Rabu, 19 Januari 2011

WARNA CERITA DAN WACANA DALAM TIGA KALI SEMINGGU

15 CERITA MENCABAR MINDA, tema keseluruhan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu ini menepati isu dan garapan yang ditulis Faisal Tehrani. Kumpulan cerpen ini bukan sahaja menampilkan gaya sinonim Faisal Tehrani dengan unsur wacana secara meluas. Sebaliknya, pembaca yang pernah mempersoalkan kepincangan Persuratan Baharu dapat menemui beberapa cerpen yang tidak mengabaikan konsep latar dan perjalanan cerita meskipun mengangkat wacana secara terperinci.

Kisah dalam kumpulan cerpen ini merangkumi soal kemanusiaan, kemasyarakatan, hubungan timbal balik antara manusia dengan Tuhan serta persoalan politik yang pincang. Selitan unsur realisme magis dalam cerpen terakhir iaitu "Kegawatan" memberi ruang untuk khalayak melihat sudut pandangan pengarang terhadap kebobrokan masyarakat yang alpa akan tanggungjawab terhadap agama terutamanya.


Cerpen "Kegawatan" ditulis dengan menampilkan jalur plot Y. Pada awalnya, pembaca diperkenalkan dengan watak Jarjis dan Barom secara berselang-seli. Walau bagaimanapun, kedua-dua watak utama itu berkembang dan bersatu di pertengahan sehingga akhir cerita. Keunikan "Kegawatan" terletak pada gambaran bala yang menimpa Malaysia setelah berdepan dengan gempa bumi yang menjadikan Malaysia ibarat padang jarak padang tekukur. Keghairahan manusia membina bangunan-bangunan tinggi tetapi mengabaikan aspek ketinggian rohani menjadikan asbab turunnya bala kepada Malaysia. Namun demikian, pengarang memberi satu penyelesaian kepada khalayak apabila Malaysia kembali bangkit setelah 10 tahun gempa berlaku. Malah, gempa yang mengorbankan Profesor Afka telah menyatukan masyarakat Melayu di seluruh dunia. Kebangkitan masyarakat Melayu pascagempa 10 tahun lalu menjadi iktibar untuk masyarakat bangun dan membetulkan kesilapan terdahulu.

Menariknya, pertembungan antara Jarjis dan Barom memberi ruang untuk satu wacana tentang kemuliaan dan kehidupan. Jarjis yang mempunyai sifat negatif serta menjengkelkan akhirnya berubah sedikit demi sedikit dengan bantuan Barom yang menjadi citra pemuda penuh cita-cita dan tinggi akal budi. Sekali imbas, membaca "Kegawatan" mengingatkan kita pada sebuah cerpen tulisan Siti Zaleha Hashim tentang salji di Kuala Lumpur dan One Hundred Years of Solitude. Kekuatan cerpen ini terletak pada struktur penulisan yang luar daripada kebiasaan dan garapan kisah yang dipamerkan.

Sementara itu, khalayak pembaca mampu menyelami resah jiwa mergastua dan haiwan keseluruhannya. Meskipun berkisar pada kegelisahan dan aduan mergastua terhadap Tuan Khalifah Allah (manusia), cerpen "Manifesto Mergastua" ialah sindiran dan peringatan terhadap manusia yang sering mengabaikan tanggungjawab sebagai makhluk berakal terhadap haiwan. Dengan penulisan sudut pandangan orang pertama, cerpen ini menusuk kalbu para pencinta haiwan. Tanpa sedar, manusia terlalu angkuh dengan kemanusiaannya sehingga lupa akan peranannya terhadap haiwan di sekitaran. Penulis turut memasukkan beberapa kezaliman manusia yang dilakukan terhadap haiwan sejak zaman berzaman seperti berikut :

1. Paus St Thomas Aquinas mendakwa haiwan dan mergastua tidak punya jiwa dan hak maka boleh diperlakukan sesuka hati (2010:82).
2. Kenyataan Paus Pius IX bahawa menyeksa binatang bukanlah satu dosa.

Kumpulan cerpen ini menjadi landasan untuk menelusuri sejarah penulisan cerpen Faisal Tehrani. Selain menampilkan identiti sebagai pewacana dalam bercerita, kisah-kisah dalam "Muthupalaniappan", "Bulan Penuh di Saigon", dan "Muhammad Ulul Albab' ialah cerpen-cerpen kemanusiaan yang sangat dekat dengan kehidupan dan keadaan politik semasa.

Membaca kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu membawa pembaca meneroka satu ruang ilmu yang diolah dengan gaya penceritaan yang mampu menambah pengalaman dan pengetahuan pembaca. Buku kreatif terbitan Al-Ameen Serve Holding dijual dengan harga RM19.00. Sasaran khalayak buku ini sesuai kepada pencinta ilmu dan karya kreatif tanpa mengira peringkat usia,

Terima kasih kepada Zalila Isa yang memberikan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu untuk saya pinjam seumur hidup.

Selasa, 18 Januari 2011

KONFLIK KANAK-KANAK DALAM THE WHITE BALLOON

FILEM-FILEM IRAN tidak asing lagi dalam dunia perfileman antarabangsa. Meskipun terdapat banyak polemik mengenai Iran, karyawan seluruh dunia mengiktiraf kebolehan Iran dalam menerbitkan filem-filem bermutu tinggi. Kebanyakan filem Iran lebih mementingkan nilai dan isu yang cuba dibangkitkan berbanding aspek sinematografi yang lain. Dalam masa yang sama, filem-filem Iran turut dikenali dengan garapan naratif mudah tetapi menyimpan pemikiran tinggi untuk dihayati oleh khalayak yang aktif berfikir.

The White Balloon ialah filem yang diterbitkan pada tahun 1995. Filem ini diarahkan oleh Jafar Panahi dengan lakon layar oleh Abbas Kiarostami. Filem yang menggunakan latar masa satu jam sebelum Tahun Baru Iran ini ditunjangi oleh Aida Mohammadkhani sebagai Razieh, kanak-kanak berusia tujuh tahun. Hampir 98% filem ini mengangkat latar sebuah pasar di Tehran.

Lima minit pembukaan, filem ini memaparkan kegelisahan ibu mencari Razieh. Kesibukan pasar menampilkan watak-watak yang berkait rapat dengan konflik Razieh seterusnya. Dalam adegan ini, kemunculan watak seperti penjual belon, tentera Iran dan Devish berkembang pada plot seterusnya yang melibatkan konflik bersama Razieh. Setelah gagal mencari Razieh, ibu mendapat tahu Razieh di pertunjukan ular oleh penjual belon iaitu budak Afghan. Ibu pantas menarik tangan Razieh dan tergesa-gesa pulang kerana masa untuk persiapan menyambut Tahun Baru semakin singkat. Walau bagaimanapun, Razieh yang terpikat dengan seekor ikan emas di sebuah kedai ikan telah melengahkan ibu. Razieh meminta agar ibu membelikan dia ikan emas tersebut yang dijual dengan harga 100 toman. Ibu Razieh tidak menurut keinginan Razieh kerana mereka telah pun mempunyai ikan emas di rumah.

Adegan ini memperlihatkan khalayak akan kedegilan seorang anak kecil yang mahu kehendaknya dituruti. Razieh meneruskan agenda Razieh memujuk ibu sewaktu tiba di rumah namungagal. Dengan linangan air mata, Razieh memujuk Ali (abang Razieh) supaya memujuk ibu agar memenuhi kehendaknya. Ali, seorang yang menurut kata telah memujuk ibu dengan syarat Razieh mesti memberikan belon kepunyaannya kepada Ali. Walaupun Razieh tidak bersetuju dengan permintaan Ali, ingatannya terhadap ikan emas cantik yang dikehendaki membuatkan Razieh bersetuju.

Ibu memberikan 500 toman iaitu baki wang yang mereka miliki kepada Razieh untuk pergi membeli ikan emas. Razieh yang teruja berlari pantas menuju kedai menjual ikan. Tiba di kawasan pertunjukan ular, Razieh singgah sebentar dan melihat pertunjukan tersebut. Devish, pemilik ular yang meminta penonton memberikan wang untuk melihat ularnya telah mengambil wang 500 toman Razieh yang diletak di dalam bekas meletak ikan. Razieh merayu dan berjaya mendapatkan semula 500 tomannya setelah lama dipermainkan Devish.

Setelah mendapatkan semula wang, Razieh bergegas meninggalkan kawasan pertunjukan. Dia berhenti seketika di kedai kuih dan mendapati wang 500 tomannya telah tercicir sebaik-baik tiba di kedai ikan. Seorang Wanita tua membantu Razieh mencari wang yang tercicir. Wang tersebut ditemui dalam longkang kering bersebelahan kedai tukang jahit, En. Bachtiari. Sebelum meninggalkan Razieh, Wanita menasihati dia agar tidak keluar seorang diri. Di sini, penonton diberitahu akan sebab Razieh begitu ingin melihat pertunjukan ular. Keinginan Razieh bertitik tolak daripada larangan bahawa wanita dan gadis seperti Razieh tidak boleh berada di kawasan lelaki seperti itu.

Konflik Razieh menjadi semakin hebat apabila dia terpaksa berusaha mendapatkan semula 500 toman di dalam longkang berkenaan. Mr. Bachtiari yang berjanji akan membantu Razieh dengan Wanita tadi tidak memenuhi janjinya. Razieh pergi semula ke kedai ikan dan memberitahu penjual agar tidak menjual ikan emas yang ingin dibeli. Penjual mahu memberikan ikan emas yang dikehendaki Razieh dan membenarkan Razieh membayarnya pada hari kemudian. Namun, Razieh enggan menerimanya dan meminta penjual menyimpan ikan tersebut sehingga dia berjaya mendapatkan semula wangnya.

Setelah melalui pelbagai rintangan, Ali yang mencari Razieh akhirnya meminta bantuan seorang budak Afghan. Kayu budak Afghan digunakan untuk mengambil 500 toman tetapi gagal. Ali bergegas mencari gula-gula getah untuk dilekatkan pada hujung kayu agar dapat menarik 500 toman ke atas. Setelah wang itu berjaya ditarik, Razieh dan Ali terus ke kedai membeli ikan emas dan meninggalkan budak Afghan yang hanya melihat mereka. Filem ini diakhiri dengan adegan budak Afgan memegang kayu dengan hujung satu belon putih di hujung atasnya, suara pengulas radio mengumumkan Tahun Baru Iran melatari suasana itu.

Seperti yang disebutkan tadi, filem ini membawa naratif yang mudah pada sekali pandangan. Kisah berkisar pada watak utama iaitu Razieh dengan konfliknya untuk mendapatkan semula wang 500 toman yang jatuh ke dalam longkang. Sepanjang cerita Razieh untuk memiliki ikan emas, Razieh berdepan dengan pelbagai konflik :

1. Ibu yang enggan memenuhi permintaannya.
2. Dipermainkan oleh Devish dalam pertunjukan ular.
3. Penjual ikan menjual ikan dengann harga 200 toman sedangkan pada awalnya dengan harga 100 toman.
4. Wang 500 toman tercicir.
5. Liku Razieh untuk mendapatkan semula duit yang tercicir.

Tanpa sedar, filem ini turut membawa perbezaan sudut pandangan antara usia. Dalam hal ini, Razieh tidak mahu pulang ke rumah selagi wang 500 toman tidak ditemui kerana khuatir dimarahi ibu. Manakala, di pihak golongan dewasa seperti Wanita, En. Bachtiari dan Hossen, Razieh ditenangkan dan disuruh saja pulang ke rumah. Lebih penting, karya ini mengetengahkan daya kehendak yang kuat dalam diri kanak-kanak dan tanggapan kanak-kanak yang berasakan tindakan mereka benar belaka. Kesukaran yang dihadapi Razieh menjadi simbol kesusahan yang dihadapi rakyat di situ namun usaha membolehkan mereka terus berdiri
utuh.

Filem ini diakhiri dengan memberi tanda soal kepada khalayak tentang budak Afghan yang bertungkus-lumus membantu Ali dan Razieh tetapi terus ditinggalkan begitu sahaja, pada saat Tahun Baru tiba. Filem The White Balloon telah menerima beberapa anugerah antarabangsa :

1. Prix de la Camera d'Or, 1995 Cannes Film Festival
2. Gold Award, Tokyo International Film Festival, 1995
3. Best International Film, Sudbury Cinéfest, 1995
4. International Jury Award, São Paulo International Film Festival, 1995

Rabu, 12 Januari 2011

KAKI BAKAR : PERGOLAKAN JIWA & PANDANGAN HIDUP

KAKANG, seorang Jawa yang berasal dari Indonesia dan menjadi pelarian politik di Malaysia ialah subjek utama yang diketengahkan U-Wei melalui filem Kaki Bakar. Mempunyai semangat Jawa yang tinggi, Kakang berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri dengan norma hidup masyarakat Melayu di Malaysia. Semangat hidup dan pandangan dunia (worldview) yang berbeza melebarkan lagi jurang pemikiran antara Kakang dan masyarakat setempat. Kakang melihat masyarakat dalam latar karya tidak mempunyai semangat dalam memperjuangkan kehidupan sendiri. Masyarakat tempatan terlalu bergantung dengan kerajaan melalui subsidi sedangkan dia dan masyarakat di negara asalnya bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan. Perkara ini merupakan titik pemikiran U-Wei yang membawa fikir khalayak merenung ke dalam diri. Apakah masyarakat kita sememangnya terlalu manja? Apakah masyarakat kita lemah seperti yang ditanggap Kakang?
Lima minit pembukaan filem ini menunjukkan Kakang sedang menyimbah gasolin ke sebuah rumah papan. Dengan kemunculan bulan penuh di langit, sorotan terhadap Kesumo (anak bongsu Kakang) yang melihat perbuatan amuk bapaanya itu menjadi permulaan kepada perubahan yang bakal kelihatan terhadap diri Kesumo pada akhir cerita. Tanpa berlengah, karya yang penuh dengan nada serius dan tegas ini memunculkan adegan Kakang didakwa dalam sidang diketuai Tok Empat atas tuduhan merosakkan tanaman penduduk lain. Dalam masa yang sama, Kakang didakwa atas perbuatan membakar. Walau bagaimanapun, tuduhan itu digugurkan kerana ketiadaan bukti yang kukuh dari pihak Tok Empat. Sidang Tok Empat hanya menjadikan ucapan Kakang "kayu dengan getah boleh dibakar" sebagai alasan untuk menuduh Kakang. Dalam adegan itu jugalah khalayak diperkenalkan dengan Tulus Jaya Kesuma (Kesumo) yang diminta memberi bukti kesahihan tetapi gagal. Lantaran tu, Kakang diarahkan Tok Empat untuk keluar dari kampung tersebut.


Hukuman itu membawa Kakang dan keluarga yang terdiri daripada Paijah, Sumirah, Harjo, Kesumo dan isteri (lakonan Azizah Mahzan) ke sebuah kampung lain. Boleh dikatakan, Kakang membawa keluarganya hidup secara nomad apabila Sumirah memberitahu khalayak melalui dialognya bahawa sudah dua kali mereka berpindah-randah dalam tempoh setahun dan anak-anak yang tidak disekolahkan.

Dalam perjalanan Kakang ke rumah Tuan Kassim, dia telah memberi pesan panjang kepada Kesumo tentang keberanian masyarakat Jawa, tentang dia yang pernah menjadi kapten menentang Belanda dan tentang peranan lelaki dalam budaya Jawa. Usaha Kakang menjadikan Kesumo sebagai pendamping berbanding Harjo menyebabkan Kakang bersifat lebih berani. Hal ini dapat dilihat apabila Kakang memberikan kerja yang lebih berat kepada Kesumo berbanding Harjo yang hanya bertugas memelihara dua ekor kambing kepunyaan mereka.

"Mana Jawa kamu? Kau tak lama lagi akan jadi seorang orang. Kau harus sedar memilih keluarga sendiri. Tak ada keluarga tak ada ertinya."

Dialog berkenaan diucapkan Kakang terhadap Kesumo setelah mendapati Kesumo cuba berterus-terang kepada Tok Empat akan perbuatan Kakang membakar pula ialah eksploitasi tanpa sedar Kakang terhadap Kesumo. Memang benar Kakang sangat berpegang pada keberanian lelaki Jawa namun tanpa sedar, Kakang mendidik Kesumo untuk berdusta pada kebenaran.

Kebanggaan Kakang terhadap perjuangan dan sifat berdikari yang dimiliki cuba diwariskan kepada Kesumo. Dalam hal ini, khalayak melihat ketidakselarasan pemikiran yang cuba dibawa Kakang dalam konteks zaman dan kehidupan. Kakang mahu menyamakan dunia Kesumo dengan dunia kecilnya dahulu. Faktor perjuangan dan kemelaratan negara membuatkan dia perlu berdikari dan menjadi lebih berani, tidak seperti hidup kanak-kanak sebaya Kesumo :

Hidup harus berjiwa besar. Dulu disuruh merantau, cari ilmu, cari pengalaman. Ini semua tunggu disuap.Meskipun Kakang ialah protagonis, hal ini tidak menjadikan Kakang sebagai watak yang bersih dan ideal. Sebaliknya, U-Wei mencitrakan Kakang sebagai lelaki yang tinggi ego dan begitu percaya dengan pemikiran sendiri. Tindakan Kakang memijak permaidani yang dijemur di luar rumah Tuan Kassim merupakan punca masalah kepada rentetan masalah yang dihadapi Kakang selepas itu. Demikian juga, tindakan memasuki rumah Tuan Kassim dengan selipar dan naik ke tangga serambi rumah ialah imejan rasa tidak hormat Kakang terhadap masyarakat tempatan yang korupsi, lemah dan tidak kuat seperti dia.

Dalam memfokuskan inti cerita kepada permasalahan yang dihadapi Kakang bagi mempertahankan jati diri dan pemikiran Jawanya, U-Wei menegur kepincangan sistem sosial masyarakat tempatan. Kepincangan masyarakat dalam berurusan, kebobrokan dalam bekerja itu yang menjadikan masyarakat semakin lemah. Hal ini sepintas lalu dijelmakan melalui watak Tuan Kassim yang sebenarnya mempunyai skandal bersama Rose di Kuala Lumpur. Demi memenuhi janji dengan Rose, Tuan Kassim berbohong kepada isteri sendiri. Perkara ini dipandang sinis oleh Kakang yang mendengarnya ketika Tuan Kassim datang ke rumah dan memarahi Kakang kerana mengotorkan permaidani isterinya.

Setelah Tuan Kassim bertindak untuk memotong upah Kakang menoreh getahnya, Kakang membawa hal itu ke sidang Tok Empat untuk menuntut keadilan. Walau bagaimanapun, Kakang telah didapati bersalah dan Tok Empat memutuskan upah menoreh getah Kakang akan dipotong bagi memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak. Keputusan Tok Empat membuatkan Kakang merencana untuk membakar rumah Tuan Kassim. Pada kala itu, Kakang meminta Kesumo yang sedang mengaji Quran untuk membantunya. Walau bagaimanapun, keengganan Kesumo telah membangkitkan marahnya. Harjo disuruh menggantikan tugas Kesumo.
Adegan terakhir ini bersifat sangat dramatik. Tindakan Kesumo yang memberitahu niat buruk Kakang sehingga Tuan Kassim berjaya mengacu senapang ke kepalanya tidak menghalang Kakang untuk terus membakar. Barangkali, khalayak akan menyangka bahawa Tuan Kassim tidak akan menembak Kakang walaupun itulah hakikatnya dalam filem ini. Harjo menjadi saksi kematian Kakang.

Filem Malaysia yang pertama kali ditayangkan di Festival Filem Cannes di Perancis (1995) ini menjentik perasaan khalayak melalui perbezaan yang dibawa Kakang terhadap Kesumo dan Harjo. Walaupun berstatus abang kepada Kesumo, Harjo seolah-olah tidak mendapat kepercayaan Kakang. Kepercayaan tinggi Kakang terhadap Kesumo membibitkan dendam Harjo. Oleh sebab itulah Harjo menyuruh kakak-kakaknya menambat Kesumo apabila dia diberi kepercayaan Kakang untuk membantunya membakar rumah Tuan Kassim.

Sementara itu, Kakang yang memang berniat untuk menyerapkan budaya dan nilai Jawa dalam diri Tulus Jaya Kesumo mencapai misinya. Namun demikian, Kesumo tidak menerima budaya yang dibawa Kakang itu secara semberono. Kesumo tahu, perbuatan Kakang membakar bagi melempiaskan marah dan dendamnya adalah salah. Kesumo sedar bahawa perbuatannya menyembunyikan bukti ketika persidangan Tok Empat adalah salah. Kesumo sememangnya berani tetapi dengan cara dan pemikirannya tersendiri. Walaupun berusia muda, Ngasrizal Ngasri berjaya membawa watak Kesumo yang begitu mencabar ini dengan berjaya.

Oleh sebab tidak mahu Kakang terus bersalah, Kesumo telah memberitahu Tuan Kassim akan rencana Kakang untuk membakar rumahnya. Kesumo tahu, Tuan Kassim akan membunuh ayahnya namun bagi Kesumo itulah cara dia untuk menolong Kakang. Jauh di sudut hati, Kakang tetap seorang ayah yang berani dan hanya dialah yang paling memahami jiwa ayahnya itu. Pemikiran Kesumo terpancar jelas melalui monolognya sewaktu berlari meninggalkan rumah Tuan Kassim dalam gelap malam :

Dia orang berani. Dia dulu askar. Dia dulu kapten Indonesia. Dia lawan Belanda. Dia bukan prebet, tapi kapten. Sampai kena tembak kaki dia. Ayahku berani, lain dari orang sini. Dia sendiri kata, orang sini lembek, tahu minta subsidi. Dia kerja, dia kerja kuat untuk keluarga. Kerja kuat untuk mak, kakak, abang. Hanya Kesumo tahu dirinya. Kesumo nak tolong dia. Orang lain mana tolong dia. Semua tak tahu macam mana nak tolong dia.

U-Wei menghasilkan Kaki Bakar, adaptasi longgar daripada cerpen "The Barn Burning" oleh W. Faukner. Nuansa Jawa kuat melatari karya ini lantas menjadi keistimewaan Kaki Bakar. U-wei mencorak watak Kakang sebagai kaki bakar yang sangat berpegang pada prinsip hidup. Meskipun Kakang dimatikan wataknya setelah ditembak Tuan Kassim, senyuman dan tindakan Kakang membuang mancis sehingga menyemarakkan api membakar rumah ialah kejayaan dan kemenangan yang ditonjolkan Kakang terhadap prinsip yang dipegangnya. Pemikiran mantap yang diketengahkan U-Wei lewat Kaki Bakar menjadikan filem Malaysia ini menerima anugerah Filem Terbaik (kategori bahasa asing) dalam Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussels ke-17, 1995 (Belgium). Dua tahun kemudian, filem ini menerima Anugerah Khas Juri bagi 1st South-East Asian Biennial Film Festival, 1997 (Phnom Penh).