Sabtu, 28 Ogos 2010

BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

CINTA memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Tidak dapat dinafikan persoalan cinta sering melingkari perasaan dan kehidupan setiap individu tanpa mengenal usia. Ada cinta yang dapat membawa pencintanya ke syurga dan ada juga yang hanya menjadi asbab kepada terhumbannya manusia ke dalam neraka lantaran kegagalan menguruskan cinta yang ada di jiwa. Perbicaraan cinta konvensional yang dialami kebanyakan remaja sememangnya sudah menjadi perbicaraan yang biasa baik dalam konteks harian mahupun khusus. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang berani tampil dan berbicara mengenai cinta golongan yang mempertahankan 'Islamiknya' cinta mereka. Pada pandangan mata zahir, cinta golongan 'Islamik' ini tampak sempurna dan penuh dengan menuntut keredaan Allah. Namun demikian, jika ditelusuri secara halus dapatlah dilihat betapa cinta golongan ini sebenarnya mempunyai cabaran yang luar biasa dalam mempertahankan keislamikannya di samping matlamat mencari reda Allah yang dijadikan tunjang dalam perhubungan itu.


Persoalannya, golongan yang berada di dalam lingkungan cinta islamik ini ada ketikanya kurang melihat kepincangan yang dilakukan oleh mereka sendiri dalam melestarikan cinta islamik yang mereka miliki. Tersilap langkah, tunjang utama untuk mencari reda Allah boleh saja runtuh lantas hanya menjemput kemurkaan Allah S.W.T. Buku Bercinta Sampai ke Syurga yang ditulis oleh pemilik Saifulislam.com iaitu Hasrizal Abdul Jamil merupakan lanjutan daripada tulisan beliau yang terhimpun dalam buku Aku Terima Nikahnya. Buku ini ditulis berdasarkan penelitian dan pengalaman beliau terhadap kes-kes rumah tangga dan percintaan yang dihadapi oleh beliau yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor. Buku ini ditulis dengan gaya penceritaan yang santai dan mudah untuk tatapan pembaca pelbagai peringkat usia.

Teknik penulisan ini menjadikan pembaca berasa dekat dengan penulis dan cerita yang disampaikan. Hal ini secara tidak langsung berupaya menjadikan proses enkod dan dekod sistem maklumat pembaca dapat berfungsi dengan berkesan. Dengan bertanggungjawab, penulis menghasilkan buku ini bagi memberi kesedaran dan didikan terhadap pembaca terutamanya dari kalangan remaja yang terlibat dalam cinta enta-enti. Adalah penting untuk golongan sebegini memahami konsep cinta yang diidamkan mereka agar reda yang dicari tidak bertukar dengan murka yang tidak bertepi. Dalam masa yang sama, buku ini bertujuan membuka ruang minda pembaca untuk melihat perkara-perkara tersirat mengenai cinta dan perkahwinan bagi menambah pengetahuan para pencinta :

Medan suami mendidik isteri, gelanggang isteri memimpin suami, tempat ibu bapa mengasuh anak, dunia anak-anak berihsan dengan ibu bapa. Semua itu adalah 'dunia kecil' yang Allah anugerahkan kepada setiap kita untuk belajar membentuk manusia, sebelum berjuang membina massa. Rumah itu medan pertama, sebelum Ummah matlamat besarnya (vii:2009).

Bercinta Sampai ke Syurga dibahagikan kepada empat tema utama tetapi menjurus kepada isu cinta iaitu :
a. Pandangan Kehidupan
Tujuh catatan di dalam bab ini berkisar mengenai kehidupan sebagai seorang anak dan pengembara di dunia. Dalam hal ini, pembaca didedahkan dengan realiti hidup membabitkan kepimpinan, kesedaran mengenai asbab kejadian manusia di bumi dan pemupukan sifat mahmudah di dalam jiwa. Dalam subbab "Lelaki dan Keluarga, Seperti Imam dan Makmumnya", penulis mengajak pembaca untuk meneliti amanah dan tanggungjawab seorang lelaki dalam memimpin keluarga dan jemaahnya. Dalam subbab ini, soal kepimpinan melalui teladan dibincangkan secara halus. Sering kali seorang suami mengharapkan anak-anak dan isteri seperti yang didambakan di dalam doanya, namun demikian hal kepimpinan dan tauladan yang baik sering dilupakan sedangkan tauladan itu merupakan satu faktor penting dalam mempengaruhi pemikiran dan tindakan setiap individu :

Ertinya, jika dia mahu isteri dan anaknya bertakwa kepada Allah, maka dialah yang terlebih dahulu menjadi orang yang paling bertakwa, sebagaimana imam yang memiliki kelebihan yang lebih daripada makmum. Maksudnya, doa ini mengajar kepada kita supaya membentuk diri agar menjadi seorang yang bertakwa. Dari situlah nantinya, Allah melapangkan dada isteri dan anak-anaknya untuk menyusuri Jalan Takwa yang sama (5:2009).

b. Praperkahwinan
Bab ini pula berbicara mengenai 'cinta islamik' yang sering disalah erti oleh pencinta yang terdiri daripada golongan yang begitu menjaga hubungannya dengan Allah. Walau bagaimanapun, kerana salah tafsiran konsep cinta islamik itu telah dipermudahkan bagi 'menghalalkan' cinta yang dibina. Dalam subbab "Teori Evolusi Cinta", penulis membawa pembaca untuk meneliti kisah segelintir 'pencinta beragama' yang terperangkap dengan cinta islamik rekaan mereka. Sesetengah daripada mereka cuba memberi kedamaian pada hati sendiri dengan mempermudahkan dan menghalalkan satu-satu tindakan yang dianggap mereka sebagai tindakan yang mampu mendekatkan cinta mereka kepada cinta islamik yang sebenarnya. Perbuatan golongan ini persis gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu bagi mendedikasikan hari tersebut khusus untuk beribadat kepada Allah.
Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengann sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru, bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka (43:2009).
Hal begini sering dilakukan oleh 'pencinta cinta islamik' itu apabila wujudnya kata-kata seperti di bawah :
"Kalian asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ini salah?" tanya Siti kepada rakan sebiliknya.
"Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun kau tak tahu?" balas Nur. Keras bunyinya. Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali (42:2009).
Bab ini serius dalam membincangkan tatatertib bercinta sebelum lafaz ijab dan kabul kedengaran.
c. Keibubapaan

Sementara itu, bab ini pula menekankan penekanan pemahaman golongan bercinta terhadap tanggungjawab sesudah perkahwinan dan sepanjang perkahwinan sebagai pasangan dan ibu bapa kepada anak-anak yang dilahirkan. Persoalan akidah menjadi perbincangan utama dalam himpunan bab ini melalui tajuk "Antara Tuhan dan Hantu" apabila ibu bapa kini lebih cenderung menekankan konsep hantu untuk menjaga tingkah laku anak-anak berbanding konsep Tuhan (Allah) yang perlu ditakuti dan ditaati. Hal ini secara halus sebenarnya membawa pembaca untuk melihat ke dalam diri akan tanggungjawab ibu bapa dalam mencorak nilai agama dan tauhid yang utuh ke dalam diri anak-anak sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang berikut :

"Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi ..." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bagi penulis, anak-anak tidak seharusnya dirosakkan kesediaan mereka untuk mengimani Allah. Hal ini kerana kejernihan fitrah jiwa yang dimiliki mereka sebenarnya mampu mempermudahkan urusan suntikan tauhid yang utuh walaupun usia mereka masih mentah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh ibu bapa adalah apabila kesediaan anak mengimani Tuhan digantikan dengan Hantu.

d. Kembara Mawaddah dan Rahmah
Bab terakhir ini mengupas isu rumah tangga terutamanya persoalan poligami yang sering disalah tafsir oleh segelintir lelaki dalam menghalalkan keinginan mereka untuk beristeri lebih. Dalam masa yang sama, bab ini turut membincangkan persoalan hubungan suami dan isteri yang sering dipandang enteng namun mampu memberi kesan yang besar terhadap sistem perjalanan rumah tangga yang harmoni. "Merawati Suami 'Bisu'" mengajak pembaca terutamanya wanita untuk meneliti sebab dan akibat seseorang suami itu memasukkan diri mereka ke dalam dunia batu (senyap). Manakala, subbab ini turut menjengah ruang hati isteri yang sering diabaikan oleh suami yang lebih melihat mementingkan praktikal berbanding perkara yang dilihat penting oleh isteri. Pemahaman yang baik terhadap sunnatullah suami dan isteri tanpa melanggar syariatullah menjadi asas dalam keharmonian sesebuah rumah tangga waima rumah tangga yang begitu 'islamiknya'. Pengabaian terhadap syariatullah atau sunnatullah hanya akan mendatangkan keretakan rumah tangga secara tanpa sedar.

Buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd ini merupakan satu medium dalam memberi kefahaman yang jelas mengenai konsep cinta terutamanya kepada para remaja dan golongan yang bermimpi untuk bercinta sampai ke syurga. Penggunaan bahasa Melayu Tinggi yang baik terutamanya dari aspek strukurnya merupakan satu bonus dalam menjadikan buku ini wajar dimiliki untuk mereka yang berminat untuk menambah ilmu dan pengalaman mengenai hakikat percintaan.

1 ulasan:

  1. Aduhai Dik Wardah....Sungguh, ulasanmu ini telah menambahkan lagi keinginan daku untuk memiliki buku tersebut... namun harus difikirkan waktu yang terbaik untuk membacanya... terima kasih atas ulasan dik wardah... teruskanlah usaha adik wardah itu mencintai dunia membaca dan penulisan kerana ia amat bermanfaat bagi insan seperti daku ini ;-)

    BalasPadam