Rabu, 2 Jun 2010

SYAIR KALUNG CINTA PENDIDIK BANGSA

(DEDIKASI UNTUK PADA GURU)

Dia mengajar himpun aksara
Menunjuk kata menjadi permata
Dalam sabar tekun sentiasa
Mahu bahasa dicinta semua.

Berdekad masa dia setia
Tegak diri pejuang negara
Penanya melakar citra perkasa
Memupuk kita majukan bangsa.

Dia guru pembimbing cara
Tekal memimpin faham dan baca
Mahu negara di mercu dunia
Dengan ilmu menjadi busana.

Segala ilmu yang dia ada
Dicurah ikhlas lagi sempurna
Biar kita pandai segala
Kelak menjadi pemimpin negara.

Siang malamnya bersalut doa
Agar kita tenang sentiasa
Biarlah mudah ilmu diterima
Jadi panduan hidup manusia.

Guru berjasa tidak terkira
Pada hatinya terkalung cinta
Mendidik mengasuh kepada kita
Agar menjadi manusia berguna.

WARDAH MUNIRAH
Fakulti Penulisan, ASWARA

Berita Minggu, 30 Mei 2010

2 ulasan:

  1. Wardah,
    Terima kasih kerana dedikasi syair guru itu kepada kami. Sesungguhnya keikhlasan guru mendidik tidak dapat diukur dengan anugerah Tan Sri atau Datuk sekali pun.

    BalasPadam
  2. Cikgu Shapiai,

    Sungguh benar kata-kata cikgu dan walau diukir pelbagai madah pun, belum tentu dapat mengukur penghargaan saya terhadap para guru. Yang hanya mampu, doa dan ingatan sahaja untuk guru-guru yang mengajar saya erti hidup dan ilmu pengalaman.

    Terima kasih.

    BalasPadam