Rabu, 29 Disember 2010

DIA YANG MENGEJAR

(Detik Rakaman Malam Tahun Baru)
Waktu berdiri di pintu perpisahan
kami melihat dia di sahara buana yang
berlari mendekat, cuba
menggoda batin baru dalam wadi keinsafan.
Ya, dia itu kami lihat berlari
-laju dan penuh emosi-
bagai gergasi safih yang berlumba mendakap rakus
atma baru kami.
Ketika disapa pendeta yang melihat kebobrokan tingkahnya, dia berkata riak
“Ah, jangan kautanya apa-apa. Yang kuperlu ialah mereka.”
Sambil telunjuk angkuhnya menuding ke arah kami yang
tetap tegar ingin menutup gapura masa, bersama-sama.
“Kami tidak mahu ketemu dia lagi, kami ingin menyambut hari baru
dengan jiwa pendosa insaf.”
Tetapi si gergasi safih tidak mahu mendengar
langkah diatur dengan derap berhawa.
Dia berhenti tepat di hadapan kami
memandang dengan sayu yang meruntun hati
memohon dengan simpati agar dia tidak kami biar sepi.
Kami memandangnya dengan biasa
“Kauhanya sejarah silam yang pernah
membuat kami terbungkam dalam pelukan noda dan tawa dunia.
Atas segala itu, memang kauhanya perlu menjadi sejarah
yang tidak akan kami bongkar dalam peri hidup kami,
walau seribu tahun lagi.”
WARDAH MUNIRAH
Fakulti Penulisan, ASWARA
Berita Minggu, Disember 2009

Jumaat, 24 Disember 2010

MATINYA SEORANG PATRIOT: FILEM MERENTAS ZAMAN

"BAPA mahu kamu menghayati apabila Tuah berkata "kesetiaan tidak boleh dipersoalkan". Bapa juga mahu kamu semua mengerti apabila Jebat berkata "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah"." Frasa yang diujarkan Haji Shaaban (lakonan Mustafa Maarof) melalui adegan dia memberi pesanan kepada lima anak lelakinya dalam arena persilatan ialah falsafah yang menjadi landas perjalanan filem ini. "Matinya Seorang Patriot" ditayangkan pada tahun 1984 terbitan ZHA Film Production Sdn. Bhd.

Permulaan kisah ini adalah kematian Haji Shaaban. Adegan pengebumian Haji Shaaban dan ratapan isteri serta anak-anaknya. Sebagai seorang ketua persatuan politik dan penghulu Kampung Tualang yang begitu disegani dan dihormati, kematian Haji Shaaban yang begitu berpengaruh sewaktu hayatnya membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh politiknya dalam Melati Holdings untuk merampas kepercayaan masyarakat terhadap Haji Shaaban. Ahli Lembaga Pengarah bersepakat untuk memujuk lima anak syarikat Melati Holdings yang dipegang Haji Shaaban sebelum itu agar beralih kepada mereka bertiga (Yusoff, Jamali dan Kadeem).

Sebab akan kematian Haji Shaaban hanya diketahui khalayak penonton apabila watak Safuan (Zain Zulkifli) memberitahu ibunya betapa dia dan adik-adiknya mengetahui akan sebab kematian ayahnya. Adegan ini jugalah yang membongkar rahsia ibu mereka. Dato' Yusoff yang dilanda rasa takut setelah Jamali dan Kadeem mati dibunuh secara misteri akhirnya pergi ke rumah Safuan untuk bertemu dan mengakui kesalahannya kepada isteri Haji Shaaban. Melalui Dato' Yusoff, Jamali yang mempunyai maklumat mengenai sejarahnya sebagai model lucah kepada seorang Inggeris sebelum berkahwin dengan Haji Shaaban ialah alat paling berkesan untuk menjatuhkan Haji Shaaban. Kadeem dan Jamali yang menemui Haji Shaaban dan membongkar rahsia isterinya itu menjadi terkejut lalu diserang sakit jantung yang membawa kematian.

Safuan, Saiful, Sabri dan dua saudara lagi telah tekad untuk menuntut bela atas kematian Haji Shaaban. Saiful yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Syarikat Leong telah mengambil peluang untuk menjadi dekat dengann Yohanis, anak tunggal Dato' Yusoff sebagai memenuhi agendanya membalas dendam. Walau bagaimanapun, Saiful (Eman Manan) telah jatuh cinta dengan Yohanis sekali gus melanggar janjinya dengan saudara lain untuk melunaskan dendam mereka.

Di antara permulaan dan pengakhiran naratif, beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh individu yang mahir dengan silat telah membuatkan khalayak menyangka bahawa Saiful yang melakukannya. Pembunuhan Jamali dan Kadeem dengan kejam menimbulkan persoalan. Hubungan cinta Saiful dengan Yohanis seolah-olah menjadi wadah penyampaian secara samar bahawa mangsa seterusnya yang akan dibunuh oleh Saiful ialah Dato' Yusoff, ayah Yohanis. Namun demikian, khalayak akhirnya diberitahu bahawa Saiful tidak langsung termasuk dalam segala urusan pembunuhan yang menimpa Jamali dan Kadeem. Sebaliknya, Safuan dan empat saudara lain yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan. Keempat-empat mereka menyerah kepada polis dan bersetuju bahawa Yohanis tidak bersalah dan tidak boleh diapa-apakan. Yohanis dijadikan sandaran agar menyayangi dan menjaga Saiful dengan baik.

Selain membawa kisah dendam, perjuangan menuntut bela, filem yang ditulis dan diarahkan oleh Rahim Razali ini mengangkat isu politik dan budaya yang kekal menjadi topik perbincangan sepanjang zaman. Kepincangan politik yang wujud dalam Melati Holdings tercitra melalui imejan rasuah ahli lembaga pengarah, kedunguan Dato' Yusof sebagai pengerusi yang gagal memimpin ahli lembaga pengarah serta isu rasuah yang dilakukan Jamali dalam 'membeli' kepercayaan lima anak syarikat Melati Holdings. Dalam masa yang sama, "Matinya Seorang Patriot" dengan lantang mengutarakan perbincangan kebudayaan dan kesenian tradisional / tempatan yang seolah-olah terpinggir akibat daripada keghairahan golongan yang begitu mahu mengangkat nilai budaya universal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Melalui watak Hasnol, kebudayaan tradisional dianggap sebagai mundur. Bagi menjayakan sesebuah persembahan, budaya atau seni universal itu perlu digabungjalinkan agar seni tradisi yang dibawa tidak memperlihatkan unsur perkauman. Fikiran Hasnol ini ditentang oleh Saiful dan Yohanis yang menganggap seni tradisional itu telah pun bersifat universal apabila contoh tarian zapin dan inang yang diberikan sebenarnya telah pun menerima pengaruh dari Parsi mahupun Arab.

Selain naratif dan pemikiran yang dibawa, filem ini juga menarik apabila berjaya bermain dengan visual dalam menyampaikan makna yang tersirat. Perlambangan-perlambangan dalam setiap adegan yang dipaparkan memberi bayangan kepada khalayak untuk berfikir. Dari aspek penggunaan dialog, jelas sekali filem yang pernah memenangi tujuh anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) ini memanfaatkan penggunaan dialog yang singkat namun padat. Hal ini sejajar dengan fungsi layar putih itu sendiri yang seharusnya lebih bermain dengan unsur visual sebagai penggerak cerita dan bukanlah dialog semata-mata seperti yang wujud dalam kebanyakan filem kini. Permainan psikologi dan gambaran awal tentang pembunuhan melalui watak ibu kepada lima bersaudara sangat menarik walaupun jarang dilakukan.

Anugerah yang dimenangi "Matinya Seorang Patriot"
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Jurukamera Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pengarah Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Penyunting Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Lakon layar Terbaik

Meskipun filem ini mempunyai naratif, sinematografi dan landas penggayaan yang menarik, sisi kaca mata seorang Islam tentunya tidak dapat menerima sebarang adegan dan paparan yang boleh disifatkan sebagai melampau. Adegan cinta Yohanis dan Saiful, adegan kekasih gelap Jamali dalam bilik mandi ialah adegan-adegan yang menjatuhkan karya ini untuk dilihat sebagai terbaik secara keseluruhannya apabila diadunkan dengan nilai dan falsafah pemikiran Melayu-Islam yang membugar dalam karya ini. Walau bagaimanapun, kecemerlangan karya ini dalam mengangkat wacana besar dengan aspek penghasilan yang bermutu tidak dapat dinafikan. Sungguhpun karya ini sudah berusia lebih daripada dua dasawarsa, garapan dan inti di dalamnya masih wajar dan bersifat merentas zaman.

Rabu, 15 Disember 2010

SHAHNON AHMAD DALAM ESEI DAN KRITIKAN

MATTHEW ARNOLD dalam The Function of Critism at the Present Time menyifatkan kritikan bukanlah satu jalan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, kritikan adalah satu jalan untuk menganalisis sesebuah karya sasterawan dengan cara yang sistematik dan beralasan. Dalam dunia kesusasteraan, kritikan mempunyai peranan yang penting dalam memberi penjelasan akan sesebuah karya yang dihasilkan sasterawan. Kritikan berfungsi untuk mendekatkan jarak antara pembaca dengan karya, membetulkan salah persepsi antara pembaca dengan karya dan karyawan serta memberi ruang kepada pembaca aktif untuk melihat aspek dalaman sesebuah karya. Hal ini kerana, tidak semua pembaca mampu melihat aspek dalaman dan gagasan pemikiran pengarang sekiranya pembaca hanya dapat melihat dan membaca lapisan awal karya semata-mata. Dengan bantuan kritikan, pembaca akan dapat meneliti dan menganalisis setiap inci perkara yang dibangkitkan pengarang dalam karya yang dihasilkan.

Atas faktor kepentingan kritikan dalam lapangan kesusasteraan, usaha pihak-pihak bertanggungjawab untuk menghimpunkan segala esei dan kritikan mengenai sasterawan dan karya-karya mereka adalah sangat penting. Usaha ini akan menyumbang manfaat yang besar kepada industri sastera negara. Dalam masa yang sama, hal ini akan mendekatkan khalayak dengan karya yang secara tidak langsung mengangkat martabat sesebuah karya sama ada di peringkat nasional mahupun supranasional.

Buku Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 ini menghimpunkan 23 buah esei dan kritikan mengenai Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Esei dan kritikan yang terhimpun dalam buku ini ditulis dan disumbangkan oleh para pengkritik yang terkemuka dalam lapangan kritikan sastera negara seperti A. Teeuw, Umar Junus, Ungku Maimunah, Faizal Musa dan Sohaimi Abdul Aziz. Buku yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar ini dilihat sebagai langkah permulaan dalam menghimpunkan perbincangan mengenai Shahnon Ahmad dan karya-karya beliau. Antara karya beliau yang disentuh dalam buku ini ialah Rentong, Perdana, Patriarch, Sampah, Seluang Menodak Baung, Srengenge, Kemelut, Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda dan Tunggul-tunggul Gerigis.



Permulaan buku ini menampilkan tulisan Mohd Yusof Hasan berjudul "Riwayat Hidup Shahnon Ahmad". Bersesuaian dengan judulnya, esei ini memperincikan perihal peribadi dan biodata Sasterawan Negara ke-2 yang dinobatkan pada tahun 1982. Tulisan ini mendedahkan khalayak pembaca akan kehidupan kedesaan, keluarga dan pendidikan Shahnon Ahmad. Beliau yang merupakan anak kedua dan bongsu yang lahir pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah. Anak kepada pasangan Haji Ahmad dan Hajah Kelsum ini pada awalnya mendapat pendidikan Inggeris dan kelulusan gred ketiga dalamm Sijil Persekolahan Senior Cambridge. Meskipun dikenali sebagai seorang yang pemalu dan pendiam, Shahnon sering menunjukkan bakatnya dalam seni lakon yang berunsur jenaka. Unsur jenaka yang ada dalam diri beliau itulah yang membawa beliau masuk ke ruang dunia sastera.

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) masih dianggap sebagai mahakarya Shahnon Ahmad. Karya yang mengetengahkan pertembungan antara manusia dengan alam ini sangat popular dan terus menjadi perhatian para pengkritik untuk menyelongkar ruang terdalamnya. Kisah kehidupan keluarga Lahuma di Kampung Banggul Derdap yang menyayat hati akan sering menjadi ingatan para pembacanya. Kegilaan Jeha pascakematian Lahuma dan susah payah Sanah meneruskan kehidupan usai kematian Lahuma dan kegilaan Jeha sering dianggap sebagai bala dan malapetaka bertimpa-timpa yang dberikan Shahnon terhadap keluarga Lahuma. Sekali pandang, karya dengan pengulangan penderitaan Lahuma hingga diwarisi Sanah seolah-olah gambaran betapa kehidupan manusia itu hanya dihujani dengan bala daripada Tuhan. Sesetengah pihak berpendapat mahakarya Shahnon Ahmad ini sebagai pesimis dan tidak menyumbang kepada pembangunan insan.

Walau bagaimanapun, kritikan yang ditulis oleh Ungku Maimunah dengan judul "Ranjau Sepanjang Jalan: Bacaan Ala Fabel" menjawab persepsi khalayak yang menganggap Ranjau Sepanjang Jalan sebagai negatif dan pesimis. Menurut Ungku Maimunah, kebanyakan kritikan yang menampilkan kelemahan RSJ mungkin timbul lantaran soalan-soalan yang diajukan itu bertolak daripada pendekatan dan perspektif yang bercanggah dengan skema dan matlamat akhir RSJ itu sendiri. Atas dasar itulah karya ini dianggap sebagai tidak logik serta tidak munasabah. Namun demikian, pembaca buku ini akan mendapat satu sudut pandangan yang lebih bernas dan mampu melihat isu sebenar yang dibangkitkan RSJ sekali gus mendapati salah persepsi kepesimisan dan negatifnya karya ini. Melalui "Ranjau Sepanjang Jalan: Satu Bacaan Ala Fabel", pembaca akan dapat memahami hakikat pemikiran retrospektif Shahnon Ahmad.

Pengulangan cerita dan bala yang menimpa Lahuma, Jeha dan Sanah adalah stategi pengukuhan Shahnon Ahmad dengan paparan falsafah "Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla" yang diulang sebanyak empat kali. Antara esei dan kritikan yang turut menarik untuk diambil perhatian ialah "Srengenge: Simbolisme Konflik Nilai" dan "Seluang Menodak Baung: Rakyat dan 'Ubi Gadung'" oleh Mohd Yusof Hasan, "Novel Shit: Satu Bacaan Satira " oleh Faizal Musa dan "Antara yang Terpapar dan Terselindung di Sebalik Tok Guru" oleh Mohd Shokkeri Haji Ismail.

Demikianlah kepentingan buku ini untuk dimiliki oleh para pelajar jurusan sastera, pembaca aktif yang mahu melihat lapisan demi lapisan karya Shahnon Ahmad dan peminat dunia kritikan yang ingin menambah ilmu pengetahuan baik dari aspek pemahaman terhadap aplikasi teori mahupun pendekatan dan pemahaman terhadap pemikiran sasterawan negara yang cukup prolifik ini juga.

JANGAN, JANGAN


Jangan berkata jika hanya ada dusta.
Jangan berjanji jika ada rencana untuk mungkiri.
Jangan berharap jika sudah nampak lorong gelap.
Jangan menanti jika tahu tiada akan kembali.

Ahad, 12 Disember 2010

SURAT SAYA UNTUK ANDA

SALAM BUAT ANDA,

Buat Anda yang diingati dalam doa dan hati. Semoga Anda sentiasa bahagia dan diredai Ilahi. Hanya bicara biasa dari sekeping hati setelah lama merenung bulan di tengah malam ini. Di malam Disember ini. Saya teringat akan Anda. Terkenang peristiwa Disember yang lalu.

Apakah Anda masih ingat Disember yang lalu? Pada satu petang, ketika kita mahu pulang. Saya tidak mengenali Anda tetapi Anda mengenali saya. Anda seorang yang peramah, mesra dan mudah dibawa bicara. Dalam ramah Anda itu, ada tegas yang tidak boleh diusik. Ya, di dalam lif itu. Di hujung Disember itu, anda menegur saya yang tergesa-gesa masuk dengan sekaki payung yang sentiasa menjadi teman kalau-kalau hujan mahu mengiringi saya pulang.

Anda memanggil saya dengan nama pena itu sedang saya berdiri benar-benar di depan pintu lif. Membelakangi Anda. Saya menoleh dan cuba mengenali Anda tetapi memang benar, saya tidak kenal akan Anda ketika itu. Saya tertanya-tanya malah bertanya berkali-kali kepada Anda "Siapa ya? Kita kenal?", tetapi Anda hanya tersenyum simpul dan enggan menjawab. Anda menyebut pula laman maya saya itu.

Oh, Anda sengaja memancing rasa ingin tahu saya tentang Anda apabila menyebut nama laman maya saya ini. Sekali lagi saya bertanya "Siapa ya?" Penuh teruja untuk mengenali Anda. Akan tetapi, Anda hanya senyum dan masih enggan memperkenalkan diri. Sebaik-baik lif terbuka, Anda keluar. Saya juga keluar. Anda melambai ke arah saya yang masih menanti dengan sekaki payung itu kalau-kalau Anda ingin memperkenalkan diri. Saya mencuri pandang tanda nama Anda, akan tetapi Anda segera menutupnya. Ah, Anda sengaja memancing pertanyaan saya yang saya bawa pulang hingga ke rumah.


Anda yang diingati,

Itu detik perkenalan kita. Setahun yang lalu, dalam Disember yang lalu. Allah mempertemukan kita dengan cara yang direncana-Nya. Terima kasih kepada-Nya kerana mempertemukan saya dengan Anda. Meski sentiasa berjarak, banyak perkara yang saya timba daripada Anda.

Anda yang diingati,

Maaf andai warkah maya ini tidak anda senangi. Seperti kata tadi, saya melihat bulan di tengah malam ini dan segera teringat akan Disember yang telah berlalu pergi setahun lalu . Anda suka membaca dan pantas membaca. Anda membaca saya yang punya tingkap begitu kecil. Anda mengetuknya perlahan, dan lantas saya membuka sedikit demi sedikit. Menjenguk keluar dan melihat Anda berdiri sambil tersenyum. Anda, lantas saya jemput masuk dengan hati gembira. Pernah saya berasa sedikit terguris apabila mengetahui sesuatu yang Anda lakukan untuk saya, tanpa pengetahuan saya. Cuba saya menjarakkan diri daripada Anda namun saya tahu yang salah ialah saya, salah mentafsir bantuan Anda. Saya metah muda dan begitu mudah rajuknya. Saya diam seketika. Namun, keprihatinan Anda membuang rasa yang tidak indah itu dan lantas kita bersama menjejak awan biru. Maafkanlah saya. Anda dan saya, ditakdirkan bertemu. Tanpa kita rancang. Tanpa pernah saya duga.

Malam yang dingin ini,

Setahun itu telah berlalu, saya memang suka mengingati detik-detik penting seperti itu. Sampai bila-bila, saya tidak akan lupa.

Kepada Anda, saya ucapkan terima kasih kerana sudi membuka ruang perkenalan yang indah ini. Mata Anda bagaikan helang, persis mahu melihat segala isi di dalam. Selalunya, saya mengelak untuk memandang mata helang Anda itu namun saya tetap suka dan gembira melihat dan bertemu dengan Anda. Hikmah bicara Anda sentiasa memberi sesuatu walau ada ketika berat untuk saya terima. Bukan salah Anda, tetapi saya yang belum mampu terima.

Buat Anda yang diingati.

Semoga Anda bahagia dan diredai Ilahi. Terima kasih atas perkenalan ini dan maafkan saya andai ada kekurangan dan kesalahan saya sepanjang setahun perkenalan ini. Terima kasih, atas huluran ukhwah ini. Tiada apa-apa yang mampu saya beri kepada Anda tetapi Anda sentiasa memberi kepada saya. Maafkan saya, andai saya pernah menganggu harmoni jiwa dan bahagia masa Anda. Semoga Allah memberkati Anda sentiasa. Terima kasih, Anda.

Yang benar,

saya

Sabtu, 11 Disember 2010

BULAN MALAM



Bulan suram di tengah malam
ada debar di dada kelam
sejenak kabur ditelan bayang
Bulan suram kembali terang.

Selasa, 7 Disember 2010

SIAPA YANG TAK PERNAH MENANGIS

Siapa yang tidak pernah menangis
di hujung setiap ketawa dan lupa.

Siapakah di antara kita
yang memalingkan muka
ketika mendengar kalimah Tuhan?

Banyak bakti yang dapat diberi
sepanjang hidup yang sesingkat ini
lautan manusia berombakkan nafsu
kebenaran terdampar di pantai kecewa.

Air mata seperti mutiara
apakah itu rasa keinsafan
rintihan dari hati yang rindu
apakah itu hakikat cintamu?

Lagu: Zubir Ali
Lirik : Nazri

Tuhan,
kembalikan hamba satu ruang
agar hamba betah membuang segala bungkam
kelam dan tangis pendam
tanpa, ada insan kelihatan.

~NFF~

Isnin, 6 Disember 2010

BAHAGIA SAMPAI KE SYURGA

SAYA pulang agak kecewa setelah sesi yang seharusnya berjalan hari ini ditunda tiba-tiba. Ya, memang kecewa apabila setiap kos yang keluar dibawa pulang tanpa apa-apa imbuhan. Hujan renyai mengiringi perjalanan saya merentasi Padang Merbuk, terus ke perhentian bas di Sogo. Syukur, sebaik-baik melintasi laluan pejalan kaki, bas Metro 11 tiba. Rasa kantuk dan mendung cuaca membuatkan saya alah dengan lelah mata untuk berjaga. Dalam separuh sedar, saya melihat sepasang warga tua yang menaiki bas di depan Hotel Quality. Mereka duduk di bahagian sebelah saya, berdepan sungguh dengan pintu bas. Kedua-duanya rancak berbual.

Saya tertidur dan jaga semula di depan Masjid Amaniah, Jalan Sungai Tua. Hujan sudah turun mencurah-curah. Jam di pergelangan tangan saya lihat, jam 3:30 petang. Menghampiri perhentian bas, saya lekas berdiri di depan tangga pintu. Pasangan warga tua yang memang pikun dari rupa paras itu juga bangun. Barangkali mereka tinggal berhampiran kejiranan saya juga. Mereka memegang beberapa bungkus beg plastik Mydin. Pasti mereka dari pasar raya Mydin di Kuala Lumpur. Ketika bas hampir berhenti, pak cik itu meminta beg plastik daripada mak cik itu. Namun, mak cik enggan memberikannya dan berkata "tak apa, tak apa. Cepat, hujan ni."Pak cik membuka payung kecil warna ungu yang boleh dilipat. Mereka berdua-duaan meredah hujan petang itu bersama-sama. Tangan kiri mak cik memegang tangan kanan pak cik yang mengenggam erat kaki payung ungu itu. Hujan terus-terusan turun. Saya menumpang teduh di dalam sebuah kedai.

Mata saya raghib terus melihat pasangan pikun itu terus meredah hujan. Berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka. Saya sempat menjeling ke arah beg plastik pak cik yang berisi biskut. Barangkali mereka tinggal berdua sahaja. Barangkali mereka tiada sesiapa di rumah sehingga mereka perlu berjalan kaki masuk ke kawasan perumahan yang tidak dekat itu. Jarak perjalanan kaki ke rumah saya saja hampir 20 minit. Namun, pak cik dan mak cik itu tetap sanggup meredah hujan dan berjalan kaki bersama-sama. Pandangan saya mengiringi perjalanan mereka hingga mereka hilang, lenyap.

Pandangan itu, peristiwa itu dan pasangan pikun itu begitu memberi kesan kepada saya. Betapa, pada usia pikun begitu mereka boleh dan tetap mahu bersama-sama. Mahu berjalan, berpegangan tangan dan meredah hujan bersama-sama. Mahu tetap melawan sakit dan lenguh kaki untuk pulang ke rumah yang barangkali bagaikan syurga bagi mereka.

Tidak semua pasangan mampu menjadi seperti mereka. Mampu memanfaatkan segenap hidup dan melalui liku perjalanan seperti mereka, hingga usia yang begitu senja. Itulah pengalaman saya. Meskipun saya kecewa dengan pembatalan tiba-tiba itu. Mengenangkan kos keluar rumah yang terbang bagai debu dan masa bersama ibu yang terpaksa dipinjamkan untuk sesi yang batal itu, saya fikir Allah memberi saya sesuatu dengan kemunculan pasangan tua itu pada akhir perjalanan saya petang tadi. Oleh sebab itu, pak cik dan mak cik itu yang sedang berjalan meredah hujan bersama sekaki payung ungu masih terbayang-bayang di pandangan mata.

Semoga, mereka bahagia hingga ke syurga.

Rabu, 1 Disember 2010

CERITERA TENTANG GADIS KECIL DAN BIDADARI

GADIS KECIL berdiri di tepi pintu
wajahnya basah
dan ada getar pada tubuh.

Gadis Kecil melihat Bidadari, yang semakin hilang.
Perlahan-lahan naik ke langit
sirna, tanpa langsung menoleh ke belakang.

Gadis kecil tunduk, menekur lantai kusam.
Sesekali, dia merenung kelam suram
yang dimamah warni hitam di balik tubuh.

Gadis Kecil terasa lututnya menjadi goyah.
Dirinya semakin kecil, kerdil
makin kecil
semakin kecil
semakin kecil.

Bidadari sudah pergi dan berjanji
tidak kembali.
Gadis Kecil membantah,
dia belum betah sendiri.
Diam-diam, titis demi titis mengalir
pipi Gadis Kecil terus basah
sembap dan basah lagi.
Kata Bidadari satu ketika "Percayalah pada diri. Gadis Kecil tidak
kecil. Gadis Kecil sudah dewasa. Sudah kuat
menempuh hari muka. Beranilah, Gadis.
Susun langkahmu ke luar gapura. Di sana bahagia sudah menanti
untuk dirimu, jika kau mahu."

Tangan halusnya memegang jenang pintu
dalam esak tangis,
Gadis Kecil menjawab sendiri
"Dunia di luar itu menakutkan,
seperti yang selalu ada dalam sasakala penglipur lara."

Rintik tangis semakin luruh.
Gadis Kecil mengenang Bidadari
terus mengharap Bidadari kembali
pulang dan mendakap diri.
"Jangan biarkan aku sendiri!" Jerit Gadis, kuat di dalam diri.

Pipi Gadis Kecil basah lagi
Bidadari.
Bidadari yang mengajarnya untuk menangis
sedang dia dahulu tidak pernah menangis.
Bidadari,
Bidadari juga mengajar dia untuk berani
kata Bidadari "Hidup dalam takut bagai tangan menggores jiwa,
membiarkan hati bernanah dalam, pedih dan basah sentiasa,
terus berdarah, tidak akan sembuh. Gadis, harus berani."

Bidadari sudah pergi
tidak akan kembali
dan, tegar tidak akan kembali.

Gadis Kecil terasa kecil.
Namun, harap tetap ada
agar Bidadari memberi simpati
pulang kembali,
menemani dan melindungi
Gadis Kecil di pinggir sepi
di ruang kelam
tanpa jendela
yang ada, hanya gapura.

Gadis Kecil, melihat ke luar dengan aneka rasa
ada cahaya, ada lambaian warna
tangisnya menjadi sunyi
bisik Bidadari bergema dalam diri
"Bangkit wahai Gadisku, pandang ke depanmu.
Ada bahagia sedang menanti dan kau tidak akan sepi.
Cukup segala pesananku, ingatlah selalu.
Nyalakan nyali dirimu, kau tak akan terbungkam dalam kelam
melainkan, kau sendiri yang mahu terus terpinggir
dalam hitam ruang itu."

Gadis Kecil bangun perlahan-lahan
sedang getar lututnya masih ada,
tangan halusnya memegang jenang pintu,
kaki kanannya melangkah ke luar, meski berat dan payah
separuh dirinya sudah semakin hampir ke luar.
Gadis Kecil menoleh sebentar
panggilan kelam memagut jiwa
dia kembali memandang ke depan
terlihat cahaya dan bisik kata Bidadari
"Beranilah, Gadis."