Sabtu, 9 Oktober 2010

BAHASA JIWA BANGSA

SEBAGAI orang Melayu, saya berasa tersinggung dan terkilan dengan sikap tidak endah segelintir golongan yang seolah-olah menidakkan kehadiran bulan Oktober setiap tahun sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Tiada siaran langsung diadakan bagi majlis pelancaran BBK yang telah diadakan di Ipoh, Perak awal bulan ini seperti siaran langsung untuk setiap acara lain. Kempen-kempen sama ada di stesen radio dan televisyen kerajaan apatah lagi swasta sukar kedengaran. Lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" semakin tenggelam hilang. Sedangkan, Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

Adalah sangat mendukacitakan sekiranya pemimpin sendiri tidak memandang BBK sebagai satu agenda penting dalam memelihara martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Apakah mereka lupa betapa bahasa kebangsaan ini ialah bahasa yang menjadi komunikasi utama rakyat di Malaysia? Atau, mungkin keistimewaan bahasa ini telah semakin pudar, sirna dan kelam dalam hati dan fikiran mereka sehingga dengan begitu bersahaja megah bertutur dalam bahasa asing setiap kali berbicara dengan masyarakat melalui kaca televisyen walaupun Oktober masih awal.

Sekiranya kepimpinan dan orang Melayu sendiri meminggirkan kehadiran BBK yang hanya sekali dalam setahun, apakah yang akan terjadi dengan nasib bahasa Melayu pada masa depan? Sebuah bahasa yang pernah mengalami zaman kegemilangan, diiktiraf sebagai lingua franca oleh cendekiawan luar tetapi diperlekehkan oleh pemilliknya sendiri. Bagi saya, adalah satu hal yang mustahil untuk bahasa Melayu dipertahankan oleh bangsa lain selain bangsanya sendiri. Namun, melihat pada situasi dan keadaan genting yang dialami bahasa Melayu, tidak mustahil pula bahasa kebangsaan ini boleh berkubur tanpa nisan di tangan bangsanya sendiri yang sengaja melupakan kepentingan dan ketinggian martabat bahasa ini yang perlu dipelihara.

Setiap negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis sendiri berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Ketekalan menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing bukanlah penghalang untuk mereka menjadi maju dan digeruni oleh seantero dunia baik dari aspek kepimpinan, kemajuan dan daya saing yang tinggi. Bulan Bahasa Kebangsaan hanyalah satu simbol pengiktirafan yang menjadi usaha beberapa badan untuk mendekatkan masyarakat kepada jati diri bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi negara yang berbilang kaum ini. Namun demikian, usaha ini tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tindakan susulan tidak selaras dengan matlamat kewujudannya.

Apakah ada yang hilang ingatan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa penghantar sistem pendidikan, bahasa rasmi negara berpelembagaan, bahasa komunikasi rakyat seharian sehingga semakin dipinggirkan?

Selamat menyambut
Bulan Bahasa Kebangsaan dengan menyemai rasa cinta dan hormat akan bahasa kita ini. Semaikan di dalam nurani, bahasa jiwa bangsa. Andai hilang dan lenyap bahasa kita, maka apakah yang terjadi pada bangsa kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan