Rabu, 19 Januari 2011

WARNA CERITA DAN WACANA DALAM TIGA KALI SEMINGGU

15 CERITA MENCABAR MINDA, tema keseluruhan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu ini menepati isu dan garapan yang ditulis Faisal Tehrani. Kumpulan cerpen ini bukan sahaja menampilkan gaya sinonim Faisal Tehrani dengan unsur wacana secara meluas. Sebaliknya, pembaca yang pernah mempersoalkan kepincangan Persuratan Baharu dapat menemui beberapa cerpen yang tidak mengabaikan konsep latar dan perjalanan cerita meskipun mengangkat wacana secara terperinci.

Kisah dalam kumpulan cerpen ini merangkumi soal kemanusiaan, kemasyarakatan, hubungan timbal balik antara manusia dengan Tuhan serta persoalan politik yang pincang. Selitan unsur realisme magis dalam cerpen terakhir iaitu "Kegawatan" memberi ruang untuk khalayak melihat sudut pandangan pengarang terhadap kebobrokan masyarakat yang alpa akan tanggungjawab terhadap agama terutamanya.


Cerpen "Kegawatan" ditulis dengan menampilkan jalur plot Y. Pada awalnya, pembaca diperkenalkan dengan watak Jarjis dan Barom secara berselang-seli. Walau bagaimanapun, kedua-dua watak utama itu berkembang dan bersatu di pertengahan sehingga akhir cerita. Keunikan "Kegawatan" terletak pada gambaran bala yang menimpa Malaysia setelah berdepan dengan gempa bumi yang menjadikan Malaysia ibarat padang jarak padang tekukur. Keghairahan manusia membina bangunan-bangunan tinggi tetapi mengabaikan aspek ketinggian rohani menjadikan asbab turunnya bala kepada Malaysia. Namun demikian, pengarang memberi satu penyelesaian kepada khalayak apabila Malaysia kembali bangkit setelah 10 tahun gempa berlaku. Malah, gempa yang mengorbankan Profesor Afka telah menyatukan masyarakat Melayu di seluruh dunia. Kebangkitan masyarakat Melayu pascagempa 10 tahun lalu menjadi iktibar untuk masyarakat bangun dan membetulkan kesilapan terdahulu.

Menariknya, pertembungan antara Jarjis dan Barom memberi ruang untuk satu wacana tentang kemuliaan dan kehidupan. Jarjis yang mempunyai sifat negatif serta menjengkelkan akhirnya berubah sedikit demi sedikit dengan bantuan Barom yang menjadi citra pemuda penuh cita-cita dan tinggi akal budi. Sekali imbas, membaca "Kegawatan" mengingatkan kita pada sebuah cerpen tulisan Siti Zaleha Hashim tentang salji di Kuala Lumpur dan One Hundred Years of Solitude. Kekuatan cerpen ini terletak pada struktur penulisan yang luar daripada kebiasaan dan garapan kisah yang dipamerkan.

Sementara itu, khalayak pembaca mampu menyelami resah jiwa mergastua dan haiwan keseluruhannya. Meskipun berkisar pada kegelisahan dan aduan mergastua terhadap Tuan Khalifah Allah (manusia), cerpen "Manifesto Mergastua" ialah sindiran dan peringatan terhadap manusia yang sering mengabaikan tanggungjawab sebagai makhluk berakal terhadap haiwan. Dengan penulisan sudut pandangan orang pertama, cerpen ini menusuk kalbu para pencinta haiwan. Tanpa sedar, manusia terlalu angkuh dengan kemanusiaannya sehingga lupa akan peranannya terhadap haiwan di sekitaran. Penulis turut memasukkan beberapa kezaliman manusia yang dilakukan terhadap haiwan sejak zaman berzaman seperti berikut :

1. Paus St Thomas Aquinas mendakwa haiwan dan mergastua tidak punya jiwa dan hak maka boleh diperlakukan sesuka hati (2010:82).
2. Kenyataan Paus Pius IX bahawa menyeksa binatang bukanlah satu dosa.

Kumpulan cerpen ini menjadi landasan untuk menelusuri sejarah penulisan cerpen Faisal Tehrani. Selain menampilkan identiti sebagai pewacana dalam bercerita, kisah-kisah dalam "Muthupalaniappan", "Bulan Penuh di Saigon", dan "Muhammad Ulul Albab' ialah cerpen-cerpen kemanusiaan yang sangat dekat dengan kehidupan dan keadaan politik semasa.

Membaca kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu membawa pembaca meneroka satu ruang ilmu yang diolah dengan gaya penceritaan yang mampu menambah pengalaman dan pengetahuan pembaca. Buku kreatif terbitan Al-Ameen Serve Holding dijual dengan harga RM19.00. Sasaran khalayak buku ini sesuai kepada pencinta ilmu dan karya kreatif tanpa mengira peringkat usia,

Terima kasih kepada Zalila Isa yang memberikan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu untuk saya pinjam seumur hidup.

1 ulasan: