Jumaat, 30 Julai 2010

PERCAYA, TUHAN SELALU PUNYA RAHSIA

SETIAP kali melalui Pasar Seni, saya akan singgah di dua buah kedai buku. Satu daripadanya ialah Kedai Buku yang dimiliki oleh seorang lelaki tua berbangsa India. Kedai Buku ini terletak di aras bawah. Keistimewaan kedai ini terletak pada himpunan buku yang agak sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku lain. Kebanyakan buku yang saya maksudkan adalah dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanpun, ada juga saya melihat buku-buku terbitan Ameen Books, Alaf 21 dan beberapa penerbitan popular di Malaysia yang dijual di situ. Setiap kali saya ke kedai itu, saya akan membiarkan diri saya menjamu mata melihat buku-buku yang ada. Setiap kali itu juga, saya akan menjenguk buku A Thousand Splendid Suns yang terletak di rak paling kanan. Saya akan memegang buku itu. Memang saya begitu menginginkan buku itu. Saya jatuh cinta pada novel itu dan novel sebelumnya iaitu The Kite Runner. Kedua-duanya sudah saya baca. A Thousand Splendid Suns di kedai itu ialah buku terpakai yang dijual pada harga RM 26.00. Harga asalnya ialah RM 35.00. Saya bukan pelajar yang mampu untuk memenuhi kehendak hati dan meletakkan soal keperluan di aras selepas kehendak. Penjaga akauan saya akan memberi segala ulangan peringatan demi peringatan akan apa-apa yang perlu saya fokuskan. Jadi, saya meletakkan semula novel itu di tempatnya. Bukannya novel itu tidak ada di jual di kedai buku lain. Ada, saya pernah melihatnya di MPH dan Popular, cuma masa untuk saya memilikinya belum tiba. Saya perlu lebih bersabar sahaja. Tak akan lari gunung dikejar.

Selepas bersiar-siar di Kedai Buku, saya akan singgah di news read, ala-ala 7Eleven juga di dalam Pasar Seni. Di kedai ini juga dijual pelbagai jenis buku. Seperti biasa, saya akan membelek-belek buku yang ada di situ. Membaca blurbnya dan meletakkannya semula. Kebanyakan buku yang terjual di kedai itu adalah daripada penerbitan PTS. Pandangan saya tertancap pada sebuah buku cerita kanak-kanak berwarna merah jambu yang berjudul Riang Ria Persahabatan. Sangat cantik dan menarik. Buku itu tidak ditutup dengan plastik jadi saya dapatlah menjengah sepintas lalu isi di dalamnya. Sesuai untuk anak-anak berusia sembilan hingga sebelas tahun. Tiba di kamar hotel, saya teringat akan seorang kenalan saya yang mempunyai anak kecil. Lalu, saya memberitahu dia akan buku tersebut dan menyarankan dia agar mendapatkan buku itu.

Kenalan saya berhajat memasukkan wang ke dalam akaun saya seraya memilih dan membeli bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak mereka. Saya tidak ada sebab untuk menolak permintaannya malah berasa sangat bertanggungjawab dan gembira untuk membantunya. Sudah ada beberapa buah novel yang sesuai untuk anak-anak mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan novel berbahasa Melayu. Saya katakan juga kepada kenalan saya ini agar melawat ke MPH dan memang itu kebiasaan mereka, katanya. Namun, setiap kali mereka ke sana, anak-anak mereka lebih berminat dengan Harry Porter.

Langsung, petang tadi saya meluangkan masa berjalan kaki dari Pudu Raya ke Minerva, Pustaka Mukmin dan Kedai Buku, Pasar Seni. Bagi yang sudah biasa berjalan kaki seperti saya, tidak terlalu terasa jauh jaraknya. Di Minerva, saya meluangkan masa hampir 30 minit untuk memilih bahan bacaan yang bersesuaian untuk anaknya yang berusia 13 dan 14 tahun. Rambang mata saya jadinya. Pada mulanya, saya memilih Rahsia Ummi, namun setelah mendapatkan pandangan daripada seorang kenalan melalui sms, saya meletakkan Rahsia Ummi ke tempatnya semula. Tanpa ragu-ragu saya memilih Tuhan Manusia untuk anaknya yang berusia 14 tahun. Meskipun pengisian di dalam buku ini agak dalam, saya yakin jika anak itu menghalusinya dengan baik, akan ada sesuatu yang menyelinap ke sanubarinya. Baiknya juga, Tuhan Manusia sesuai juga untuk golongan dewasa. Namun, watak Ali Taqi yang berada di peringkat menengah atas boleh juga menambat hati pembaca dari menengah rendah.


Untuk anak yang berusia 14 tahun, saya memilih novel pengembaraan terbitan Alaf 21 berjudul Pengembaraan Afiq. Saya kira, novel itu ialah sebuah novel grafik. Meninjau blurb dan sedikit halaman, insya-Allah novel ini sesuai untuk remaja awal. Di Minerva juga, saya mabuk buku apabila melihat novel Imam di rak paling atas. Saya pernah meminjam dan membaca skrip pentas novel itu sewaktu di semester pertama dahulu. Aduh, tersentuh hati saya. Itu ialah novel yang juga tercatat dalam senarai novel akan saya miliki. Melihat deretan karya baharu HM Tuah Iskandar juga membuatkan hati saya meronta-ronta minta dipujuk. Paling menyentuh hati, saya menemui sebuah kumpulan cerpen oleh Somerset Maghaum iaitu Catalina. Kumpulan cerpen itu baru sahaja disebutkan oleh Pak Malim dalam kuliah semalam. Sewaktu di kaunter membayar harga dua buah karya itu tadi, saya melihat pula sebuah buku kecil nukilan Dr. Aidh al-Qarni berjudul Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Bahagia. Saya merenung sahaja buku itu. Ya, buku itu akan masuk dalam senarai buku akan saya miliki juga. Saya menguntum senyum.

Selesai meletakkan plastik beg ke dalam beg sandang, saya menolak daun pintu kedai buku Minerva dan menuju ke kedai buku yang seterusnya. Hujan mulai turun rintik-rintik membasahi Kuala Lumpur. Saya ingin memilih buku yang benar sesuai dengan tahap umur anak-anak kenalan saya ini. Tidak terlalu berat, tetapi sekurang-kurangnya memberi pengisian pada tahap penggunaan dan kebiasaan mereka dengan bahasa Melayu. Di kedai buku Minerva yang kedua, tidak banyak buku yang menambat hati saya. Kedai itu agak sempit berbanding kedai yang pertama. Beberapa orang remaja perempuan berhimpit di hadapan rak yang memuatkan novel-novel cinta. Terdengar bicara mereka :

"Ala, novel tu dah habislah."

"Tu la, sayang r tak dapat beli. Best tau. Dia punya cinta dalam novel tu lain sikit."

Ya, cinta dan cinta. Novel cinta menjadi carian mereka. Sama seperti saya ketika awal remaja dahulu. Saya sungging senyum lantas keluar dari kedai yang tidak berjaya mengetuk pintu hati saya. Saya berdiri di kaki lima, merenung beberapa buah kedai buku yang ada di seberang jalan.

Hujan yang rintik semakin bertitik. Jalan raya mulai sesak pada jam 3:30 petang tadi. Kuala Lumpur, tiada masa yang tidak sesak jalannya kecuali menjelang Aidil Fitri.

Saya memasuki Pustaka Mukmin. Kedainya pun agak sempit tapi ada banyak buku yang lebih berkualiti di sini berbanding di kedai kedua tadi. Pemiliknya ialah seorang lelaki mamak. Bukan sahaja ada buku DBP dijual di sini, ada buku dari dalam dan luar negara. Dari buku akademik hingga buku sastera yang popular dan arus perdana. Di kedai ini, saya memilih novel Manikam Kalbu dan Lelaki Berkasut Merah untuk anak berusia 14 tahun. Buku cerita kanak-kanak Gaun Merah Jambu untuk anak berusia sembilan tahun dan novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat untuk anak berusia 13 tahun, juga novel grafik. Untuk anak berusia 11 tahun, saya memilih novel awal remaja berjudul Putu-Mayam Satu. Saya kira, novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat dan Gaun Merah Jambu itu juga sesuai untuk anak berusia 11 tahun. Saya memilih novel terbitan PTS kerana percaya dengan bahasa Melayu Tinggi yang digunakan mampu membantu anak-anak untuk lebih mendekati dan meramahi bahasa Melayu bagi membantu mereka menulis dan menjawab peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu.


Selesai di kedai itu, saya menyeberang semula jalan. Perut saya sudah berkeroncong kerana belum makan sejak pagi. Saya ke restoran makanan segera. Pelanggan restoran agak ramai. Kalau tidak diikutkan rasa lapar, saya tidak akan menunggu dan beratur dengan sabar. Sebaik-baik selesai menikmati juadah, saya berjalan kaki semula ke Pasar Seni untuk mendapatkan buku yang dikirim oleh Cikgu Norhana atas cadangan saya. Di Kedai Buku itu, saya membeli novel A Thousand Splendid Suns dan The Hidden Flower yang ditulis oleh Pearl S. Buck pada dekad 1950-an. Buku itu sudah benar lusuh dan dijual dengan harga RM5. Hati saya agak tersentuh kerana membeli A Thousand Splendid Suns bukan untuk saya, tapi tidak mengapalah. Tak akan lari gunung dikejar. Saya cuba mencari The Kite Runner di kedai itu tapi sudah tiada. Ketika berbual dengan pemilik kedai, saya diberitahu bahawa mereka juga menyediakan perkhidmatan menyewa buku. Kos menyewa sama dengan harga beli. Lebih baiklah membeli saja buku itu!

Saya pulang ke Ancasa dengan rasa yang sangat bahagia. Menceritakan rasa bahagia itu, saya menghubungi cikgu dan dia berkata "Tak apa, yang penting pengalaman membeli buku itu. Masa awak untuk borong buku untuk diri sendiri akan tiba. Sabar saja. Dahulukan keperluan berbanding kehendak."
Ya, saya rasa sangat bahagia hari ini kerana dapat membantu rakan memilih dan membeli bahan baca berkenaan. Semoga dapat memberi manfaat besar kepada mereka sekeluarga. Tiada yang membahagiakan dan menggembirakan apabila berjaya membantu kenalan lebih mengakrabi bahasa dan sastera negara.


Saya merenung ke luar jendela dan melihat langit yang semakin kelam di kaki senja. Jauh di sudut hati ada gundah yang melanda. Namun, saya tetap ada bahagian bahagia. Barangkali kelihatan samar pada masa sekarang tetapi akan jelas pada masa akan datang. Saya percaya akan frasa yang sering disebut oleh seorang kenalan kepada saya.
Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.

4 ulasan:

  1. Salam.
    Wardah,

    Novel "Rahsia Ummi" itu merupakan karya awal FT. Sudah tentu cerita dan pendekatannya amat berbeza daripada karya FT yang lain. Kalau Wardah yang membaca novel itu sendiri, tidak mengapa. Tapi buku sebegitu tidak sesuai untuk pembangunan pembacaan anak seusia 14 tahun.

    Saya ada satu cadangan bagaimana Wardah boleh memiliki buku-buku idaman Wardah secara berdikit-dikit, sepertimana yang pernah saya lakukan dahulu. Setiap kali saya menerima pulangan hasil menulis, atau setelah saya berhasil melakukan tugasan yang payah dan rumit, saya akan 'menghadiahi' diri saya dengan menyimpan sedikit wang di dalam sebuah tabung yang saya namakan "BUKU". Semakin banyak pulangan yang saya terima atau semakin sukar tugasan yang saya lakukan, semakin besar jumlah wang yang saya simpan. Namun ketika itu, wang paling besar yang pernah saya simpan hanyalah RM10 sahaja. Saya sanggup tidak makan daripada menggunakan wang yang saya simpan itu.

    Saya mempunyai senarai buku yang saya inginkan, mengikut harga. Apabila wang cukup, saya akan membeli buku yang berharga murah dahulu. Dan saya akan tandakan buku yang telah saya beli.

    Latihan menyimpan, kemudian membeli, dan membaca buku yang dibeli dengan titik peluh dan kesusahan sendiri ini membuat saya amat menghargai buku dan 'ilmu' yang saya perolehi daripada buku-buku tersebut. Saya juga merasakan buku-buku tersebut mempunyai kaitan 'jiwa' dengan saya. Saya akan membaca buku-buku yang saya kesani mempunyai lapisan makna lebih daripada sekali. Dengan itu, saya benar-benar menghayati tiap mesej yang ada dalam sesebuah karya.

    Saya kira cukup setakat ini dulu. Ada banyak pengalaman tentang buku yang belum saya ceritakan kepada Wardah. Dan ada banyak maksud dalam ungkapan FT "Percaya, Tuhan selalu punya rahsia" ini, yang saya dapati belum Wardah kuasai. Moga dengan pelbagai pengalaman menjalani hidup, Wardah akan dapat 'membaca' ungkapan tersebut dengan lebih baik lagi.

    Selamat mencari.
    Wassalam.

    -kz

    BalasPadam
  2. Salam KZ,

    Terima kasih atas singgahan di wisma saya.Saya sendiri belum menguliti Rahsia Ummi kerana itu saya meminta pandangan KZ yang tentunya lebih pakar. Juga, novel itu menarik hati saya melalui kulit muka depan dan judulnya.

    Tentang tabungan untuk buku itu, saya bukan tidak mahu melakukannya. Akan tetapi saya punya sebab sendiri. Peruntukan perbelanjaan harian yang digunakan hasil pinjaman pelajaran saya ialah RM10 untuk satu hari. Dalam RM10 itu, saya perlu mengeluarkan RM6 untuk bayaran perkhidmatan bas pergi dan balik kampus. Baki RM4 itulah yang saya gunakan secara sangat berjimat untuk peruntukkan makan tengah hari. Jika ada baki daripada RM4 itu, saya simpan untuk peruntukkan fotokopi. RM1 pula untuk bayaran duit kelas yang kumpulan saya lakukan sebagai persediaan sekiranya kami perlu melakukan kerja atau tugasan berkumpulan.

    Dengan segala duit yang sedikit itu, saya perlu meminggirkan dendam saya untuk memiliki buku sendiri. Sejak mula mendapatkan pinjaman pelajaran pada akhir semester dua, saya sudah menetapkan matlamat untuk membayar semula wang pinjaman itu secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika mengikut perjanjian, saya perlu mula membayar wang pinjaman setelah enam bulan tamat pengajian sama ada saya sudah bekerja atau tidak. Saya tidak mahu membebankan diri sendiri atau penjamin. Saya perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan selepas tamat pegajian. Jadi, saya perlu berusaha untuk memastikan tiada masalah kewangan yang timbul untuk saya membayar semula nanti.

    Oleh sebab matlamat itu, saya diajar agar sangat berjimat-cermat kerana tidak mempunyai mana-mana saluran lain selain wang pinjaman yang saya terima untuk setiap semester. Oleh sebab itu juga saya menahan diri dan belajar membentengi diri agar tidak terpengaruh dengan gaya hidup kebiasaan mahasiswa yang biasa bergaya.

    Honorarium yang saya dapat daripada hasil menulis perlu disalurkan juga ke dalam tabung pembayaran semula pinjaman di samping untuk kegunaan saat-saat kecemasan dan keperluan untuk membeli perkara-perkara yang benar-benar penting sahaja. Tanggungjawab besar yang perlu saya galas tanpa sengaja juga sering membayangi diri saya dan hal ini turut membuat batasan perbelanjaan saya sangat terhad. Saya yakin saya sangat berdikari dalam hal ini. Hal ini menyebabkan saya perlu menahan sabar untuk memiliki buku sendiri. Lebih baik saya memanfaatkan kemudahan perpustakaan dan insan baik hati yang pemurah untuk meminjamkan 'ilmu' dan 'pengalaman' kepada saya.

    Ada juga buku yang saya beli, bukan tiada. Ada namun tidaklah seberapa dan saya tidak boleh membeli lebih. Sebagai contoh, kali terakhir saya membeli buku untuk tahun ini adalah pada bulan Februari yang lalu. Durian runtuh yang saya dapat saya manfaatkan dan membeli buku-buku yang benar-benar saya impikan.

    Saya pasti dan yakin, ini semua satu pengalaman dalam siratan hidup saya yang akan saya kenang dengan penuh istimewa pada satu masa nanti. Peribahasa Melayu ada menyebut "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian." Saya tidak membenci pengalaman ini selagi saya terus bersabar dan yakin pada satu masa nanti usaha saya akan membantu saya untuk memiliki perpustakaan peribadi dengan koleksi buku sendiri.

    Tentang frasa itu. Saya yakin saya memahaminya pada lapisan pertama dan keduanya. Cuma, kadangkala pemahaman saja tidak cukup untuk melenturkan isi hati. Lantas, saya akan terus ingin belajar menghayati lapisan demi lapisan seterusnya daripada frasa itu dan akan menanti waktu KZ ingin terus memberi erti.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  3. saya terbaca blog awak masa kat pasar seni smlm..tak sangka kat sini ada kedai uncle india...saya beli buku the kite runner..terima kasih atas info yang awak beri :-)

    BalasPadam
  4. Salam Cik Buku, terima kasih kerana membaca catatan di blog saya. Selamat membaca ya

    BalasPadam