Sabtu, 23 Oktober 2010

TUNGGU TEDUH DULU BUKAN CERITA CINTA BIASA

TUNGGU TEDUH DULU mengisahkan perjuangan seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan yang menguji kekentalannya sebagai wanita muslimah dan pemilik jiwa yang berpaksikan tauhid kepada Allah. Setelah kematian ayah, Salsabila Fahim berusaha mendidik rasa benci terhadap ibu tiri yang selama itu bersikap dingin terhadap dirinya, sehingga membuatkan dia mencari teduh kasih ibu saudara. Namun demikian, Salsabila Fahim mempunyai keteguhan jiwa yang jitu hasil didikan almarhum ayah dan tarbiyah usrah yang dikutip sepanjang pengajiannya di Amerika Syarikat.

Sebagai seorang anak yang mewarisi tanah arwah ayah, Salsabila Fahim tekad tidak mahu mensia-siakan tanah warisan tersebut yang menyimpan pelbagai kenangan. Tanah itu dibangunkan sebagai kawasan penanaman betik yang diusahakan bersama sahabat baiknya, Teh Sofia. Usaha membangunkan ladang Teduh Dulu bukanlah mudah kerana mendapat pelbagai dugaan. Selain berurusan dengan masalah membangunkan Teduh Dulu, Salsabila Fahim diurung resah gelisah memikirkan hubungan perasaan yang terjalin antara Lam Ping Hai, Kamil dan dia sendiri. Lam Ping Hai dan Kamil yang bersaing sejak kecil untuk memperisteri Salsabila Fahim dan terus bersaing ketika masing-masing mencapai usia dewasa.

Di sini, Salsabila Fahim digambarkan sebagai seorang wanita yang begitu sukar membuat pilihan untuk memilih calon suami yang terbaik antara Lam Ping Hai dan Kamil. Bagi Salsabila, dia tidak sanggup menghancurkan hati kedua-duanya, kelemahan Salsabila adalah kesukarannya untuk membuat keputusan yang tidak melukakan setiap perasaan. Lantas, Salsabila Fahim memohon petunjuk Allah dengan membawa diri dan ibu tirinya menunaikan umrah di Makkah. Atas kuasa Allah, Salsabila Fahim kehilangan ibu tirinya di sana dan mendapat pula suami tidak lama selepas kematian ibu tiri. Takdir yang menjawab segala persoalan cinta yang berlegar di sekitarnya sekian lama. Sazli, seorang lelaki yang lebih muda, pernah bekerja dengannya di ladang dan pernah melamar cintanya malah, menyelamatkan Salsabila Fahim daripada menjadi habuan nafsu serakah adik tiri sendiri iaitu Shahruzzaman Fahim.

Pernikahan mengejut antara Salsabila Fahim dan Sazli membuatkan Kamil membawa diri ke Sabah. Manakala, Lam Ping Hai yang menggunakan Saifullah sebagai nama Islamnya menerima segala-galanya dengan reda dan hati yang terbuka lantaran keimanannya yang kuat terhadap kekuasaan takdir Allah. Malahan, Lam Ping Hai menjadi orang kanan dalam perusahaan Teduh Dulu yang berkembang di Jogjakarta, Uganda dan pelbagai perencanaan melebarkan perusahaan ke serata dunia :

Terngiang tiba-tiba, "Aku berani Salsabila kerana dua kalimah syahadah yang aku ucapkan itu. Ia adalah ikrar dengan lidah dan terzahir keyakinan dalam hati."

Saya senyum, memikirkan sungguh-sungguh Lam memahami kata-kata atta'arif atau "aku mengaku" pada kalimat asyhadu. Juga dia mengerti dengan zahir pada syahadah, pada kalimat asyhadu tersebut ada juga kalimat akhbaru atau "aku mengisytiharkan". Dan saya tersentuh apabila Lam mengaku yang dia usai mempercayai perkara jodoh yang tidak kesampaian pada kalimat asyhadu itu juga.

"Asyhadu itu juga mengandung kalimat a'budu atau "aku tunduk". Maka Salsabila inilah caranya, menunjukkan betapa diri tunduk dengan qadak dan qadar. Tuhanlah yang lebih pandai kerana setiap satu adalah kepunyaan-Nya."

Sekali imbas, novel ini persis kisah cinta tiga segi yang berlambakkan baik dalam pasaran buku mahupun layar. Walau bagaimanapun, bukanlah isu cinta tiga segi dan perusahaan betik itu yang diutamakan. Hal ini telah pun ditegaskan oleh Salsabila Fahim sebagai narator melalui petikan berikutnya dalam bahagian Prolog:

Namun, biar saya mengingatkan, cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Ia cerita tentang pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak (2008:6-7).

Kisah kehidupan Salsabila Fahim adalah landasan falsafah yang diketengahkan pengarang secara sedar. Tunggu Teduh Dulu membawa pembaca untuk mengesan dan menginsafi semula, hakikat lafaz syahadah yang disebut berulang kali, saban hari. Mengajak pembaca mengenang kembali sirah perjanjian insan dengan Tuhan di alam sebelum kelahiran. Segala kesulitan, ujian dan dugaan yang dihadapi oleh Salsabila Fahim adalah rencana yang ditetapkan Tuhan untuk menguji takah iman setiap hamba-Nya. Segala ujian bukanlah bermaksud Tuhan berlaku zalim sebaliknya menyimpan hikmah yang hanya dapat dilihat dengan mata hati yang bersandarkan pada tauhid yang kuat terhadap kekuasaan Allah.

Salsabila Fahim seorang wanita biasa. Wataknya tidaklah sempurna dan dapat dilihat pada kebiasaan-kebiasaan yang dipaparkan sebagai wanita. Namun, kekuatan Salsabila Fahim adalah pada keteguhannya meyakini betapa setiap perkara yang berlaku terkandung dalam rahsia Allah. Ujian yang datang mengandungi rahsia dan hanya boleh disingkap dan diterma dengan iman dan takwa, itulah kejituan peribadi Salsabila Fahim.

Saya mengambil masa yang lama membaca karya ini sehingga tamat. Saya sengaja bertindak demikian. Ya, karya ini berjaya memancing pembaca untuk mengetahui pengakhirannya dari sudut Prolognya lagi. Namun, saya bukanlah pembaca yang akan segera menyelak halaman terakhir untuk segera mengetahui penamatnya. Saya tidak pernah dan tidak suka berbuat begitu. Maka, dua minggu saya peruntukkan untuk membaca hingga tamat karya ini. Saya sengaja juga membaca karya ini lambat-lambat, kerana berasa begitu tenang sepanjang membacanya. Kisah Salsabila Fahim memang bukan kisah biasa. Ya, barangkali pada permukaannya memang kisah itu hampir sama dengan kebanyakan kisah yang ada namun pengisian, pengertian yang dibawa Salsabila Fahim itulah yang membuatkannya luar biasa.

Sepanjang membaca karya ini, terutamanya pada bab terakhir sebelum Epilognya, jiwa saya terasa bagaikan air di lautan tanpa ombak besar. Terasa diri berada di atas bot di tengah segara. Terbuai dan nyaman yang bukan dibuat-buat. Berbeza sekali dengan karya Bedar Sukma Bisu yang membuatkan saya berasa lemas sehingga kini dan lelah untuk menghabiskannya. Karya ini menghanyutkan saya di tengah lautan tenang sehingga membuat saya tidak mahu pulang ke daratan. Ketenangan pada didikan yang diberi oleh Salsabila Fahim, meskipun memerlukan perjuangan yang tinggi untuk diimplementasikan.

Tunggu Teduh Dulu, naratif yang tidak sia-sia untuk dibaca berulang kali.

1 ulasan:

  1. assalamualaikum .
    saya ingin membuat kajian literature tentang novel ini tp saya tdk tahu bagaimana utk mewujudkan satu research question atau topik kajian yg menarik.
    jadi, saya ingin meminta pandangan saudari.

    BalasPadam