Rabu, 15 Disember 2010

SHAHNON AHMAD DALAM ESEI DAN KRITIKAN

MATTHEW ARNOLD dalam The Function of Critism at the Present Time menyifatkan kritikan bukanlah satu jalan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, kritikan adalah satu jalan untuk menganalisis sesebuah karya sasterawan dengan cara yang sistematik dan beralasan. Dalam dunia kesusasteraan, kritikan mempunyai peranan yang penting dalam memberi penjelasan akan sesebuah karya yang dihasilkan sasterawan. Kritikan berfungsi untuk mendekatkan jarak antara pembaca dengan karya, membetulkan salah persepsi antara pembaca dengan karya dan karyawan serta memberi ruang kepada pembaca aktif untuk melihat aspek dalaman sesebuah karya. Hal ini kerana, tidak semua pembaca mampu melihat aspek dalaman dan gagasan pemikiran pengarang sekiranya pembaca hanya dapat melihat dan membaca lapisan awal karya semata-mata. Dengan bantuan kritikan, pembaca akan dapat meneliti dan menganalisis setiap inci perkara yang dibangkitkan pengarang dalam karya yang dihasilkan.

Atas faktor kepentingan kritikan dalam lapangan kesusasteraan, usaha pihak-pihak bertanggungjawab untuk menghimpunkan segala esei dan kritikan mengenai sasterawan dan karya-karya mereka adalah sangat penting. Usaha ini akan menyumbang manfaat yang besar kepada industri sastera negara. Dalam masa yang sama, hal ini akan mendekatkan khalayak dengan karya yang secara tidak langsung mengangkat martabat sesebuah karya sama ada di peringkat nasional mahupun supranasional.

Buku Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 ini menghimpunkan 23 buah esei dan kritikan mengenai Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Esei dan kritikan yang terhimpun dalam buku ini ditulis dan disumbangkan oleh para pengkritik yang terkemuka dalam lapangan kritikan sastera negara seperti A. Teeuw, Umar Junus, Ungku Maimunah, Faizal Musa dan Sohaimi Abdul Aziz. Buku yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar ini dilihat sebagai langkah permulaan dalam menghimpunkan perbincangan mengenai Shahnon Ahmad dan karya-karya beliau. Antara karya beliau yang disentuh dalam buku ini ialah Rentong, Perdana, Patriarch, Sampah, Seluang Menodak Baung, Srengenge, Kemelut, Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda dan Tunggul-tunggul Gerigis.



Permulaan buku ini menampilkan tulisan Mohd Yusof Hasan berjudul "Riwayat Hidup Shahnon Ahmad". Bersesuaian dengan judulnya, esei ini memperincikan perihal peribadi dan biodata Sasterawan Negara ke-2 yang dinobatkan pada tahun 1982. Tulisan ini mendedahkan khalayak pembaca akan kehidupan kedesaan, keluarga dan pendidikan Shahnon Ahmad. Beliau yang merupakan anak kedua dan bongsu yang lahir pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah. Anak kepada pasangan Haji Ahmad dan Hajah Kelsum ini pada awalnya mendapat pendidikan Inggeris dan kelulusan gred ketiga dalamm Sijil Persekolahan Senior Cambridge. Meskipun dikenali sebagai seorang yang pemalu dan pendiam, Shahnon sering menunjukkan bakatnya dalam seni lakon yang berunsur jenaka. Unsur jenaka yang ada dalam diri beliau itulah yang membawa beliau masuk ke ruang dunia sastera.

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) masih dianggap sebagai mahakarya Shahnon Ahmad. Karya yang mengetengahkan pertembungan antara manusia dengan alam ini sangat popular dan terus menjadi perhatian para pengkritik untuk menyelongkar ruang terdalamnya. Kisah kehidupan keluarga Lahuma di Kampung Banggul Derdap yang menyayat hati akan sering menjadi ingatan para pembacanya. Kegilaan Jeha pascakematian Lahuma dan susah payah Sanah meneruskan kehidupan usai kematian Lahuma dan kegilaan Jeha sering dianggap sebagai bala dan malapetaka bertimpa-timpa yang dberikan Shahnon terhadap keluarga Lahuma. Sekali pandang, karya dengan pengulangan penderitaan Lahuma hingga diwarisi Sanah seolah-olah gambaran betapa kehidupan manusia itu hanya dihujani dengan bala daripada Tuhan. Sesetengah pihak berpendapat mahakarya Shahnon Ahmad ini sebagai pesimis dan tidak menyumbang kepada pembangunan insan.

Walau bagaimanapun, kritikan yang ditulis oleh Ungku Maimunah dengan judul "Ranjau Sepanjang Jalan: Bacaan Ala Fabel" menjawab persepsi khalayak yang menganggap Ranjau Sepanjang Jalan sebagai negatif dan pesimis. Menurut Ungku Maimunah, kebanyakan kritikan yang menampilkan kelemahan RSJ mungkin timbul lantaran soalan-soalan yang diajukan itu bertolak daripada pendekatan dan perspektif yang bercanggah dengan skema dan matlamat akhir RSJ itu sendiri. Atas dasar itulah karya ini dianggap sebagai tidak logik serta tidak munasabah. Namun demikian, pembaca buku ini akan mendapat satu sudut pandangan yang lebih bernas dan mampu melihat isu sebenar yang dibangkitkan RSJ sekali gus mendapati salah persepsi kepesimisan dan negatifnya karya ini. Melalui "Ranjau Sepanjang Jalan: Satu Bacaan Ala Fabel", pembaca akan dapat memahami hakikat pemikiran retrospektif Shahnon Ahmad.

Pengulangan cerita dan bala yang menimpa Lahuma, Jeha dan Sanah adalah stategi pengukuhan Shahnon Ahmad dengan paparan falsafah "Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla" yang diulang sebanyak empat kali. Antara esei dan kritikan yang turut menarik untuk diambil perhatian ialah "Srengenge: Simbolisme Konflik Nilai" dan "Seluang Menodak Baung: Rakyat dan 'Ubi Gadung'" oleh Mohd Yusof Hasan, "Novel Shit: Satu Bacaan Satira " oleh Faizal Musa dan "Antara yang Terpapar dan Terselindung di Sebalik Tok Guru" oleh Mohd Shokkeri Haji Ismail.

Demikianlah kepentingan buku ini untuk dimiliki oleh para pelajar jurusan sastera, pembaca aktif yang mahu melihat lapisan demi lapisan karya Shahnon Ahmad dan peminat dunia kritikan yang ingin menambah ilmu pengetahuan baik dari aspek pemahaman terhadap aplikasi teori mahupun pendekatan dan pemahaman terhadap pemikiran sasterawan negara yang cukup prolifik ini juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan