Isnin, 28 Jun 2010

'RASA' MEMBACA

MINGGU lalu saya menemui seorang kenalan dan kami banyak berbicara mengenai buku. Perbicaraan dengannya akan sentiasa terisi dengan ilmu dan penuh hikmah. Topik utama perbincangan kami pastinya mengenai karya-karya besar dan inti ilmu di dalamnya. Sering kali saya berasa rendah diri kerana masih banyak yang belum saya baca. Namun demikian, bukan itu yang ingin saya bicarakan. Berdasarkan tajuk entri ini, saya ingin bercerita tentang 'rasa' membaca.

Ketika dalam perbualan kami itu, kenalan saya ini bertanya kepada saya akan 'rasa' yang saya alami sewaktu membaca karya-karya yang saya pinjam daripada beliau. Pada ketika itu, saya kurang faham apakah maksud 'rasa' itu. Persoalan itu berlegar-legar di benak saya untuk beberapa hari sesudah pertemuan itu.

Lantas, saya menyedari akan beberapa rasa yang saya alami sepanjang saya membaca lima buah buku dalam bulan ini, sejak cuti semester bermula awal Jun lalu. Sejak awal cuti itu, saya telah meminjam lima buah buku iaitu Life is An Open Secret, Bedar Sukma Bisu, Saasatul Ibaad, One Hundred Years of Solitude dan Tuhan Manusia. Tiga daripadanya ditulis oleh pengarang yang sama dan memberi pengalaman rasa yang berbeza untuk setiap karya yang saya baca. Sewaktu membaca, saya sering kali berharap agar dapat membuat ulasan mengenai novel atau sesebuah buku yang saya baca. Namun demikian, saya mempunyai masalah, saya bermasalah untuk mengulas secara terpaksa. Maknanya, mengulas sebuah karya yang agak kurang saya gemari. Saya berharap agar masalah saya ini akan dapat diatasi kerana saya mahu mengulas sesebuah karya bukan atas rasa suka atau tidak, akan tetapi untuk perkongsian. Saya perlu atasi masalah ini!

Baik, di sini ingin sekali saya catatkan setiap pengalaman 'rasa' yang saya alami ketika atau juga setelah membaca lima karya yang saya sebutkan tadi. Kembara membaca saya bermula dengan sebuah buku motivasi Life is An Open Secret yang ditulis oleh Zabrina A. Bakar. Buku ini saya temui di Minerva pada bulan lalu ketika bersama Cikgu Norhana dan Cikgu Julia. Pada masa itu, Cikgu Norhana kepingin untuk membeli buku berkenaan namun tidak berkesempatan. Namun, cikgu berjaya membeli buku itu di MPH pada hari berikutnya. Buku ini mempunyai dua versi, (kalau tidak silap saya). Satu berwarna hijau dan satu lagi berwarna merah hati.

Saya membaca buku versi warna hijau. Buku ini saya baca dalam minggu pertama cuti semester bermula selama dua hari. Ketika membaca buku ini, hati seolah-olah terasa bagaikan ada pesta bunga api di dalamnya. Saya berasa begitu gembira membaca kisah-kisah yang diadun dengan cara yang sangat Islami. Meskipun selama ini saya begitu meminati siri Chicken's Soup, membaca Life is An Open Secret menyedarkan saya bahawa kedua-dua karya ini bagai langit dengan bumi. Ada antara kisah di dalamnya yang menyentuh kalbu, mengusik perasaan yang lantas membawa tangisan kecil di sanubari. Ada yang memberi semangat, membuatkan saya sedar akan kesia-siaan yang ada dan tekad untuk mengubahnya. Pendek kata, saya berasa bahagia dan tenang membaca buku ini. Kata kunci perasaan saya terhadap buku ini ialah bahagia dan tenang.

Setelah menamatkan Life is An Open Secret, saya beralih pula kepada Bedar Sukma Bisu. Novel ini mengisahkan pergelutan perasaan dan cabaran hidup yang dilalui watak utamanya iaitu Wefada. Sewaktu menyertai Akademi Sastera 2009, tidak sedikit bilangan rakan yang mengkaji elemen feminisme di dalam karya ini. Ya, saya akui karya ini seperti karya-karya lain pengarangnya sarat dengan unsur ilmu dan wacana. Dalam Bedar Sukma Bisu, pembaca akan beroleh pengetahuan mengenai ilmu perkapalan dan sistem ekonomi terutamanya sistem ekonomi Islam.

Walau bagaimanapun, saya berasa terganggu dengan olahan perasaan Wefada yang seolah-olah kehilangan punca apabila bertemu dengan 'cinta' barunya, Elemine. Rakan kepada anak tunggalnya. Bagi saya, percintaan itu tidak salah namun cara Wefada berhadapan, bergelut dengan perasaannya itu membuatkan saya berasa begitu lemas dan melambatkan pembacaan saya. Namun begitu, saya tetap meneruskan bacaan saya kerana saya tidak suka menamatkan bacaan separuh jalan. Saya mesti tiba hingga ke akhir halaman untuk mengetahui pengakhiran ceritanya. Itu, perasaan saya ketika membaca Bedar Sukma Bisu, kelemasan dengan watak Wefada.

Setelah bergelumang kelemasan dengan Wefada, saya mendapat kelegaan dan berasa begitu bersemangat dengan Saasatul Ibaad. Novel sejarah ini begitu mengagumkan saya. Ketika membaca karya ini, saya dapat bayangkan secara visual bahawa sekiranya karya ini didrama atau difilemkan, akan ada mukadimah bagi setiap peralihan babak. Hal ini kerana dalam karya ini, setiap fasal yang diturunkan pengarang saya lihat sebagai punca kepada peralihan cerita namun masih terikat pada jalinan plot yang sama.

Dalam masa yang sama, novel ini saya kira mempunyai jalan cerita yang agak ringkas iaitu kisah kebejatan moral Sultan Mahmud, rakyat yang memberontak dan akhirnya Sultan Mahmud mendapat pembalasannya. Malah, isi fasal yang diketengahkan dilihat lebih panjang daripada perincian naratif. Namun demikian, saya tetap berasa tertarik dan seronok membaca karya ini. Pendedahan mengenai fasal-fasal yang diketengahkan menjadi penguat dan objektif utama Saasatul Ibaad. Hal ini merupakan perasaan saya sebagai pembacanya. Malah, keterujaan saya membaca naskhah ini membuatkan saya berasa tidak sabar untuk menulis ulasan mengenainya. Saya berasa seronok dan teruja, itulah perasaan saya terhadap karya ini.

Setelah melalui dua karya daripada pengarang yang sama, saya beralih pula kepada One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez. Tempo pembacaan saya terhadap karya ini agak lambat, barangkali sangat lambat jika dibandingkan dengan empat buku yang lain. Selambat tempo dalam novel itu sendiri. Awal-awal sewaktu saya diberi pinjam buku ini, kenalan telah mengingatkan saya agar bersabar dengan kelambatan temponya. Secara jujur, saya tidak puas dengan bacaan pertama saya terhadap buku ini. Saya berjanji kepada diri untuk membacanya buat kali kedua. Saya berasa tidak puas kerana masalah saya untuk memahami perjalanan ceritanya dengan sempurna. Nama-nama watak yang kebanyakannya hampir sama juga boleh mendatangkan kekeliruan jika tidak dikendalikan pembaca dengan baik.

Yang paling saya gembira mengenai buku ini ialah saya berpeluang melihat unsur realisme magis yang diadun di dalamnya. Selama ini, saya dimomokkan dengan karya tempatan yang dikatakan sebagai berunsurkan realisme magis, akan tetapi sebenarnya kurang menepati maksud genre itu sendiri. Pembacaan terhadap karya ini meskipun agak sukar kepada saya namun mendedahkan kepada saya unsur realisme magis yang sebenar. Secara langsung, karya ini memberi kesedaran dan membetulkan salah pandangan saya terhadap genre realisme magis. Membaca karya ini mendatangkan rasa kesedaran akan kurangnya penguasaan dan ilmu saya dalam lapangan bacaan.

Akhir sekali, Tuhan Manusia baru sahaja saya tamatkan bacaanya tiga hari yang lalu. Namun, sehingga kini Ali Taqi, Encik Aris, Mohamad, Abang Abbas, Profesor Mahfuz, Zehra dan Andrew Tse masih berlegar-legar di benak fikir dan ingatan saya. Membahagiakan, teruja, gembira dan puas. Itulah gambaran perasaan atau rasa saya mengenai Tuhan Manusia. Novel ini saya sudahkan dalam masa dua hari, jika dihitung dari kuantiti masa, selama tiga jam. Sebenarnya, tidak tergambar perasaan saya ketika sedang dan selepas membaca karya ini. Daripada empat buah karya yang saya sebutkan tadi, Tuhan Manusia paling mendatangkan kepuasaan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkapkan secara jelas.

Novel wacana ini mengisahkan keperitan hati yang terpaksa ditanggung Ali Taqi setelah abangnya iaitu Talha telah berpaling dari agama. Perbahasan mengenai pluralisme, liberalisme, sekularisme dan Islam tulen memberikan pencerahan dan tambahan pengetahuan yang sangat bermakna kepada saya. Membuatkan saya sedar akan isu yang besar tetapi seolah-olah dilihat kecil pada konteks negara kita. Ada antara perkara di dalam karya ini seperti penubuhan FASEH dan persatuan pemikir di peringkat sekolah lagi sangat baik untuk dipandang serius oleh pihak berwajib sekiranya isu murtad ini dilihat serius oleh mereka. Satu hal yang menarik, agak sukar untuk pembaca dihidangkan dengan tiga kata ganti diri atau sudut pandangan yang berbeza dalam satu karya. Namun, karya ini mengetengahkan ketiga-tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan orang pertama, sudut pandangan orang kedua dan sudut pandangan orang ketiga. Meskipun saya berasa jarak emosi saya dengan Ali Taqi wujud ketika pengarang menggunakan sudut pandangan orang kedua iaitu Kau, Engkau, namun saya masih dapat mencerna isinya lantas menenggelamkan rasa tidak senang saya terhadapnya.

Membaca karya ini memberi kepuasan, kebahagiaan dan pengetahuan yang tidak dapat saya gambarkan. Kegembiraan ini saya kongsikan bersama rakan-rakan FB. Ada yang mengakui rasa yang sama dengan saya dan ada yang kepingin untuk mendapatkan novel wacana ini kesan perbincangan kami mengenainya. Seingat saya inilah kali pertama saya berasa begitu bahagia dan mencapai kepuasan semasa dan selepas membaca. Barangkali saya pernah juga merasainya sebelum ini namun untuk yang kali ini, saya 'merasai'nya secara sedar.

Ya, saya sedar. Kesemua novel yang saya sebutkan dan saya baca itu bukanlah novel-novel yang terbaharu dan terkini. Walau bagaimanapun, pengalaman dan perasaan yang saya lalui melaluinya sangat berharga. Terima kasih kepada yang memberi pinjam dan memberi kesedaran kepada saya akan 'rasa' membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan