarga yang terdiri daripada Paijah, Sumirah, Harjo, Kesumo dan isteri (lakonan Azizah Mahzan) ke sebuah kampung lain. Boleh dikatakan, Kakang membawa keluarganya hidup secara nomad apabila Sumirah memberitahu khalayak melalui dialognya bahawa sudah dua kali mereka berpindah-randah dalam tempoh setahun dan anak-anak yang tidak disekolahkan.

Dalam perjalanan Kakang ke rumah Tuan Kassim, dia telah memberi pesan panjang kepada Kesumo tentang keberanian masyarakat Jawa, tentang dia yang pernah menjadi kapten menentang Belanda dan tentang peranan lelaki dalam budaya Jawa. Usaha Kakang menjadikan Kesumo sebagai pendamping berbanding Harjo menyebabkan Kakang bersifat lebih berani. Hal ini dapat dilihat apabila Kakang memberikan kerja yang lebih berat kepada Kesumo berbanding Harjo yang hanya bertugas memelihara dua ekor kambing kepunyaan mereka.

"Mana Jawa kamu? Kau tak lama lagi akan jadi seorang orang. Kau harus sedar memilih keluarga sendiri. Tak ada keluarga tak ada ertinya."

Dialog berkenaan diucapkan Kakang terhadap Kesumo setelah mendapati Kesumo cuba berterus-terang kepada Tok Empat akan perbuatan Kakang membakar pula ialah eksploitasi tanpa sedar Kakang terhadap Kesumo. Memang benar Kakang sangat berpegang pada keberanian lelaki Jawa namun tanpa sedar, Kakang mendidik Kesumo untuk berdusta pada kebenaran.

Kebanggaan Kakang terhadap perjuangan dan sifat berdikari yang dimiliki cuba diwariskan kepada Kesumo. Dalam hal ini, khalayak melihat ketidakselarasan pemikiran yang cuba dibawa Kakang dalam konteks zaman dan kehidupan. Kakang mahu menyamakan dunia Kesumo dengan dunia kecilnya dahulu. Faktor perjuangan dan kemelaratan negara membuatkan dia perlu berdikari dan menjadi lebih berani, tidak seperti hidup kanak-kanak sebaya Kesumo :

Hidup harus berjiwa besar. Dulu disuruh merantau, cari ilmu, cari pengalaman. Ini semua tunggu disuap.Meskipun Kakang ialah protagonis, hal ini tidak menjadikan Kakang sebagai watak yang bersih dan ideal. Sebaliknya, U-Wei mencitrakan Kakang sebagai lelaki yang tinggi ego dan begitu percaya dengan pemikiran sendiri. Tindakan Kakang memijak permaidani yang dijemur di luar rumah Tuan Kassim merupakan punca masalah kepada rentetan masalah yang dihadapi Kakang selepas itu. Demikian juga, tindakan memasuki rumah Tuan Kassim dengan selipar dan naik ke tangga serambi rumah ialah imejan rasa tidak hormat Kakang terhadap masyarakat tempatan yang korupsi, lemah dan tidak kuat seperti dia.

Dalam memfokuskan inti cerita kepada permasalahan yang dihadapi Kakang bagi mempertahankan jati diri dan pemikiran Jawanya, U-Wei menegur kepincangan sistem sosial masyarakat tempatan. Kepincangan masyarakat dalam berurusan, kebobrokan dalam bekerja itu yang menjadikan masyarakat semakin lemah. Hal ini sepintas lalu dijelmakan melalui watak Tuan Kassim yang sebenarnya mempunyai skandal bersama Rose di Kuala Lumpur. Demi memenuhi janji dengan Rose, Tuan Kassim berbohong kepada isteri sendiri. Perkara ini dipandang sinis oleh Kakang yang mendengarnya ketika Tuan Kassim datang ke rumah dan memarahi Kakang kerana mengotorkan permaidani isterinya.

Setelah Tuan Kassim bertindak untuk memotong upah Kakang menoreh getahnya, Kakang membawa hal itu ke sidang Tok Empat untuk menuntut keadilan. Walau bagaimanapun, Kakang telah didapati bersalah dan Tok Empat memutuskan upah menoreh getah Kakang akan dipotong bagi memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak. Keputusan Tok Empat membuatkan Kakang merencana untuk membakar rumah Tuan Kassim. Pada kala itu, Kakang meminta Kesumo yang sedang mengaji Quran untuk membantunya. Walau bagaimanapun, keengganan Kesumo telah membangkitkan marahnya. Harjo disuruh menggantikan tugas Kesumo.
Adegan terakhir ini bersifat sangat dramatik. Tindakan Kesumo yang memberitahu niat buruk Kakang sehingga Tuan Kassim berjaya mengacu senapang ke kepalanya tidak menghalang Kakang untuk terus membakar. Barangkali, khalayak akan menyangka bahawa Tuan Kassim tidak akan menembak Kakang walaupun itulah hakikatnya dalam filem ini. Harjo menjadi saksi kematian Kakang.

Filem Malaysia yang pertama kali ditayangkan di Festival Filem Cannes di Perancis (1995) ini menjentik perasaan khalayak melalui perbezaan yang dibawa Kakang terhadap Kesumo dan Harjo. Walaupun berstatus abang kepada Kesumo, Harjo seolah-olah tidak mendapat kepercayaan Kakang. Kepercayaan tinggi Kakang terhadap Kesumo membibitkan dendam Harjo. Oleh sebab itulah Harjo menyuruh kakak-kakaknya menambat Kesumo apabila dia diberi kepercayaan Kakang untuk membantunya membakar rumah Tuan Kassim.

Sementara itu, Kakang yang memang berniat untuk menyerapkan budaya dan nilai Jawa dalam diri Tulus Jaya Kesumo mencapai misinya. Namun demikian, Kesumo tidak menerima budaya yang dibawa Kakang itu secara semberono. Kesumo tahu, perbuatan Kakang membakar bagi melempiaskan marah dan dendamnya adalah salah. Kesumo sedar bahawa perbuatannya menyembunyikan bukti ketika persidangan Tok Empat adalah salah. Kesumo sememangnya berani tetapi dengan cara dan pemikirannya tersendiri. Walaupun berusia muda, Ngasrizal Ngasri berjaya membawa watak Kesumo yang begitu mencabar ini dengan berjaya.

Oleh sebab tidak mahu Kakang terus bersalah, Kesumo telah memberitahu Tuan Kassim akan rencana Kakang untuk membakar rumahnya. Kesumo tahu, Tuan Kassim akan membunuh ayahnya namun bagi Kesumo itulah cara dia untuk menolong Kakang. Jauh di sudut hati, Kakang tetap seorang ayah yang berani dan hanya dialah yang paling memahami jiwa ayahnya itu. Pemikiran Kesumo terpancar jelas melalui monolognya sewaktu berlari meninggalkan rumah Tuan Kassim dalam gelap malam :

Dia orang berani. Dia dulu askar. Dia dulu kapten Indonesia. Dia lawan Belanda. Dia bukan prebet, tapi kapten. Sampai kena tembak kaki dia. Ayahku berani, lain dari orang sini. Dia sendiri kata, orang sini lembek, tahu minta subsidi. Dia kerja, dia kerja kuat untuk keluarga. Kerja kuat untuk mak, kakak, abang. Hanya Kesumo tahu dirinya. Kesumo nak tolong dia. Orang lain mana tolong dia. Semua tak tahu macam mana nak tolong dia.

U-Wei menghasilkan Kaki Bakar, adaptasi longgar daripada cerpen "The Barn Burning" oleh W. Faukner. Nuansa Jawa kuat melatari karya ini lantas menjadi keistimewaan Kaki Bakar. U-wei mencorak watak Kakang sebagai kaki bakar yang sangat berpegang pada prinsip hidup. Meskipun Kakang dimatikan wataknya setelah ditembak Tuan Kassim, senyuman dan tindakan Kakang membuang mancis sehingga menyemarakkan api membakar rumah ialah kejayaan dan kemenangan yang ditonjolkan Kakang terhadap prinsip yang dipegangnya. Pemikiran mantap yang diketengahkan U-Wei lewat Kaki Bakar menjadikan filem Malaysia ini menerima anugerah Filem Terbaik (kategori bahasa asing) dalam Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussels ke-17, 1995 (Belgium). Dua tahun kemudian, filem ini menerima Anugerah Khas Juri bagi 1st South-East Asian Biennial Film Festival, 1997 (Phnom Penh).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan