Jumaat, 24 Disember 2010

MATINYA SEORANG PATRIOT: FILEM MERENTAS ZAMAN

"BAPA mahu kamu menghayati apabila Tuah berkata "kesetiaan tidak boleh dipersoalkan". Bapa juga mahu kamu semua mengerti apabila Jebat berkata "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah"." Frasa yang diujarkan Haji Shaaban (lakonan Mustafa Maarof) melalui adegan dia memberi pesanan kepada lima anak lelakinya dalam arena persilatan ialah falsafah yang menjadi landas perjalanan filem ini. "Matinya Seorang Patriot" ditayangkan pada tahun 1984 terbitan ZHA Film Production Sdn. Bhd.

Permulaan kisah ini adalah kematian Haji Shaaban. Adegan pengebumian Haji Shaaban dan ratapan isteri serta anak-anaknya. Sebagai seorang ketua persatuan politik dan penghulu Kampung Tualang yang begitu disegani dan dihormati, kematian Haji Shaaban yang begitu berpengaruh sewaktu hayatnya membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh politiknya dalam Melati Holdings untuk merampas kepercayaan masyarakat terhadap Haji Shaaban. Ahli Lembaga Pengarah bersepakat untuk memujuk lima anak syarikat Melati Holdings yang dipegang Haji Shaaban sebelum itu agar beralih kepada mereka bertiga (Yusoff, Jamali dan Kadeem).

Sebab akan kematian Haji Shaaban hanya diketahui khalayak penonton apabila watak Safuan (Zain Zulkifli) memberitahu ibunya betapa dia dan adik-adiknya mengetahui akan sebab kematian ayahnya. Adegan ini jugalah yang membongkar rahsia ibu mereka. Dato' Yusoff yang dilanda rasa takut setelah Jamali dan Kadeem mati dibunuh secara misteri akhirnya pergi ke rumah Safuan untuk bertemu dan mengakui kesalahannya kepada isteri Haji Shaaban. Melalui Dato' Yusoff, Jamali yang mempunyai maklumat mengenai sejarahnya sebagai model lucah kepada seorang Inggeris sebelum berkahwin dengan Haji Shaaban ialah alat paling berkesan untuk menjatuhkan Haji Shaaban. Kadeem dan Jamali yang menemui Haji Shaaban dan membongkar rahsia isterinya itu menjadi terkejut lalu diserang sakit jantung yang membawa kematian.

Safuan, Saiful, Sabri dan dua saudara lagi telah tekad untuk menuntut bela atas kematian Haji Shaaban. Saiful yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Syarikat Leong telah mengambil peluang untuk menjadi dekat dengann Yohanis, anak tunggal Dato' Yusoff sebagai memenuhi agendanya membalas dendam. Walau bagaimanapun, Saiful (Eman Manan) telah jatuh cinta dengan Yohanis sekali gus melanggar janjinya dengan saudara lain untuk melunaskan dendam mereka.

Di antara permulaan dan pengakhiran naratif, beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh individu yang mahir dengan silat telah membuatkan khalayak menyangka bahawa Saiful yang melakukannya. Pembunuhan Jamali dan Kadeem dengan kejam menimbulkan persoalan. Hubungan cinta Saiful dengan Yohanis seolah-olah menjadi wadah penyampaian secara samar bahawa mangsa seterusnya yang akan dibunuh oleh Saiful ialah Dato' Yusoff, ayah Yohanis. Namun demikian, khalayak akhirnya diberitahu bahawa Saiful tidak langsung termasuk dalam segala urusan pembunuhan yang menimpa Jamali dan Kadeem. Sebaliknya, Safuan dan empat saudara lain yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan. Keempat-empat mereka menyerah kepada polis dan bersetuju bahawa Yohanis tidak bersalah dan tidak boleh diapa-apakan. Yohanis dijadikan sandaran agar menyayangi dan menjaga Saiful dengan baik.

Selain membawa kisah dendam, perjuangan menuntut bela, filem yang ditulis dan diarahkan oleh Rahim Razali ini mengangkat isu politik dan budaya yang kekal menjadi topik perbincangan sepanjang zaman. Kepincangan politik yang wujud dalam Melati Holdings tercitra melalui imejan rasuah ahli lembaga pengarah, kedunguan Dato' Yusof sebagai pengerusi yang gagal memimpin ahli lembaga pengarah serta isu rasuah yang dilakukan Jamali dalam 'membeli' kepercayaan lima anak syarikat Melati Holdings. Dalam masa yang sama, "Matinya Seorang Patriot" dengan lantang mengutarakan perbincangan kebudayaan dan kesenian tradisional / tempatan yang seolah-olah terpinggir akibat daripada keghairahan golongan yang begitu mahu mengangkat nilai budaya universal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Melalui watak Hasnol, kebudayaan tradisional dianggap sebagai mundur. Bagi menjayakan sesebuah persembahan, budaya atau seni universal itu perlu digabungjalinkan agar seni tradisi yang dibawa tidak memperlihatkan unsur perkauman. Fikiran Hasnol ini ditentang oleh Saiful dan Yohanis yang menganggap seni tradisional itu telah pun bersifat universal apabila contoh tarian zapin dan inang yang diberikan sebenarnya telah pun menerima pengaruh dari Parsi mahupun Arab.

Selain naratif dan pemikiran yang dibawa, filem ini juga menarik apabila berjaya bermain dengan visual dalam menyampaikan makna yang tersirat. Perlambangan-perlambangan dalam setiap adegan yang dipaparkan memberi bayangan kepada khalayak untuk berfikir. Dari aspek penggunaan dialog, jelas sekali filem yang pernah memenangi tujuh anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) ini memanfaatkan penggunaan dialog yang singkat namun padat. Hal ini sejajar dengan fungsi layar putih itu sendiri yang seharusnya lebih bermain dengan unsur visual sebagai penggerak cerita dan bukanlah dialog semata-mata seperti yang wujud dalam kebanyakan filem kini. Permainan psikologi dan gambaran awal tentang pembunuhan melalui watak ibu kepada lima bersaudara sangat menarik walaupun jarang dilakukan.

Anugerah yang dimenangi "Matinya Seorang Patriot"
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Jurukamera Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pengarah Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Penyunting Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Lakon layar Terbaik

Meskipun filem ini mempunyai naratif, sinematografi dan landas penggayaan yang menarik, sisi kaca mata seorang Islam tentunya tidak dapat menerima sebarang adegan dan paparan yang boleh disifatkan sebagai melampau. Adegan cinta Yohanis dan Saiful, adegan kekasih gelap Jamali dalam bilik mandi ialah adegan-adegan yang menjatuhkan karya ini untuk dilihat sebagai terbaik secara keseluruhannya apabila diadunkan dengan nilai dan falsafah pemikiran Melayu-Islam yang membugar dalam karya ini. Walau bagaimanapun, kecemerlangan karya ini dalam mengangkat wacana besar dengan aspek penghasilan yang bermutu tidak dapat dinafikan. Sungguhpun karya ini sudah berusia lebih daripada dua dasawarsa, garapan dan inti di dalamnya masih wajar dan bersifat merentas zaman.

2 ulasan:

  1. wah, sungguh lengkap hasil kajian anda...
    tahniah ;-)p

    BalasPadam
  2. Asrul, bukan kajian lengkap pun. Sekadar perkongsian pandangan saja. Chaiyok Manusia Buraung!

    BalasPadam